Rabu, 8 Ogos 2012

The Legend Of Korra


THE LEGEND OF KORRA

Beberapa tahun lepas, Avatar – The Last Airbender telah menggemparkan dunia animasi global dengan satu saga yang sangat bombastik dan juga luar imaginasi! Ia mempunyai 61 episod yang terbahagi kepada tiga bahagian, Book 1 (Water), Book 2 (Earth) dan Book 3 (Fire). Avatar mengisahkan sebuah dunia fantasi di mana dunia ini terbahagi kepada empat benua. Benua Air, Benua tanah, benua Angin, dan benua Api.

Di dalam dunia ini terdapat manusia-manusia yang boleh menguasai unsur Tanah, Api, Air dan Angin. Ia bergantung kepada puak mana dia dilahirkan atau keturunannya. Mereka ini dipanggil Bender atau dalam bahasa kita pelentur. Di dalam saga The Last Airbender, ia mengisahkan berkenaan Negara Api yang telah menjajah negara-negara lain. Di dalam kempennya itu, Negara Angin telah dimusnahkan seratus-peratus, dan hanya Ang seorang sahaja yang terselamat dalam serangan Negara Api itu.

Pada masa ini, Negara Api dipimpin oleh Lord Ozai yang sangat gila kuasa! Ang pula telah ditakdirkan menjadi nemesis kepada Ozai kerana dia seorang Avatar. Avatar ini kononnya merupakan penyelamat yang hanya ada satu sahaja dalam satu zaman. Seorang Avatar boleh menguasai keempat-empat jenis unsur tersebut. Ang telah bertemu dengan Katara seorang gadis pelentur air, Sokka abang Katara yang sengal, dan Toph seorang gadis buta dari pelentur tanah. Mereka bersama-sama Ang mengembara ke serata tempat dalam misi menghentikan kekejaman Negara Api dan juga Lord Ozai. Di belakangnya, Zukko yang merupakan anak kepada Lord Ozai sentiasa memburu Ang demi membuktikan kebolehannya kepada ayahnya yang sering memandang rendah terhadap dirinya berbanding  Azula, adik perempuannya yang kejam.

Pengembaraan mereka berakhir dalam empat episod terakhir yang lebih dikenali dikalangan peminat sebagai episod ‘The Sozins Comet’. The Sozins Comet menceritakan bagaimana kedatangan komet Sozin yang akan melalui ruang angkasa bumi buat beberapa ketika. Fenomena ini diambil peluang oleh Lord Ozai untuk menjalankan kempen memusnahkan Negara Tanah secara total! Ini kerana kedatangan  komet Sozin akan memberi ahli-ahli  Fire Bender lebih kuasa dalam menghasil dan melentur api.



Mereka telah melancarkan serangan dari beberapa buah kapal udara dan menyerang Negara Tanah di bawah dengan gabungan kuasa api yang sangat dahsyat!! Serangan ke atas Negara Tanah itu diketuai sendiri oleh Lord Ozai. Besarnya serangan api itu menyebabkan Toph yang buta itu juga dapat merasai kedahsyatannya.

Namun Ang, Toph dan Sokka telah menghentikan serangan tersebut di pertengahan jalan. Ang akhirnya bertempur hebat dengan Lord Ozai di situ juga. Walaupun Ang boleh menguasai keempat-empat unsur alam tersebut, namun Lord Ozai juga pada ketika itu sangat kuat kerana dia menyerap kuasa dari Komet Sozin yang sedang melintasi ruang udara bumi pada ketika itu. Ozai cuba menghabiskan Ang secepat yang mungkin sebelum Komet Sozin itu berlalu. Akhirnya, seperti biasa, hero mesti menang.


Avatar-The Last Airbender bagi aku bukanlah satu animasi yang sesuai untuk kanak-kanak walaupun ia ditayangkan di Nickelodeon (Nickelodeon pun banyak propaganda jugak). Ia sebuah animasi yang sangat idealistik, berat dan ada juga unsur-unsur yang berkaitan dengan agama. Hurm.. satu bentuk pendakyahan halus terhadap-hadap minda kanak-kanak dari Nickelodeon. Ah, siapa yang mengawal mereka kan?

Namun begitu, banyak juga nilai-nilai positif di sebalik nilai-nilai negatif yang ada dalam siri ini. Salah satu yang aku suka siri Avatar ini ialah, pengarah dan penerbitnya banyak memasukkan unsur-unsur Asia di dalamnya. Dari segi rekabentuk kostum pakaian, budaya, gerak tempur, nama-nama dan juga muzik sangat jelas ke Asia’annya walaupun ia dunia fantasi. Yang paling besar pengaruhnya ialah dari budaya Cina, kungfu semestinya sudah ada. Ini nampak jelas pada perwatakan orang-orang dari Negara Api. Cuba anda bayangkan pergerakan kung-fu yang digabungkan dengan teknik Fire Bending, sangat cantik aksi tempurnya.

