Jumaat, 14 Januari 2011

Natrah, Cinta. Rusuhan, Air Mata


Sedih, marah, dan sangat terkilan. Itulah gelora perasaan aku ketika meniti setiap detik menatap helaian-helaian kisah cinta tragik ini. Sedih mengenangkan saat-saat ketika Natrah disuntik dengan sejenis cecair sehingga tidak sedarkan diri untuk meleraikannya dari ibu angkat kesayangannya, Che Aminah. Sedih mengenangkan kekecewaan serta tangisannya untuk tidak berpisah dengan Che Aminah. Sedih apabila beliau dipaksa berpisah dengan suaminya yang sah.

Aku juga sangat MARAH apabila beliau dipaksa murtad oleh pihak Belanda dan British. Sangat MARAH apabila akhbar-akhbar pro-penjajah menyiarkan berita-berita serta gambar yang menghina Islam dan umat Islam yang memperjuangkan isu Natrah. Marah apabila ada pemimpin sebuah parti terbesar Melayu pada ketika itu menganggap isu Natrah itu tidak penting dan mengingatkan ahli-ahlinya agar tidak masuk campur. Boleh dia cakap begitu, sedangkan kes ini sudah melibatkan pelanggaran jelas hukum-hukum Islam serta norma-norma kemanusiaan. Mata hati letak di mana? Malahan umat Islam di Pakistan, di Indonesia, selain dari seluruh Tanah Melayu juga turut memperjuangkan isu Natrah ini.

Terkilan. Sangat terkilan apabila Natrah terus-terusan dalam kekeliruan dalam mencari erti hidup setelah pemurtadan tanpa kerelaan itu dipaksakan keatasnya oleh pihak Belanda. Ditambah lagi dengan layanan buruk oleh ahli keluarga kandungnya sendiri menyebabkan beliau semakin keliru dan terus keliru dalam mencari hidayah Allah. Di sini juga satu bukti jelas telah dapat dilihat, bukti yang sudah disebut didalam Al-Quran dan juga oleh Baginda Rasulullah SAW berabad yang lepas. Sesungguhnya para musuh-musuh Islam itu akan sentiasa berkerjasama antara satu sama lain dalam memusnahkan umat Islam.

Kita dapat lihat bagaimana kerajaan Belanda dan British saling bekerjasama dalam memastikan kes Natrah akan dimenangi oleh mereka dan seterusnya menjatuhkan maruah umat Islam. Ingat, baru-baru ini telah terbocor satu dokumen sulit yang mendedahkan tentang pertemuan rahsia diantara pegawai-pegawai Amerika dengan China yang membincangkan secara SERIUS tentang rancangan-rancangan mereka untuk memastikan negara Indonesia kekal dalam pemerintahan sekular dan terus mensekularkan mana-mana rakyat Indonesia yang kuat berpegang kepada agama Islam. Mengapa mereka boleh berbincang dengan baik dan ramah sedangkan kedua-dua negara itu amatlah berbeza dari segi ideologi politik dan corak ekonominya (Demokrasi dan Komunis). Tetapi itu tidak akan menjadi satu kehairanan jika kita mengkaji asal-usul dari mana datangnya kedua-dua fahaman itu dan mengapa ia diwujudkan.

Bagi aku, isi didalam buku biografi Natrah ini boleh dibahagi kepada dua sisi. Sisi pertama adalah fakta yang sebahagiannya disokong dengan salinan-salinan dokumen yang menguatkan isi buku ini, dan sisi kedua adalah isi hati dan pendapat pengarang sendiri, iaitu saudari Fatini Yaacob yang kadang-kadang membuatkan aku tidak seperti membaca buku biografi, tetapi seperti membaca novel sejarah pula. Tetapi itu membuatkan pengkisahan semula tragedi Natrah ini menjadi lebih menarik dan emosional. Cumanya kadang-kadang aku terasa pendapat Fatini Yaacob itu dimasukkan tidak kena pada tempatnya. Hmm.. Untuk aku huraikan keseluruhan buku ini, rasanya huraian itu sangatlah panjang kerana buku ini memang tebal dan padat. Juga terdapat gambar-gambar mereka-mereka yang berperanan pada masa itu dari kedua-dua belah pihak. Walaubagaimanapun, aku rasa inilah laporan terlengkap berkenaan Natrah yang pernah aku baca buat masa ini. Percetakannya sangat berkualiti dan sangat berbaloi untuk dijadikan koleksi peribadi, ilmiah atau rujukan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan