Isnin, 18 Mei 2009

Ekuinoks


EKUINOKS


Apakah Ekuinoks? Menurut Iskandar, watak utama novel saudara Azizi Ali ni, Ekuinoks adalah masa di mana matahari terletak betul-betul di atas khatulistiwa. Situasi ini hanya berlaku dua kali setahun – lebih kurang pada 20 Mac dan 23 September. Dan disebabkan matahari terletak betul-betul di atas khatulistiwa, waktu siang dan malam sama panjang di semua garisan latitud.

Ekuinoks mengisahkan mengenai Iskandar, seorang bekas peguam jenayah yang perlu menyelesaikan kes pembunuhan Dato Chin, suami kepada bekas kekasihnya, Brenda, yang mati dibunuh. Ekuinoks memang digarap dan digaul dengan baik dan kukuh. Ia juga mendebarkan walaupun tidak dikelaskan novel dalam genre apa-apa.

Tapi novel saudara Azizi Ali ni memang agak unik. Persoalan mengenai siapakah pembunuh sebenar Dato’ Chin tu benar-benar membuatkan tangan aku seperti digam ke buku tu bila baca. Tapi bila nak ke bilik air terpaksala aku lepaskan, kalau tak, kena batu karang pulak! Aku juga suka unsur-unsur aksi seni mempertahankan diri tae kwon do yang diterapkan di dalam novel ini walaupun aku tak mempelajarinya (aku belajaq silat). Aku teruja dengan babak pertarungan Iskandar dengan Lee di pengakhiran cerita. “Tak ada undang-undang, tak ada had, tak ada pengadil, dan tak ada apa yang tak boleh dibuat. Hari ini macam waktu perang dan tak ada keadilan di waktu perang. Semuanya boleh belaka.” Kata Master Sim.

Tapi yang aku terkejut, tak sangka rupa-rupanya ‘dia’ pembunuh sebenarnya. Patutlah polis pun boleh terlepas pandang. Siapa ‘dia’ tu? Iskandar? Bukan… Kena bacalah baru tau.

Keseluruhannya Ekuinoks memang memuaskan nafsu membaca aku. Bagi aku, gaya penulisan saudara Azizi Ali ni menarik juga. Aku letakkannya diantara Meniti Maut dan novel-novel saudara Ramlee. Sekali lagi aku tekankan di sini, aku suka kepelbagaian gaya penulisan para novelis dalam genre-genre sebegini. Tidak timbul isu gaya penulisan aku lebih baik dari engkau. Macam pelukislah.. macam-macam jenis stroke ada! Dan kita suka kepelbagaian stroke lukisan para pelukis itu

Keseluruhannya, Ekuinoks agak asli dalam penceritaannya. Sewaktu membacanya, otak aku tak dapat nak kaitkan dengan filem-filem atau apa-apa saja santapan visual yang pernah mata aku lihat atau novel-novel yang pernah aku baca. Hal ini mungkin kerana tragedi 13 Mei yang dikaitkan dengan jalan ceritanya di mana peristiwa gelap ini hanya berlaku di Malaysia dan tidak di tempat lain.

Untuk saudara Azizi Ali, saya ternanti-nantikan karya saudara yang seterusnya. Adakah ia sama hebat dengan Ekuinoks, atau lebih hebat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan