Isnin, 5 November 2012

Lock Out





Anda seorang banduan yang telah menjadi kambing hitam atas satu konspirasi. Anda telah ditangkap ketika melarikan diri dengan satu beg bimbit yang menyimpan satu rahsia besar. Anda telah dianggap sebagai seorang pengkhianat negara merangkap penjenayah kelas pertama. Oleh kerana negara anda tiada hukuman mati, anda telah dihantar ke satu kompleks penjara di mana hanya banduan-banduan amat berbahaya sahaja ditempatkan. Kompleks penjara itu tiada seinci ruang untuk perkataan ‘tidak mustahil’ yang bernama ‘melarikan diri’ menyelit masuk dalam definisi berjaya-bebas-dari-penjara. Ia bersifat begitu kerana binaannya tidak menjejak bumi. Nun jauh di lapisan stratosfera sana.

Namun, prosedur penghantaran anda ke sana yang sepatutnya berjalan lancar sedikit tidak lancar kerana satu aral yang bernama ‘banduan-telah-menguasai-penjara’ telah berlaku. Untuk menambah lagi perisa ke dalam masakan plot, maka seorang anak gadis Presiden Amerika telah terperangkap di sana. “Apa? Apahal lak anak Presiden Amerika buat kat situ?” kata anda kepada saya. Jangan tanya saya, tanya Luc Besson. Apa yang anda pasti, ayat ini sangat bertepatan dengan situasinya: “ She was at the wrong place, at the wrong time.” 
Lalu, anda yang sudah bersiap-siap hendak bercuti di sana, tiba-tiba saja status banduan anda yang hina-dina terpaksa ditukar menjadi wira negara buat sementara waktu untuk menyelamatkan anak Presiden Amerika tersebut. Mungkin anda bertanya, “Kenapa tak hantar askar komando saja?”. Lalu mereka menjawab, “Kerana perkara ini masih belum terdedah kepada umum..dan..blablabla.." dan diberilah 1001 alasan untuk menyuruh anda tetap menjadi watak utama Lockout. Tetapi jika tidak ditanya begitu pun, mungkin anda sendiri akan menawarkan diri untuk menjadi hero kerana anak Presiden Amerika itu adalah seorang gadis. Hurmm… kenapa asal anak Presiden saja, mesti pompuan? Air Force One begitu,

Maka dengan segala macam peralatan yang canggih, anda terus menjadi Rambo di angkasa lepas!

Yang Suka

Aku suka konsep filem ini. Walaupun futuristik, tetapi tidak terlalu melebih-lebih. Masih ada adunan teknologi masa kini dengan masa akan datang. Aku suka konsep kompleks penjara yang canggih di angkasa lepas sana namun pengawal dan wardennya tidak berbaju sut ketat macam Star Trek dan masih bersenjata shotgun, bukan pistol laser Star Wars.

Dialog

Suka dialognya yang sangat komedi dalam serius dan dalam masa yang sama menyengat. Tak faham? Ini contohnya , “ You have any idea what my father would do to you?” tanya anak presiden itu setelah berasa sangat jengkel dengan perangai Guy Pearce yang gila-gila tu. Lalu dia menjawab, “Ah! Not raises taxes again!” Aku ketawa hampir terbahak-bahak dengan dialog ini.

Aksi

Aksinya sederhana, cantik tersusun. Ada masa kita boleh menarik nafas untuk berehat. Ada masa yang aksinya mula membuatkan anda teruja. Senang cakap, aksinya lebih mirip filem Con Air dan The Rock dan campur sikit Fortress Re-Entry. Lockout kurang bermain dengan aksi yang bombastik gila-gila seperti Die Hard atau Star Wars, tetapi dia banyak bermain dengan aksi-aksi yang mendebarkan. Perlu ingat, debar bukan bermaksud aksi. Aksi boleh menjadi debar, tetapi debar tidak semestinya aksi. Sila tonton Phonebooth atau How To Rob A Bank untuk mendapatkan gambaran dengan lebih jelas.

Tapi yang sebenarnya yang paling aksi adalah mulut celupar Guy Pearce.

Yang tak suka

Hurm… aku tak nampak lagi apa yang aku tak suka mengenai filem ini. Mungkin soundtracknya yang sedikit kurang memberangsangkan.

Kesimpulannya, Lockout merupakan satu filem debar-aksi-pra futuristik yang sangat sesuai untuk peminat-peminat filem aksi seperti saya. Akhir kata, Guy Pearce watak Snow itu memang untuk kau. Tak ada orang lain boleh pegang.