Sabtu, 25 September 2010

Dash Berlin


Akhirnya, aku terjumpa juga seorang komposer trance yang boleh menyaingi atau setanding ATB bagi aku. Namanya Dash Berlin, albumnya yang pertama diterbitkan pada October 2009. Apa yang aku boleh katakan di sini, trance-trancenya memang dahsyat dan hebat, tak tahu macam nak cerita. Boleh kata hampir semua track-track di dalam The New Daylight mempunyai keunikan tersendiri. Aku pun tak tahu nak kata track mana yang paling memikat jiwa, semuanya unik. Diantara yang aku mahu ceritakan di sini ialah track Believe In You, di mana Dash bergabung dengan Sarah Howells Secede. Dengarkan bagaimana seninya Dash mengadun muzik pada peringkat buildup Believe In You (Peringkat permulaan lagu trance dipanggil buildup, manakala tempoh penyejukkan dipanggil breakdown), ambient habis! Digabungkan pula dengan suara Sarah Howells yang mashyuk, phuh!. Sedih je rasa track ni.

Kebanyakkan trance-trance Dash dalam album ini berentak sedih. Cuba layan Waiting di mana vokalnya dilagukan oleh Emma Hewwit. Memang sedih, Dash juga menyulam bunyian piano pada track ini yang akan menjadikan Waiting lebih menyentuh jiwa, dan ia dapat didengari pada minit ke 1.29 sebelum ia menjadi rancak semula dengan bunyian synthesizer dan kemasukkan beat. Lagu Never Cry again juga memang ….. huh! Aku pun tak tau nak kata apa. Lagu ni ada dua versi, satu versi asli (original) dari Dash Berlin, kedua diadun semula oleh Jorn Van Deynhoven. Lagu yang sama, tapi penghayatan yang berbeza di antara dua versi ini. Versi Jorn lebih rancak, hard beat dan bersifat epic. Manakala versi Dash lebih santai, tenang dan sedih. Apa-apa pun aku suka kedua-dua versi!!

Kesimpulannya, Dash berjaya memikat aku dengan trance upliftnya yang unik dan ada identitinya yang tersendiri. Sebenarnya banyak lagi komposer-komposer trance yang dahsyat-dahsyat seperti Dash Berlin, ATB, Sash dan Armin. Ada masa aku akan kongsikan lagi.Caloo!


Kita layan dulu Believe In You!


TWIN X



PPPEHH!! Tiada apa yang aku dapat katakan tatkala mengikuti siri TWINX ini yang sudah masuk sehingga isu ketiga ini melainkan kekaguman tahap tinggi. Memang dahsyat lukisan-lukisan mekanikal yang dipersembahkan oleh saudara Pac siap ada penerangan lagi, penerangan yang kalau siapa tak tahu berkenaan hal-hal mekanikal dan jentera memang tak tahu kena tipu bulat-bulat. Haha..! Sebenarnya aku pun tak tahu betul ke tak yang apa saudara Pac terang tu, kiranya aku pun memang tak tahu sama ada dia kelentong atau tidak. Haha…! Mungkin saudara Azrul Jaini tahu kot, penjana magentik tolak balik berempatlah, penjana magnetik simplex lah, positron cannonlah, aku pun tak tahu ada betul ke tak benda-benda ni, tapi memang sejuk! (cool!).

Jalan cerita


Jalan ceritanya dirancang dengan agak teliti dan berkembang dengan sekata dan diselit dengan pergolakan emosi yang berjaya untuk aku memahami perasaan mereka seperti betul, terutamanya detik-detik debar ketika koloni A.C.R.M 90 diserang dan dimusnahkan oleh sebuah mobile armour yang tidak diketahui. Pac berjaya menghidupkan suasana kekalutan yang berupaya membuatkan aku seperti berada di situ, dan aku juga terasa perasaan marah serta cemas ketika Aizam melihat koloninya telah musnah. Mana tak marah, ahli keluarganya ada di situ. Peristiwa ini juga mengingatkan aku babak koloni Junius 7diserang oleh Earth Alliance dengan ratusan misil nuklear yang mencetuskan konflik hebat diantara ZAFT dan Earth Alliance dalam Gundam Seed.

Aku juga teringat satu babak di mana Orbital elevator dimusnahkan Gundam 00 + Raiser di mana serpihan-serpihannya yang besar menghempas permukaan bumi pada ketika peperangan berkecamuk hebat diantara Celestial Being dengan musuh-musuh mereka yang akhirnya mereka terpaksa melupakan sekejap pertempuran diantara mereka dan bersatu untuk mengurangkan serpihan-serpihan Orbital Elevator itu dari menghempas bumi untuk mengelakkan kematian orang awam. Yang ini adalah di antara babak yang paling mendebarkan dalam Gundam 00 Musim ke 2 bagi aku.

Konflik bertambah parah apabila Aizam dapat mengesan mobile armour yang telah menyerang kolni tempat tinggalnya, dan dia berasa amat terkejut kerana Mobile Armour itu sama dengan miliknya. Maka bermulalah konflik dan pertempuran di antara mereka. Siapa sebenarnya pemandu mobile armour itu dan kenapa tiba-tiba sahaja dia menyerang ACRM90? Nak tahu jawapannya kenalah sambar tiga-tiga siri ini. Dan isu ketiga ini bukanlah penamat ceritanya, dan ia akan bersambung.

Memang layak komik ini memenangi anugerah Komik Terbaik 2010 dari Pekomik. Aku sangat tertunggu-tunggu jika ada sesiapa yang berminat untuk menganimasikannya, tapi tak mahulah animasinya buat loleh-loleh. Buat elok-elok ha!! Kalau boleh grafik mahu macam Gundam 00. Phuh!!


Tambahan: Lukisan kesan khas letupan, dan peluru dalam Twinx agak kurang memuaskan dan memberi kesan. Kelihatan letupan-letupan yang terhasil seperti asap putih yang berkepul-kepul sahaja dan mengurangkan kesan dramatik sewaktu babak letupan itu berlaku, manakala peluru laser pula sepatutnya ditambah kesan (effect) outerglow supaya dapat memberi lebih impak pada babak pertempuran.

Satu lagi, lukisan-lukisan bangunan dan struktur mekanikal itu kalau boleh janganlah terlalu bersih sangat, baru ada unsur-unsur realistik. Ada bahagian yang perlu bersih dan ada juga bahagaian yang perlu ada sedikit kesan burn (karat,sedikit calar-calar, lumut ke... gitulah).

Ini sekadar saranan sahaja.

Ahad, 5 September 2010

Apa isunya?




Entri ini sebenarnya sudah lama ditaip, tetapi aku masih berfikir-fikir mahu menerbitkannya atau tidak. Setelah difikir agak mendalam, aku mengambil keputusan untuk menerbitkannya atas alasan-alasan yang aku tidak mahu beritahu. Maaf jika bahasanya sedikit kasar.

___________________________________________________________________________________

Orang bukan Islam tidak boleh masuk ke dalam masjid? Kerana mencemar kesucian Islam? Tidak menutup aurat? Berhadas besar? Apa yang hangpa merepek ni? Habis tu Sayidina Omar Al Khattab masuk Islam di depan Rasulullah di mana? Habis tu Kristian Najran yang mahu menemui Baginda Rasulullah untuk berhujah dengan baginda berkenaan kenabian di mana? Seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Ishak (Lihat buku Religious Minority From Shariahs Perspective oleh Dr Yusuf Al Qardhawi).

Ohohoho..! Habis tu mereka semua yang bukan Islam tu bukan berhadas besar ke? Habis tu setiap kali upacara akad nikah di masjid yang disertai oleh beberapa wanita muslim yang tidak menutup aurat di dalam masjid tu apa cerita? Hukum menutup aurat tu wajib ke atas siapa sebenarnya? Habis tu hasil keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-90 yang bersidang pada tahun 1 Mac 2010 hangpa mahu tendang ke mana?

Berkenaan tidak membenarkan orang bukan Islam tidak boleh masuk ke masjid dan ruang solat atas alasan mahu menjaga kesucian agama Islam tu atas hujah apa sebenarnya? Islam yang diturunkan oleh Allah SWT ke atas umat manusia ini sudah lengkap. Faham tak maksud lengkap tu? Lengkap dengan semua aspek (tak payah kot aku nak huraikan di sini kerana kita semua sudah sedia maklum) termasuklah aspek-aspek yang menjaga kesucian agama Islam itu sendiri. Maksudnya Islam itu juga dilengkapi dengan aspek-aspek keselamatan (security) untuk menjaga kesuciannya dari ternoda, dan sistem keselamatan itu akan terjana dengan automatik jika kita ikut saja segala perintah Allah melalui Al Quran dan Al Hadis dengan ikhlas. Segala-galanya yang dibenarkan dan dilarang oleh Islam itu adalah sudah cukup untuk menjaga kesucian Islam dari dinodai tanpa perlu dirombak oleh manusia.

Jadi jika kita melanggar sesuatu yang telah dilarang oleh Islam itu atau mengharamkan sesuatu yang telah halal dalam Islam, maksudnya secara automatik juga kita telah mematikan sistem keselamatan yang menjaga kesucian agama Islam dan membuatkan Islam nampak BURUK! Walhalnya Islam tidak mengajar apa yang kita lakukan itu. Kita yang BURUK itu! Dua dosa kita dapat, dosa melanggar larangan agama dan dosa memberi tanggapan yang buruk ke atas agama Islam.
Jika Islam membenarkan masjid boleh dimasuki oleh orang bukan Islam, ini bermakna masuknya seorang yang bukan Islam itu ke dalam masjid itu tidak langsung mencemarkan kesucian Islam. Jadi siapa yang mengada-ngada mengatakan orang bukan Islam yang masuk ke dalam masjid dengan niat yang baik itu sebagai mencemar kesucian Islam itu sebenarnya telah mengharamkan sesuatu yang telah dihalalkan oleh Islam.

Setiap sesuatu yang dibenarkan dan diharamkan oleh agama Islam itu ada hikmah disebaliknya. Begitu juga dengan kebenaran ke atas orang bukan Islam yang mahu masuk ke dalam masjid, tentu ada hikmahnya. Terutama dalam aspek dakwah, ini akan memberi mereka peluang melihat bagaimana umat Islam beribadat dan membuka hati mereka untuk mengenali Islam dengan lebih dekat.

Jadi? Apa ISUNYA? Amat malang ada pula individu yang terus marah dan menjatuhkan hukum atas nasihat sebelah pihak tanpa mendengar pendapat sebelah pihak lagi. Perlukah aku membuka kembali kisah mengenai keadilan hakim di dalam kes Sayidina Umar Al Khattab dan perisainya itu? Tepuk dada, tanyalah Iman.