Memaparkan catatan dengan label Cawan kosong. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Cawan kosong. Papar semua catatan

Sabtu, 5 Oktober 2013

Terfikir secara tiba-tiba

'Bodoh'. Satu perkataan negatif untuk menunjukkan sesuatu entiti itu kurang ilmu dalam tindakan yang diambil atau disebutnya. Namun bila perkataan 'bodoh' itu di buang huruf 'h' , ia akan menjadikan maksud bodoh itu menjadi sangat esktrim. 'BODO' = Iaitu 'bodoh melampau'. Dan perkataan 'bodo' itu tiada dalam kamus dewan.

 Ada satu lagi perkataan yang rasanya tiada dalam kamus dewan, tapi sering digunakan oleh masyarakat Melayu marhaen, ia berasal dari perkataan 'bulu'. Bulu adalah sejenis rerambut yang sering tumbuh pada makhluk-makhluk hidup, dan ia boleh didapati dalam pelbagai jenis dan saiz. Bergantung kepada tempat ia ditumbuhkan oleh Allah.

 Namun, jika perkataan bulu ditambah imbuhan 'ber' didepannya, ia akan menjadi satu perkataan yang terus lari dari makna asalnya mengikut situasi. 'Berbulu' = Sesuatu yang ditumbuhi bulu atau dipenuhi bulu. Tapi, cuba gunakan perkataan itu ke dalam situasi di mana anda sedang angin atau panas dengan seseorang itu.

Contoh : "Berbulu betul aku dengan Encik Faris tu, berlagak nak mampus!" Makna kedua 'berbulu' ialah gabungan antara perasaan rimas+marah+tak senang+geram dan sakit hati Terus berubah makna asalnya, dan makna kedua bagi perkataan 'berbulu' ini tiada dalam kamus dewan. (tak silap saya) Orang Melayu memang kreatif dalam mengubahsuai!

Sabtu, 16 Jun 2012

Senja datang, aku terbang

Yargh, aku baru saja tukar gambar intro di atas. Lukis sendiri ya, termasuk dengan background tu sekali. Cis! Aku memanglah sangat amatur dalam mewarna ni.

Untuk versi gambar penuh, sila tekan butang Night Aves C di sebelah kanan ni ha..

Jumaat, 8 Jun 2012

Hampeh hang Ace!

Hang memang hampeh. Memang nak kena dengan aku. Dulu aku gagah main CnC saja tanpa mempedulikan CoD MW. Hang jugak yang menjebakkan aku dalam ketagihan CoD dah tak pasal-pasal aku terlekat kat dua game lan serentak. Dan dalam masa yang sama aku menahan segala godaan-godaan yang menghasut aku untuk terlibat dalam penyakit DotA. Alhamdulilah aku berjaya. Jadi fulusku hanya mengalir untuk kedua-dua dadah itu sahaja.

Kemudian aku terjebak pula dengan satu lagi penyakit yang akan memakan masa dan duit aku, blogging. Tidak mengapa, itu aku maafkan hang kerana penyakit ini aku sendiri yang cari. Kemudian hang buat hal lagi, dan kali ini hasutan durjana hang dengan budak UIA tu telah berjaya menyebabkan aku dengan rela hati terjebak dalam wabak LoL.  Aduhai, terbang la lagi fulusku.


P/s: Siapa-siapa ada join livechess.com, add la aku. Boleh kita bertanding strategi di atas papan catur.

Sabtu, 19 Mei 2012

Night Aves C


Aku baru sahaja buat blog baru. Sebenaqnya blog lama, cadangnya mahu jadikan sebuah blog khas untuk bereksperimentasi dengan penulisan novel, akhirnya tak jadi. Kini aku jadikannya sebuah blog di mana khusus untuk aku berkongsi daya kreativiti aku (tak kreatif mana pun sebenarnya, perasan lebih). Mulai hari ini, lukisan-lukisan dan foto-foto menarik yang aku tangkap akan didedahkan di blog itu. C tu maksudnya Creative. Sila klik gambar di sebelah kiri blog ini untuk link terus ke blog tersebut. Okay, calo!

Khamis, 1 Mac 2012

Jalan-jalan di Indonesia



Yaargh!! Walaupun peristiwa yang hendak aku ceritakan ini sudah berlaku agak lama tapi aku nak cerita jugak! Pada bulan Januari yang lalu, aku telah berpeluang untuk berkunjung ke Indonesia. Aku telah berangkat dengan rakan-rakan pada hari cuti Tahun Baru Cina dan sempat berada di sana selama 4 hari 4 malam kot rasanya.

Ya, memang satu pengalaman yang agak baru bagi aku walaupun negara yang hendak aku kunjungi itu hanyalah negara jiran sahaja, tetapi aku sedikit teruja kerana berpeluang untuk menaiki kapal terbang untuk kali yang kedua selepas kali terakhir aku naik ketika aku berumur 11 tahun. Woh.. lama dah tu..

Walaubagaimanapun, sedikit perasaan bimbang untuk ke sana tetap terasa kerana hubungan Malaysia dan Indonesia yang tidak berapa ngam pada masa kini lantaran pelbagai isu yang mengeruhkan hubungan dua hala di antara kedua-dua negara. Apatah lagi waktu aku berangkat itu adalah tidak sampai beberapa hari sahaja selepas Malaysia memenangi perlawanan bola sepak ke atas Indonesia di dalam sukan SEA ke-26 yang lepas. Bimbang la jugak, mana tahu sebaik saja tiba di Indonesia tu tak sempat sampai ke hotel dah kena belasah kan? Entah-entah turun saja kat lapangan terbang Indonesia tu pun dah kena belasah dengan staf-staf airport tuh, (Tuu..dia imaginasi aku!). Oleh kerana kuasa mengubah lokasi untuk bercuti itu bukan di tangan aku, tiada apa yang boleh aku lakukan selain akur sahaja.

Kami menggunakan penerbangan Air Asia Indonesia untuk ke Jakarta dan kami berangkat dalam pukul 10.00 pagi kot. Tak silap aku lebih kurang dua jam saja penerbangan itu. Sebaik sahaja tiba di Indonesia kami disambut oleh seorang rakan kami yang juga seorang rakyat Indonesia di sana. Lega sedikit perasaan ini kerana tiada siapa yang sudi mahu membelasah kami sebaik sahaja tiba di sini. Kami terus di bawa makan tengah hari di sebuah restoran masakan padang dan bersolat Zuhur di situ. Memang sedap makanannya! Kemudian kami.……………..Ah! Aku skiplah cerita daftar masuk hotel, makanan sedap, pusat beli-belah dia apa semua tu, rasanya pembaca-pembaca lebih arif dari aku berkenaan ini semua. Aku lebih suka mengulas dari sudut budaya, sosial dan tatacara hidup masyarakat Indonesia dari sudut pandang aku sepanjang aku berada di sana.

