Jumaat, 17 Ogos 2012

TAKLIMAT DARI PRESIDEN MAJLIS ULAMA ROHINGYA (MUR) TENTANG RUSUHAN KAUM DI ARAKAN, MYANMAR



(Nota: Sejak meletusnya rusuhan kaum di Arakan (kini dikenali Rakhine State), Myanmar pada 3 Jun 2012 yang lalu Ustaz Mohd. Jaber bin Mohd. Subahan, Presiden, Majlis Ulama Rohingya (MUR) telah menerima banyak undangan daripada jawatankuasa masjid-masjid dan beberapa NGO terkemuka di sekitar Lembah Klang. Berikut ini adalah intipati penerangan yang disampaikan oleh beliau pada majlis-majlis berkenaan untuk bacaan dan makluman rakyat Malaysia khususnya)


1. LATARBELAKANG

1.1 Myanmar mempunyai penduduk seramai 57 juta ialah sebuah negara berbilang etnik, agama dan budaya (terdapat 137 etnik kesemuanya).

1.2 Masyarakat Rohingya beragama Islam dan agama Islam adalah agama kedua terbesar selepas Buddhist. Malah di tiga buah Bandar (Maungdaw, Buthidaung dan Akyab (Sittwe) di wilayah Rakhine (dahulunya Arakan) penduduk etnik Rakhine lebih kecil berbanding Rohingya.

1.3 Namun, etnik Rakhine mendapat pengiktirafan warganegara dan disokong pemerintah Myanmar – tidak disisihkan seperti Rohingya.

1.4 Masyarakat Rakhine dan penganut Buddhist serta pemerintah Myanmar tidak pernah menerima kehadiran Rohingya walaupun Rohingya yang dikenali sebagai Mujahidin turut sama memperjuangkan kemerdekaan pada tahun 1940.

1.5 Rohingya sudah lama bertapak di bumi Arakan sejak empat kurun dan turut memiliki raja-raja beragama Islam yang jadi pemerintah.

1.6 Persepsi masyarakat Buddhist dan pemerintah Myanmar bahawa Rohingya adalah ‘kaum pendatang’ dari keturunan Benggali – dibawa masuk oleh British untuk dijadikan buruh kasar. Kemudian mereka mendakwa kononnya penduduk Benggali menyeberangi sempadan dan memasuki Arakan beramai-ramai secara haram disebabkan kepadatan kependudukan di Bangladesh!

(Catatan: The United Nations describes Rohingyas as people who have descended from Arabs, Moors, Turks, Persians, Mughals and Pathans, in all likelihood, given their skin colour, language and lifestyle, the likelihood of them having descended from people who now constitute Bangladesh is fairly high. However, given the history of that part of the country — Chittagong was once part of the Arakan Kingdom — and while British rule in the subcontinent meant that people from Bengal travelled freely into what is now Myanmar and vice versa, such retracing of racial and geographical connection along the new maps of the world is rather futile. Rohingyas, like most other peoples and races of the world, are people who travelled to the Rakhine state hundred years ago for better livelihood and have since settled there…...”

1.7 Atas premis itulah pemerintah Myanmar sejak1942 dan etnik-etnik yang beragama Buddhist (termasuk Rakhine) menganggap Rohingya sebagai pendatang asing yang tidak sah dan tidak layak mendapat hak warganegara.

1.8 Pada 1982 pemerintah junta memperkenalkan undang-undang yang dinamakan ‘CITIZENSHIP LAW (1982)’ yang menafikan hak kewarganegaraan terhadap etnik Rohingya – Cuma 135 etnik diiktiraf oleh kerajaan sebagai warganegara.

1.9 Selama 50 tahun (sejak 1962), khususnya di bawah pemerintahan junta tentera – Rohingya mengalami penyisihan - tidak dilayan dengan adil dan tindakan-tindakan terhadap Rohingya langsung tidak berperikemanusiaan.

1.10 Rohingya dibenci, dihina dan didiskriminasi dalam pelbagai aspek kehidupan. Bermacam-macam halangan dan kekejaman dilakukan pemerintah terhadap masyarakat Rohingya seperti:-

- Pergerakan dari bandar ke bandar disekat

- Perkahwinan mesti mendapat kebenaran daripada pihak tentera
dan dikenakan bayaran

- Aktiviti keagamaan dilarang (dilarang membena masjid,madrasah,
menyembelih binatang qurban dsbnya)

- Cukai dikenakan secara arbitrari

- Tangkapan dibuat ikut suka hati

- Peras ugut

- Dijadikan buruh paksa (tanpa bayaran)

- Tanah masyarakat Rohingya dirampas dan penduduk dihalau dari kampong halaman (kemudian diduduki oleh masyarakat Buddhist)

- Rohingya tidak dibenar bekerja di pejabat kerajaan

- Rohingya tidak dibenar menjadi guru

- Rohingya disekat mendapat pendidikan tinggi

- Pengajian dan ibadah agama Islam dilarang – contohnya tidak boleh melaungkan azan, penyembelihan binatang korban

- Identiti Rohingya dipadamkan dalam buku sejarah - termasuk subjek sejarah yang diajar di sekolah

1.11 Akibatnya, Rohingya menjadi masyarakat yang tidak bernegara (stateless people) - tidak ada sebarang bentuk dokumentasi pengenalan diri seperti sijil kelahiran dan kad pengenalan.

1.12 Tidak tahan dengan kekejaman yang dilakukan lebih 1.5 juta masyarakat Rohingya telah meninggalkan tanah air untuk menjadi masyarakat pelarian di negara-negara jiran (termasuk Saudi Arabia dan negara-negara lain di Timur Tengah, Pakistan, Thailand, Australia dan Malaysia).

1.13 Pelarian yang paling ramai tinggal di Bangladesh, dianggarkan 1 juta - tinggal di kem-kem pelarian yang disediakan oleh UNHCR –dianggarkan lebih 100,000 ribu pelarian lagi yang terbiar tidak di bawah jagaan agensi antarabangsa.

1.14 Di Malaysia, pelarian Rohingya mula tiba pada tahun 1989 dan jumlahnya kini dianggarkan seramai 30,000.

1.15 Rohingya secara keseluruhannya adalah masyarakat yang paling miskin dan daif – bukan sahaja tidak berilmu malah disekat dari menjalankan aktiviti ekonomi. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan bahawa etnik Rohingya adalah golongan minoriti yang paling teruk di tindas di dunia berbanding dengan kaum minoriti di negara-negara lain.


2. RUSUHAN TERHADAP MASYARAKAT ROHINGYA – SEBAHAGIAN DARI DASAR PEMBERSIHAN ETNIK (ETHNIC CLEANSING)

2.1 Punca rusuhan kaum ini amat kompleks dan pelbagai – telah berakar umbi dalam dasar diskriminasi dan institusi perkauman yang dikenakan terhadap masyarakat Rohingya di Arakan oleh pemerintah sejak 1942.

2.2 Rusuhan yang bermula pada 3 Jun 2012 bukan kali pertama. Sebelum itu berlaku beberapa rusuhan yang besar terhadap orang Islam -1942, 1962, 1978, 1988, 1994, 2000 dan yang terakhir awal Jun 2012. Sejak 1942 hingga sekarang beratus-ribu Rohingya telah dibunuh dengan kejam.

2.3 Pemerintah merahsiakan jumlah korban sebenar dan maklumat tentang keadaan diskriminasi diputarbelitkan serta dikawal rapi oleh media pemerintah. Lazimnya, pihak media dan kerajaan melaporkan bahawa masyarakat Rakhine yang ramai menjadi mangsa, dan melabel Rohingya sebagai pengganas yang melakukan provokasi; walhal keadaan sebenar adalah sebaliknya.

2.4 Setiap rusuhan dirancang begitu sistematik bertujuan menghapuskan etnik Rohingya dari wilayah Rakhine dan juga mendiskriminasi agama Islam. Bila berlaku rusuhan ramai Rohingya yang dibunuh dan disiksa. Untuk menyelamatkan nyawa mereka rela menjadi pelarian.

2.5 Jenayah Rakhine ini melibatkan juga polis tempatan (hlooh tien) dan tentera yang kesemuanya terdiri dari masyarakat Buddhist.

2.6 Malah kerajaan pro-demokrasi yang baru dibentuk (pimpinan Thien Sien) dan Pemenang Anugerah Nobel, Aung San Su Kyi juga tidak berani mengecam tindakan pelampau penganut Buddhist. Mereka takut untuk memberi keadilan kepada masyarakat Rohingya kerana secara realitinya mereka adalah pemimpin kepada rakyat Myanmar yang majoriti beragama Buddhist. Mereka turut mengesahkan dasar-dasar yang diwujudkan oleh pemerintah terdahulu atas kepentingan politik dan keselamatan nasional!

2.7 Wakil media antarabangsa sentiasa dikawal dan tidak dapat maklumat sebenar. Lazimnya, mereka memetik berita yang dipaparkan melalui saluran television dan surat khabar pemerintah (hanya akhir-akhir ini agensi berita antarabangsa hampir dapat mengesan berita yang berlaku di tempat-tempat kejadian).


3. RUSUHAN BULAN JUN 2012

3.1 Pada 3 Jun sepuluh (10) Muslim Myanmar diserang dan dibunuh oleh 200 pengganas Rakhine dalam sebuah bas yang membawa orang Muslim Myanmar dari satu majlis keagamaan di tempat pemeriksaan tentera di bandar Taungup, selatan Arakan.

3.2 Mereka dikatakan membalas dendam terhadap satu kes rogol dan bunuh gadis Rakhine yang kononnya dilakukan oleh pemuda Rohingya. Sebenarnya perbuatan itu bukan dilakukan oleh orang Rohingya!

3.3 Bagi menjustifikasikan juga jenayah itu perbuatan orang Rohingya pihak berkuasa telah menjatuhkan hukuman bunuh kepada 2 lelaki Rohingya yang tersalah tuduh itu.

3.4 Puak ekstrimis Rakhine mengganas dan membunuh warga Rohingya di Bandar-bandar Sittwe (Akyab), Buthidaung dan Maungdaw. Kemudian merebak ke kampong-kampong – membunuh, membakar rumah dan merompak harta benda. Ada juga berita yang menyebut penghuni tidak sempat melarikan diri dan dibakar hidup-hidup. Ramai wanita dan anak gadis Rohingya dirogol dan dibunuh oleh pengganas Rakhine dan anggota polis/ tentera – satu perbuatan kebinatangan yang lazimnya dilakukan oleh manusia yang tidak bertamadun.

