Memaparkan catatan dengan label Sembang-sembang papirus. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sembang-sembang papirus. Papar semua catatan

Jumaat, 18 Januari 2013

GERGASI



Gergasi? Yargh..! Khairul Nizam Khairani kembali lagi novel terbaru yang diberi nama Gergasi. Setelah menghasilkan dua karya bersama dengan PTS iaitu Kudeta dan Anarkis, kini beliau tampil dengan sebuah karya yang jauh berbeza konsepnya dengan dua karya yang terdahulu. Jika Kudeta dan Anarkis berkonsepkan ‘military-thriller’, Gergasi pula adalah berkonsepkan aksi-sains fiksyen!

Kulit Depan

    Pertama yang aku nak cakap ialah berkenaan dengan kulit depannya. Tidakkah anda berasa sesuatu apabila melihat rekabentuk kulit depannya  Apakah perasaan itu? Misteri? Teruja? Yaargh.. itu perasaannya. Kombinasi si makhluk besi dengan tajuk Gergasi seiring tona warna yang gelap itu sahaja sudah membangkitkan perasaan "Pergh!!" di dalam diri saya! 

    Walaupun biasan Orang Besi (sebut dalam bahasa Inggeris) itu ada, namun jika diteliti rekabentuknya, ternyata rekabentuk makhluk besi ini tampak lebih jantan dari yang itu. Pfftt.. Memang.. memang aku bagi 4 bintang untuk rekabentuk kulitnya. Malah inilah rekabentuk kulit yang terbaik di antara semua novel-novel FIXI buat masa ini.

Kualiti

    Bercakap berkenaan kualiti, saya memang berpuas hati dengannya. Kualiti percetakan dan kertas yang digunakan untuk Gergasi ini sangat memuaskan hati saya. Berbeza dengan novel FIXI pertama yang saya baca, Pecah. Sebaik sahaja kertas plastik dibuka, dan fizikal aslinya mula bercumbu dengan tanganku ini, perkataan FUYYOO~!! mula terlepas dari gua. Terasa seperti novel  Stephen Coonts berada di tangan, fuuu… Smart-smart. Tak silap aku, jenis kertas yang digunakan untuk Gergasi ini agak mahal, lupa pula aku apa nama jenis kertas ni. Kertas ni yang bagusnya ia agak tidak ‘striking’ mata kita untuk satu pembacaan yang lama.

    Jika kualiti percetakkannya sudah begitu berkualiti. Bagaimana pula isinya?

Gergasi 

Okay, aku salin dan tampal sahaja untuk sinopsisnya ini,

          "Tahun 1511. Di kala kota Melaka sedang diserang, muncul gergasi misteri yang digelar Batara Waja membantu hulubalang tempatan menghadapi askar Portugis. Namun dalam satu pertempuran, Batara Waja tiba-tiba hilang…

500 tahun kemudian. Siti Nuraini, seorang kurator di Muzium Negara, yang bersahabat dengan seorang pemuda bernama Rizal, telah menemui sebuah artifak aneh. Namun artifak itu hilang sewaktu dalam simpanan muzium. Kotaraya kemudiannya digemparkan dengan kemunculan gergasi yang membunuh manusia-manusia tertentu – dan lagenda Batara Waja kembali.

Rizal mengalami mimpi-mimpi aneh berkaitan gergasi tersebut dan sering pitam. Suatu hari, muncul seorang lelaki bernama Hu Xien yang memberitahu Rizal bahawa Rizal ada kaitan dengan kemunculan GERGASI itu!

        Jadi.. apakah bentuk kaitan Rizal dengan Gergasi itu? Sila dapatkan ia di pasaran sekarang! Tunggu apa lagi weyh..?!

       Setahu aku, ini adalah novel pertama dari Khairul Nizam setelah beliau bersama PTS untuk dua karya yang sebelumnya. Apa yang aku nampak, naskhah Gergasi ini telah mendedahkan satu sisi lain bagi penulisnya. Jika anda yang sudah membaca Kudeta dan Anarkis, anda pasti akan dapat tangkap perbezaan cara penyampaian cerita Khairul Nizam Khairani ketika beliau bersama PTS dan ketika bersama FIXI. Gaya penulisannya kali ini agak ‘all-out’. Tidak tertahan-tahan seperti ketika bersama PTS dahulu. Sebagai contoh, antagonis di dalam Gergasi tidak bercakap bahasa baku seperti di dalam Kudeta.

    Anda masih belum jelas? Baik saya bagi satu contoh.
        Antagonis PTS: “Cis! Bagaimana kamu menjaga mereka. Habis wang tebusan kita!”
       Antagonis FIXI: “*#@%$! Kau jaga bangsat-bangsat tu macam mana?! Kau nak bayar wang tebusan          celaka-celaka tu ke hah?! *#@%$ ”

        Begitulah lebih kurangnya. Perhatian, dialog di atas tiada kena mengena dengan mana-mana novel dari kedua-dua syarikat penerbitan terbabit. Sekadar imaginasi saya sahaja. Walaupun kelihatannya Khairul agak keluar-semua dalam Gergasi (all-out), tetapi ia masih terkawal. ‘All-out’nya dikenakan pada tempat yang lojik.

     Bagi mereka yang sudah biasa dengan stail debar-ketenteraan Khairul Nizam sebelum ini, anda mungkin sedikit berasa ringan dengan novel Gergasi, kerana cerita dan olahannya tidak seberat Kudeta dan Anarkis. Jadi ada sesetengah mereka yang mengatakan Gergasi ini kurang ‘umph’ berbanding Kudeta dan Anarkis. Namun mereka kena faham juga, Gergasi ceritanya lebih ke arah fiksyen-komikal manakala Kudeta dan Anarkis lebih ke arah realistik yang membabtikan isu-isu semasa. Tentu saja ‘blending’ kedua-duanya tidak sama.

      Biasalah, setiap karya ada pro dan kon’nya. Bagi saya, saya tetap suka Gergasi dan kedua novelnya yang terdahulu. Keduanya ada citarasa yang berlainan. Gergasi adalah bukti bahawa Khairul Nizam Khairani seorang penulis yang tidak terikat pada satu jenis genre sahaja. Walaubgaimanapun kebolehan menulis pelbagai genre juga bukan tiket jaminan kita akan dapat peminat dari semua genre yang kita sasarkan. Jadi Khairul, cabaran anda sekarang ialah bagaimana mahu mengekalkan peminat setia anda untuk tetap meminati apa sahaja karya anda walaupun berlainan genre. Jangan tanya saya, tanya Abang Ramlee.

        Sesetengah peminat mungkin membeli karya anda kerana terpikat pada novel anda yang pertama dan kedua, jadi bagaimana anda mahu mengekalkan momentum itu pada karya seterusnya. Untuk hal ini anda hanya berjaya setakat sampai Anarkis. Tetapi pemerhatian saya terhadap karya Gergasi, agak kurang berjaya. Kerana ada peminat anda yang mengatakan gaya anda dalam Gergasi ini kurang ‘umph’ (dia kata, bukan saya, Saya no hal). Jadi saudara Khairul Nizam, ini bukan salah genre sains-fiksyen yang anda bawa, tetapi dia kata dia lebih suka gaya penceritaan anda dalam Anarkis berbanding Gergasi (sekali lagi saya no hal).

