Isnin, 18 Mei 2009

Meniti Maut




Memang penuh aksi!! Dan mendebarkan! Meniti Maut memang cukup garam, sedap, dan lancar untuk dihadam berbanding penulisan Ramlee Awang Murshid. Novel-novel Ramlee juga sedap, tapi selalu juga tercekik tengah baca kerana jalan cerita yang agak berbelit dan rumit. Tidak mudah untuk meneka plot seterusnya. Tekaan aku sentiasa silap jika membaca novel-novel saudara Ramlee. Tapi aku suka kerumitan untuk memahami novelnya itu. Bagi aku, novelnya yang paling rumit untuk dihadam adalah Rahsia Perindu. Tetapi dalam banyak-banyak novelnya, satu saja novel yang aku dapat teka dengan tepat plotnya, Ungu Karmilla. Tak lama lepas Arif asyik bersin bila berdekatan dengan bunga tersebut, aku memang dapat agak bagaimana bunga Ungu Karmilla tu membunuh mangsa-mangsanya, iaitu dengan menggunakan proses pendebungaan yang boleh menghasilkan halusinasi kepada sesiapa yang menghidunya. Memang tekaan aku tepat! Oleh kerana tekaan aku tepat, kuranglah penghayatan untuk aku membaca Ungu Karmilla tu. Eh..eh!! Aku dah melalut!


Berbalik ke topik asal. Perencah-perencah yang digunakan oleh saudara Eyman cukup sesuai untuk digoreng dalam novel-novel sebegini. Pergaduhan, teknologi, komplot, lawak, dan aksi-aksi untuk golongan muda semuanya ada didalam Meniti Maut. Bagi aku, kelebihan saudara Eyman ialah penulisannyanya berjaya menjana neuron-neuron otak aku untuk membayangkan aksi-aksi dalam Meniti Maut dengan jelas! Aku paling suka babak Fariz bergumpal dengan Tobias di pondok sementaranya di rumah Tan Sri Daud. Pada masa yang sama aku terbayang babak pergaduhan Bourne dengan Desh dalam filem The Bourne Ultimatum. Memangla adegan bergelutnya tak sama, yang samanya ialah, siapa paling cepat dan bijak mengubah suasana persekitaran menjadi kelebihan diri, dialah yang menang! Di sini, kalah bererti maut! Bukan kalah balik kampung.


Masakan saudara Eyman agak ‘terus’. Maksudnya ‘straight forward’la! Jadi dalam masa kita melayan aksinya, kita juga tak berapa nak pening kepala. Kiranya macam ni, diantara nak baca Meniti Maut atau basuh baju lepas balik kuliah, baik baca dulu. Tapi kalau novel saudara Ramlee, basuh baju dulu, hang mandi dulu,makan, kalau rasa nak rehat sekejap, silakan, pastu baru baca. Baru boleh tumpu perhatian.
Menikmati Meniti Maut juga membuatkan aku tak lepas dari membayangkan cerita-cerita novelis Tom Clancy yang terkenal dengan thriller-thriller ketenteraan (The Hunt for Red October, The Sum of All Fears). Tapi mamat ni tamak sungguh, bukan setakat novel, dia juga pembuat jalan cerita untuk game tembak-tembak (Rainbow Six, Ghost Recon, Splinter Cell). Aku sekarang sangat menanti-nantikan filem Splinter Cell yang akan keluar tak lama lagi, tapi aku rasa George Clooney sebagai Sam Fisher macam tak berapa sesuai la.



Kadang-kadang tu terbayang juga filem The Transporter lakonan Jason Statham bila membaca Meniti Maut. Drebar yang terpaksa melayan berbagai karenah pelanggannya.
Tapi saudara Eyman, saya suka gaya saudara! Kalau saudara selesa dengan gaya ni, tak payah diubah, amalkan saja. Lain novelis, lain la gaya penulisannya. Kepelbagaian ni membuatkan aku sentiasa menantikan karya-karya terbaru di pasaran. Tapi novel-novel cinta aku tak layan… Tak boleh pi… Aku pernah cuba baca satu novel cinta tu, macam paksa motor pancit jalan diatas tanah merah yang berlopak sana-sini, memang tak sesuai dengan jiwa aku. Novel seram juga aku tak minat langsung. Menambah perasaan takut aku kepada sesuatu yang tak perlu aku takutkan. Takut hanya kepada Allah yang Esa saja.


Setakat ni sajalah ulasan aku mengenai novel aksi Meniti Maut ni. Apa-apa pun, saudara Eyman Hykal, dirimu telah disenaraikan dalam senarai novelis kegemaran saya. Saya menanti-nantikan karya seterusnya dari saudara. Maafkan saya jika ada kata-kata yang menyinggung perasaan saudara.

Ekuinoks


EKUINOKS


Apakah Ekuinoks? Menurut Iskandar, watak utama novel saudara Azizi Ali ni, Ekuinoks adalah masa di mana matahari terletak betul-betul di atas khatulistiwa. Situasi ini hanya berlaku dua kali setahun – lebih kurang pada 20 Mac dan 23 September. Dan disebabkan matahari terletak betul-betul di atas khatulistiwa, waktu siang dan malam sama panjang di semua garisan latitud.

Ekuinoks mengisahkan mengenai Iskandar, seorang bekas peguam jenayah yang perlu menyelesaikan kes pembunuhan Dato Chin, suami kepada bekas kekasihnya, Brenda, yang mati dibunuh. Ekuinoks memang digarap dan digaul dengan baik dan kukuh. Ia juga mendebarkan walaupun tidak dikelaskan novel dalam genre apa-apa.

Tapi novel saudara Azizi Ali ni memang agak unik. Persoalan mengenai siapakah pembunuh sebenar Dato’ Chin tu benar-benar membuatkan tangan aku seperti digam ke buku tu bila baca. Tapi bila nak ke bilik air terpaksala aku lepaskan, kalau tak, kena batu karang pulak! Aku juga suka unsur-unsur aksi seni mempertahankan diri tae kwon do yang diterapkan di dalam novel ini walaupun aku tak mempelajarinya (aku belajaq silat). Aku teruja dengan babak pertarungan Iskandar dengan Lee di pengakhiran cerita. “Tak ada undang-undang, tak ada had, tak ada pengadil, dan tak ada apa yang tak boleh dibuat. Hari ini macam waktu perang dan tak ada keadilan di waktu perang. Semuanya boleh belaka.” Kata Master Sim.

Tapi yang aku terkejut, tak sangka rupa-rupanya ‘dia’ pembunuh sebenarnya. Patutlah polis pun boleh terlepas pandang. Siapa ‘dia’ tu? Iskandar? Bukan… Kena bacalah baru tau.

Keseluruhannya Ekuinoks memang memuaskan nafsu membaca aku. Bagi aku, gaya penulisan saudara Azizi Ali ni menarik juga. Aku letakkannya diantara Meniti Maut dan novel-novel saudara Ramlee. Sekali lagi aku tekankan di sini, aku suka kepelbagaian gaya penulisan para novelis dalam genre-genre sebegini. Tidak timbul isu gaya penulisan aku lebih baik dari engkau. Macam pelukislah.. macam-macam jenis stroke ada! Dan kita suka kepelbagaian stroke lukisan para pelukis itu

Keseluruhannya, Ekuinoks agak asli dalam penceritaannya. Sewaktu membacanya, otak aku tak dapat nak kaitkan dengan filem-filem atau apa-apa saja santapan visual yang pernah mata aku lihat atau novel-novel yang pernah aku baca. Hal ini mungkin kerana tragedi 13 Mei yang dikaitkan dengan jalan ceritanya di mana peristiwa gelap ini hanya berlaku di Malaysia dan tidak di tempat lain.

Untuk saudara Azizi Ali, saya ternanti-nantikan karya saudara yang seterusnya. Adakah ia sama hebat dengan Ekuinoks, atau lebih hebat.