3.5 Mayat mangsa segera dibawa lari ke tempat rahsia untuk dibakar/ditanam bagi mengelakkan perkara sebenar diketahui oleh dunia luar. Angka korban masyarakat Rohingya dilaporkan sedikit berbanding mangsa etnik Rakhine oleh media pemerintah. Media kerajaan juga memaparkan berita masyarakat Rakhine yang ramai terkorban dan terpaksa berlindung di kuil-kuil dan sekolah-sekolah di bawah kawalan ketat polis dan tentera. Manakala Rohingya dituduh sebagai pengganas dan pembunuh.

3.6 Pelbagai tektik digunakan bagi memburukkan imej Rohingya untuk menaikan kemarahan amat sangat masyarakat Buddhist – mayat mangsa Rohingya yang dibunuh dibotakkan dan dipakaikan ala-sami Buddha untuk meuwar-uwarkan bahawa orang Rohingyalah yang melakukan kekejaman dan membunuh sami-sami.

3.7 Keganasan pihak Rakhine yang dibantu polis dan tentera menyebabkan penduduk Rohingya lari sehelai sepinggang ke kampong-kampong di bahagian pendalaman.

3.8 Beribu-ribu warga Rohingya cuba memasuki sempadan - malangnya disekat oleh pengawal keselamatan Bangladesh yang tidak membenarkan mereka masuk lalu mengusir mereka balik ke Myanmar untuk dimamah oleh pengganas Rakhine.

3.9 Pihak tentera Myanmar yang dihantar kerajaan pusat untuk mengawal dan menghentikan rusuhan bersifat berat sebelah. Curfews yang diadakan hanya melarang masyarakat Rohingya keluar dari kawasan mereka berlindung. Mereka dikepung oleh tentera dan polis di setiap penjuru termasuk kawalan anggota navy di persisir pantai.

3.10 Larangan perintah berkurung itu tidak dikenakan kepada masyarakat Rakhine. Keadaan sedemikian memberi kebebasan kepada pengganas Rakhine membunuh, merompak dan membakar perkampungan Rohingya – yang dibantu secara aktif oleh anggota tentera dan polis tempatan – yang kesemuanya berbangsa Rakhine. Tentera Rakhine juga memasuki kem-kem perlindungan mangsa Rohingya – menangkap dan membawa keluar pemuda-pemuda (termasuk belasan tahun) ke tempat yang tidak diketahui. Nasib mereka tidak diketahui!

3.11 Media antarabangsa disekat untuk mendapatkan berita sebenarnya. Pada awal-awal rusuhan, agensi-agensi berita antarabangsa cuma memetik dan mengesahkan apa yang dipaparkan melalui television dan suratkhabar kerajaan (akhir-akhir ini barulah berita berwibawa disiarkan)

3.12 Sejak meletusnya rusuhan pada 3 Jun dianggarkan 30,000 rumah masyarakat Rohingya dibakar (termasuk banyak masjid dan madrasah) dan lebih 150,000 kehilangan tempat tinggal di bandar-bandar Akyab ( Sittwe), Maungdaw, Rathedaung dan Kyauktaw.

4. KEMASUKAN BANTUAN KEMANUSIAAN
4.1 Bantuan kemanusiaan yang membawa makanan, air bersih, ubat-ubatan, khemah dan keperluan hidup dari agensi kemanusiaan antarabangtsa (seperti Agensi Makanan PBB, Red Cross dll) sudah mula masuk ke Myanmar.

4.2 Dari laporan yang diterima, pegawai dan sukarelawan agensi berkenaan tidak dapat mengagihkan terus bantuan kepada mangsa dari masyarakat Rohingya. Disebaliknya, mereka diiringi oleh pihak tentera yang membawa mereka terus ke kem-kem perlindungan masyarakat Rakhine.


5. CARA PENGHANTARAN BANTUAN DENGAN SELAMAT KEPADA MANGSA ROHINGYA

5.1 Pimpinan MUR menerima panggilan telefon setiap masa dari saudara-mara dan rakan-rakan yang berada di tempat-tempat perlindungan di Arakan memberitahu tentang keadaan penderitaan mereka di sana dan merayu agar kami dapat menyelaraskan bantuan daripada Muslimin dan Muslimat di Malaysia untuk dihantar kepada mereka.

5.2 Pimpinan MUR tidak putus hubungan dan masih mempunyai networking dengan tokoh aktivis dan sukarelawan Muslim berwibawa yang tinggal di bandar Rangon. Pihak MUR bersedia membantu menyelaraskan penerimaan sumbangan daripada penderma masyarakat Malaysia dan menghantar terus kepada mereka.


5.3 Para aktivis dan sukarelawan Muslim yang dimaksudkan itu mempunyai cara-cara dan dayaikhtiar yang tinggi untuk mempastikan bantuan kemanusiaan dari orang ramai (khususnya rakyat Malaysia) sampai kepada mangsa Rohingya yang pada masa ini benar-benar berada dalam kesusahan.

5.4 Pihak MUR menerima laporan bahawa akhir-akhir ini ramai mangsa Rohingya yang terkorban bukan disebabkan kena bunuh – mereka mati disebabkan kebuluran dan yang sakit tidak menerima bantuan perubatan.


6. PENGHAPUSAN ETNIK

Rusuhan, pengusiran, pelbagai diskriminasi dan sekatan hidup terhadap masyarakat Rohingya seperti yang berlaku sejak 70 tahun yang lalu adalah satu skim kerajaan yang terancang dan sistematik untuk menghalau Rohingya dari bumi Rakhine yang diterajui oleh ‘state terrorists’.


7. PENYELESAIAN KONFLIK (satu cadangan)

7.1 Kerajaan Myanmar sejak dari dahulu tidak adil, tidak ikhlas dan tidak bersungguh mahu menyelesaikan konflik ini.

7.2 Pemerintah sentiasa mencetus pelbagai cara bersistematik untuk melaksanakan dasar pembersihan etnik (ethnic cleansing)

7.3 PBB, ASEAN, European_Union (EU) perlu campur tangan untuk menghentikan pembersihan etnik (Ethnic Cleansing) dan keganasan agama (Religious Violence) terhadap orang Rohingya.

7.4 Krisis di Rakhine ini memerlukan keikhlasan, komitmen dan kesungguhan daripada kerajaan baru Myanmar bagi mencari punca sebenar, seterusnya menyelesaikannya segera dan untuk selama-lamanya.

7.5 Isu utama – Citizenship Law (1982) perlu dimansuhkan – masyarakat Rohingya mesti diiktiraf sebagai warganegara.

7.6 Aung San Su Kyi perlu mainkan peranan yang lebih jujur dan komited untuk mendapat masyarakat antarabangsa serta bertegas dengan kerajaan di Rangon, sepadan dengan anugerah Hadiah Nobel yang diterimanya yang melambangkan keamanan, kebebasan dan pejuang hak asasi manusia menentang kerajaan Myanmar yang zalim.

7.7 NGO-NGO Islam diminta mengatur banyak persidangan di peringkat serantau dan antarabangsa untuk membincangkan isu masyarakat pelarian dan pencabulan hak asasi manusia di Myanmar serta mencari resolusi konflik.

7.8 NGO-NGO Muslim terkemuka di Malaysia disaran menganjurkan dialog peradaban (civilizational dialogue) antara tokoh-tokoh agamawan dan ilmuan tersohor kedua agama (Islam dan Buddhist -dengan mengundang sama tokoh-tokoh terkemuka agama Buddhist di Myanmar) yang bertujuan untuk mendidik masyarakat Buddhist dan Islam di Myanmar khususnya supaya menghormati satu sama lain serta menghentikan kezaliman seperti mana yang didokong dalam ajaran agama masing-masing.

7.9 NGO-NGO Muslim di seluruh dunia perlu menggerakkan kempen serta melobi di peringkat ASEAN, European_Union (EU) dan PBB supaya menekan junta Myanmar menghormati Human Rights serta mengiktiraf Rohingya sebagai rakyat Myanmar yang sah.

Sumber: Sini

______________________________________________

Serius! Aku tak rasa nak raya tahun ni.

Ahad, 12 Ogos 2012

Takdir


Takdir. Apakah itu takdir? Novel Hilal Asyraf? Oh, bukan Takdir yang itu. Walaupun Takdir itu sangat menakjubkan, tetapi takdir yang hendak aku ceritakan ini adalah dari sudut pemahaman aku sebagai manusia jahil terhadap apa itu Takdir. Hmm.. sudah lama rasanya label Cetusan Neuron aku ini kontang dari sebarang entri. Baik, saya akan menyuburkannya kembali dengan entri Takdir ini.

Sebenarnya saya teringin sangat mahu mengulas Takdir Hilal Asyraf itu, tetapi masih belum kecukupan masa untuk itu lantaran mehnah hidup yang seringkali melintang di hadapan yang sekaligus membantutkan kekreatifan aku dalam mencoretkan sewarkah cetusan tentangnya. Begitu juga dengan Duyung Pulau Kenchana, maaf ya saudara Masdaliafadzlie. Warkah Duyung akan dihampar tidak lama lagi. Walauapapun, Cempaka Suri tetap di hati.. Echeeeh.. Tetapi, mahkotanya seperti dicabar pula oleh Dahlia Desa. Oh, mana satu pilihanku ini?

Takdir menurut pemahaman aku adalah satu kewujudan ketentuan nasib yang telah dirangka rapi oleh Allah S.W.T untuk kita. Untuk apa pula takdir itu diwujudkan? Ia diwujudkan untuk menjadikan dunia ini lebih bewarna-warni. Jangan disalah faham pula maksud warna-warni itu di sini. Yang dimaksudkan Takdir itu menjadikan dunia bewarna-warni ialah, ia membolehkan kita mendapat pahala dari ketentuan Takdir yang telah ditakdirkan oleh Allah terhadap kita. Contoh, Takdir telah menjadikan Abdul Rahman Bin Auf seorang manusia yang kaya, maka dia dapat berbuat banyak pahala dengan berbuat kebajikan kepada manusia-manusia yang telah ditakdirkan miskin.  Manusia miskin juga dapat pahala dengan takdirnya apabila dia bersifat sabar dan redha dengan kemiskinannya.

Jadi Takdir diwujudkan oleh Allah untuk kebaikkan manusia juga. Jadi hendaklah kita redha dengan Takdir yang telah ditetapkan oleh Allah itu walaupun kita tidak menyukainya. Jika dibincangkan tentang Takdir, ia akan mesti bersangkutan dengan soal Qada' dan Qadar. Eh, Takdir tu Qada' dan Qadar la kan?

Pengalaman telah banyak mendedahkan aku tentang betapa berkuasanya kuasa Takdir ini. Sebagai contoh, semasa bersekolah rendah dahulu aku ada seorang kenalan yang muda setahun dari aku. Memang aku tidak rapat dengan beliau dan beliau juga tidak rapat dengan aku. Sekadar bertegur sapa gitu-gitu sahaja. Walaupun bersekolah menengah di sekolah yang sama, masih juga buat-buat tak gheti (cakap Kedah sikit no).

Namun siapa sangka apabila aku mula menjejakkan kaki ke alam pekerjaan, aku tinggal di rumah sewa sekali dengan beliau di satu negeri yang jauh dari kampung kami. Dan tiba-tiba sahaja jadi kamceng semacam. Malahan aku siap menolong beliau dalam urusan mencari jodoh lagi, dan berjaya pulak tu??!

Sewaktu di sekolah rendah dulu juga aku mempunyai dua-tiga orang sahabat yang rapat. Sangat rapat sehingga aku sudah biasa tidur di rumah mereka dan mereka tidur di rumah aku. Namun, semakin diriku beranjak dewasa, semakin renggang pula hubungan dengan mereka itu sehingga satu tahap menjadi agak janggal untuk bersembang dengan mereka.

Takdir juga telah melahirkan aku dalam sebuah keluarga yang serba kekurangan dan juga menghadiahkan aku seorang ayah yang sangat garang. Kanak-kanak mana yang tidak terngiur melihat rakan-rakan yang berada mempunyai peralatan-peralatan permainan yang canggih-canggih dan mahal. Kehidupan yang serba kekurangan ini juga membuatkan masakan sedap-sedap yang kami makan itu sangat boleh dihitung dengan jari sahaja dalam setahun.

Tetapi ada sebab Allah S.W.T telah memberi aku Takdir yang sebegitu. Sinaran hikmahnya terbias ke mata aku apabila baligh mula dicapai umur. Ayah yang garang itu telah berjaya menyebabkan aku mengkhatam Al-Quran dengan bertajwid sewaktu aku darjah tiga. Pada masa itu, aku tidak rasa apa-apa pun. Namun difikir-fikir balik, itu satu perkara yang luar biasa bagi aku. Kehidupan serba kekurangan ini juga menyebabkan semua makanan yang masuk ke dalam perut aku aku adalah dari sumber yang bersih dan sihat kerana ibuku sendiri yang memasaknya. Ibu dan bapa aku cukup pantang aku makan makanan ringan dan air gas. Cuma dah besar-besar ni baru nak rasa. Takdir serba kekurangan ini juga menyebabkan idea kreatif aku menjadi lebih berkembang. Seingat aku, sewaktu umur aku darjah dua aku sudah memaku dan menggergaji.

Selain itu Takdir juga telah banyak menemukan aku dengan manusia-manusia yang pada ketika dahulu aku tidak bermimpi langsung untuk berjumpa dan bersembang dengan mereka.

Anda lihat! Kuasa Takdir itu sangat besar!! Ia sangat besar! Jika anda merancang hendak balik ke kampung pada Aidilfiri kali ini dengan membeli tiket bas pada tarikh 16/8/2012 ini, anda tidak akan dapat balik jika Takdir menyuruh anda beraya di kampus anda.

Takdir juga menjadikan kita hensem atau cun. Takdir juga menjadikan kita tak hensem atau tak cun. Takdir menjadikan kita kuat, takdir menjadikan kita lemah. Takdir menjadikan kita pemimpin, Takdir juga menjadikan kita hamba. Kuasa Takdir itu besar! Jangan anda tahu anda itu tak hensem (aku la tu), tapi anda cuba berlagak hensem. Hodoh jadinya. Anda tak hensem, buat cara tak hensem. Jangan buat perangai yang menambah lagi ketidak-henseman anda itu. Sebagai contoh anda tak hensem, anda jangan pergi mencuri, melepak tak tentu hala, mengorat tak tentu hala, malas bekerja, hodoh kelaku! (perangai bahasa Kedah) Perangai-perangai ini akan menjadikan ketidak-henseman anda itu menjadi lebih buruk.

Anda tak hensem, anda hiaskan ketidak-henseman anda itu dengan akhlak yang baik, sifat-sifat mahmudah. Banyakkan amal ibadat. Sesungguhnya orang yang tak hensem yang ikhlas dan redha dengan Takdirnya itu lebih hensem di sisi Allah S.W.T berbanding lelaki hensem yang playboy.

Bebalik ke tajuk utama, Takdir juga berupaya untuk menjadikan seorang manusia yang paling jahat dalam dunia itu menjadi seorang hamba Allah yang paling dicintai-NYA. Takdir juga berupaya merubah seorang yang muslim yang warak menjadi alpa, ingat kisah Tsa'labah?

Anda lihat! Kuasa Takdir itu sangat besar! Ia sangat besar!! Jadi kenapa kita tidak gunakan kuasa Takdir yang besar ini untuk kebaikkan diri kita? Untuk kebaikkan keluarga kita? Untuk kebaikkan sahabat-sahabat kita. Adakah kita boleh memanipulasi kuasa Takdir? YA! Kita boleh! Bagaimana?

Sebagai contoh, anda membeli rumah dari satu pemaju. Sewaktu anda melihat-lihat rumah yang hendak disiapkan itu, anda ada idea untuk mengubahsuai sedikit rumah tersebut. Anda tidak ada kuasa untuk merubah rumah itu, tetapi anda ada kuasa untuk mengusulkan permohonan kepada pemaju. Pemaju mempunyai kuasa untuk mengubahsuai rumah itu.

Sama juga dengan merubah Takdir, kita tidak berkuasa merubah Takdir, tetapi kita berupaya untuk berdoa! Berdoa itukan senjata kita? Jadi bermohonlah kepada Allah agar dikurniakan Takdir yang terbaik untuk diri kita, untuk ibu bapa kita, untuk sahabat-sahabat kita, dan seluruh umat  Islam sedunia. sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui.

Rabu, 8 Ogos 2012

The Legend Of Korra


THE LEGEND OF KORRA

Beberapa tahun lepas, Avatar – The Last Airbender telah menggemparkan dunia animasi global dengan satu saga yang sangat bombastik dan juga luar imaginasi! Ia mempunyai 61 episod yang terbahagi kepada tiga bahagian, Book 1 (Water), Book 2 (Earth) dan Book 3 (Fire). Avatar mengisahkan sebuah dunia fantasi di mana dunia ini terbahagi kepada empat benua. Benua Air, Benua tanah, benua Angin, dan benua Api.

Di dalam dunia ini terdapat manusia-manusia yang boleh menguasai unsur Tanah, Api, Air dan Angin. Ia bergantung kepada puak mana dia dilahirkan atau keturunannya. Mereka ini dipanggil Bender atau dalam bahasa kita pelentur. Di dalam saga The Last Airbender, ia mengisahkan berkenaan Negara Api yang telah menjajah negara-negara lain. Di dalam kempennya itu, Negara Angin telah dimusnahkan seratus-peratus, dan hanya Ang seorang sahaja yang terselamat dalam serangan Negara Api itu.

Pada masa ini, Negara Api dipimpin oleh Lord Ozai yang sangat gila kuasa! Ang pula telah ditakdirkan menjadi nemesis kepada Ozai kerana dia seorang Avatar. Avatar ini kononnya merupakan penyelamat yang hanya ada satu sahaja dalam satu zaman. Seorang Avatar boleh menguasai keempat-empat jenis unsur tersebut. Ang telah bertemu dengan Katara seorang gadis pelentur air, Sokka abang Katara yang sengal, dan Toph seorang gadis buta dari pelentur tanah. Mereka bersama-sama Ang mengembara ke serata tempat dalam misi menghentikan kekejaman Negara Api dan juga Lord Ozai. Di belakangnya, Zukko yang merupakan anak kepada Lord Ozai sentiasa memburu Ang demi membuktikan kebolehannya kepada ayahnya yang sering memandang rendah terhadap dirinya berbanding  Azula, adik perempuannya yang kejam.

Pengembaraan mereka berakhir dalam empat episod terakhir yang lebih dikenali dikalangan peminat sebagai episod ‘The Sozins Comet’. The Sozins Comet menceritakan bagaimana kedatangan komet Sozin yang akan melalui ruang angkasa bumi buat beberapa ketika. Fenomena ini diambil peluang oleh Lord Ozai untuk menjalankan kempen memusnahkan Negara Tanah secara total! Ini kerana kedatangan  komet Sozin akan memberi ahli-ahli  Fire Bender lebih kuasa dalam menghasil dan melentur api.



Mereka telah melancarkan serangan dari beberapa buah kapal udara dan menyerang Negara Tanah di bawah dengan gabungan kuasa api yang sangat dahsyat!! Serangan ke atas Negara Tanah itu diketuai sendiri oleh Lord Ozai. Besarnya serangan api itu menyebabkan Toph yang buta itu juga dapat merasai kedahsyatannya.

Namun Ang, Toph dan Sokka telah menghentikan serangan tersebut di pertengahan jalan. Ang akhirnya bertempur hebat dengan Lord Ozai di situ juga. Walaupun Ang boleh menguasai keempat-empat unsur alam tersebut, namun Lord Ozai juga pada ketika itu sangat kuat kerana dia menyerap kuasa dari Komet Sozin yang sedang melintasi ruang udara bumi pada ketika itu. Ozai cuba menghabiskan Ang secepat yang mungkin sebelum Komet Sozin itu berlalu. Akhirnya, seperti biasa, hero mesti menang.


Avatar-The Last Airbender bagi aku bukanlah satu animasi yang sesuai untuk kanak-kanak walaupun ia ditayangkan di Nickelodeon (Nickelodeon pun banyak propaganda jugak). Ia sebuah animasi yang sangat idealistik, berat dan ada juga unsur-unsur yang berkaitan dengan agama. Hurm.. satu bentuk pendakyahan halus terhadap-hadap minda kanak-kanak dari Nickelodeon. Ah, siapa yang mengawal mereka kan?

Namun begitu, banyak juga nilai-nilai positif di sebalik nilai-nilai negatif yang ada dalam siri ini. Salah satu yang aku suka siri Avatar ini ialah, pengarah dan penerbitnya banyak memasukkan unsur-unsur Asia di dalamnya. Dari segi rekabentuk kostum pakaian, budaya, gerak tempur, nama-nama dan juga muzik sangat jelas ke Asia’annya walaupun ia dunia fantasi. Yang paling besar pengaruhnya ialah dari budaya Cina, kungfu semestinya sudah ada. Ini nampak jelas pada perwatakan orang-orang dari Negara Api. Cuba anda bayangkan pergerakan kung-fu yang digabungkan dengan teknik Fire Bending, sangat cantik aksi tempurnya.

Selain itu, ada budaya dan seni Arab. Kita dapat lihatnya pada episod ke-10 dalam book 2. Dalam episod ini senibina bangunan perpustakaan gergasi yang dimasuki Ang sangat jelas unsur senibina Asia tengahnya. Manakala Negara Air Utara dan Selatan pula berperwatakan Eskimo. Namun bagi sesiapa yang teliti, anda akan dapat nampak beberapa unsur Melayu dalam siri ini. Di antaranya nama Raja Negara Tanah adalah Bumi. Kedua terdapat satu koloni Negara Api berpakaian seperti orang peribumi Sarawak. Dan beberapa gerak tari tempur Earth Bender seakan-akan gerak silat.

Okay, habis sudah mukadimahnya. Sekarang baru aku nak bercerita sedikit tentang Avatar-Legend Of Korra. Baru sahaja selesai menghabiskan 12 episod dari Book 1 (Air). Saganya bermula pada zaman Tenzin, iaitu anak Ang dan Katara. Zaman ini menyaksikan dunia sudah aman damai selepas huru-hara besar yang dicetuskan oleh Lord Ozai lama dahulu. Tiada lagi penjajahan berlaku, pentadbiran kerajaan kini bukan lagi bercorak monarki, tetapi Republik. Para bender boleh beramah mesra sesama mereka. Tiada lagi permusuhan.

The Legend Of Korra mengisahkan perjalanan Korra, seorang gadis remaja yang datang dari Southern Water Tribe. Dia satu kampung dengan Katara. Sejak kecil Korra sudah menguasai tiga unsur, iaitu Air, Api, dan Tanah. Namun untuk melengkapkan dirinya menjadi seorang Avatar, dia perlu menguasai unsur angin yang dia masih belum kuasai. Tenzin telah dipilih untuk melatihnya teknik angin kerana Tenzin seorang pelentur angin. Lalu Korra pun berhijrah ke Republic City untuk berguru dengan Tenzin. Gambaran Republik City adalah apabila Negara China dengan budaya dan senibinanya digabungkan dengan Amerika Syarikat, maka anda akan dapat satu Bandar Washington versi Asia Timur. Sangat pelik dan sangat menarik.


Namun sikap Korra yang sambil lewa sangat memeningkan kepala Tenzin. Ditambah lagi dengan penyertaan Korra dalam kumpulan Fire Ferrets untuk bertanding dalam Kejohanan Pelentur Pro (Pro Bending Tournament. Melalui Fire Ferrets, Korra telah menemui Marko, seorang pemuda pelentur api. Mako mempunyai seorang adik lelaki yang sentiasa ceria. Namanya Bolin, seorang pelentur tanah. Korra juga berkenalan dengan seorang gadis kaya, Asami Sato. Asami ini adalah teman wanita kepada Mako.
Hurm.. jadi apa yang menariknya? Tiada krisis besar pun yang berlaku? Kata anda kepada saya.

Anda silap! Kali ini mereka menghadapi satu krisis besar yang berlaku di Republik City. Satu krisis yang tidak dicegah awal, ia akan menjadi barah kanser ke seluruh dunia. Para pelentur (bender) ini juga tidak menyangkakan yang ancaman kali ini bukan datang dari kalangan mereka seperti Lord Ozai dahulu. Ia datang dari orang biasa yang tidak mempunyai keupayaan bending langsung. Pencetus huru-hara ini dipanggil Equalist. Perjuangan Equalist adalah menghapuskan semua keupayaan bending yang ada. Bagi mereka, element-bending adalah satu bahaya yang boleh membawa kepada peperangan dan penindasan.  

Matlamat Equalist adalah semua manusia sama. Tiada keupayaan element-bending. Ia diketuai oleh Amon, seseorang yang telah ditindas oleh fire-bender. Tetapi yang menakutkan bagi para bender tentang Amon ini ialah, dia boleh menghilangkan keupayaan bending seseorang bender secara kekal. Seperti yang Ang lakukan kepada Lord Ozai.

Selesai menghabiskan Book 1, apa yang aku boleh katakan ialah, WOW! FOUR THUMBS UP!! Tak puas aku tonton sekali. Siri Avatar terbaru ini lebih matang, lebih halus animasinya, lebih idealistik! Namun yang paling penting, AKSI PERTARUNGAN YANG LEBIH BOMBASTIK!!

Seawal episod 1 lagi Korra telah menyajikan gerak tempur yang cukup mengagumkan dihadapan kumpulan The White Lotus. Pertarungannya dengan Mei Bayfong, iaitu anak Toph juga sangat spektakular ketika Korra baru tiba ke Republik City. Lin Bayfong merupakan seorang Metalbender (pelentur besi. Teknik metalbending ini diasaskan oleh ibunya, Toph). Selain itu pertarungan kejuaraan Pro Bending juga dibuat dengan teliti dan kemas!  Ia ada undang-undangnya sendiri. Satu kumpulan memerlukan seorang pelentur api, pelentur air, dan pelentur tanah. Lalu mereka akan bertarung  dengan kumpulan lawan dengan mengasak mereka ke penjuru gelanggang. Permainannya sedikit nak sama dengan ragbi.

Namun, yang paling menggemparkan ialah kumpulan Equalist itu sendiri. Bagaimana mereka yang tidak mempunyai keupayaan melentur mengatasi bahaya serangan para element-bender. Allah menciptakan akal, setiap jalan pasti ada penyelesaiannya. Oleh kerana tiada keupayaan bending, mereka telah mencipta satu sut yang kalis kepada api. Mereka juga mencipta sejenis sarung tangan yang pelumpuh untuk melumpuhkan para bender. Di samping itu, mereka juga mengasah diri mereka dengan kemahiran tempur yang dinamakan Chi Blockers Technique bagi mengatasi serangan element-bender.

Selain aksi tempur yang mengagumkan, Legend Of Korra juga menyajikan anda dengan runut bunyi yang hebat. Paduan unsur-unsur muzik Asia dengan sedikit pengaruh muzik barat menjadikan setiap babak dalam Legend Of Korra itu sangat ekspresif. Apatah lagi runut muzik ketika aksi pertempuran, ia benar-benar menjadikan Legend Of Korra ini bukan lagi sebuah animasi yang boleh dianggap budak tadika (sebenarnya The Last Airbender pun dah bukan untuk budak tadika). Aku berkata begini kerana majoriti akan cuba membandingkannya dengan anime-anime dari Jepun.  Selain itu, mimik muka setiap watak-wataknya sangat kena dengan gelagat dan perwatakan mereka. Ya!! Memang sangat ekspresif! Maaf cakap, aku rasa wataknya nampak lebih hidup dari sebahagian besar anime dari Jepun.

Untuk pengetahuan semua yang belum tahu, yang sudah tahu buat-buat tak tahu saja lah ya. Siri animasi Avatar ini dihasilkan oleh studio dari Korea, bukan Jepun ya. Bagi sesiapa yang gila animasi macam aku pasti akan nampak perbezaan diantara blending animasi Korea dan Jepun.

Satu hal lagi yang buat aku menggemari siri Avatar ini ialah, bagaimana dia mempamerkan kerjasama di antara rakan-rakan dalam mencari penyelesaian masalah. Ia mengajar kita walau sebagus mana kita ini, kita tetap memerlukan di antara satu sama lain. Janganlah kita mengaggap diri kita sudah kuat, atau kaya, atau berpengaruh besar, atau berpangkat, atau ke semuanya sekali, atau….. atau apa lagi??! kata anda kepada saya. Maaf. Anda jangan harap anda boleh mengharungi kehidupan ini secara berseorangan. Rasulullah SAW sendiri mempunyai teman dalam perjuangan baginda.

Kesimpulannya, Legend Of Korra telah melepasi harapan tinggi yang telah aku letakkan ketika aku mengetahui projek animasi ini akan dilaksanakan. Malah sesetengah sisi, ia sangat jauh melepasi harapan aku, dan tidak terfikir. Serius cakap, baik anda layan siri Avatar ini dari anda layan Merong Mahawangsa KRU!!

OH YA! Aku terlupa satu perkara, aku terjumpa lagi sedikit unsur Melayu dalam siri Legend Of Korra ini. Pertama ialah nama anjing polar Korra adalah Naga. Kedua Korra menggunakan teknik cindai yang hampir sama dengan teknik Silat Gayung ketika berlawan dengan seorang pengawal keselamatan Equalist.  

Huih..! panjang  juga ulasan aku kali ini.  All right! Bagi mengakhiri coretan-karutan kali ini, mari kita layan trailer The Legend Korra. Yeah! ....(Ehem..Aku rasa Korra ni comellah..)




Khamis, 2 Ogos 2012

Lagu-lagu yang wajib aku dengaq

Di bawah ini merupakan lagu-lagu Ramadhan yang banyak memberi aku kenangan yang tidak akan dapat diraih kembali. Lagu-lagu ini banyak mengaitkan aku dengan orang-orang kesayangan aku yang telah meninggal dunia.

Lagu-lagu ini juga sangat menyentuh jiwa aku tidak kira bila-bila aku dengar.