Terdapat beberapa perkara yang agak menarik perhatian aku berkenaan dengan Indonesia ini, salah satunya adalah ketika perayaan sambutan Tahun Baru Cinanya. Cukup berbeza sambutan Tahun Baru Cina di Indonesia dan Malaysia. Dari segi kemeriahan aku rasa Malaysia lagi meriah sambutan Tahun Baru Cinanya, tetapi di Indonesia ini aku sudah keliru, yang menyambut Tahun Baru Cina ni bangsa Cina kah atau masyarakat bumiputera Indonesia itu sendiri? Kerana rancangan Tahun Baru Cina di televisyen Indonesia itu hampir semuanya berbahasa Indonesia malah bangsa Cina juga berbahasa Indonesia sesama mereka dan muka-muka yang menempek di televisyen itu majoritinya berwajah Nusantara. Yang paling tak tahan aku melihat depan mata aku sendiri seorang nenek berbangsa Cina bercakap Indonesia dengan anak serta cucunya di mana mereka menginap di hotel yang sama dengan aku (Hotel Le Grandeur berdekatan dengan Mangga Dua). Tidak berbahasa Cina. Memang menarik, malah sangat pelik bagi aku. Kelakar pun ada. Tetapi setelah diberi penerangan oleh rakan Indonesia kami, baru kami tahu sebab dan musababnya kenapa jadi begitu.

Di antara pengalaman yang tidak boleh dilupakan ialah di saat-saat aku tersesat di sebuah kompleks membeli-belah. Memang bagak punya besar kompleks membeli-belah yang aku masuk tu. Lagi memeningkan apabila setiap ruang legar tingkat atas itu sama sahaja kedudukannya, AH! Sudah! Mana puak-puak ni pergi, kataku dalam hati. Tetapi aku menenangkan diri dan cuba berlagak sejuk (cool) dan cuba mencari rakan-rakanku. Akhirnya aku berjaya juga menemui mereka dengan bantuan Yang Maha Esa.

Aku terpisah dengan rakan-rakan aku ketika aku mahu meninjau ruang IT di kompleks itu. Apabila aku melihat barang-barang berteknologi ini, aku dah seperti kanak-kanak masuk Toys R Us dah, tak pun macam makcik-makcik masuk kedai emas. Aku dah malas nak menunggu rakan-rakan aku kerana mereka lebih suka melihat kain-kain serta pakaian, dah la satu-satu kedai masuk macam dah taknak keluaq!

Satu perkara yang aku kagum dengan rakan-rakan aku ni ialah bila mereka tawar-menawar harga, memang terbaik! Memang aku tak nampak sesiapa lagi yang boleh cabar skill tawar-menawar mereka. Memang pro habis!! Kadangkala aku dah sampai tahap kesian betul dekat peniaga-peniaga tu kena lanyak secara verbally (lisan) oleh rakan-rakan aku ni. Dah lah datang secara berjemaah, memang mereka psycho habis-habisan peniaga tu, sekali dengan tokey-tokeynya! Mungkin boleh dimaafkan jika mereka mempraktikkan skill mereka itu pada peniaga-peniaga yang mempunyai kedai, tetapi sampai penjaja keychain dan t-shirt jalanan pun hang nak sapu tanpa belas kasihan, melampau betol!! Depa pon ada anak bini nak bagi makan! Terok betoi hangpa ni! Tuan-tuan dan puan-puan, anda silap jika anda menyangka mereka ini ialah wanita dan kategori makcik, TIDAK sama sekali. Mereka adalah anak-anak muda lelaki berusia 20-an dan awal 30.

Satu perkara lagi yang menarik perhatian aku ialah teksinya. Jika kita di Malaysia Toyota Vios adalah lambang lubang hidung kembang bagi golongan kelas menengah, tetapi di Indonesia ia hanyalah standard untuk dijadikan teksi sahaja. Adoila!! Sistem jalanraya juga menarik, dan aku rasa patut cuba dicontohi oleh Malaysia. Indonesia mempunyai satu lorong khas khusus untuk laluan bas sahaja. Jadi kalau berlaku kesesakan lalu lintas, ia tidak akan memberi kesan kepada pengguna-pengguna bas yang rata-rata dari golongan berpendapatan rendah.

Selain itu, kesesakan lalulintas di Indonesia juga adalah sesuatu yang menarik untuk dikaji. Aku akan ringkaskan kepada perkataan jam, bukan jem nenas! Setelah mengalami sendiri pengalaman menikmati suasana jam di sini, aku mula rasa apalah sangat jam di Kuala Lumpur tu. Kesesakan lalulintas di sini lebih teras-keras (hardcore)! Memang panjang gilo-gilo punya kenderaan beratur! Bunyi hon sentiasa bergema, tetapi yang bestnya mereka yang menghon dan dihonkan itu tidak pula bermasam muka. Muka rileks saja! Macam saja-saja hon bagi menghilangkan bosan. Tiada satu perasaan marah sekelumit pun. Aku rasa kalau kat Malaysia memang dah bertumbuk dan bertendang dah!

Lepas tu mereka pandu kenderaan memang berani mati punya! Bas yang aku naik itu jika dia nak masuk satu lorong kenderaan itu, dia redah saja macam bapak dia punya jalan, tak kira ada kenderaan laju ke banyak ke, tunggu bagi jalan tu kosong dulu ke. Selamba saja, dan tak eksiden plak tu! Sewaktu mula-mula mengalami perkara itu aku agak terkejut, terasa macam dalam filem-filem aksi Hollywood pun ada! Tetapi lama kelamaan aku mula faham satu perkara, majoriti pengguna jalanraya di Indonesia ini memang menganggap jalan itu bapak mereka punya. Nak kata apa? Dan kadar kemalangan di Malaysia lebih tinggi walaupun kita bawak sopan SIKIT dari rakyat Indonesia, memang memelikkan? Wat da heck is goin on?

Rupa-rupanya ada hikmah yang tersembunyi di sebalik kesesakan lalulintas yang ekstrim ini. Ia memberi peluang kepada penjaja-penjaja jalanan untuk mencari rezeki dengan menjual pelbagai jenis makanan termasuk jajan, air minuman dan pelbagai jenis barangan lagi kepada pemandu-pemandu kenderaan yang tercongok dalam kenderaan masing-masing di sepanjang kawasan panas yang selalu sesak itu.

Aku juga agak kagum dengan kemahiran mencari rezeki yang ada pada rakyat Indonesia dari kelas bawahan ini. Kadang-kadang aku tak terfikir dek akal. Ya lah, macam yang di atas tadi la. Selain itu, jumlah pengguna jalanraya yang sangat ramai juga telah mewujudkan satu lagi peluang rezeki bagi rakyat Indonesia, iaitu polis trafik tak bertauliah. Mana-mana kenderaan yang diparkir ingin memasuki satu jalan yang sibuk, akan ada-ada saja polis trafik tak bertauliah ni datang tolong menahan sebentar aliran trafik untuk memudahkan kita masuk ke jalanraya. Lepas itu jangan lupa hulurkan upahnya. Aku rasa berbaloi bayar untuk khidmat mereka ini dari tunggu jalanraya tu kosong. Aku rasa memang berjam-jam la nak tunggu jalan tu kosong.

Aku juga sempat bersembang-sembang dengan rakan Indonesia itu berkenaan sejarah Indonesia. Kami berbincang tentang Kerajaan Demak, Majapahit, Walisongo, Pesantren-pesantren yang ada di situ, Tuanku Tambusai (makamnya di Negeri Sembilan). Dan berbagai-bagai perkara lagi. Satu perkara yang menarik apabila rakan aku itu mengatakan di Indonesia banyak Ulama-ulama yang hebat, tetapi sangat kurang pengamalan Islam di kalangan rakyatnya, tetapi di Malaysia kurang ulama-ulama yang hebat, tetapi pengamalan Islam di Malaysia lebih bagus dan ramai. Wallahualam. Aku tiada komen. Mungkin betul?

Setelah menjejakkan kaki kembali ke tanah air,ketidak puasan melawat Indonesia mula terasa. Rasanya banyak lagi perkara yang aku nak tahu belum terjawab lagi. Nampaknya aku kena rancang satu lagi perjalanan ke sana, dan kali ini aku nak pergi paling ramai pun empat orang sahaja. Pergi ramai-ramai ni seghabut! Bila pi ramai-ramai ni kita akan terlebih excited dan senang nak terlepas cakap dan tingkah laku, tengok-tengok tempatlah juga nak kecoh-kecoh pun. Haiya! Masing-masing sudah besar lor! Dah kahwin dah pun, anak pun dah nak kahwin. Takkan nak kena bawak cikgu disiplin kot!

Bawah ni aku siarkan gambar-gambar ketika berada di sana. Kurang cantik sikit gambar kerana pakai kamera hp 2 mp saja.





































Ahad, 12 Februari 2012

Repek


GROOOmmm!!!! bURRRr!!!! GROOMMM!!! Wargh!! GROOMMM!! Pergh!! GEDEGOOOMM!!! Ya Allah, lindungilah hambamu ini!! GROOOMM!!!! GEDEGOOMM!!!! Ya Allah janganlah bagi rumah papan ni roboh!! GROOMMMM!!!! What da!!?? GROOMMM!!!!! Arghh!!

(Entri ini dibuat ketika aku sedang melayari Internet dalam keadaan hujan lebat dan kilat yang sabung menyabung diikuti angin yang kuat. Oleh kerana kawasan rumah yang aku sewa ini merupakan kawasan yang agak tinggi, maka dentuman guruh dan kilat yang sabung menyabung ini memang kedengaran HD habis, memang Dolby Digital hyper volume macam bom meletup depan pintu rumah. Bergegar rumah aku!)


Isnin, 2 Januari 2012

First Blood


Chee..wah..! First blood la kononnya. Rasanya lebih baik dipanggil first lebam. Tapi lebam yang hampir pecah untuk berdarah. Yargh! Sebenarnya terdapat lagi beberapa lebam di bahagian badan aku ini. Juga terdapat beberapa luka di jari-jari ini. Dari mana lebam-lebam ini datang? Yargh! Dari peluru cat yang ditembak oleh musuh-musuh palsu aku ketika bertempur sakan dalam permainan paintball yang pertama kali aku main baru-baru ini.

Aku main tiga game dan juga terbang RM35 selepas itu. Perlawanan pertama, team aku menang. Kami main mod serang dan bertahan (attack and defend). Pasukan aku akan cuba menawan sebuah pondok yang dijadikan tempat bertahan pasukan musuh. Corak permainannya agak lambat dan kurang agresif. Tetapi memerlukan strategi yang lebih teliti dan kemahiran menembak jarak jauh.

Game kedua, kami main CQB (Close Quarter Battle) atau tempur jarak dekat. Padangnya sedikit kecil dari padang pada perenggan di atas. Yang ini memang aku suka! Kerana apa? Ia lebih agresif! Memerlukan lebih stamina dan kepantasan untuk menang! Juga lebih daya tahan sakit kerana aksi tembak-menembaknya lebih dekat! ADOI!! Dan aku terkena eye-shot dua kali di sini! Pergh!! Nasib baik pakai topeng. Kalau tidak, jadi Kasim Selamatlah aku. Kat sini juga salah seorang rakan aku terkena ass-shot! Hahaha!! Aku yang tembak. Hahaha!!!

Pengalaman pertama bermain paintball ini memang mengujakan! Memang best! Cuma yang sakitnya, pelurunya mahal! Adus! Baik main cakplong.

Khamis, 6 Oktober 2011

Nak mula kat mana?



Assalamualaikum semua! Nampaknya sudah lama aku tidak mencoret, menconteng, merapu-raban di dalam blog ini. Terlalu banyak peristiwa yang berlaku semenjak warkah terakhir yang aku tulis. Sehinggakan aku sudah tidak tahu mahu bermula dari yang mana. Sebenarnya banyak benda yang aku nak tulis, tetapi aral-aral selalu saja melintang dihadapanku untuk menulis coretan terbaru, termasuklah aral yang dinamakan 'malas'.


Kita sembang bab malas sekejap. Malas adalah musuh nombor satu kepada Masa. Sangat kontra di antara mereka, memang tidak boleh serasi, dan tidur sebantal. Malas akan mengheret masa ke arah satu lagi sifat yang sangat negatif dari hukum duniawi mahupun ukhrawi, iaitu Membazir. Malas akan membazirkan masa anda yang pada asal nilainya lebih mahal dari emas sehingga menjadi lebih murah dari sampah.


Ya, kita juga seringkali diingatkan oleh para Ulama, Umara mahupun mereka yang berpangkat Ustaz yang hanya memegang jawatan kerani di dalam agensi kerajaan, bahawa Allah telah bersumpah dengan masa di dalam Surah Al-Asr. Jadi kesimpulannya lihatlah rumus Algebraku yang entah apa-apa di bawah ni,


- Malas -  Masa = - Membazir
+Jimat + Masa = + Untung


Haha..! Betul tak rumus aku ni? Cam tak betoi saja.. Aku agak kecundang sedikit perkara yang membabitkan hal-hal ilmu hisab ni. Baiklah, ada masa aku akan merapu lagi! Calo! 


Di bawah ni aku bagi doa kepada sesiapa yang merasakan barah Malas dia sudah tidak dapat dibendung lagi.





  

Ahad, 19 Jun 2011

Tukar ?

Aku sebenarnya dah lama nak tukar nama blog aku ni. Torpedo adalah nama spontan yang difikirkan aku ketika membuka akaun blogspot ni ketika dalam keadaan yang sibuk dan tergesa-gesa ketika di Universiti dahulu. Sekarang aku terasa macam nak gantikan dengan nama yang lebih sejuk lagi (cool). Apa pendapat hangpa? Nak aku tukar atau tidak? Adakah aku perlu solat Istikharah untuk menukar nama blog?

Tapi.. errr.. ada ke orang nak bagi pendapat? Rasanya jarang benar orang komen dalam blog aku ni..

Selasa, 3 Mei 2011

Andai kata





Andai kata aku diberi seribu ringgit untuk dilaburkan pada pesta buku yang baru lepas ini, sememangnya ia tidak mencukupi. Tak cukup weh!!! Bagaimana rambang mata dan terujanya golongan hawa melihat barangan kemas di kedai emas, begitulah rambangnya mata aku melihat pelbagai jenis buku yang sangat menarik dan kena dengan citarasa aku ketika menghadiri pesta buku di PWTC baru-baru ini.

Buku ni nak, buku tu pun nak! Tetapi oleh kerana aku masih lagi seorang penanam anggur yang hanya membawa fulus yang cukup untuk membelanja ais kacang special Frado untuk lebih kurang lima belas orang saja, maka janganlah anda bayangkan jumlah buku yang aku beli itu sama banyak dengan ulat-ulat buku yang sudah berkerja membeli buku. Walaupun ais kacang Frado tu sedap dan cantik, tapi kesedapan dan kecantikkan buku-buku yang hendak sangat disuntingku ini lebih indah dan cantik!! Arghh!!

Sabtu, 29 Januari 2011

Apakah aku?

Sedang-sedang menyiapkan borang minta kerja, ada lah bahagian (Bangsa) yang perlu diisi. Maka aku letaklah bangsa Melayu. Selepas itu aku fikir-fikir balik, betulkah aku ni bangsa Melayu. Aku perhatikan diri aku balik. Memang aku bertutur bahasa Melayu, aku makan masakan Melayu setiap hari, aku juga menulis dalam bahasa Melayu, juga aku belajar silat yang memang melambangkan identiti Melayu. Tetapi, bila aku lihat fizikal aku, terutamanya wajah aku lebih mirip kepada cina. Ya betul! Tiada langsung raut wajah Melayu.

Memang ramai yang anggap aku sebagai orang Cina, malah Siam pun ada. Kadang-kadang aku tidak rasa macam orang Melayu pula walaupun hidup seperti orang Melayu, kerana banyak pandangan yang memerhati aku sebagai orang Cina (lainlah kalau yang dah kenal aku) dan banyak benda yang orang cina suka aku juga suka. Masuk masjid pun mesti pakcik-pakcik masjid pandang aku lain macam je (bukan pandangan benci, tetapi pandangan seperti jarang tengok orang Cina Islam masuk masjid mereka). Walaupun begitu, aku memang tidak tahu langsung bahasa Cina selain dari perkataan Ni Hao Ma, Kongsi Fat Chai dan Sifu.

Aduss... Tetapi hal ini memang tidak boleh dinafikan kerana aku memang ada keturunan Cina dari sebelah ibu aku, manakala ayahku pula Melayu ada sikit-sikit Arab (tu pasal seorang dari adik aku muka ala-ala Arab pulak). Diantara sanak-saudara aku juga ada yang berbangsa Cina. Jadi apakah aku sebenarnya kerana kadang-kadang aku rasa sikap Cina lebih dominan dalam diri aku walaupun aku gemar makan sambal belacan. Bangsa apakah aku yang sebenarnya ni? Ciyu? (Cina+Melayu) atau Mena (Melayu+Cina).

Sebut pasal ayah aku, wajah dan fizikal dia memang seperti orang Arab atau ala-ala Pakistan. Yang kelakarnya dia pernah ditahan dan disoal-siasat polis kerana disangka pendatang asing. Dengan selamba ayah aku buat-buat tak reti cakap Melayu sehingga membuatkan anggota-anggota polis itu lebih mengesyakinya. Tetapi selepas melihat kad pengenalan ayahku yang jelas tertera warganegara Malaysia dan berbangsa Melayu, polis itu ketawa. Kadang-kadang bila aku menaiki motor bersama ayah aku, mesti ada orang yang melihat hairan ke arah kami. Kerana melihat seorang pemuda cina sedang membonceng motor bersama seorang lelaki Arab. Aduss...

Isnin, 20 Disember 2010

Satu hari, Tiga Majlis, Tiga Emosi




Yarghh! Dua hari lepas telah membina satu cebisan peristiwa yang sesuai untuk disusun di rak peti ingatan aku pada peringkat emas, paling diingati. Satu kenangan yang tidak akan luput ditelan esok, Insya Allah.


Apakah peristiwa itu? Satu hari yang diisi dengan tiga buah majlis perkahwinan yang berstatus wajib untuk aku hadiri. Tiga buah majlis perkahwinan yang menghadirkan limpah perasaan yang berbeza antara satu sama lain. Kita pergi ke majlis yang pertama:

Majlis perkahwinan yang pertama aku hadiri pada awal pagi ialah majlis perkahwinan seorang sahabat yang telah kukenali sejak dari darjah satu sehingga sekarang. Beliau seorang lelaki dan aku amat rapat dengannya, malah hubungan diantara keluarga kami juga rapat. Segala macam suka duka sudah ditempuhi bersama. Rasanya tak payahlah aku senaraikan suka dan duka itu kerana ia akan memakan mukasurat yang berkajang-kajang.

Pada mula perkenalan sewaktu darjah satu dahulu, kami berada tahap yang sama, tetapi sekarang jauh beza tahapnya dengan aku. Seorang yang berpendidikan tinggi, sudah berkerjaya lagi. Mempunyai kereta baru yang masih mempunyai bau kedai yang dibeli dengan duit sendiri, dan kerjayanya juga bukanlah calang-calang kerana beliau seorang pakar programmer komputer. Berbanding aku, seorang graduan segar yang tidak mempunyai sesen fulus pun di dalam poket serta seorang penanam anggur yang berjaya. Huh! Beli motor terpakai pun kena hutang kat mak.

Beliau sebaya dengan aku. Aku sangat-sangat gembira di atas perkahwinannya, Huh! Siapa tidak gembira sahabat karib kahwin. Dalam masa yang sama juga ada perasaan kelakar sedang menggeletek hatiku, kerana apa? Membandingkan saat nakal dahulu bersama-sama beliau dengan keadaan beliau sekarang, macam tidak percaya! Cepat sungguh masa berlalu. Ada juga perasaan sedih bermain di hati mengenangkan yang pola perhubungan kami sudah tentu tidak seperti dahulu lantaran dia sudah mempunyai tanggungjawab baru. Selesai sahaja melahap dua pinggan hidangan kenduri yang sangat sedap itu, aku bersama-sama dengan keluargaku yang tercinta terus berangkat menuju ke destinasi seterusnya.


Majlis yang kedua ini juga adalah majlis perkahwinan seorang rakan sekolah, sekali dengan sahabat yang diatas tadi. Muda setahun dari aku. Seorang perempuan. Majlis inilah yang rasanya paling ganas menyentuh emosi aku. Adakah kerana dia sahabat karibku seperti yang diatas? Oh tidak, malah aku tidak pernah sembang sepatah perkataan pun dengannya sehingga sekarang. Dia adalah seorang insan yang aku admire sejak pandang pertama di sekolah rendah sehinggalah SEKARANG. Seorang wanita yang lengkap dengan pakej wanita idaman. Seorang yang sangat cantik, berakhlak mulia, anak kepada seorang ahli perniagaan berjaya yang kaya-raya, kegemaran guru-guru di sekolah akibat budi pekerti yang baik, pintar, berketurunan mulia, dan mempunyai nama yang sedap. Panggil nama panjang pun sedap, panggil nama pendek pun sedap.

Sebelum menghadiri majlis perkahwinannya, aku masih berfikir-fikir adakah aku perlu menjejakkan kaki ke majlisnya jika kehadiran aku itu bakal menghiris hatiku yang sudah berdarah tatkala dimaklumkan berita perkahwinannya beberapa minggu sebelum itu. Tetapi apakan daya, aku tidak berupaya untuk menolak dari menghadiri majlisnya kerana beliau dengan ibuku memang rapat. Ibu serta bapaku merupakan gurunya di sekolah dahulu, juga guru kepada kakaknya, guru kepada adik-adiknya juga. Nanti aku tidak pergi apa pula alasan aku nak beri kepada ibuku? Alasan tidak mahu pergi kerana aku kecewa insan yang aku admire kahwin? Huh! Malu aku pulak nanti. Tidak ada alasan untuk aku menolak kerana aku terpaksa juga pergi ke kenduri sahabat karib aku yang awal tadi sebelum menghadiri majlisnya pula.

Maka akhirnya, terpaksalah juga aku menggagahkan kaki aku menghadiri majlisnya dengan perasaan yang sedikit sakit, pedih dan cemburu (sedikit ke?). Apatah lagi bersalam dengan suaminya pula. Huh..! (dan aku beramah mesra la dengan suaminya dengan hati yang pedih).Tetapi melihat dia bersama suaminya, aku terpaksa akur dan mengakui, mereka memang sekufu. Suaminya kacak dan bergaya, nampak seperti budak baik yang beragama dan kaya, sesuai sangatlah dengan dia.. Memang aku tidak setanding dengan dialah.. Jika difikir-fikir balik, memang aku tidak secocok langsung dengannya. Memang tidak sekufu dari semua sudut... Biarlah.. itu jodohnya.. Jodoh yang baik adalah untuk manusia yang baik (ayat sedapkkan hati).

Walaubagaimana banyak madah yang aku cipta untuk cuba sedapkan hati, aku tetap manusia biasa juga. Aku tetap menghirup laicikang yang dihidang di dalam majlis itu dengan perasaan yang terluka. Melihat laicikang didalam mangkuk itu seolah-olah melihat air mata aku sendiri. Luka yang terluka itu terus terluka apabila melihat dia tersenyum manis melayan tetamu-tetamu yang datang bersama-sama suaminya yang tercinta.. Huh! Kontra betul perasaan yang aku alami pada majlis ini dengan majlis perkahwinan kawan karib aku yang di atas tadi. Nak tulis pos ni pun masih rasa sedih. Sedih-sedih, memang sedih, tetapi laicikang kat situ aku bedal bermangkuk jugak la.. Free food is always delicious.

Okay kita lupakan majlis yang pedih-sedih ini. Kita ke majlis perkahwinan yang ketiga pula. Majlis ini merupakan majlis perkahwinan anak kepada sahabat ayah serta ibuku. Cuma ombak emosi pada kenduri ini tidak sehebat badai emosi seperti dua majlis perkahwinan diatas. Cuba anda bayangkan, anda menghadiri majlis kahwin seseorang di mana tuan rumah itu anda sangat kenal dan selalu berjumpa dan tiba-tiba pada hari majlis itu anda berjumpa senior anda di U dahulu yang anda kurang gemar dan beliau merupakan anak kepada tuan rumah. Memang terkejut dan rasa pelik. Rasa macam tidak percaya, Inceptionkah ini? aku beberapa kali memandang ke arahnya supaya tidak tersilap pandang, tetapi aku rasa penglihatan aku masih baik dan aku yakin dengan apa yang aku lihat. Tidak sangka seniorku di U ini merupakan anak kepada kenalan ayah aku. Kelakar dan perasaan pelik bercampur aduk ketika menghadapi situasi ini. Walaubagaimanapun, pergolakan emosi akibat dari majlis perkahwinan insan yang aku admire itu cepat meredakan keterkejutan aku pada majlis yang ketiga ini.

Kesimpulannya, kita sememangnya tidak dapat mengawal peristiwa-peristiwa sebegini dari berlaku ke atas diri kita. Semuanya takdir yang telah ditetapkan ke atas kita oleh Allah S.W.T. Cuma yang kita mampu hanyalah berdoa ke hadrat Illahi supaya menetapkan takdir yang terbaik untuk kita dan jauhkan dari takdir yang buruk. Ya, semestinya ada hikmah perkara-perkara ini berlaku. Kita tidak tahu peristiwa-peristiwa buruk yang menimpa ke atas kita itu mungkin adalah takdir terbaik untuk kita dari Allah S.W.T. Dan adakah kita yakin peristiwa yang kita sangkakan baik yang menimpa ke atas kita itu adalah takdir yang terbaik dari Allah S.W.T?

Fasa Vakum

Apa itu fasa vakum? Fasa vakum adalah satu fasa di mana anda tidak melakukan apa-apa atau mempunyai sesuatu tanggungan atau kerja yang dipertanggungjawabkan di dalam satu tempoh. Anda berada pada mod neutral, bukan pada mod sibuk,atau mod stand by.

Diantara fasa vakum yang agak panjang yang bakal dialami oleh warga Malaysia yang standard ialah jangkamasa selepas SPM, satu tempoh dimana anda sudah tidak ada apa hendak dibuat, status pelajar sekolah sudah dilucutkan. Neutral, tiada apa-apa jawatan dan tanggungjawab (tidak termasuk tanggungjawab kepada agama dan ibubapa). Pada fasa inilah anda mengambil masa untuk merancang perjalanan hidup anda yang seterusnya sama ada menyambung pelajaran ke peringkat tinggi atau terus menceburi alam pekerjaan. Individu-individu pada fasa vakum ini tidak terikat kepada sistem hidup standard yang diluar sana. Tiada sistem hidup sebagai seorang pelajar, tidak juga sistem hidup orang-orang yang bekerja. Fasa vakum ini akan memberikan ruang dan masa untuk individu-individu ini memilih cara hidup yang tersendiri, tiada keterpaksaan. Sama ada memilih sistem hidup seorang abid yang mengisi masa senggang pada fasa vakum ini dengan aktiviti ibadah, ataupun memilih sistem hidup sebagai seorang samseng jalanan yang menyusahkan orang ramai. Tempoh fasa vakum lepas SPM ini selalunya selama empat bulan.

Jika anda memilih untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi, ini bermakna anda bakal menempuhi satu lagi fasa vakum, iaitu ruang masa disaat anda sudah disahkan sebagai graduan dengan masa disaat mulanya alam kerjaya anda. Tidak ada bezanya fasa vakum pasca-U ini dengan fasa vakum pasca SPM. Cuma fasa vakum pasca-U ni mungkin menjadikan anda berasa sangat malas untuk bergerak, dengan alasan, sekaranglah masa untuk bermalas-malasan sebelum sibuk di alam kerjaya nanti atau inilah masa untuk bermalas-malasan selepas berhempas-pulas dengan pelbagai tugasan-tugasan ketika di U dahulu.

Ya! Fasa vakum pasca-U ini benar-benar menjadikan aku seorang yang kurang produktif. Begitu memberatkan badan. Rutin harian lebih kurang sama saja. Bangun tidoq, makan, tolong sidai pakaian, layan movie, main PS2, makan, tidoq, angkat pakaian kat ampaian, main PS2, makan malam, pergi CyberCafe main CoD, balik tidoq (Hei, aku tak tinggal solatlah). Ingin juga menyertai aktiviti yang boleh mengeluarkan peluh seperti bermain tenis atau badminton tetapi malang, boleh dikatakan semua rakan-rakan yang boleh diajak untuk aktiviti-aktiviti sebegitu sebelum ini sudah tiada lagi disini. Semuanya sudah bekerja di luar Kedah dan kebanyakkan rakan-rakan sepermainan dan bual bicara ini sudah bertukar status hidup mereka, berkahwin. Tinggalah aku yang bujang ni sorang-sorang di Alor Setar. Bila mengimbas kembali saat-saat kenangan bersama rakan-rakan sepermainan dan sesekolah dulu, benar-benar sedih. Sedih kerana ia tidak akan berulang semula. Tinggalah ia menjadi sisa-sisa dan cebisan-cebisan emas didalam peti ingatanku.

Satu lagi aktiviti tambahan jika bila fasa vakum anda selari dengan cuti panjang sekolah iaitu kenduri kahwin (yang ini aku suka). Apa yang membuatkan aku suka sangat menghadiri kenduri kahwin ni? Bukan pasal makan sangat pun, sebenarnya aku ni jenis manusia yang akan automatik gembira jika melihat orang lain gembira dan bahagia. Jadi dengan menghadiri kenduri kahwin ni, aku dapat melihat kebahagiaan sang pengantin itu, jadi secara automatik ia dapat menggembirakan hati aku yang kadang-kadang dilanda ribut badai. Selain orang kahwin, kanak-kanak juga boleh menghiburkan hati aku. Dengan hanya duduk dan melihat mereka bermain dengan riang sambil makan ais krim benar-benar boleh menghilangkan tekanan aku. Satu lagi aktiviti yang boleh menghilangkan stress, aku suka makan ais krim atau apa-apa makanan ringan yang manis di ruang tamu sambil membuka pintu rumah seluasnya melihat pepohon hijau, ditemani pula lagu-lagu instrumental dan ambient, pergh! Memang mahsyuk! Keduanya, dengan menghadiri kenduri kahwin aku akan dapat bersosial dengan cara yang sihat. Pada saat inilah aku dapat bertemu dengan kenalan-kenalan yang sudah lama tidak jumpa, dan juga kenalan-kenalan yang dah jemu berjumpa sebab selalu sangat berjumpa.

Aku pernah mambaca satu artikel di sebuah akhbar tidak lama dulu, analisis yang dilakukan oleh beberapa orang pengkaji menunjukkan bahawa cuti yang terlalu lama atau tempoh rehat yang lama boleh menyebabkan daya fikir dan daya analisis kita menurun. Kalau tidak silap, cuti lama yang dikatakan itu lebih kurang seminggu lebih sahaja. Difikir-fikir balik, ada benarnya juga. Ketika fasa vakum ini aku lebih suka mencari aktiviti yang melibatkan proses penerimaan sahaja, seperti bermain game dan layan filem atau drama. Kurang melakukan aktiviti yang lebih bersifat mengkaji atau memberi (output) seperti menulis. Jumlah pos blog pada fasa vakum ini lebih kurang dari jumlah blog yang dipos ketika sibuk dengan tugasan-tugasan di U dulu. Mengapa ha? Lagi banyak masa kosong, lagi kurang produktif rasanya berbanding ketika sibuk.

Kerja sementara? Bukan aku tidak mahu mencari kerja sementara. Sudah dicari. “Kami hanya mahu wanita sahaja, jawatan kosong wanita 18-25 tahun, perempuan sahaja yang kami cari” Itulah diantara komen-komen yang diterima aku hampir setiap kali memohon kerja kosong di Alor Setar ni. Aarghh!! Apa, muka aku ni muka perompak ke? Aduss… Bengang-bengang balik rumah layan PS2 la jawabnya.

Walaubagaimana hampeh fasa vakum aku ni, hanya ada satu aktiviti yang membuatkan fasa vakum yang aku jalani ini sedikit bermakna, aku mempunyai banyak masa untuk menuntut ilmu dari ulama-ulama nusantara yang giat membangunkan ummah di Kedah Darul Aman ini. Sewaktu menghadiri satu majlis ilmu bersama Syeikh Nuruddin Al Banjari Al Makki, beliau ada memaklumkan bahawa beliau mahu membuka pondoknya di Bukit Pinang, daerah Pokok Sena Kedah. Tidaklah jauh sangat dengan Alor Setar ni. Kalau projek itu berjaya, Insya Allah maka bertambah barakahlah bumi Kedah ini dengan kelahiran ulama-ulama yang bakal dididik oleh Syeikh Nuruddin ini. Kadang-kadang aku terfikir, adakah aku akan berkesempatan menghadiri majlis-majlis ilmu ini apabila mula menjejakkan kaki ke alam kerja? Minta-minta janganlah kerja menghalang aku dari berdampingan dengan para ulama ini.

Alhamdulillah..! Akhirnya aku berjaya melepasi ujian terakhir untuk lesen memandu kereta dengan JPJ. Pada mulanya gementar juga melihat kemasaman wajah penguji JPJ yang lebih masam dari mangga muda tu. Hahaha… Akhirnya… Huh.. Sampai sekarang aku macam tak percaya yang aku dah lulus. Betulkah aku sudah lulus? Mimpikah aku? Adakah minda aku sedang digodam oleh Leonardo De Caprio (tonton Inception).

Rabu, 2 Jun 2010

Tiada tajuk 2


Cuti

Waargh! Bestnya cuti. Hmm banyak benda aku nak buat cuti ni. Tapi yang pasti, aku mahu habiskan senarai game-game ps2 yang dah masuk dua tahun tak habis main lagi. Terutama sekali Wild Arms 5 dan Shining Force EXA. .Hack GU volume 1 pun tak habis lagi, Shadow Hearts 2 lagi, arrgh banyaknya. Game-game jugak, tak lupa kuliah-kuliah pengajian percuma oleh ulama-ulama nusantara yang bercambah kat tempat aku ni, tapi kena rajin carilah dan ia penting untuk diri kita sebagai pedoman hidup dan santapan rohani. Apatah lagi meniti dunia sekarang yang penuh dengan cabaran yang sangat menggugat akidah kita. Fikir-fikir balik, terasa gerun hidup di zaman ini. Rindunya aku pada kehidupan zaman Rasulullah.



Pindah

Oleh kerana aku sudah berpindah dari rumah sewaku ke rumah sebenar lantaran sudah tamat pengajian (Kalau takdak matapelajaran sangkut la), agak lembaplah untuk aku mengemaskini blog ini kerana ketiadaan talian internet di rumahku. Kena pergi ke CC baru aku boleh kemaskini blog (kalau rajinlah).


Blog

Aku bercadang mahu membuka satu lagi blog khusus untuk menyiarkan karya-karya amaturku. Dalam blog itu aku akan menyiarkan hasil-hasil lukisanku yang dulu-dulu (zaman sekolah) sehinggalah yang terkini. Baru di peringkat cadangan.

Lembap

Masya Allah. Kebelakangan ini terasa sungguh badan ini sangat lemah, lembap, dan berat. Nampak sangat badan ini sudah berkarat lantaran sudah meninggalkan senaman agak lama. Semasa dalam kolej ringan sungguh badan ini kerana aktif bersukan dan bersilat. Tetapi sejak berpindah ke rumah sewa, perasaan malas sangat menguasai diri. Tak boleh jadi, aku kena aktifkan semula badan ini untuk mendapatkan otak yang cerdas!

K-On

Comel, Chibi, Moe, Kawaii.

Selasa, 16 Mac 2010

Berita?

Mungkin ada sesetengah dari anda tertanya-tanya apakah yang telah terjadi dengan blog aku ini. Adakah ini blog berita? Oh tidak. Seringkali aku membaca berita-berita yang aku rasakan amat penting bagi menambah pengetahuan aku. Dalam masa yang sama, tidak dapat tidak aku merasa bertanggungjawab untuk berkongsi berita ini dengan pelawat-pelawatku. Aku juga akan tiru dan tampal maklumat-maklumat berguna dari sumber-sumber lain ke blogku sebagai salah satu cara untuk mengemaskini blog aku di kala aku sesak dan tidak berkesempatan untuk menulis bebelan-bebelan terbaru.

Selasa, 16 Februari 2010

Yaarrghh!!


Akhirnya aku berjaya menyambar 9 Nyawa setelah terliur setiap kali melihatnya tersusun kemas di rak-rak kedai buku pada ketika fulus begitu cetek. Warrghaasafasfraw;lrm..!@!!


Selain itu. Aku juga sudah menyambar Iris. Sebuah drama Korea yang nampak macham mengancham setelah menonton secara tidak sengaja trailernya di you tube!!



Aku juga telah menyambar Linebarrels yang telah aku tunggu-tunggu sekian lama untuk ia menyerang Malaysia. I love Mechanime!

Dah Tukar


Gambar profile aku sudah ditukar, dari gambar peluru torpedo ke lukisan sendiri yang dilukis ketika LDK yang membosankan tak lama dulu dan diambil gambarnya dengan henpon I-Mobile aku yang dah rosak.

Ahad, 10 Januari 2010

Baru habis



Aku baru saja selesai mengkhatam Terasing karya Hilal Asyraf dan juga Tausug dan Kesultanan Sulu tulisan Asree Moro. Sekarang tengah menghabiskan Pendeta Gua Khayalan Kembara Lang Surya karya Masdalifadzlie M. Saaid dan Kenapa Aku Meninggalkan Syiah karangan Syeikh Al-Allamah Dr. Husain Al-Musawi. Aku akan ulas mengenai buku-buku ini dalam kemasukkan (entri) yang akan datang.

Isnin, 28 Disember 2009

Dah lama




Assalamualaikum dan Selamat sejahtera. Wah, nampaknya dah lama aku tak mengemaskini blog aku yang dah mula bersawang. Bukan apa, sebaik sahaja aku habis peperiksaan akhir tengah bulan sebelas hari tu, aku agak sibuk dengan pelbagai jenis aktiviti dan ini membataskan masaku untuk berblog. Sibuk nak raya haji, sibuk pergi mengaji kitab dan dengar kuliah-kuliah agama, sibuk jadi ustaz bidan terjun kat sekolah bapak aku mengganti seorang ustaz yang perlu pergi kursus apa tah, sibuk tolong-tolong kawan-kawan mak aku susun fail pelajar yang berlambak-lambak kat sekolah, sibuk membaca novel-novel dan buku-buku yang ada kat rumah aku, sibuk melayan filem-filem dan drama-drama Jepun yang aku salin dari cakera keras luaran dari kawan-kawanku sebelum balik bercuti, sibuk bermain game-game Ps2 yang dah dekat setahun lebih mula main tapi tak habis-habis lagi main (yang aku dah habis hanyalah satu saja, Killzone. Hari tu Battlefield 2 Modern Combat dah nak habis main, tiba-tiba pulak save game aku corrupt. Tekanan betoi!). Sebenarnya rumah aku tiada kemudahan internet, jadi sukarlah sedikit bagiku untuk mengemas kini blog ini. Jadi aku pergilah CC yang berdekatan dengan tempat aku untuk menggelamkan diriku ke dalam dunia maya yang tanpa sempadan.

Huh!! Sebenarnya bukan aku tak sempat nak kemaskini blog, selalu jugak aku pergi CC. Tapi aku pi main game, aku melepaskan segala tekanan aku dengan berperang habis-habisan dengan adik-adik aku dan kawan-kawan aku dalam COD: Modern Warfare. Memang penuh debaran kalau bermain ramai-ramai. Lagi cun kalau main secara berkumpulan. Habis segala taktik perang kami aplikasikan dalam pertempuran yang cukup sengit. Buat masa ini aku tak nampak lagi game-game FPS lain yang boleh menyaingi kualiti permainan Call Of Duty: Modern Warfare ni. Hari tu cuba main Farcry 2, uh.. tak boleh pi kalau main LAN. Kalau main kempen boleh tahan. Tapi bagi aku untuk main game LAN FPS yang terbaik, COD: Modern Warfare lah pilihan aku sebelum aku merasa Modern Warfare 2 pula.

Satu perkara lagi yang membuatkan aku begitu sibuk pada cuti ini ialah, kenduri! Ya! Musim cuti persekolahan juga lebih dikenali sebagai musim orang kahwin. Oleh kerana bapaku dan ibuku mempunyai kenalan yang begitu ramai ditambah lagi dengan status mereka sebagai guru, maka secara automatiknya banyaklah jemputan-jemputan yang kami terima setiap cuti-cuti persekolahan sebegini. Buat masa ini yang paling banyak adalah lima kenduri dalam satu hari. Peh!! Memang tak larat nak makan. Makan kenduri dah macam jadi satu pekerjaan pula. Habislah! Makin buncitla perut aku!
Musim cuti ni saja telah menyaksikan tujuh rakan persekolahan aku ketika sekolah rendah dulu dan seorang rakan sekolah menengahku melangsungkan perkahwinan bersama intan payung, jantung hati mereka. Aku selamba sahaja, pergi makan-makan, ambil-ambil gambar (yang perempuan aku tak la ambil gambar), pastu blah balik. Ada seorang kawan baikku sejak dari sekolah rendah, menengah dan sampai sekarang pun kami masih bersahabat, dengar-dengar kata dah ada jantung hatinya. Habis je kat USIM tu terus nak memadu asmara secara halal (kahwinlah..). Peh! Sedar tak sedar banyak juga kawan-kawan sekolah rendah dan menengah aku dulu yang dah jadi bapak dan mak orang. Jika aku fikir-fikir balik, kelakar pun ada. Ha..ha..ha!

Aku? Kahwin? Huh! Jangan ditanya soalan yang aku sendiri begitu kabur untuk menjawabnya. Tak termimpi aku nak kahwin dalam masa yang terdekat ini. Diri sendiri pun masih tunggang terbalik. Aku masih mahu menikmati zaman keterunaanku sepuas-puasnya.

Sabtu, 31 Oktober 2009

Tiada tajuk




Gunung Jerai



Bangun tidur lepas subuh dalam pukul 10.30 pagi. (Huh! Dalam dah tahu tidur lepas subuh tu tak elok, buat jugak!) Sesudah puas melayari bahtera mimpi, terus saja layan internet (kawan punya, dah buat macam harta sendiri pulak.) Buka harakahdaily, pastu muat turun gameplay World At War misi Black Cats kat youtube (ni misi kegemaran aku selain eviction). Format HD wo~r, lama jugak la nak muat turun. Sambil tu baca berita-berita terkini dari media kerajaan mahupun pakatan, dan juga media-media atas pagar. Tak ketinggalan juga isu-isu antarabangsa dari yang pro-barat mahupun pro-Islam.

Hmm... sambil-sambil tu, aku juga memantau dunia penulisan dalam negara jika ada karya-karya terbaru yang berupaya menarik perhatian aku. ADA!! Pendekar Lang Surya terbitan PTS. Melihat pada rekaan watak dan warnanya saja sudah mengujakan aku. Tetapi adakah isinya sebaik kulitnya? Jadi aku perlulah membelinya untuk mengetahuinya. Dalam masa yang sama juga aku sibuk bermain mesej dengan Luqmanul Hakim yang sedang dalam perjalanan dari rumahnya di Manjung menuju ke Sungai Petani . Dia merungut kerana bas baru yang dinaikinya berhenti di banyak tempat sedangkan syarikat bas mengatakan bas itu terus ke Sungai Petani. jadi lambat lagilah ketibaannya di S.P dari yang dijadualkan. Aku hantar mesej kat dia ' Ha..ha..ha! Hav a nice trip!'.

Tak lama kemudian aku terus mencapai motor Honda bulatku dan terus ke Sungai Petani. Oleh kerana lambat lagi ketibaan Luqmanul Hakim nih, aku meronda-ronda bandar Sungai Petani. Aku singgah di sebuah gerai bihun sup dan cendol bersebelahan dengan Petronas. Tanya saja kedai bihun sup atau cendol kat Petronas pada warga S.P, pastinya mereka tahu di manakah ia. Bihun supnya memang terkenal. Aku memesan bihun sup istimewa punya, berpasangan dengan air limau ais. FUH!! Memang sedap tak terkata pabila dijamah pada pukul 12 tengah hari nih. Inilah sarapanku merangkap makan tengah hari sekali.

Ini lah bihun sup dan limau ais yang aku santap itu.



Apabila perut kenyang, hati pun senang. Selepas itu aku membonceng Honda bulatku menuju ke pasaraya Giant. Sekadar melihat-lihat dan menghabiskan masa menunggu Luqmanul Hakim tiba. Setelah menjejakkan kaki ke Giant, aku ke kedai mynews.com melihat-lihat jika ada apa-apa yang patut aku beli. Yaa...! Memang ada! Mula-mulanya aku mencari jurnal Perajurit, jawapannya tak ada. Terus saja aku mengambil majalah Gempak isu 1 Nov dan majalah Libur. Aku suka majalah ni bukan apa, oleh kerana tahap imaginasi aku yang agak tinggi, dengan membaca majalah pelancongan dan percutian begini boleh membuatkan aku melancong secara bayangan maya! Dengan duduk di ruang tamu di rumah sewa aku, aku berupaya melancong ke mana sahaja di dunia ini dengan majalah itu dengan kelebihan khayalan aku yang tinggi ini. (Merapu sungguh!)

Tiba-tiba saja aku terpandang dua buah komik keluaran KOMIK-M, Kad Raya dari Syurga dan KOMIK-M Raya. Apa lagi, terus saja aku menyambar kedua-duanya sekali tanpa memikirkan berapakah fulus yang berada dalam kocekku. Walaupun ini adalah edisi raya aidilfitri yang sudah lepas, tapi takpa, kita guna untuk raya haji pulak. Tiba-tiba bebola mata hitamku tertangkap kepada senaskhah novel terjemahan John Grisham; The King Of Torts juga dari PTS. Harganya dekat-dekat RM 30. Macam mana ni? Nak sambar ke tak? Setelah difikir berulangkali aku rasa hari lainlah aku sambar, memandangkan keadaan fulusku yang tak kukuh. Lama jugak lah aku dok pi mai- pi mai tang tu kat kedai tu dok pikir nak ambik ke tak.




Lepas tu aku terus masuk ke Giant meronda-ronda melihat barang. Tiba-tiba aku ternampak DVD Avalon arahan Mamoru Oshii (Ghost In The Shell, Innocence, The Sky Crawlers). Apa lagi, terus saja aku sambar. Aku dah ada filem ni dulu, tapi disk dia dah rosak. Ni merupakan salah satu filem kegemaran aku sepanjang zaman. Tiba-tiba Luqmanul Hakim menghantar mesej memberitahu bahawa dia sudah turun berdekatan dengan Giant di mana tempat aku berada sekarang. Kemudian aku pergi mengambil dia dan terus pulang ke rumah sewa kami.



Tamat