Isnin, 17 Januari 2011

Andy Blueman



Yaargh!! Ini seorang lagi komposer trance yang gila! Jika trance-trance ATB, Armin, dan Sammy dikelaskan dalam genre uplift trance, tetapi Andy Blueman tidak. Kedatangannya dalam dunia trance telah membuka satu genre baru didalam trance, iaitu Hyper Uplift Trance. Ia dipanggil begitu kerana tahap high dia atas sikit atau lebih emo berbanding uplift trance dan mempunyai susunan yang senang membezakannya dari uplift trance.

Satu lagi pembaharuan yang dibawanya dalam genre uplift trance ialah rencah emotional breakdownnya yang telah membuka satu kelompok baru komposer-komposer trance seperti Daniel Kandi, Soundlift, Ciro Visone (sekadar menyebut beberapa nama) yang menggunakan teknik emotional breakdown seperti yang dilakukan oleh Andy bagi menawan para pendengar. Cuma yang membezakan antara komposer-komposer generasi baru ini ialah teknik dan kemahiran mereka mengadun melodi emotional breakdown itu. Tetapi kebanyakkan tempoh emo-break yang diadun Andy menggunakan melodi orkestra. Kelainan adunan emotional breakdown inilah yang membeza-bezakan trance-trance kelompok baru ini. Genre trance yang dibawa Andy juga dikenali sebagai orchestral trance.

Keistimewaan trance Andy ialah kekreatifannya dalam menyusun bunyian orkestra disamping bunyi synthesizer atau elektronik dan menghasilkan satu melodi trance yang tidak pernah terdengar bagi peminat muzik trance khususnya sebelum kemunculan beliau ke persada muzik trance pada 2007 melalui track sulungnya Nyctalopia dibawah label Percepctive Record. Tetapi yang lebih membuatkan aku sedikit kagum dengan Andy Blueman atau nama sebenarnya Anvicdrej Komato yang berasal dari Slovenia ini adalah beliau masih lagi muda ketika menceburi arena trance berbanding komposer-komposer trance lain yang ternama dan berpengalaman seperti ATB, Armin, Sash dll, tetapi hasil-hasil kerjanya amatlah berkualiti dan setanding dengan komposer-komposer trance yang sudah senior. Tidak salah rasanya kalau aku kata komposer trance nombor satu dunia ketika ini iaitu Paul Van Dyk pun tak sedap mana berbanding trance Andy. Ditambah lagi beliau tidak mengikuti pelajaran rasmi dan tiada langsung belajar asas muzik sebelum menceburi dunia muzik. Hanya belajar secara sendirian sahaja. Tetapi susunan rentak orkestranya pada saat-saat emotional breakdownnya memang hebat dan sangat menyentuh perasaan. Seolah-olah seorang komposer muzik orkestra yang profesional, padahal usianya baru menjangkau 29 tahun pada 2010 ini.

Agak senang untuk mengenali pattern atau corak trance hyper uplift yang dipelopori Andy ini, selalunya track mereka dimulakan dengan upbeat, kemudian beransur-ansur pre-emotional breakdown mula kedengaran, pada saat ini yang akan membeza-bezakan stail atau identiti seseorang komposer Hyper Uplift. Cara Andy, selepas pre-emo, pada satu saat beliau akan terus mengalunkan rentak orkestranya buat beberapa ketika, pada ketika inilah ia akan menyentap deria seni kita dan terus diheretnya ke kemuncak emotional-breakdown dengan kemasukkan semula rentak terasnya pada tempoh upbeat tadi dan pada masa ini akan berlaku sedikit perubahan pada rentak core itu untuk disesuaikan dengan rentak orkestra yang menerajui sesuatu track itu. Selepas membawa kita ke dunia yang indah maka tempoh downbeat mula beransur-ansur mengambil tempat. Kiranya corak asas Hyper Uplift Trance ini mulanya upbeat, emotional breakdown, dan akhirnya downbeat.

Bezanya dengan uplift trance generasi ATB dan Dash Berlin ialah, pattern atau corak trance mereka tidak sama dengan Hyper Uplift, tidak tetap. Kadang-kadang emotional breakdown pada mula-mula sekali baru masuk upbeat, kadang upbeat dulu, lepas itu emotional breakdown,upbeat balik, kemudian sambung dengan emo-break balik. Kalau ATB, diantara keunikan trancenya ialah mula-mula rentak lain, kemudian apabila tracknya mula mencapai 50% keseluruhan masa mainnya, rentaknya terus bertukar secara total, lain habis-habisan, tetapi masih menggunakan rentak teras yang sama, ini kita boleh nampak pada lagu Beautiful World dan Night Watch. Satu lagi yang membezakan uplift trance dengan hyper uplift ialah pada adunan emotional breakdownnya. Emo-break Hyper uplift mempunyai banyak lapis rentak dan lebih bersifat epik dan sangat-sangat menyentap perasaan kita. Manakala lapisan rentak pada emo-break uplift tidak ada banyak lapis, tetapi lapisan yang tidak banyak itu digoreng habis-habisan, jadi rentaknya kedengaran agak ringkas dan tidak memberi sangat perasaan epik kepada kita tetapi masih lagi dapat menyentuh perasaan, tetapi tidak sehebat emo-break Hyper Uplift. Sesetengah uplfit tidak ada langsung emo-break, seperti trance-trance Armin. Walaupun begitu ia masih sedap didengar dan rasa senang dan selesa. Bezanya diantara kedua-dua genre ini lebih kurang seperti diantara bunyi mono dan stereo la. Selalunya mereka yang layan uplft trance akan automatik menyukai Hyper Uplift.

Untuk melayan lagu uplift dan hyper uplift ini memerlukan sedikit kesabaran, kerana ia bukanlah lagu-lagu pop seperti lagu Bunkface, Adam atau Stacy. Ia satu genre muzik yang jauh berbeza konsep dengan lagu-lagu pop ini. Ia memerlukan sedikit masa untuk menarik mood kita masuk kedalam emo-break itu. Selalunya lagu-lagu genre ini panjang, paling pendek pun mungkin lima minit, tetapi selalunya lebih dari itu. Ada yang sampai sepuluh minit lebih.

Andy Blueman telah berjaya mencipta kelompok komposer-komposer Trance generasi baru yang membawa rencah yang lebih segar dalam karya mereka. Revolusinya juga telah merubah susun atur muzik uplift trance yang sedia ada menjadi lebih dinamik dan progresif, ini dapat dilihat pada trance-trance Daniel Kandi, Soundlift, Sky Motion, Mohammed Ragab, Akira Kayosa, Nery, Ahmed Atef dll, (Andy Bluemanlah yang membantu Ahmed Atef pada pertama kali Ahmed berurusan dengan syarikat penerbit trance).

Hmmm... tetapi ada berita buruk buat para peminat Andy Blueman. Pada 29 Disember 2010 yang lalu beliau telah mengumumkan di blog peribadinya bahawa beliau akan meninggalkan dunia trance. Beliau sudah hilang minat dan motivasi didalam dunia trance. Huuu... sedih jugak aku. Beliau memberitahu bahwa minat beliau yang sebenar ialah membuat muzik-muzik runut untuk filem. Dan beliau menyatakan beliau mungkin akan serius untuk menceburi dalam bidang muzik runut ini pada masa hadapan. Tetapi memandangkan kemahiran beliau sewaktu mengadun rentak orkestra, aku yakin bahawa beliau ada masa hadapan yang cerah dalam bidang ini.


Sekarang mari kita layan salah satu lagu Andy Blueman yang diberi nama Neverland. Dengarkan bagaimana Andy memasukkan unsur gendang timur dan sebuah alat muzik tiup armenia didalam emotional breakdownnnya. Dan sebuah lagi mahakaryanya The World To Come. Sila layan menggunakan headphone, lagi mahsyuk, meremang bulu roma wo~r!





Tiada ulasan:

Catat Ulasan