         Namun bagi yang masih belum membacanya, anda jangan terus membuat persepsi salah atas ulasan ini. Bagi saya, wang anda berbaloi dilaburkan untuk Gergasi ini. Kualiti percetakkannya memang puas hati dan ceritanya pun agak berlainan dari sains fiksyen yang sama kelas dengannya. Kerana apa, ceritanya tidak seperti yang saya sangka sewaktu mula-mula melihat kulit depannya. Selain itu Gergasi juga cukup rencah untuk sebuah novel aksi-sains fiksyen yang optimum. Ada aksi, ada tekno, ada drama, misteri, ada jiwang. Namun perencah ini tidaklah dimasak habis-habis seperti Anarkis dan Kudeta. Kiranya macam Anarkis itu adalah masakan emak kita di rumah, Gergasi itu pula lauk yang kita makan di kedai makan, Lauk yang sama, tapi rasa tetap berbeza sedikit. Namun anda tidak rugi mendapatkannya.

Babak pilihan

     Babak ketika Aman, seorang tentera perisai SEADEF dari Malaysia melakukan serbuan maut ke Pulau Hainan untuk memusnahkan radar tentera Republik China Bersatu bagi memberi laluan jet pejuang Malaysia melakukan serangan. Tu ddia ayat takdak noktah. Babak ini serius aku cakap memang Gempar! Anda seolah-olah berada di tempat perang tersebut! Dalam masa yang sama ia sangat mendebarkan! Saya seolah-olah dapat membayangkan betapa dahsyatnya pertempuran di antara pasukan komando tentera perisai Malaysia dan tentera perisai China. Ganas! Babak itu juga agak mengharukan kerana misi ini seolah-olah misi tiket satu hala.

     Aman dan pasukan tentera perisainya terpaksa menuju ke depan walaupun serangan tentera-tentera perisai China dengan dibantu pasukan-pasukan tentera sokongan memberi tentangan yang hebat! Nyawa nombor dua, musnahkan radar adalah yang utama! Walaupun rakan-rakan lain telah gugur satu persatu, kesedihan perlu diabai, misi perlu dicapai. Saat itu sungguh kritikal! Phuh~!!

Kesimpulan

     Keseluruhannya Gergasi merupakan sebuah karya yang bagi saya wajib berada di dalam koleksi para peminat novel aksi semua genre. Walaupun ia berkaitan dengan teknologi robotik, nano, dan segala macam kecanggihan. Tapi tidak sefuturistik ‘overload’ yang anda sangka. Senang cakap latarnya lebih kurang macam Lock Out. Penjara kat angkasa lepas, tapi pak guard masih guna shotgun bukan pistol lazer. Dan di akhir cerita Gergasi, seolah-olah seperti akan ada sambungannya… Adakah jangkaan saya ini benar saudara Khairul Nizam Khairani?

*update terbaru. Adik sepupu saya darjah enam sangat meminati Gergasi. 
   


Rabu, 23 Mei 2012

Cinta Sufi



Kapten Leandro melibaskan pedang dengan kuat, benar-benar menepati batang leher Catalina.
         Tetapi di luar jangkaan, Catalina menunduk lalu melutut dan membenamkan keris Nanggroe ke perut Kapten Leandro.
         Lelaki portugis itu ternganga mulutnya. Pedang dalam genggaman serta-merta terlepas. Sejurus itu, dengan keberanian yang diusahakan, Catalina mencabut semula keris Nanggroe. Darah memercik, memancut. Catalina bangkit berdiri. Menusukkan  mata keris Nanggroe ke halkum Kapten Leandro pula.   
         "Itu untuk Saifuddin. Dan ini untuk suamiku... Aryas Do Lopo yang kau bunuh di medan peperangan. Muslihatmu waktu itu berhasil, sehingga ramai orang yang mempercaya Aryas Do Lopo mati dibunuh tentera Turki." Catalina memberi kesempatan  untuk Kapten Leandro bernafas udara terakhir di muka bumi ini.     
        Kenyataan  Catalina yang menyingkap rahsia kebenaran, sekali gus menelanjangkan pengkhiantannya, membuatkan Kapten Leandro terbeliak biji mata. Selanjar itu juga, Catalina menghentak hulu keris Nanggroe.
       Mata senjata itu menembusi halkum Kapten Leandro. Darah memancut lagi. Suara lelaki portugis itu kedengaran seperti bunyi haiwan sembelihan. Kapten Leandro mati dalam kemurkaan Tuhan.

______________________________________________________

Aku rasa, babak inilah yang paling elegan dalam Cinta Sufi.

Khamis, 17 Mei 2012

Detik Debar




Yaarghh!!! Detik Debar, sebuah novel ‘andai kata’. Andai kata Presiden Amerika masuk Islam secara senyap-senyap tanpa diketahui oleh orang-orang di sekelilingnya,  apa akan terjadi kepada dirinya dan dunia ini? Ya, gambaran ini telah dilakarkan oleh Eyman Hykal dalam sambungan novelnya yang terdahulu, Meniti Maut! Usai membacanya, barulah anda memahami apa yang ditestimonikan oleh Abang RAM.

Masih mengekalkan Fariz Zafar sebagai watak utama iaitu seorang ejen perisik dari Biro Risikan Negara (BISIK). Setelah berjaya menghalang agenda pemusnah ekonomi  Zionis (Economic Hitman) dalam Meniti Maut,  dia kembali beraksi dalam konflik terbaru yang dihadapi oleh Malaysia, iaitu komplot pembunuhan John Martinez oleh The Group. The Group adalah sebuah kumpulan pelobi ZIonis yang sangat berpengaruh di Amerika Syarikat. Ya, Presiden Amerika itu hendak dibunuh kerana mula menunjukkan minatnya dalam sistem kewangan Islam yang tidak berasaskan riba untuk menyelamatkan  ekonomi negaranya yang semakin merudum. Dan ini sangat-sangat tidak disenangi oleh The Group.

Ironinya, dalam masa yang sama ada satu lagi komplot untuk membunuh John Martinez dari pihak militan Arab. Dan pentas konfliknya adalah di bumi Malaysia ini, di mana John Martinez datang untuk menghadiri World Islamic Economy Forum yang dilangsungkan di Putrajaya International Convention Centre. Satu pihak hendak membunuh Presiden Amerika kerana Presiden itu mula condong kepada Islam, manakala satu pihak lagi hendak membunuh Presiden Amerika itu kerana banyak kekejaman yang telah dilakukan oleh mereka ke atas umat Islam. Dua pihak yang berbeza, misi yang sama, satu sasaran.

Detik Debar bergerak di atas tiga jalur, jalur pertama kisah dari pihak Presiden Amerika. Jalur kedua kisah dari pihak BISIK, dan jalur ketiga adalah dari pihak Lasykar Jihad. Diantara tiga jalur ini ada satu lagi benang yang terkait antara mereka, iaitu Jennifer Miles, seorang journalis World Live Line yang keras kepala.

Sewaktu membaca babak Fariz menjalani latihan di Selatan Thai, aku semacam dah tahu itu hanya latihan. Tekaanku tepat! Pada masa ini aku teringat satu latihan yang dijalani oleh James Clayton (Collin Farell) dalam filem debar-risik ‘The Recruit (2003)’. Aku suka twist  yang ada didalam filem ini. Tidak terfikir dek akal.

Cuma satu saja yang aku terasa sedikit kurang dalam Detik Debar ini, iaitu rekabentuk kulitnya yang bagi aku sangatlah kurang menarik. Kalau aku ni pensyarah seni visual, aku letak D. Aku jauh lebih suka rekabentuk kulit Meniti Maut lagi. Tolonglah, mana boleh sebuah novel yang berkualiti ini mempunyai rekabentuk yang sangat teruk! Tidak menggambarkan konsep novel itu langsung!

Kesimpulannya, Detik Debar WAJIB disambar oleh mereka yang dahagakan novel-novel berkonsep debar dan aksi berbahasa Melayu! Apa pula selepas Detik Debar? GERAK GEMPAR ku hitung harinya!

(Nothing... is... what it seems.)
                                                Walter Burke, (The Recruit)

Isnin, 12 Disember 2011

Detik Debar Sudah Ku Sambar!!





Yaargh!! Pada pukul 2.30 tengah hari tadi(rasanya). Aku telah menyambar secara tanpa sedar sebuah novel yang sudah sekian lama ku tunggu-tunggu untuknya menyerang pasaran selepas ia membuat kemunculan pertama yang cukup bombasstik tetapi kurang promosi, Meniti Maut 2 A.K.A Detik Debar!! Pada mulanya aku saja berjalan-jalan membuang masa di kompleks membeli-belah yang cukup hot pada masa ini, Kompleks PKNS. Kemudian hati tergerak untuk menjengah SACC Mall yang terletak bersebelahan dengannya. Lantas aku terus ke destinasi pertama yang selalu
menjadi sasaran pertama aku ketika menjejakan kaki dimana-mana kompleks beli-belah, kedai buku.

Sebaik sahaja aku masuk ke dalam mula membelek-belek buku yang ada, pada mulanya aku cari koleksi komik Twin X yang telah diterbutkan oleh PTS dan sebuah isu baru Twin X, tetapi hampa. Kemudian aku mula membelek-belek kawasan novel-novel Melayu, argh..!! Cerita jiwang saja semua. Tiba-tiba di sebalik novel-novel jiwang aku ternampak satu tajuk yang sangat aku biasa lihat, Detik Debar? Lantas aku teringat blog Encik Eyman, apabila aku ternampak perkataan Eyman Hykal dibawahnya, secara tiba-tiba satu perkara ajaib telah berlaku!! Aku mendapati diri ini telah berada di kaunter pembayaran dengan dua helai wang merah telah ku serah dengan ringannya kepada si juruwang! Bilakah perkara ini berlaku? Magik-magik!

pada ketika aku menaip entri ini, aku masih belum membuka bungkusan plastiknya lagi. Aku mahu menunggu satu masa yang sesuai untuk aku merasai Detik Debarnya!

Jumaat, 14 Januari 2011

Natrah, Cinta. Rusuhan, Air Mata


Sedih, marah, dan sangat terkilan. Itulah gelora perasaan aku ketika meniti setiap detik menatap helaian-helaian kisah cinta tragik ini. Sedih mengenangkan saat-saat ketika Natrah disuntik dengan sejenis cecair sehingga tidak sedarkan diri untuk meleraikannya dari ibu angkat kesayangannya, Che Aminah. Sedih mengenangkan kekecewaan serta tangisannya untuk tidak berpisah dengan Che Aminah. Sedih apabila beliau dipaksa berpisah dengan suaminya yang sah.

Aku juga sangat MARAH apabila beliau dipaksa murtad oleh pihak Belanda dan British. Sangat MARAH apabila akhbar-akhbar pro-penjajah menyiarkan berita-berita serta gambar yang menghina Islam dan umat Islam yang memperjuangkan isu Natrah. Marah apabila ada pemimpin sebuah parti terbesar Melayu pada ketika itu menganggap isu Natrah itu tidak penting dan mengingatkan ahli-ahlinya agar tidak masuk campur. Boleh dia cakap begitu, sedangkan kes ini sudah melibatkan pelanggaran jelas hukum-hukum Islam serta norma-norma kemanusiaan. Mata hati letak di mana? Malahan umat Islam di Pakistan, di Indonesia, selain dari seluruh Tanah Melayu juga turut memperjuangkan isu Natrah ini.

Terkilan. Sangat terkilan apabila Natrah terus-terusan dalam kekeliruan dalam mencari erti hidup setelah pemurtadan tanpa kerelaan itu dipaksakan keatasnya oleh pihak Belanda. Ditambah lagi dengan layanan buruk oleh ahli keluarga kandungnya sendiri menyebabkan beliau semakin keliru dan terus keliru dalam mencari hidayah Allah. Di sini juga satu bukti jelas telah dapat dilihat, bukti yang sudah disebut didalam Al-Quran dan juga oleh Baginda Rasulullah SAW berabad yang lepas. Sesungguhnya para musuh-musuh Islam itu akan sentiasa berkerjasama antara satu sama lain dalam memusnahkan umat Islam.

Kita dapat lihat bagaimana kerajaan Belanda dan British saling bekerjasama dalam memastikan kes Natrah akan dimenangi oleh mereka dan seterusnya menjatuhkan maruah umat Islam. Ingat, baru-baru ini telah terbocor satu dokumen sulit yang mendedahkan tentang pertemuan rahsia diantara pegawai-pegawai Amerika dengan China yang membincangkan secara SERIUS tentang rancangan-rancangan mereka untuk memastikan negara Indonesia kekal dalam pemerintahan sekular dan terus mensekularkan mana-mana rakyat Indonesia yang kuat berpegang kepada agama Islam. Mengapa mereka boleh berbincang dengan baik dan ramah sedangkan kedua-dua negara itu amatlah berbeza dari segi ideologi politik dan corak ekonominya (Demokrasi dan Komunis). Tetapi itu tidak akan menjadi satu kehairanan jika kita mengkaji asal-usul dari mana datangnya kedua-dua fahaman itu dan mengapa ia diwujudkan.

Bagi aku, isi didalam buku biografi Natrah ini boleh dibahagi kepada dua sisi. Sisi pertama adalah fakta yang sebahagiannya disokong dengan salinan-salinan dokumen yang menguatkan isi buku ini, dan sisi kedua adalah isi hati dan pendapat pengarang sendiri, iaitu saudari Fatini Yaacob yang kadang-kadang membuatkan aku tidak seperti membaca buku biografi, tetapi seperti membaca novel sejarah pula. Tetapi itu membuatkan pengkisahan semula tragedi Natrah ini menjadi lebih menarik dan emosional. Cumanya kadang-kadang aku terasa pendapat Fatini Yaacob itu dimasukkan tidak kena pada tempatnya. Hmm.. Untuk aku huraikan keseluruhan buku ini, rasanya huraian itu sangatlah panjang kerana buku ini memang tebal dan padat. Juga terdapat gambar-gambar mereka-mereka yang berperanan pada masa itu dari kedua-dua belah pihak. Walaubagaimanapun, aku rasa inilah laporan terlengkap berkenaan Natrah yang pernah aku baca buat masa ini. Percetakannya sangat berkualiti dan sangat berbaloi untuk dijadikan koleksi peribadi, ilmiah atau rujukan.

Sabtu, 23 Oktober 2010

Anarkis


“WAAAUUUU…!!!” Jerit hatiku sambil mulutku ternganga ke bawah melihat gambar depan novel Anarkis di laman web PTS tidak lama dulu. “PEH!!” Jerit batinku lagi. Rekabentuk kulit novelnya benar-benar menarik minatku selaku peminat seni visual walaupun aku bukan belajar di dalam bidang tersebut. Setelah diteliti semula, sah! Memang sama! Gaya Awai memegang senapang penembak hendap itu memang sama dengan poster Shooter lakonan Mark Wahlberg. Cuma dihias-hias sedikit bagi menampakkan perbezaan. Walaubagaimanapun, inilah diantara rekabentuk novel bergenre aksi debar (thriller) berbahasa Melayu yang paling umph! Pernah aku lihat dalam Malaysia. Pilihan dan adunan warna dan kontrasnya memang masuk dengan konsep novel. Ditambah lagi dengan pmilihan font dan warna font yang sangat sesuai. Keseluruhan rekabentuk kulit Anarkis ini menggambarkan ini adalah sebuah novel moden yang penuh aksi dan anda berbaloi memilikinya!! Sangat berbaloi bagi peminat novel-novel aksi militer seperti aku walaupun harganya lebih kurang RM30. Bertambah berbaloi dengan ketebalannya yang mencecah 600 lebih muka surat.


Kisah

Diringkaskan jalan ceritanya, Sarjan Awai anak Gamung merupakan seorang penembak hendap Gerup Gerak Khas (GGK) ATM telah ditahan dan dipenjarakan di sebuah wilayah Balkan sebelum dibawa pulang oleh kerajaan Malaysia. Setibanya di Malaysia, diharapkan sinar yang ceria bakal mencerahi hidupnya kembali selepas terpenjara selama lima tahun di wilayah Balkan atas satu peristiwa ketika menyertai pasukan pengaman Malaysia di Bosnia. Rupa-rupanya tidak! Hatinya hancur luluh apabila mengetahui bahawa isteri yang dicintai telah meninggalkannya dan berkahwin dengan seorang doktor yang kaya-raya. Huh! Memang kecewa habis!

Keadaan hidupnya menjadi semakin parah apabila dirinya dipersalahkan atas kematian seorang diplomat Britain, Sir Anthony Morse dan peguamnya sendiri, Jagjit Kaur. Dia terpaksa melarikan diri dari kesalahan yang dia sendiri tidak lakukan dan juga kehilangan kepercayaan ke atas sistem perundangan yang dirasakan tidak akan dapat membelanya. Untuk menjadikan suasana menjadi lebih aksi, sekumpulan tentera upahan dari British telah datang ke Kotaraya Kuala Lumpur untuk memburunya. Misi mereka: Sarjan Awai mesti mati!
Apabila keselamatan dan nyawa anak dan bekas isteri mula diancam, dia mula berhenti berlari, dari diburu, dia mula menjadi pemburu, kemusnahan mengikut jejak-jejak langkahnya. Tiada siapa yang dapat menghalangnya (Kecuali Allah), tiada undang-undang yang dapat menyekatnya! Anarkisme menguasai dirinya!!

Fuh!! Memang selak muka surat punya novel (a page turner). Macam ada gam pula kat Anarkis ni. Aku menghabiskan novel yang mukasuratnya lebih dari enam ratus ini lebih kurang dua hari sahaja. Penuh dengan aksi militer. Diantara babak yang aku gemar adalah ketika Sarjan Awai cuba menyelamatkan Dr. Margie yang diculik oleh Ervin di Priboj, Bosnia. Memang mendebarkan.

Keseluruhannya, karya Khairul Nizam Khairani ini memang agak berat dan beliau nampaknya ada melakukan kajian sebelum menghasilkan Anarkis. Walaupun jalan ceritanya ada sedikit biasan dari plot Shooter, tetapi Khairul Nizam Khairani ada olahannya tersendiri yang jika Anarkis dihasilkan menjadi filem, aku rasa Anarkis ini adalah lebih bagus dan berat dari Shooter.
Sebenarnya Anarkis ini ada sangkut-paut sedikit dengan novel Khairul yang sebelum ini, iaitu Kudeta Intro dan Kudeta Klimaks. Novel ini sebenarnya best! Tetapi yang tidak mengebestkan itu adalah kerana ceritanya dibahagi dua bahagian. Aku tak suka la. Mula-mula sekali aku beli Kudeta Klimaks, mula-mula baca memang tak faham apa. Lepas diselidiki ketidakfahaman aku itu, baru aku tahu bahawa novel yang aku beli ini adalah bahagian kedua. Sudah! Nak kena beli dulu bahagian yang satu baru faham, Kudeta Intro. Satu hal pula nak kena pergi kedai cari bahagian yang pertama itu. Pulak dah!! Kehabisan stok pulak kat kedai-kedai buku. Menyampah betul. Lama juga la Kudeta Klimaks tu aku peram buat pekasam lantaran ketiadaan bahagian pertama.

Yang tidak Gemar

Apa yang aku tidak gemar tu? Hahaha…!! Aku sebenarnya agak tidak suka atau menyampah dengan watak Arman Ghani tu. Macam playboy je. Wataknya benar-benar mengingatkan aku kepada Tony Stark, Ironman, dan aku memang meluat habis dengan watak Tony Stark tu, huh!. Watak orang kaya perasan bagus. Berbanding watak Awai, aku lebih suka watak Awai itu dari Arman Ghani berkali ganda. Satu lagi, setiap kali watak Arman Ghani muncul, aku terbayang watak Arman dari kumpulan Gigi, seolah-olah Arman Gigi itulah watak Arman Ghani. Kelakar la pulak aku rasa. Arman Gigi yang playboy dalam Anarkis, hahaha…!! Tetapi oleh kerana aksi debar yang ditampilkan itu lebih menjadi keutamaan aku, terpaksalah aku abaikan (ignore) ketidak gemaran aku itu.

Kesimpulannya, Anarkis merupakan sebuah novel yang berjaya memenuhi tuntutan nafsu membaca aku terhadap novel-novel aksi debar berbahasa Melayu yang berkonsep moden. Aku sayang novel ini. Terasa tidak jemu memandang kulit novel ini banyak–banyak kali. Dan yang paling best, ia tidak dipecah dua bahagian. Jadi ia tidak mengganggu mood membaca aku. Bagi peminat-peminat novel aksi militer, boleh dapatkan segera. Berbaloi beb!