Selain itu, ada budaya dan seni Arab. Kita dapat lihatnya pada episod ke-10 dalam book 2. Dalam episod ini senibina bangunan perpustakaan gergasi yang dimasuki Ang sangat jelas unsur senibina Asia tengahnya. Manakala Negara Air Utara dan Selatan pula berperwatakan Eskimo. Namun bagi sesiapa yang teliti, anda akan dapat nampak beberapa unsur Melayu dalam siri ini. Di antaranya nama Raja Negara Tanah adalah Bumi. Kedua terdapat satu koloni Negara Api berpakaian seperti orang peribumi Sarawak. Dan beberapa gerak tari tempur Earth Bender seakan-akan gerak silat.

Okay, habis sudah mukadimahnya. Sekarang baru aku nak bercerita sedikit tentang Avatar-Legend Of Korra. Baru sahaja selesai menghabiskan 12 episod dari Book 1 (Air). Saganya bermula pada zaman Tenzin, iaitu anak Ang dan Katara. Zaman ini menyaksikan dunia sudah aman damai selepas huru-hara besar yang dicetuskan oleh Lord Ozai lama dahulu. Tiada lagi penjajahan berlaku, pentadbiran kerajaan kini bukan lagi bercorak monarki, tetapi Republik. Para bender boleh beramah mesra sesama mereka. Tiada lagi permusuhan.

The Legend Of Korra mengisahkan perjalanan Korra, seorang gadis remaja yang datang dari Southern Water Tribe. Dia satu kampung dengan Katara. Sejak kecil Korra sudah menguasai tiga unsur, iaitu Air, Api, dan Tanah. Namun untuk melengkapkan dirinya menjadi seorang Avatar, dia perlu menguasai unsur angin yang dia masih belum kuasai. Tenzin telah dipilih untuk melatihnya teknik angin kerana Tenzin seorang pelentur angin. Lalu Korra pun berhijrah ke Republic City untuk berguru dengan Tenzin. Gambaran Republik City adalah apabila Negara China dengan budaya dan senibinanya digabungkan dengan Amerika Syarikat, maka anda akan dapat satu Bandar Washington versi Asia Timur. Sangat pelik dan sangat menarik.


Namun sikap Korra yang sambil lewa sangat memeningkan kepala Tenzin. Ditambah lagi dengan penyertaan Korra dalam kumpulan Fire Ferrets untuk bertanding dalam Kejohanan Pelentur Pro (Pro Bending Tournament. Melalui Fire Ferrets, Korra telah menemui Marko, seorang pemuda pelentur api. Mako mempunyai seorang adik lelaki yang sentiasa ceria. Namanya Bolin, seorang pelentur tanah. Korra juga berkenalan dengan seorang gadis kaya, Asami Sato. Asami ini adalah teman wanita kepada Mako.
Hurm.. jadi apa yang menariknya? Tiada krisis besar pun yang berlaku? Kata anda kepada saya.

Anda silap! Kali ini mereka menghadapi satu krisis besar yang berlaku di Republik City. Satu krisis yang tidak dicegah awal, ia akan menjadi barah kanser ke seluruh dunia. Para pelentur (bender) ini juga tidak menyangkakan yang ancaman kali ini bukan datang dari kalangan mereka seperti Lord Ozai dahulu. Ia datang dari orang biasa yang tidak mempunyai keupayaan bending langsung. Pencetus huru-hara ini dipanggil Equalist. Perjuangan Equalist adalah menghapuskan semua keupayaan bending yang ada. Bagi mereka, element-bending adalah satu bahaya yang boleh membawa kepada peperangan dan penindasan.  

Matlamat Equalist adalah semua manusia sama. Tiada keupayaan element-bending. Ia diketuai oleh Amon, seseorang yang telah ditindas oleh fire-bender. Tetapi yang menakutkan bagi para bender tentang Amon ini ialah, dia boleh menghilangkan keupayaan bending seseorang bender secara kekal. Seperti yang Ang lakukan kepada Lord Ozai.

Selesai menghabiskan Book 1, apa yang aku boleh katakan ialah, WOW! FOUR THUMBS UP!! Tak puas aku tonton sekali. Siri Avatar terbaru ini lebih matang, lebih halus animasinya, lebih idealistik! Namun yang paling penting, AKSI PERTARUNGAN YANG LEBIH BOMBASTIK!!

Seawal episod 1 lagi Korra telah menyajikan gerak tempur yang cukup mengagumkan dihadapan kumpulan The White Lotus. Pertarungannya dengan Mei Bayfong, iaitu anak Toph juga sangat spektakular ketika Korra baru tiba ke Republik City. Lin Bayfong merupakan seorang Metalbender (pelentur besi. Teknik metalbending ini diasaskan oleh ibunya, Toph). Selain itu pertarungan kejuaraan Pro Bending juga dibuat dengan teliti dan kemas!  Ia ada undang-undangnya sendiri. Satu kumpulan memerlukan seorang pelentur api, pelentur air, dan pelentur tanah. Lalu mereka akan bertarung  dengan kumpulan lawan dengan mengasak mereka ke penjuru gelanggang. Permainannya sedikit nak sama dengan ragbi.

Namun, yang paling menggemparkan ialah kumpulan Equalist itu sendiri. Bagaimana mereka yang tidak mempunyai keupayaan melentur mengatasi bahaya serangan para element-bender. Allah menciptakan akal, setiap jalan pasti ada penyelesaiannya. Oleh kerana tiada keupayaan bending, mereka telah mencipta satu sut yang kalis kepada api. Mereka juga mencipta sejenis sarung tangan yang pelumpuh untuk melumpuhkan para bender. Di samping itu, mereka juga mengasah diri mereka dengan kemahiran tempur yang dinamakan Chi Blockers Technique bagi mengatasi serangan element-bender.

Selain aksi tempur yang mengagumkan, Legend Of Korra juga menyajikan anda dengan runut bunyi yang hebat. Paduan unsur-unsur muzik Asia dengan sedikit pengaruh muzik barat menjadikan setiap babak dalam Legend Of Korra itu sangat ekspresif. Apatah lagi runut muzik ketika aksi pertempuran, ia benar-benar menjadikan Legend Of Korra ini bukan lagi sebuah animasi yang boleh dianggap budak tadika (sebenarnya The Last Airbender pun dah bukan untuk budak tadika). Aku berkata begini kerana majoriti akan cuba membandingkannya dengan anime-anime dari Jepun.  Selain itu, mimik muka setiap watak-wataknya sangat kena dengan gelagat dan perwatakan mereka. Ya!! Memang sangat ekspresif! Maaf cakap, aku rasa wataknya nampak lebih hidup dari sebahagian besar anime dari Jepun.

Untuk pengetahuan semua yang belum tahu, yang sudah tahu buat-buat tak tahu saja lah ya. Siri animasi Avatar ini dihasilkan oleh studio dari Korea, bukan Jepun ya. Bagi sesiapa yang gila animasi macam aku pasti akan nampak perbezaan diantara blending animasi Korea dan Jepun.

Satu hal lagi yang buat aku menggemari siri Avatar ini ialah, bagaimana dia mempamerkan kerjasama di antara rakan-rakan dalam mencari penyelesaian masalah. Ia mengajar kita walau sebagus mana kita ini, kita tetap memerlukan di antara satu sama lain. Janganlah kita mengaggap diri kita sudah kuat, atau kaya, atau berpengaruh besar, atau berpangkat, atau ke semuanya sekali, atau….. atau apa lagi??! kata anda kepada saya. Maaf. Anda jangan harap anda boleh mengharungi kehidupan ini secara berseorangan. Rasulullah SAW sendiri mempunyai teman dalam perjuangan baginda.

Kesimpulannya, Legend Of Korra telah melepasi harapan tinggi yang telah aku letakkan ketika aku mengetahui projek animasi ini akan dilaksanakan. Malah sesetengah sisi, ia sangat jauh melepasi harapan aku, dan tidak terfikir. Serius cakap, baik anda layan siri Avatar ini dari anda layan Merong Mahawangsa KRU!!

OH YA! Aku terlupa satu perkara, aku terjumpa lagi sedikit unsur Melayu dalam siri Legend Of Korra ini. Pertama ialah nama anjing polar Korra adalah Naga. Kedua Korra menggunakan teknik cindai yang hampir sama dengan teknik Silat Gayung ketika berlawan dengan seorang pengawal keselamatan Equalist.  

Huih..! panjang  juga ulasan aku kali ini.  All right! Bagi mengakhiri coretan-karutan kali ini, mari kita layan trailer The Legend Korra. Yeah! ....(Ehem..Aku rasa Korra ni comellah..)




Tiada ulasan:

Catat Ulasan