Khamis, 30 Julai 2009

Galaksi Muhsinin




Yaargh!! Aku baru saja selesai menjelajah dunia Galaksi Muhsinin karya Azrul Jaini. Novel ni sebenarnya dah lama menyerang kedai-kedai buku pada tahun lepas. Tapi aku tak berkesempatan nak beli. Baru-baru ni saja aku dapat beli menggunakan duit upah kerja katering pada cuti semester yang lepas ni. Aku beli tiga buah novel selain anime Rurouni Kenshin Full Episode (lebih kurang 90 lebih episod) dan dvd 12 Rounds lakonan John Cena dengan melaburkan duit upah itu. Tup-tap-tup-tap, duit aku terus susut. Huh? Laju betul wang ni mengalir.




Novel-novel yang aku beli ialah, Galaksi Muhsinin (Azrul Jaini), Lagenda Sebuah Cinta (Dr Idris Boi), dan Kudeta Klimaks karya Khairul Nizam Khairani. Yang aku dah selesai baca hanyalah Galaksi Muhsinin. Ya lah, dah mula kuliah, nak kena bahagi-bahagilah masa untuk membaca, dan buat benda-benda lain. Berhari-harilah jugak aku nak habiskan Galaksi Muhsinin.
Banyak benda yang aku nak kongsikan seusai sudah membacanya. Pertama, aku nak huraikan dari unsur-unsur fiksyen yang dicedok oleh Azrul Jaini. Lihat formula di bawah. (Macam belajar buku teks pulak!).

Star Wars + Command Conquer 3 Kane Wrath + Zaman Keagungan Khalifah-Khalifah Islam Terdahulu + Gundam = Galaksi Muhsinin.

Inilah formula yang aku dapat setelah membaca karya fiksyen sains ini. Memang aku nampak dengan jelas unsur-unsur itu. Dan unsur-unsur itu diadun dengan baik dan disulami dengan unsur-unsur Islam yang nampak begitu universal di dalam novel ini. Pengaruh Star Wars dan Gundam lah yang paling jelas diperlihatkan di dalam novel ini. Pertama, pihak Empayar Sibernatik Cyborg agak serupa dengan perwatakan pihak Empire pimpinan Emperor dalam Star Wars, dan dengusan nafas Jeneral Furious mengingatkan aku kepada Darth Vader. Manakala pengaruh Gundam nampak jelas dengan adegan pertempuran di antara kapal-kapal kapital Konfederasi Reconquista (Gabungan Empayar Sibernatik Cyborg, Liga Lanun, dan Federasi Generasi Zenzaburo) dan Pihak Galaksi Muhsinin. Bila aku menghayati babak-babak ini, dalam kepala aku terbayang adegan-adegan pertempuran kapal-kapal tempur dalam siri-siri Gundam, terutama sekali Gundam Seed Destiny. Penuh dengan taktik-taktik perang yang pintar, paling best pertempuran diantara kapal induk Archangel dan kapal induk Minerva milik Zaft. Begitu juga taktik-taktik perang kapal-kapal Kapital dalam Galaksi Muhsinin, baik dari pihak Konfederasi dan Galaksi Muhsinin, masing-masing mempunyai komander yang berpandangan jauh.


Manakala pengaruh Command and Conquer 3 Kane Wrath dapat dilihat dengan jelas pada unit Tangan Hitam dan Komando Bayangan milik Empayar Sibernatik Cyborg. Unit Tangan Hitam dalam Kane Wrath di panggil Black Hand. Black Hand pula merupakan salah satu kumpulan pecahan dalam Brotherhood of Nod selain Marked of Kane. Manakala Komando Bayangan agak sama dengan Shadow Team milik Brotherhood of Nod. Aku memang gemar guna unit ni bila berentap CnC3 Kane Wrath dengan adik aku. Dan dia amat bengang bila aku selalu guna unit ini untuk mensabotaj pengkalannya. Tapi malangnnya, aku tetap kalah dan selalu kalah dengan adik aku. Sekarang ni pulak kami layan Red Alert 3, kalah jugak, adala dalam lima belas kali lawan, menanglah aku dua kali. AArggh! Tekanan betoi.










Ni la Shadow T eam dalam CnC3 kane Wrath


Tapi aku tak heran, sebab dia memang seorang yang betul-betul taktikal. Bayangkan dalam umur 14 tahun, dia berjaya mengalahkan, kalau tak silap tujuh pemain dalam CnC 3 Kane Wrath dalam satu game, dan ke tujuh-tujuh pemain itu bukan calang-calang dan umur mereka lebih kurang 20an dan memang kaki-kaki game strategi. Abang dia yang sorang lagi tak pernah menang langsung lawan game strategi dengan dia. Aku ada jugak menang sikit-sikit. Tapi Dalam Call Of Duty Modern Warfare, heheh, keupayaan aku dengan dia seimbang. Jangan berlagakla Firdaus oi.. Eh..eh.. apa aku membebel ni?

Okay, kita sambung balik. Apabila membaca Galaksi Muhsinin, neuron-neuron otak aku tak lepas dari membayangkan adegan-adegan dalam ketiga-tiga fiksyen itu. Jadi aku dapatlah membayangkan apakah yang saudara Azrul Jaini cuba gambarkan. Kuranglah masalah jam ketika membaca. Cuma dari keaslian fiksyen sainsnya itu agak kurang kerana banyak dicedok dari unsur-unsur luar. Adalah sikit-sikit yang aku nampak idea aslinya seperti Jaringan Ion Al Ankabut (Sebab aku tak pernah lihat lagi sistem pertahanan yang seperti itu di dalam mana-mana fiksyen dan bukan fiksyen), dan satu lagi ialah sut perang yang dilengkapi fungsi wuduk. Yang ini memang benar-benar menarik perhatian aku, aku tak pernah terfikir langsung-langsung! Hanya dengan memasukkan kapsul yang mengandungi air yang termampat ke ruang khas pada sut itu, dan sut itu akan membenarkan air mutlak mengalir melalui anggota-anggota wuduk mengikut turutan dan seterusnya lebihan air mustakmal itu dimampatkan kembali ke dalam satu lagi kapsul yang berada pada betis sut itu. Memang bijak dan asli!!

Lagi satu, membaca Galaksi Muhsinin juga membuatkan aku tersenyum dengan lawak yang datang tiba-tiba. Bayangkan, tengah-tengah serius tiba-tiba ada pula lawak selamba muncul. Kalau nak tahu, semak muka surat 169, 198, dan 204. Ada lagi lawaknya, tapi kena cari sendiri. Bagi aku tiga muka surat ini lah yang paling lawak. Gila juga kepala mu ni Azrul oi..

Keseluruhannya, novel ni agak bagus dan menepati apa yang dikatakan sebagai Sai-Fai Islami. Banyak nasihat dan peringatan-peringatan yang boleh diambil di samping berhibur. Ia juga berupaya merangsang semangat Jihad aku dan aku tak rugi membelinya. Katanya nanti nak keluar sambungan? Kalau betul, aku akan nanti-nantikan pelancarannya. Elok saja ia menyerang kedai-kedai buku, aku akan sambar terus (Kalau ada duit la).

Gerila




Pemikiran yang bercelaru dan keliru. Itulah yang aku dapat gambarkan selepas selesai membacanya. Kisahnya berkenaan dengan seorang juruterbang TUDM yang jatuh terhempas di Patani dan diselamatkan oleh gerila Patani. Seterusnya dia menyertai gerila tersebut.
Terlalu banyak persoalan yang aku nak kupaskan berkenaan dengan novel ini. Tetapi bila difikir-fikir balik, mahunya bermuka-muka surat. Banyak tu.. Tak laratlah pulak aku nak tulis. Jadi aku ringkaskan.


Apa yang boleh aku ringkaskan ialah, kalau beginilah cara gerak kerja gerila-gerila Patani, memang aku rasa susah untuk Patani mencapai kemerdekaan sampai bila-bila. Pertelingkahan dalaman, kecelaruan di antara tuntutan adat dan tuntutan agama. Ketidakfahaman akan siasah peperangan Islam yang jelas, mahupun kefahaman agama Islam itu sendiri. Ini akan menyebabkan Patani akan terus ditindas oleh Siam. Sungguh berbeza perjuangan seorang nasionalis yang bertopengkan agama dan seorang yang ikhlas berjuang kerana Allah dan faham akan siasah peperangan Islam.


Fikir-fikir balik, terasa rugi pula aku melaburkan RM 39.90 untuk memilikinya. Apa-apa pun, aku memberi komen ini berdasarkan apa yang dijelaskan di dalam novel ini. Tidak lebih dari itu. Jadi, maafkanlah kekhilafan aku.


Secara jujurnya, novel Gerila ini langsung tidak menaikkan semangat jihad aku. Cadangan aku bagi yang mahu membacanya, kaji dahulu sejarah Patani dari sumber yang jujur dan diyakini dan seterusnya fahamilah dulu siasah peperangan dalam Islam, dan selamat membaca!

Selasa, 7 Julai 2009

Pemimpin Idaman




Agama Islam di utuskan kepada manusia sebagai satu cara dan panduan untuk hidup dalam suasana aman dan harmoni serta sentiasa bernafas dalam keredhaannya. Agama Islam menyediakan panduan hidup kepada manusia dalam semua sudut kehidupan, baik duniawi mahupun ukhrawi, baik lahiriah mahupun batiniah. Yang difahami oleh sesetengah golongan manusia ialah agama Islam sekadar terhad kepada ritual-ritual ibadah semata-mata seperti solat, puasa, menunaikan zakat dan mengerjakan haji.


Jika disebut agama Islam satu CARA HIDUP, ia merangkumi makan, tidur, berjalan, duduk, berkumuh, bergaul, berkahwin dan pelbagai lagi aktiviti seharian kita. Islam telah memberi panduan yang jelas bagi umat manusia untuk menjalani kehidupan sehari-hari. Bila disebut cara CARA HIDUP lagi, Islam juga telah menyediakan cara-cara untuk menguruskan hal-hal ekonomi, hal-hal pentadbiran, hubungan antara masyarakat, politik, hal-hal keselamatan dan hal-hal kebajikan.


Dalam Ekonomi Islam, riba diharamkan, zakat dikenakan bagi yang berkemampuan. Dasar ekonomi Islam amat mementingkan kebajikan dan keikhlasan dan juga amat memusuhi dasar ekonomi yang menindas. Dalam masa yang sama, dasar ekonomi Islam tidak menghalang umatnya mengejar kekayaan duniawi selagi jalan yang diambil tidak bercanggah denagn syarak (melalui jalan yang haram atau zalim). Sebagai contoh, dasar ekonomi yang diperkenalkan oleh Khalifah Umar Abdul Aziz berjaya menghapuskan kemiskinan di kawasan pemerintahannya hanya dalam masa beberapa bulan sahaja (kalau tak silap tiga bulan) selepas dia memegang tampuk kuasa. Diriwayatkan sehingga wang baitul mal sudah tidak tahu lagi kepada siapa untuk diberi.




Di dalam hal kepimpinan dan pentadbiran, seseorang pentadbir dan pemimpin yang betul-betul menjiwai Islam akan semestinya memiliki iman yang teguh, akhlak yang terpuji, dan penuh amanah. Ini kerana dia benar-benar beriman kepada perkara-perkara ghaib seperti pembalasan atas apa yang dikerjakan semasa hidup di dunia. Dia benar-benar beriman kepada konsep dosa dan pahala. Pemimpin dan pentadbir yang begini sahajalah yang dapat mengatasi segala dugaan dan cabaran sepanjang kerjaya dan hidupnya. TERUTAMANYA gejala najis rasuah (telah dilunakkan dengan istilah politik wang). Pemimpin yang beginilah boleh diletakkan harapan untuk membaiki sistem pentadbiran negara yang sudah bercelaru, kerajaan yang dijana dengan sistem-sistem yang menindas rakyat, sistem keadilan yang mudah dijual-beli dan menjadikan dasar pilih bulu sebagai teras perjalanan, juga pasukan keselamatan yang sudah lari dari matlamat asal penubuhannya.


Pemimpin yang benar-benar mencontohi Rasulullah SAW tidak akan mudah untuk dijual beli, dicaturkan dan dibonekakan oleh musuh. Pemimpin yang bertuhankan Allah SWT juga tidak akan membiarkan kezaliman dan penyelewengan berlaku di dalam bidang kuasanya. pemimpin begini akan dapat memahami bagaimana kerajaan Islam pimpinan Rasulullah SAW berjaya ditubuhkan dengan penduduk-penduduknya tidak semuanya beragama Islam. Dia juga akan mengerti jiwa besar Salahuddin Al Ayyubi yang cukup lembut hati mengirim doktornya bagi merawat penyakit Richard The Lionheart (kalau tak silap penyakit kusta). Dalam masa yang sama bertindak tegas dan garang membunuh Reynold yang telah menyerang rombongan jemaah haji dan menghina Rasulullah SAW.



Pemimpin dan pentadbir beriman ini juga seterusnya akan mencontohi sikap amanah Sayidina Omar Al-Khattab yang menggunakan dua lampu berasingan didalam pejabatnya. Sayidina Omar akan menggunakan lampu kerajaan jika melakukan tugas-tugas sebagai ketua kerajaan. Satu lagi lampu adalah miliknya yang digunakan bagi melakukan tugas-tugas peribadi yang tidak bersangkut paut dengan urusan kerajaan. Dia takut akan dipersoalkan di akhirat kelak kerana menyalahgunakan harta milik rakyat untuk urusan peribadi.

Pemimpin yang amanah ini akan menitiskan air mata apabila mendengar kisah Sayidina Omar yang tidak dapat melelapkan matanya jika terdengar berita yang seseorang telah jatuh dari kudanya akibat permukaan jalan yang tidak elok di mana isu itu dibawah kuasanya. Pemimpin itu akan menangis kerana tidak berupaya untuk mengikuti sikap ultra-perihatin Sayidina Omar tentang kebajikan rakyatnya.


Sesungguhnya, hanya pemimpin yang ikhlas, tidak SOMBONG dan bertakwa sahaja yang dapat mengemudi bahtera negara dengan lurus, betul, dan berhikmah. Jika pemimpin-pemimpin begini yang memenuhi setiap jawatan dalam pentadbiran sesebuah kerajaan, Insya Allah, kerajaan itu akan diberkati dan dirahmati. Islam tiba untuk membawa rahmat kepada seluruh makhluk dan alam ciptaan Allah ini.