Ahad, 21 Februari 2010

Pendeta Gua Khayalan – Kembara Lang Surya



Gambar. Memainkan seribu tarikan dalam membujuk nafsu si cacing buku untuk menyentuhnya. Dari mata jatuh ke tangan, setelah isi perutnya dilihat begitu menyelerakan, maka jatuhlah pula ia ke dalam taklukan hati. Tetapi itu semua tidak bermakna jika kocekmu menghadapi kemarau fulus, apatah lagi jika ia terus berlarutan di saat mehnah hidup yang menjerit-jerit dahagakan fulus untuk membiayai perjalanan hidupnya. Rantaian untaian di atas itulah yang telah merantai daku dalam kuderat mendapatkan salah satu penghias dan penyeri rak bukuku. Gambar itu terlalu menangkap dan begitu seni. Suka sungguh daku dengan karya itu.

Masa. Dipenuhi dengan segala lekuk-lekuk dan lopak-lopak gangguan yang terus saja memperlahankan perjalanan penghayatan daku ke atas keikhlasan Si Tua menghamparkan hikayat seribu takjub mitos bangsanya, Kembara Lang Surya. Maaf Si Tua, daku terpaksa mendengar ceritamu berselang-seli dengan tanggungjawabku yang perlu ditunaikan sebagai insan maujud ciptaan Allah Rabbul Jalil.

Alhamdulillah. Segala puji hanya untuk-MU. Dengan keizinan-NYA, Si Tua berjaya menghabisi satu dari tiga kisah ajaibnyanya kepadaku. Ceriteranya membuatkan daku terpana, khayalan tingkat tinggi boleh saja kuumpamakan, bukannya senandung Peterpan dari tanah Jawa itu. Helaian kisahnya disulam serta dijahit rapi dengan tarian bahasa nan indah. Tiada apa yang daku dapat semburkan dari gua celotehku melainkan perkataan ‘WO…W!! FUYOOOOH!!’. Ya, benar! Perkataan-perkataan yang tersembur itu selalu saja membangkitkan rasa cuak Si Tua yang sedang asyik menceritakan Kisah Lang Surya kepadaku.Sesungguhnya Si Tua itu tidaklah mengerti langsung apakah maksud-maksud perkataan itu kerana tiada pernah dia dengari perkataan seumpama itu di Indera Nila, Indera Sura, Indera Meru mahupun seluruh bumi Indera Wangsa yang sudah dijejakinya.

Cantik. Itulah perkataan yang terbit dari kalbuku setelah beberapa helai kisah ini telah ku hayati. Cantik sungguh suasana Cempaka Suri mengapungkan bunga Cempakanya diatas telapak tangan. Cantik sungguh rupa indah Kota Indera Nila dan Kota Indera Sura yang digambar-haluskan Si Tua dengan arahan Masdalifadzlie M. Saaid. Cantik sungguh detik-detik Jurus Melibas Salju dimain oleh Rimau Seru bagi membunuh Singa Tama. Cantik sungguh bangunan-bangunan yang dibangunkan dengan bahan binaan dari cebisan-cebisan khayalan Masdalifadzliee M. Saaid. Cantik sungguh Pustaka Negeri yang dikunjung oleh Cempaka Suri bagi mencicip segala pengetahuan mengenai Puteri Kenanga Mulya. Cantik sungguh Cempaka Suri, heheheh!

Oh.. Daku sudah ,melalut..

Marah. Itu yang daku rasakan apabila Si Tua memberhentikan seketika kisah ajaibnya itu di kala asyik sudah menguasai diri ini. Mahu saja daku menggeleteknya sehingga pengsan kerana memperlakukan diriku sedemikian rupa. Sampai hati, sampai jantung. Namun, apakan daya apabila Si Tua itu berkata demikian ‘ Nak buat camna, Masdalifadzlie suruh aku berhenti takat ni. Ni novel dia. Sat lagi aku melawan, dia ganti aku dengan orang lain pulak. Hang pi balik dulu. Nanti aku sambung lain’. Terpaksalah daku akur kepada kehendaknya. Singkat sungguh ceriteranya kurasakan.

Lari. Apa yang lari? Kudaku lari gagah berani? Oh bukan. Penghayatanku lari apabila tiba-tiba Si Tua berpatah balik menemuiku yang baharu sahaja menghidupkan Honda bulatku bagi berangkat pergi. Dia berpatah balik semata-semata mahu menceriterakan kepadaku beberapa rahsia mengenai kisah ajaibnya itu. Rahsia-rahsia ini dinamakan sebagai Suntingan Editor. Hatiku digigit geli lucu apabila mendengar rahsia-rahsia ini. Dalam ruang waktu yang sama juga hatiku dicuit rasa ganggu yang begitu memberatkan. Terganggu kerana ia betul-betul menghancurkan penghayatanku terhadap Hikayat Lang Surya itu. Sampai hati sungguh si Tua ini.

Akhir kalam, maafkan daku jika sulaman bahasaku melangit beza dari tulisan-tulisanku yang sudah dilambuh senja. Jangan salahkan daku, salahkanlah Masdalifadzlie M. Saaid. Aku juga begitu ternanti-nanti akan dua dari tiga khayalannya yang tidak tahu bilakah akan dipersembahkan. Selamat Maju Jaya saudara Masdalifadzliee M. Saaid!

Selasa, 12 Januari 2010

TERASING


Terasing. Sebuah karya Hilal Asyraf yang agak menarik untuk dihayati. Terasing mengisahkan mengenai Zaman, seorang sahabat yang rapat dengan Saifullah sejak dari zaman persekolahan lagi. Mereka bersahabat sehinggalah Zaman melanjutkan pelajarannya ke Jordan (tempat pengkarya menuntut). Ketika di zaman sekolah inilah, Zaman telah meminta Saifullah berjanji dengannya. andai dirinya tersasar jauh dari landasan hidup Islam yang sebenar, dia mahu Saifullah menarik dan membetulkan dirinya kembali.


Pola perhubungan dan persahabatan di antara Zaman dan Saifullah berubah dengan mendadak apabila Zaman telah mematikan semua sumber perhubungannya dengan Saifullah dan rakan-rakannya yang lain secara tiba-tiba tanpa sebarang alasan. Ini menghairankan Saifullah dan juga abang iparnya yang juga sahabat Zaman sejak dari sekolah lagi. Mereka berusaha juga menghubunginya dengan pelbagai cara, sama ada melalui e-mail mahupun telefon, tetapi tetap gagal.

Setelah agak lama mereka putus hubungan, Zaman tiba-tiba muncul kembali dihadapan dengan penampilan yang agak berbeza dari dulu, tetapi dia masih tetap baik, ramah, dan mesra seperti dahulu.

Tetapi.. disangkakan tak hujan sampai ke malam, rupa-rupanya hujan batu turun waktu petang. Kemanisan ukhwah mereka tidak berpanjangan setelah sekian lama tidak berjumpa. Saifullah dan abang iparnya tidak menjangka bahawa kemunculan Zaman secara tiba-tiba ini membawa sekali satu ujian yang sangat besar buat mereka. Apakah ujian yang besar itu? Baca baru tahu.

Penceritaan di dalam novel ini menggunakan sudut pandang watak pertama, iaitu Saifullah. Hilal Asyraf juga menyelitkan petikan-petikan hadis yang bersesuaian dengan suasana atau sesuatu babak itu. Bagiku Terasing agak menyentuh jiwa.

Aku meletakkan novel ini dalam genre debar (thriller). Di antara babak yang aku suka apabila Saifullah yang mahir dalam seni tempur dan juga salah seorang abang iparnya yang merupakan ketua SEG bertarung dengan dua orang pemimpin tertinggi kumpulan Homuradama di dalam asap yang dilepaskan oleh bom asap yang dilempar oleh salah seorang dari pemimpin Homuradama itu. Saifullah dan abang iparnya menggunakan ketajaman deria keenam mereka untuk mengesan, menjejak, menyerang dan mengelak dari serangan-serangan dua orang pemimpin Homuradama itu didalam kekaburan asap.

Salah seorang pemimpin Homuradama itu sangat mahir dalam menggunkan katana (pedang samurai) dan mereka berdua menggunakan alat pandang haba untuk mengesan pergerakan musuh-musuh mereka di dalam ketebalan asap itu. Membaca aksi ini membuatkan aku terbayang seketika misi The Only Easy Day Was Yesterday dalam Modern Warfare 2, di mana aku terpaksa menumpaskan pihak musuh di sebuah pelantar minyak, salah satu sub-misi yang aku kena lalui ialah bertempur dengan mereka di dalam kekaburan asap dari bom asap sambil menggunakan alat pandang haba. Misi yang agak sukar, dan mencabar.

Terasing juga disulami dengan kisah cinta dan adegan-adegan romantik yang halal (Takkan haram kot kalau dah kahwin). Tetapi kisah cintanya bukanlah seperti yang kita baca dalam novel-novel cinta lain yang berlambak-lambak di pasaran. Kisah cintanya mengajar kita apakah maksud cinta di antara dua insan dalam ertikata yang sebenarnya.

Ehem... kadang-kadang aku berasa segan dan malu-malu sendirian apabila membaca dan membayangkan adegan-adegan romantik di dalam Terasing. Beberapa kali menutup Terasing untuk menarik nafas dan menghilangkan perasaan segan dan malu-malu tersebut. Setelah sistem pernafasan aku kembali pulih, baru aku meneruskan pembacaan. Kadang-kadang terasa yang Terasing ini menyuruh aku kahwin cepat pulak. Huh.. ada dia suruh aku kahwin, jalan pun aku tak nampak lagi ni...

Kesimpulannya, tidak rugi aku melaburkan fulus aku untuk memiliki senaskhah Terasing ini. Memang mahsyuk, memang mendebarkan, dan yang paling penting, memang menginsafkan.


Khamis, 30 Julai 2009

Galaksi Muhsinin




Yaargh!! Aku baru saja selesai menjelajah dunia Galaksi Muhsinin karya Azrul Jaini. Novel ni sebenarnya dah lama menyerang kedai-kedai buku pada tahun lepas. Tapi aku tak berkesempatan nak beli. Baru-baru ni saja aku dapat beli menggunakan duit upah kerja katering pada cuti semester yang lepas ni. Aku beli tiga buah novel selain anime Rurouni Kenshin Full Episode (lebih kurang 90 lebih episod) dan dvd 12 Rounds lakonan John Cena dengan melaburkan duit upah itu. Tup-tap-tup-tap, duit aku terus susut. Huh? Laju betul wang ni mengalir.




Novel-novel yang aku beli ialah, Galaksi Muhsinin (Azrul Jaini), Lagenda Sebuah Cinta (Dr Idris Boi), dan Kudeta Klimaks karya Khairul Nizam Khairani. Yang aku dah selesai baca hanyalah Galaksi Muhsinin. Ya lah, dah mula kuliah, nak kena bahagi-bahagilah masa untuk membaca, dan buat benda-benda lain. Berhari-harilah jugak aku nak habiskan Galaksi Muhsinin.
Banyak benda yang aku nak kongsikan seusai sudah membacanya. Pertama, aku nak huraikan dari unsur-unsur fiksyen yang dicedok oleh Azrul Jaini. Lihat formula di bawah. (Macam belajar buku teks pulak!).

Star Wars + Command Conquer 3 Kane Wrath + Zaman Keagungan Khalifah-Khalifah Islam Terdahulu + Gundam = Galaksi Muhsinin.

Inilah formula yang aku dapat setelah membaca karya fiksyen sains ini. Memang aku nampak dengan jelas unsur-unsur itu. Dan unsur-unsur itu diadun dengan baik dan disulami dengan unsur-unsur Islam yang nampak begitu universal di dalam novel ini. Pengaruh Star Wars dan Gundam lah yang paling jelas diperlihatkan di dalam novel ini. Pertama, pihak Empayar Sibernatik Cyborg agak serupa dengan perwatakan pihak Empire pimpinan Emperor dalam Star Wars, dan dengusan nafas Jeneral Furious mengingatkan aku kepada Darth Vader. Manakala pengaruh Gundam nampak jelas dengan adegan pertempuran di antara kapal-kapal kapital Konfederasi Reconquista (Gabungan Empayar Sibernatik Cyborg, Liga Lanun, dan Federasi Generasi Zenzaburo) dan Pihak Galaksi Muhsinin. Bila aku menghayati babak-babak ini, dalam kepala aku terbayang adegan-adegan pertempuran kapal-kapal tempur dalam siri-siri Gundam, terutama sekali Gundam Seed Destiny. Penuh dengan taktik-taktik perang yang pintar, paling best pertempuran diantara kapal induk Archangel dan kapal induk Minerva milik Zaft. Begitu juga taktik-taktik perang kapal-kapal Kapital dalam Galaksi Muhsinin, baik dari pihak Konfederasi dan Galaksi Muhsinin, masing-masing mempunyai komander yang berpandangan jauh.


Manakala pengaruh Command and Conquer 3 Kane Wrath dapat dilihat dengan jelas pada unit Tangan Hitam dan Komando Bayangan milik Empayar Sibernatik Cyborg. Unit Tangan Hitam dalam Kane Wrath di panggil Black Hand. Black Hand pula merupakan salah satu kumpulan pecahan dalam Brotherhood of Nod selain Marked of Kane. Manakala Komando Bayangan agak sama dengan Shadow Team milik Brotherhood of Nod. Aku memang gemar guna unit ni bila berentap CnC3 Kane Wrath dengan adik aku. Dan dia amat bengang bila aku selalu guna unit ini untuk mensabotaj pengkalannya. Tapi malangnnya, aku tetap kalah dan selalu kalah dengan adik aku. Sekarang ni pulak kami layan Red Alert 3, kalah jugak, adala dalam lima belas kali lawan, menanglah aku dua kali. AArggh! Tekanan betoi.










Ni la Shadow T eam dalam CnC3 kane Wrath


Tapi aku tak heran, sebab dia memang seorang yang betul-betul taktikal. Bayangkan dalam umur 14 tahun, dia berjaya mengalahkan, kalau tak silap tujuh pemain dalam CnC 3 Kane Wrath dalam satu game, dan ke tujuh-tujuh pemain itu bukan calang-calang dan umur mereka lebih kurang 20an dan memang kaki-kaki game strategi. Abang dia yang sorang lagi tak pernah menang langsung lawan game strategi dengan dia. Aku ada jugak menang sikit-sikit. Tapi Dalam Call Of Duty Modern Warfare, heheh, keupayaan aku dengan dia seimbang. Jangan berlagakla Firdaus oi.. Eh..eh.. apa aku membebel ni?

Okay, kita sambung balik. Apabila membaca Galaksi Muhsinin, neuron-neuron otak aku tak lepas dari membayangkan adegan-adegan dalam ketiga-tiga fiksyen itu. Jadi aku dapatlah membayangkan apakah yang saudara Azrul Jaini cuba gambarkan. Kuranglah masalah jam ketika membaca. Cuma dari keaslian fiksyen sainsnya itu agak kurang kerana banyak dicedok dari unsur-unsur luar. Adalah sikit-sikit yang aku nampak idea aslinya seperti Jaringan Ion Al Ankabut (Sebab aku tak pernah lihat lagi sistem pertahanan yang seperti itu di dalam mana-mana fiksyen dan bukan fiksyen), dan satu lagi ialah sut perang yang dilengkapi fungsi wuduk. Yang ini memang benar-benar menarik perhatian aku, aku tak pernah terfikir langsung-langsung! Hanya dengan memasukkan kapsul yang mengandungi air yang termampat ke ruang khas pada sut itu, dan sut itu akan membenarkan air mutlak mengalir melalui anggota-anggota wuduk mengikut turutan dan seterusnya lebihan air mustakmal itu dimampatkan kembali ke dalam satu lagi kapsul yang berada pada betis sut itu. Memang bijak dan asli!!

Lagi satu, membaca Galaksi Muhsinin juga membuatkan aku tersenyum dengan lawak yang datang tiba-tiba. Bayangkan, tengah-tengah serius tiba-tiba ada pula lawak selamba muncul. Kalau nak tahu, semak muka surat 169, 198, dan 204. Ada lagi lawaknya, tapi kena cari sendiri. Bagi aku tiga muka surat ini lah yang paling lawak. Gila juga kepala mu ni Azrul oi..

Keseluruhannya, novel ni agak bagus dan menepati apa yang dikatakan sebagai Sai-Fai Islami. Banyak nasihat dan peringatan-peringatan yang boleh diambil di samping berhibur. Ia juga berupaya merangsang semangat Jihad aku dan aku tak rugi membelinya. Katanya nanti nak keluar sambungan? Kalau betul, aku akan nanti-nantikan pelancarannya. Elok saja ia menyerang kedai-kedai buku, aku akan sambar terus (Kalau ada duit la).

Gerila




Pemikiran yang bercelaru dan keliru. Itulah yang aku dapat gambarkan selepas selesai membacanya. Kisahnya berkenaan dengan seorang juruterbang TUDM yang jatuh terhempas di Patani dan diselamatkan oleh gerila Patani. Seterusnya dia menyertai gerila tersebut.
Terlalu banyak persoalan yang aku nak kupaskan berkenaan dengan novel ini. Tetapi bila difikir-fikir balik, mahunya bermuka-muka surat. Banyak tu.. Tak laratlah pulak aku nak tulis. Jadi aku ringkaskan.


Apa yang boleh aku ringkaskan ialah, kalau beginilah cara gerak kerja gerila-gerila Patani, memang aku rasa susah untuk Patani mencapai kemerdekaan sampai bila-bila. Pertelingkahan dalaman, kecelaruan di antara tuntutan adat dan tuntutan agama. Ketidakfahaman akan siasah peperangan Islam yang jelas, mahupun kefahaman agama Islam itu sendiri. Ini akan menyebabkan Patani akan terus ditindas oleh Siam. Sungguh berbeza perjuangan seorang nasionalis yang bertopengkan agama dan seorang yang ikhlas berjuang kerana Allah dan faham akan siasah peperangan Islam.


Fikir-fikir balik, terasa rugi pula aku melaburkan RM 39.90 untuk memilikinya. Apa-apa pun, aku memberi komen ini berdasarkan apa yang dijelaskan di dalam novel ini. Tidak lebih dari itu. Jadi, maafkanlah kekhilafan aku.


Secara jujurnya, novel Gerila ini langsung tidak menaikkan semangat jihad aku. Cadangan aku bagi yang mahu membacanya, kaji dahulu sejarah Patani dari sumber yang jujur dan diyakini dan seterusnya fahamilah dulu siasah peperangan dalam Islam, dan selamat membaca!

Ahad, 28 Jun 2009

Mikhail



Mikhail merupakan salah seorang pembunuh hasilan projek khas konspirasi satu pertubuhan rahsia antarabangsa (Freemason?) yang telah lama wujud di dunia ini. Dia melaksanakan tugas-tugas khas bagi menjaga kepentingan pertubuhan tersebut setelah mereka di cuci otak. Mikhail pada asalnya seorang pemuda Melayu bernama Mahmud yang telah dijual oleh abangnya sendiri Tahir kepada seorang lelaki Inggeris yang dipanggil Tuan Sadon. Kemudian telah dididik menjadi seorang pembunuh yang cekap lagi merbahaya.


Keseluruhannya, novel ini agak kurang meninggalkan kesan kepada aku berbanding sebuah lagi novel Ramlee yang mempunyai konsep cerita yang lebih kurang sama, iaitu Hatiku Di Harajuku. Bagi aku, Hatiku Di Harajuku lebih meninggalkan kesan. Aku tak taulah sebab apa, aku rasa Mikhail ni macam agak hambar persembahannya. Gaya bahasa seperti seperti yang kita semua jangkakan,memang gaya Ramlee. Bagi aku gaya dia memang dah bagus, cuma dari sudut pengolahan cerita dan perencah-perencahnya rasanya boleh diperbaiki lagi.


Tapi! aku suka akan adegan serbuan Mikhail ke atas kapal Cruise yang menyusuri Sungai Nil di Kaherah Mesir untuk membunuh Mr Sundram. Walaupun adegan tu pendek jer, tapi aku rasa mantap lah.


Nak kata novel ini kurang bagus, tak lah. Bagi aku masih lagi berbaloi aku melabur RM 19.90 untuk memilikinya. Cuma aku rasa ia boleh dipertingkatkan lagi tahap kualiti penceritaannya.


Apa-apa hal pun, teruskan berkarya saudara Ramlee Awang Murshid. 9 Nyawa ku hitung harinya!



Isnin, 18 Mei 2009

Meniti Maut




Memang penuh aksi!! Dan mendebarkan! Meniti Maut memang cukup garam, sedap, dan lancar untuk dihadam berbanding penulisan Ramlee Awang Murshid. Novel-novel Ramlee juga sedap, tapi selalu juga tercekik tengah baca kerana jalan cerita yang agak berbelit dan rumit. Tidak mudah untuk meneka plot seterusnya. Tekaan aku sentiasa silap jika membaca novel-novel saudara Ramlee. Tapi aku suka kerumitan untuk memahami novelnya itu. Bagi aku, novelnya yang paling rumit untuk dihadam adalah Rahsia Perindu. Tetapi dalam banyak-banyak novelnya, satu saja novel yang aku dapat teka dengan tepat plotnya, Ungu Karmilla. Tak lama lepas Arif asyik bersin bila berdekatan dengan bunga tersebut, aku memang dapat agak bagaimana bunga Ungu Karmilla tu membunuh mangsa-mangsanya, iaitu dengan menggunakan proses pendebungaan yang boleh menghasilkan halusinasi kepada sesiapa yang menghidunya. Memang tekaan aku tepat! Oleh kerana tekaan aku tepat, kuranglah penghayatan untuk aku membaca Ungu Karmilla tu. Eh..eh!! Aku dah melalut!


Berbalik ke topik asal. Perencah-perencah yang digunakan oleh saudara Eyman cukup sesuai untuk digoreng dalam novel-novel sebegini. Pergaduhan, teknologi, komplot, lawak, dan aksi-aksi untuk golongan muda semuanya ada didalam Meniti Maut. Bagi aku, kelebihan saudara Eyman ialah penulisannyanya berjaya menjana neuron-neuron otak aku untuk membayangkan aksi-aksi dalam Meniti Maut dengan jelas! Aku paling suka babak Fariz bergumpal dengan Tobias di pondok sementaranya di rumah Tan Sri Daud. Pada masa yang sama aku terbayang babak pergaduhan Bourne dengan Desh dalam filem The Bourne Ultimatum. Memangla adegan bergelutnya tak sama, yang samanya ialah, siapa paling cepat dan bijak mengubah suasana persekitaran menjadi kelebihan diri, dialah yang menang! Di sini, kalah bererti maut! Bukan kalah balik kampung.


Masakan saudara Eyman agak ‘terus’. Maksudnya ‘straight forward’la! Jadi dalam masa kita melayan aksinya, kita juga tak berapa nak pening kepala. Kiranya macam ni, diantara nak baca Meniti Maut atau basuh baju lepas balik kuliah, baik baca dulu. Tapi kalau novel saudara Ramlee, basuh baju dulu, hang mandi dulu,makan, kalau rasa nak rehat sekejap, silakan, pastu baru baca. Baru boleh tumpu perhatian.
Menikmati Meniti Maut juga membuatkan aku tak lepas dari membayangkan cerita-cerita novelis Tom Clancy yang terkenal dengan thriller-thriller ketenteraan (The Hunt for Red October, The Sum of All Fears). Tapi mamat ni tamak sungguh, bukan setakat novel, dia juga pembuat jalan cerita untuk game tembak-tembak (Rainbow Six, Ghost Recon, Splinter Cell). Aku sekarang sangat menanti-nantikan filem Splinter Cell yang akan keluar tak lama lagi, tapi aku rasa George Clooney sebagai Sam Fisher macam tak berapa sesuai la.



Kadang-kadang tu terbayang juga filem The Transporter lakonan Jason Statham bila membaca Meniti Maut. Drebar yang terpaksa melayan berbagai karenah pelanggannya.
Tapi saudara Eyman, saya suka gaya saudara! Kalau saudara selesa dengan gaya ni, tak payah diubah, amalkan saja. Lain novelis, lain la gaya penulisannya. Kepelbagaian ni membuatkan aku sentiasa menantikan karya-karya terbaru di pasaran. Tapi novel-novel cinta aku tak layan… Tak boleh pi… Aku pernah cuba baca satu novel cinta tu, macam paksa motor pancit jalan diatas tanah merah yang berlopak sana-sini, memang tak sesuai dengan jiwa aku. Novel seram juga aku tak minat langsung. Menambah perasaan takut aku kepada sesuatu yang tak perlu aku takutkan. Takut hanya kepada Allah yang Esa saja.


Setakat ni sajalah ulasan aku mengenai novel aksi Meniti Maut ni. Apa-apa pun, saudara Eyman Hykal, dirimu telah disenaraikan dalam senarai novelis kegemaran saya. Saya menanti-nantikan karya seterusnya dari saudara. Maafkan saya jika ada kata-kata yang menyinggung perasaan saudara.

Ekuinoks


EKUINOKS


Apakah Ekuinoks? Menurut Iskandar, watak utama novel saudara Azizi Ali ni, Ekuinoks adalah masa di mana matahari terletak betul-betul di atas khatulistiwa. Situasi ini hanya berlaku dua kali setahun – lebih kurang pada 20 Mac dan 23 September. Dan disebabkan matahari terletak betul-betul di atas khatulistiwa, waktu siang dan malam sama panjang di semua garisan latitud.

Ekuinoks mengisahkan mengenai Iskandar, seorang bekas peguam jenayah yang perlu menyelesaikan kes pembunuhan Dato Chin, suami kepada bekas kekasihnya, Brenda, yang mati dibunuh. Ekuinoks memang digarap dan digaul dengan baik dan kukuh. Ia juga mendebarkan walaupun tidak dikelaskan novel dalam genre apa-apa.

Tapi novel saudara Azizi Ali ni memang agak unik. Persoalan mengenai siapakah pembunuh sebenar Dato’ Chin tu benar-benar membuatkan tangan aku seperti digam ke buku tu bila baca. Tapi bila nak ke bilik air terpaksala aku lepaskan, kalau tak, kena batu karang pulak! Aku juga suka unsur-unsur aksi seni mempertahankan diri tae kwon do yang diterapkan di dalam novel ini walaupun aku tak mempelajarinya (aku belajaq silat). Aku teruja dengan babak pertarungan Iskandar dengan Lee di pengakhiran cerita. “Tak ada undang-undang, tak ada had, tak ada pengadil, dan tak ada apa yang tak boleh dibuat. Hari ini macam waktu perang dan tak ada keadilan di waktu perang. Semuanya boleh belaka.” Kata Master Sim.

Tapi yang aku terkejut, tak sangka rupa-rupanya ‘dia’ pembunuh sebenarnya. Patutlah polis pun boleh terlepas pandang. Siapa ‘dia’ tu? Iskandar? Bukan… Kena bacalah baru tau.

Keseluruhannya Ekuinoks memang memuaskan nafsu membaca aku. Bagi aku, gaya penulisan saudara Azizi Ali ni menarik juga. Aku letakkannya diantara Meniti Maut dan novel-novel saudara Ramlee. Sekali lagi aku tekankan di sini, aku suka kepelbagaian gaya penulisan para novelis dalam genre-genre sebegini. Tidak timbul isu gaya penulisan aku lebih baik dari engkau. Macam pelukislah.. macam-macam jenis stroke ada! Dan kita suka kepelbagaian stroke lukisan para pelukis itu

Keseluruhannya, Ekuinoks agak asli dalam penceritaannya. Sewaktu membacanya, otak aku tak dapat nak kaitkan dengan filem-filem atau apa-apa saja santapan visual yang pernah mata aku lihat atau novel-novel yang pernah aku baca. Hal ini mungkin kerana tragedi 13 Mei yang dikaitkan dengan jalan ceritanya di mana peristiwa gelap ini hanya berlaku di Malaysia dan tidak di tempat lain.

Untuk saudara Azizi Ali, saya ternanti-nantikan karya saudara yang seterusnya. Adakah ia sama hebat dengan Ekuinoks, atau lebih hebat.