Terasing. Sebuah karya Hilal Asyraf yang agak menarik untuk dihayati. Terasing mengisahkan mengenai Zaman, seorang sahabat yang rapat dengan Saifullah sejak dari zaman persekolahan lagi. Mereka bersahabat sehinggalah Zaman melanjutkan pelajarannya ke Jordan (tempat pengkarya menuntut). Ketika di zaman sekolah inilah, Zaman telah meminta Saifullah berjanji dengannya. andai dirinya tersasar jauh dari landasan hidup Islam yang sebenar, dia mahu Saifullah menarik dan membetulkan dirinya kembali.
Pola perhubungan dan persahabatan di antara Zaman dan Saifullah berubah dengan mendadak apabila Zaman telah mematikan semua sumber perhubungannya dengan Saifullah dan rakan-rakannya yang lain secara tiba-tiba tanpa sebarang alasan. Ini menghairankan Saifullah dan juga abang iparnya yang juga sahabat Zaman sejak dari sekolah lagi. Mereka berusaha juga menghubunginya dengan pelbagai cara, sama ada melalui e-mail mahupun telefon, tetapi tetap gagal.
Setelah agak lama mereka putus hubungan, Zaman tiba-tiba muncul kembali dihadapan dengan penampilan yang agak berbeza dari dulu, tetapi dia masih tetap baik, ramah, dan mesra seperti dahulu.
Tetapi.. disangkakan tak hujan sampai ke malam, rupa-rupanya hujan batu turun waktu petang. Kemanisan ukhwah mereka tidak berpanjangan setelah sekian lama tidak berjumpa. Saifullah dan abang iparnya tidak menjangka bahawa kemunculan Zaman secara tiba-tiba ini membawa sekali satu ujian yang sangat besar buat mereka. Apakah ujian yang besar itu? Baca baru tahu.
Penceritaan di dalam novel ini menggunakan sudut pandang watak pertama, iaitu Saifullah. Hilal Asyraf juga menyelitkan petikan-petikan hadis yang bersesuaian dengan suasana atau sesuatu babak itu. Bagiku Terasing agak menyentuh jiwa.
Aku meletakkan novel ini dalam genre debar (thriller). Di antara babak yang aku suka apabila Saifullah yang mahir dalam seni tempur dan juga salah seorang abang iparnya yang merupakan ketua SEG bertarung dengan dua orang pemimpin tertinggi kumpulan Homuradama di dalam asap yang dilepaskan oleh bom asap yang dilempar oleh salah seorang dari pemimpin Homuradama itu. Saifullah dan abang iparnya menggunakan ketajaman deria keenam mereka untuk mengesan, menjejak, menyerang dan mengelak dari serangan-serangan dua orang pemimpin Homuradama itu didalam kekaburan asap.
Salah seorang pemimpin Homuradama itu sangat mahir dalam menggunkan katana (pedang samurai) dan mereka berdua menggunakan alat pandang haba untuk mengesan pergerakan musuh-musuh mereka di dalam ketebalan asap itu. Membaca aksi ini membuatkan aku terbayang seketika misi The Only Easy Day Was Yesterday dalam Modern Warfare 2, di mana aku terpaksa menumpaskan pihak musuh di sebuah pelantar minyak, salah satu sub-misi yang aku kena lalui ialah bertempur dengan mereka di dalam kekaburan asap dari bom asap sambil menggunakan alat pandang haba. Misi yang agak sukar, dan mencabar.
Terasing juga disulami dengan kisah cinta dan adegan-adegan romantik yang halal (Takkan haram kot kalau dah kahwin). Tetapi kisah cintanya bukanlah seperti yang kita baca dalam novel-novel cinta lain yang berlambak-lambak di pasaran. Kisah cintanya mengajar kita apakah maksud cinta di antara dua insan dalam ertikata yang sebenarnya.
Ehem... kadang-kadang aku berasa segan dan malu-malu sendirian apabila membaca dan membayangkan adegan-adegan romantik di dalam Terasing. Beberapa kali menutup Terasing untuk menarik nafas dan menghilangkan perasaan segan dan malu-malu tersebut. Setelah sistem pernafasan aku kembali pulih, baru aku meneruskan pembacaan. Kadang-kadang terasa yang Terasing ini menyuruh aku kahwin cepat pulak. Huh.. ada dia suruh aku kahwin, jalan pun aku tak nampak lagi ni...
Kesimpulannya, tidak rugi aku melaburkan fulus aku untuk memiliki senaskhah Terasing ini. Memang mahsyuk, memang mendebarkan, dan yang paling penting, memang menginsafkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan