Isnin, 20 Disember 2010

Satu hari, Tiga Majlis, Tiga Emosi




Yarghh! Dua hari lepas telah membina satu cebisan peristiwa yang sesuai untuk disusun di rak peti ingatan aku pada peringkat emas, paling diingati. Satu kenangan yang tidak akan luput ditelan esok, Insya Allah.


Apakah peristiwa itu? Satu hari yang diisi dengan tiga buah majlis perkahwinan yang berstatus wajib untuk aku hadiri. Tiga buah majlis perkahwinan yang menghadirkan limpah perasaan yang berbeza antara satu sama lain. Kita pergi ke majlis yang pertama:

Majlis perkahwinan yang pertama aku hadiri pada awal pagi ialah majlis perkahwinan seorang sahabat yang telah kukenali sejak dari darjah satu sehingga sekarang. Beliau seorang lelaki dan aku amat rapat dengannya, malah hubungan diantara keluarga kami juga rapat. Segala macam suka duka sudah ditempuhi bersama. Rasanya tak payahlah aku senaraikan suka dan duka itu kerana ia akan memakan mukasurat yang berkajang-kajang.

Pada mula perkenalan sewaktu darjah satu dahulu, kami berada tahap yang sama, tetapi sekarang jauh beza tahapnya dengan aku. Seorang yang berpendidikan tinggi, sudah berkerjaya lagi. Mempunyai kereta baru yang masih mempunyai bau kedai yang dibeli dengan duit sendiri, dan kerjayanya juga bukanlah calang-calang kerana beliau seorang pakar programmer komputer. Berbanding aku, seorang graduan segar yang tidak mempunyai sesen fulus pun di dalam poket serta seorang penanam anggur yang berjaya. Huh! Beli motor terpakai pun kena hutang kat mak.

Beliau sebaya dengan aku. Aku sangat-sangat gembira di atas perkahwinannya, Huh! Siapa tidak gembira sahabat karib kahwin. Dalam masa yang sama juga ada perasaan kelakar sedang menggeletek hatiku, kerana apa? Membandingkan saat nakal dahulu bersama-sama beliau dengan keadaan beliau sekarang, macam tidak percaya! Cepat sungguh masa berlalu. Ada juga perasaan sedih bermain di hati mengenangkan yang pola perhubungan kami sudah tentu tidak seperti dahulu lantaran dia sudah mempunyai tanggungjawab baru. Selesai sahaja melahap dua pinggan hidangan kenduri yang sangat sedap itu, aku bersama-sama dengan keluargaku yang tercinta terus berangkat menuju ke destinasi seterusnya.


Majlis yang kedua ini juga adalah majlis perkahwinan seorang rakan sekolah, sekali dengan sahabat yang diatas tadi. Muda setahun dari aku. Seorang perempuan. Majlis inilah yang rasanya paling ganas menyentuh emosi aku. Adakah kerana dia sahabat karibku seperti yang diatas? Oh tidak, malah aku tidak pernah sembang sepatah perkataan pun dengannya sehingga sekarang. Dia adalah seorang insan yang aku admire sejak pandang pertama di sekolah rendah sehinggalah SEKARANG. Seorang wanita yang lengkap dengan pakej wanita idaman. Seorang yang sangat cantik, berakhlak mulia, anak kepada seorang ahli perniagaan berjaya yang kaya-raya, kegemaran guru-guru di sekolah akibat budi pekerti yang baik, pintar, berketurunan mulia, dan mempunyai nama yang sedap. Panggil nama panjang pun sedap, panggil nama pendek pun sedap.

Sebelum menghadiri majlis perkahwinannya, aku masih berfikir-fikir adakah aku perlu menjejakkan kaki ke majlisnya jika kehadiran aku itu bakal menghiris hatiku yang sudah berdarah tatkala dimaklumkan berita perkahwinannya beberapa minggu sebelum itu. Tetapi apakan daya, aku tidak berupaya untuk menolak dari menghadiri majlisnya kerana beliau dengan ibuku memang rapat. Ibu serta bapaku merupakan gurunya di sekolah dahulu, juga guru kepada kakaknya, guru kepada adik-adiknya juga. Nanti aku tidak pergi apa pula alasan aku nak beri kepada ibuku? Alasan tidak mahu pergi kerana aku kecewa insan yang aku admire kahwin? Huh! Malu aku pulak nanti. Tidak ada alasan untuk aku menolak kerana aku terpaksa juga pergi ke kenduri sahabat karib aku yang awal tadi sebelum menghadiri majlisnya pula.

Maka akhirnya, terpaksalah juga aku menggagahkan kaki aku menghadiri majlisnya dengan perasaan yang sedikit sakit, pedih dan cemburu (sedikit ke?). Apatah lagi bersalam dengan suaminya pula. Huh..! (dan aku beramah mesra la dengan suaminya dengan hati yang pedih).Tetapi melihat dia bersama suaminya, aku terpaksa akur dan mengakui, mereka memang sekufu. Suaminya kacak dan bergaya, nampak seperti budak baik yang beragama dan kaya, sesuai sangatlah dengan dia.. Memang aku tidak setanding dengan dialah.. Jika difikir-fikir balik, memang aku tidak secocok langsung dengannya. Memang tidak sekufu dari semua sudut... Biarlah.. itu jodohnya.. Jodoh yang baik adalah untuk manusia yang baik (ayat sedapkkan hati).

Walaubagaimana banyak madah yang aku cipta untuk cuba sedapkan hati, aku tetap manusia biasa juga. Aku tetap menghirup laicikang yang dihidang di dalam majlis itu dengan perasaan yang terluka. Melihat laicikang didalam mangkuk itu seolah-olah melihat air mata aku sendiri. Luka yang terluka itu terus terluka apabila melihat dia tersenyum manis melayan tetamu-tetamu yang datang bersama-sama suaminya yang tercinta.. Huh! Kontra betul perasaan yang aku alami pada majlis ini dengan majlis perkahwinan kawan karib aku yang di atas tadi. Nak tulis pos ni pun masih rasa sedih. Sedih-sedih, memang sedih, tetapi laicikang kat situ aku bedal bermangkuk jugak la.. Free food is always delicious.

Okay kita lupakan majlis yang pedih-sedih ini. Kita ke majlis perkahwinan yang ketiga pula. Majlis ini merupakan majlis perkahwinan anak kepada sahabat ayah serta ibuku. Cuma ombak emosi pada kenduri ini tidak sehebat badai emosi seperti dua majlis perkahwinan diatas. Cuba anda bayangkan, anda menghadiri majlis kahwin seseorang di mana tuan rumah itu anda sangat kenal dan selalu berjumpa dan tiba-tiba pada hari majlis itu anda berjumpa senior anda di U dahulu yang anda kurang gemar dan beliau merupakan anak kepada tuan rumah. Memang terkejut dan rasa pelik. Rasa macam tidak percaya, Inceptionkah ini? aku beberapa kali memandang ke arahnya supaya tidak tersilap pandang, tetapi aku rasa penglihatan aku masih baik dan aku yakin dengan apa yang aku lihat. Tidak sangka seniorku di U ini merupakan anak kepada kenalan ayah aku. Kelakar dan perasaan pelik bercampur aduk ketika menghadapi situasi ini. Walaubagaimanapun, pergolakan emosi akibat dari majlis perkahwinan insan yang aku admire itu cepat meredakan keterkejutan aku pada majlis yang ketiga ini.

Kesimpulannya, kita sememangnya tidak dapat mengawal peristiwa-peristiwa sebegini dari berlaku ke atas diri kita. Semuanya takdir yang telah ditetapkan ke atas kita oleh Allah S.W.T. Cuma yang kita mampu hanyalah berdoa ke hadrat Illahi supaya menetapkan takdir yang terbaik untuk kita dan jauhkan dari takdir yang buruk. Ya, semestinya ada hikmah perkara-perkara ini berlaku. Kita tidak tahu peristiwa-peristiwa buruk yang menimpa ke atas kita itu mungkin adalah takdir terbaik untuk kita dari Allah S.W.T. Dan adakah kita yakin peristiwa yang kita sangkakan baik yang menimpa ke atas kita itu adalah takdir yang terbaik dari Allah S.W.T?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan