Memaparkan catatan dengan label Ledakan ilham seni. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ledakan ilham seni. Papar semua catatan

Sabtu, 16 Jun 2012

Senja datang, aku terbang

Yargh, aku baru saja tukar gambar intro di atas. Lukis sendiri ya, termasuk dengan background tu sekali. Cis! Aku memanglah sangat amatur dalam mewarna ni.

Untuk versi gambar penuh, sila tekan butang Night Aves C di sebelah kanan ni ha..

Isnin, 11 Jun 2012

Misi 10A Plus



Baru saja menghabisi komik ini. Apa yang boleh dikatakan, gandingan Afiq dan Nazry dalam menghasilkan komik memang tidak mengecewakan. Serius, setiap naskhah siri Komik yang dihasilkan oleh mereka membuatkan aku tidak berasa rugi membelinya.

Misi 10A menyambung kisah Aizad dan Zahid di Maktab Rendah Sains Mara Alor Gajah. Kali ini Zahid dan Aizad menghadapi cabaran yang tersendiri, bukan lagi tentang peperiksaan, tetapi dua pertandingan yang berbeza. Zahid akan bertanding di dalam pertandingan kuiz matematik peringkat sekolah, manakala Aizad pula akan menghadapi pertandingan silat. Satu kepintaran otak untuk mendapatkan jawapan, satu lagi memerlukan kekuatan fizikal yang maksimum untuk mendapatkan mata.

Apa yang pasti, kali ini Misi 10 Plus ini menunjukkan banyak kemajuan dan kematangan di dalam lukisan Afiq. Ceritanya pula jangan dicerita, memang layan, memang sempoi (kata orang Kedah) Syabas Nazry! Dalam banyak-banyak komik buatan 100% Malaysia, komik Afiq dan Nazry ini di antara yang berbaloi untuk dibaca berulang-ulang kali. Selain itu, Misi 10 Plus didatangkan dalam bentuk yang bewarna! Tetapi harganya (rega kata orang Kedah) murah saja! RM8.90. Apa? Anda kata mahal? No way man! Ia sangat murah berbanding dengan apa yang anda dapat.

Aku sebenarnya sangat terasa akan kesedihan yang dialami Zack tu, walaupun fiksyen tetapi kisahnya sangat hidup walaupun ia bukan subjek utama Misi 10 Plus ini. Sedih woo...



All right! Kita sambung dengan Ali dan Tuah pula, aku bundle sekalilah review dua-dua komik ini dalam satu pos.


Ali dan Tuah tidak ada kena mengena dengan kisah Tuah dan Jebat. Ali dan Tuah terbit sebelum Misi 10A Plus. Ia mengisahkan...errr..(sekejap nak pi ambil komik dia sat nak 'refresh' balik). Ia mengisahkan Tuah yang telah menyelamatkan sebuah kampung dari kebakaran. Tuah mempunyai kekuatan dan kuasa yang amat dahsyat. Akibat satu peristiwa, dia tidak boleh menggunakan kekuatannya jika ada makhluk hidup yang melihatnya, walaupun seekor cicak.

Di sini dia menemui Ali. Ali menceritakan bahawa kampungnya ini di bawah kuasa sang perompak yang dinamakan Pancakuasa. Lalu dia mencadangkan Tuah untuk menewaskan mereka. Dipendekkan cerita (nanti spoil pulakkan?) Tuah bersetuju. Lalu Tuah dan Ali pun pergi menuju ke tempat Pancakuasa bersemayam. Di dalam perjalanan, mereka bertemu dengan seekor tikus, sumpah-sumpah, dan seekor anak naga comel. Eh nanti sekejap! Macam cerita Momotaro saja??! Tetapi versi Nusantara.

 Apa yang aku pasti, kalau siri-siri Misi mereka mengingatkan aku Bakuman, Ali dan Tuah  mengingatkan aku tentang One Piece, gaya watak dia pun dah nak sama. Walaubagaimanapun, ia tetap layan! Ali dan Tuah digenrekan sebagai sebuah komik fantasi. Jadi, jangan anda harapkan lojik dalam komik fantasi. Tak usah pening-pening, layan sahaja.

Selasa, 27 Mac 2012

Aksi sebenar - Rurouni Kenshin







Aku tidak dapat menggambarkan perasaan teruja aku apabila mengetahui siri manganime kegemaran aku nombor SATU ini akan diterbit dalam bentuk aksi-sebenar. Ada dua perasaan yang bermain di hati ini, suka pun ada, gusar juga bermain di benak. Suka kerana mahu melihat bagaimana adegan-adegan aksi pertarungan Kenshin Himura yang hanya boleh digambarkan di dalam manga itu direalisasikan. Gusar jika filem aksi sebenar ini akan menghancurkan keaslian siri asal manganime tersebut.

Rurouni Kenshin atau juga dikenali dengan Samurai X di barat merupakan sebuah manga hasil kegeniusan Nobuhiro Watsuki. Manga ini mencapai statusnya yang tersendiri di Jepun dan merupakan salah sebuah manga yang juga boleh dikategorikan sebagai sastera visual klasik. Ia diterbitkan pada tahun 2 September 1994 hingga 4 November 1999. Manga ini lengkap dengan ciri-ciri sebagai sebuah siri manga yang sangat berkualiti. Ia mempunyai rekabentuk karekter yang sangat sesuai dengan perwatakan dan sikap.Hal ini akan meninggalkan kesan yang mendalam kepada pembaca yang membuatkan para pembaca sukar untuk melupai satu-satu watak dalam manga ini walaupun anda sudah lama meninggalkan siri ini. Sebagai contoh, aku yang sudah tamat membaca siri manga ini bertahun-tahun dulu masih lagi mengingati watak serta perwatakannya di dalam siri ini hanya dengan menyebut namanya saja.

Siri ini juga mempunyai jalan penceritaan yang sangat kuat serta diselitkan falsafahnya yang tersendiri bagi setiap watak itu menghadapi permasalahan yang di alami. Skripnya sangat bagus, dan skrip Rurouni Kenshin ini sememangnya boleh dijadikan satu filem yang bagus.

Di samping itu juga, Nobuhiro Watsuki pandai mengolah montaj visual dalam manganya untuk menggambarkan setiap babak yang ingin dihasilkan menjadi sangat dramatik sekaligus menguatkan tautan jalan cerita dengan sastera visualnya. Ini memang kemahiran seni yang sangat aku kagumi. Tidak banyak mangaka yang boleh mencapai status ini.


Setelah mencapai popoulariti yang di luar jangkaan, siri ini mula diterbitkan dalam bentuk anime oleh Studio Gallop (episod 1-66) dan Studio Deen (episod seterusnya) dan ia diarahkan oleh Kazuhiro Furuhashi. Bagi aku, Studio Gallop dan Studio Deen tidak gagal dalam mengolah siri manga Rurouni Kenshin ke dalam bentuk animasi. Wataknya tampak hidup dengan seiyuunya yang pandai menghayati watak masing-masing. Anime Rurouni Kenshin juga telah dialihbahasakan ke dalam bahasa Inggeris dan diberi nama lain untuk pasaran barat, Samurai X. Mengagumkan, alih bahasa orang putihnya sangat berkualiti. Selalunya aku suka melayan anime menggunakan bahasa aslinya iaitu Jepun, tetapi Samurai X ini terkecuali. Aku suka melayan versi bahasa Inggerisnya lagi dari bahasa Jepun.

Selain itu, siri animenya juga dikuatkan lagi dengan muzik runutnya yang hebat. Memang mereka tidak buat loleh-loleh. Kelas A punya muzik runut. Di samping itu, lagu-lagu pembukaan dan pengakhiran animenya sangat-sangat meninggalkan kesan ke dalam ingatan, di adun pula dengan animasi montajnya yang sangat menarik.

Namun di pertengahan jalan, animenya terus melencong dari siri asal manganya, ia hanya selaras dengan siri asal sehingga selepas saga Kyoto di mana si mumia Shishio adalah antagonis
utamanya. Kemudian Studio Deen terus mereka jalan cerita baru untuk episod yang seterusnya. Namun bagi saga Jinchuu yang diterajui oleh adik ipar Kenshin iaitu Enishi Yukishiro dihasilkan dalam bentuk OVA (Original Video Animation) oleh studio lain. Jadi jika anda lihat animasinya sangat-sangat berbeza dari animasi Studio Deen. Studio ini juga yang menghasilkan OVA khas untuk saga Kenshin ketika menjadi algojo Battohsai di bawah pemerintahan kerajaan Meiji yang diberi nama, Samurai X - Trust and Betrayal.

Bagi siri OVA ini, ada yang sesetengah peminat yang benci, dan ada sesetengahnya suka. Aku suka bagi siri Trust and Betrayal tetapi kurang gemar OVA Jinchuu iaitu Samurai X : Reflection, kerana jalan cerita yang diubahsuai dengan teruk dan lari dari cerita asal dalam manga. Lain dengan OVA Trust and Betrayal, walaupun rekabentuk watak sudah lari jauh dari yang asal, tetapi jalan ceritanya sejibik seperti dalam manga serta digarap dengan sangat baik.

Hmm.. adakah filem aksi-sebenar Rurouni Kenshin ini dapat memuaskan hati bagi para peminat-peminat tegar Rurouni Kenshin seperti aku ini? Melihat dari trailer yang ditampilkan di bawah ini, aku masih lagi tiada komen. Melihat kepada rekabentuk wataknya, nampak macam okay.

Walaubagaimanapun, aku tetap menanti-nantikan filem ini menyembelih di pawagam! Pertimbangan antara suka dan gusar perlu dilunaskan dengan menonton filem ini. Watak-watak yang aku dapat kenal pasti di dalam filem ini ialah Kenshin Himura (itu semestinya), Kaoru Kamiya seorang gadis yang cekal, si keras kepala Yahiko Myojin, si kaki gaduh Sanosuke Sagara, Megumi Takani yang mahir dalam perubatan, Udo Jin-e yang mahu melunaskan nafsunya untuk membunuh Kenshin sejak dari perang saudara Jepun sebelum kemenangan Meiji. Namun aku kurang pasti jika seseorang yang memakai seragam polis yang sedang
bertempur dengan Kenshin itu adalah si serigala Mibu, Hajime Saitou, tetapi melihat pada cara dia memegang pedang pada minit ke 1:09, itu adalah teknik Gatotsu! Dan aku juga seperti ternampak kelibat Aoshi Shinomori yang terkenal dengan teknik Kodachinya pada minit 0:44, tetapi kalau betul itu Aoshi, apahal rambutnya warna putih?

Arrghhh..!!! Kita layan dulu trailernya sebelum tayangan rasminya pada bulan Ogos nanti. Tu pun baru tayang kat Amerika. Aku tak taulah bila masuk Malaysia. Adoi!! Tak sabaq tunggu dah ni!









Sabtu, 25 September 2010

TWIN X



PPPEHH!! Tiada apa yang aku dapat katakan tatkala mengikuti siri TWINX ini yang sudah masuk sehingga isu ketiga ini melainkan kekaguman tahap tinggi. Memang dahsyat lukisan-lukisan mekanikal yang dipersembahkan oleh saudara Pac siap ada penerangan lagi, penerangan yang kalau siapa tak tahu berkenaan hal-hal mekanikal dan jentera memang tak tahu kena tipu bulat-bulat. Haha..! Sebenarnya aku pun tak tahu betul ke tak yang apa saudara Pac terang tu, kiranya aku pun memang tak tahu sama ada dia kelentong atau tidak. Haha…! Mungkin saudara Azrul Jaini tahu kot, penjana magentik tolak balik berempatlah, penjana magnetik simplex lah, positron cannonlah, aku pun tak tahu ada betul ke tak benda-benda ni, tapi memang sejuk! (cool!).

Jalan cerita


Jalan ceritanya dirancang dengan agak teliti dan berkembang dengan sekata dan diselit dengan pergolakan emosi yang berjaya untuk aku memahami perasaan mereka seperti betul, terutamanya detik-detik debar ketika koloni A.C.R.M 90 diserang dan dimusnahkan oleh sebuah mobile armour yang tidak diketahui. Pac berjaya menghidupkan suasana kekalutan yang berupaya membuatkan aku seperti berada di situ, dan aku juga terasa perasaan marah serta cemas ketika Aizam melihat koloninya telah musnah. Mana tak marah, ahli keluarganya ada di situ. Peristiwa ini juga mengingatkan aku babak koloni Junius 7diserang oleh Earth Alliance dengan ratusan misil nuklear yang mencetuskan konflik hebat diantara ZAFT dan Earth Alliance dalam Gundam Seed.

Aku juga teringat satu babak di mana Orbital elevator dimusnahkan Gundam 00 + Raiser di mana serpihan-serpihannya yang besar menghempas permukaan bumi pada ketika peperangan berkecamuk hebat diantara Celestial Being dengan musuh-musuh mereka yang akhirnya mereka terpaksa melupakan sekejap pertempuran diantara mereka dan bersatu untuk mengurangkan serpihan-serpihan Orbital Elevator itu dari menghempas bumi untuk mengelakkan kematian orang awam. Yang ini adalah di antara babak yang paling mendebarkan dalam Gundam 00 Musim ke 2 bagi aku.

Konflik bertambah parah apabila Aizam dapat mengesan mobile armour yang telah menyerang kolni tempat tinggalnya, dan dia berasa amat terkejut kerana Mobile Armour itu sama dengan miliknya. Maka bermulalah konflik dan pertempuran di antara mereka. Siapa sebenarnya pemandu mobile armour itu dan kenapa tiba-tiba sahaja dia menyerang ACRM90? Nak tahu jawapannya kenalah sambar tiga-tiga siri ini. Dan isu ketiga ini bukanlah penamat ceritanya, dan ia akan bersambung.

Memang layak komik ini memenangi anugerah Komik Terbaik 2010 dari Pekomik. Aku sangat tertunggu-tunggu jika ada sesiapa yang berminat untuk menganimasikannya, tapi tak mahulah animasinya buat loleh-loleh. Buat elok-elok ha!! Kalau boleh grafik mahu macam Gundam 00. Phuh!!


Tambahan: Lukisan kesan khas letupan, dan peluru dalam Twinx agak kurang memuaskan dan memberi kesan. Kelihatan letupan-letupan yang terhasil seperti asap putih yang berkepul-kepul sahaja dan mengurangkan kesan dramatik sewaktu babak letupan itu berlaku, manakala peluru laser pula sepatutnya ditambah kesan (effect) outerglow supaya dapat memberi lebih impak pada babak pertempuran.

Satu lagi, lukisan-lukisan bangunan dan struktur mekanikal itu kalau boleh janganlah terlalu bersih sangat, baru ada unsur-unsur realistik. Ada bahagian yang perlu bersih dan ada juga bahagaian yang perlu ada sedikit kesan burn (karat,sedikit calar-calar, lumut ke... gitulah).

Ini sekadar saranan sahaja.

Sabtu, 3 April 2010

Wasabi Reset




"Hahaha.....hahaha....hahaha!!!!" Aku tak boleh nak menahan kegelian yang meletup-letup di dalam perutku apabila menghayati setiap helaian-helaian Wasabi Reset ini. Gila lawak!!!! Hahaha..haha..hahaha!!!! Kadang-kadang aku terasa macam nak pecah perut tak tahan di geletek kelucuannnya!!

Wasabi Reset ini adalah lanjutan dari koleksi Wasabi yang pertama. Ia adalah himpunan siri-siri Wasabi hasil dari kreativiti Keith yang disiarkan di majalah komik yang sudah tidak asing lagi bagi peminat komik di Malaysia, Gempak. Aku cuba cari koleksi Wasabi yang pertama tetapi sudah kehabisan stok di kedai-kedai buku sekitar Alor Setar. Kecewa jugak.. Tidak mengapa. Aku akan cuba cari kat Sungai Petani pula, harap-harap ada.

Ringkasnya Wasabi mengisahkan watak seorang budak lelaki yang bernama Wasabi mengharungi liku-liku kehidupan di sekolah bersama-sama teman-temannya yang pelik-pelik belaka. Ia juga mempunyai seorang ibu angkat yang ganas. Aku paling suka watak Chiro! Chomey!!! dan aku rasa dialah yang paling normal dalam banyak-banyak watak dalam Wasabi. Jangan menjadi normal untuk hidup dalam dunia Wasabi.

Bagi aku, Wasabi meruapakan karya tempatan terbaik terbitan Gempak Starz selain Le Gardenia, Utopia High, Monggo dan Juice. Satu saja yang leceh mengenai Wasabi Reset ni, mutu kertas yang tak memuaskan!!

Sabtu, 6 Mac 2010

Aviasi Fantasi


Aviasi Fantasi merupakan terbitan terbaru dari Komik-M bagi menghilangkan sebentar dahaga para peminat komik se-Malaysia. Karya ini adalah hasil kerjasama dua beradik, Afiq dan Nazry. Melihat gambar depannya saja sudah menangkap mata dan membuatkan diriku tidak dapat lagi menahan nafsu untuk menyuntingnya, terus saja aku sambar tanpa masuk meminang. Di saat-saat menatap helaiannya satu demi satu membuatkan aku betul-betul kagum dengan hasil yang dipersembahkan oleh Afiq dan Nazry. Padat dan teliti lukisannya. Memang cun's-lah kata orang muda, (jangan salah faham. Aku tidak tua).

Aku dapat menangkap beberapa pengaruh dari teknik lukisan Eiichiro Oda, sikit-sikit dari Masashi Kishimoto, Obata Takeshi pun ada juga. Dari segi jalan cerita adalah nampak sikit (sikit je) dari biasan The Place Promised in Our Early Days dari Makoto Shinkai. Dipadankan pulak lukisan visual yang dimainkan oleh mereka. Memang ada nampak sikit kesamaanya tu. Makoto Shinkai memang pandai menghasilkan visual-visual awan, langit, dan cahaya matahari yang hampir-hampir nampak macam betul. Fuh! Memang cantik, memang mahsyuk! Adakah persamaan itu negatif? Tidak, aku tak kisah pun.

Aviasi Fantasi memang salah satu karya seni pandang yang terbaik pernah aku jumpa dalam penerbitan Malaysia selain TwinX karya Pac. Memang tidak rugi aku melaburkan fulusku bagi dibarterkan dengan senaskhah Aviasi Fantasi. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa perkara yang agak mengganggu penghayatanku ketika menikmati Aviasi Fantasi, iaitu:

1.Kenapa ibu Hadi tidak memakai tudung ketika menyidai baju di luar rumah. Tidakkah dia merasa bertanggungjawab untuk menutup aurat hatta walaupun keluar sekejap sahaja di halaman rumah. Bagaimana jika ada mata-mata yang bukan mahram memandangnya. Ini merupakan salah satu fenomena yang selalu sangat aku lihat berlaku pada wanita-wanita muslimah, khususnya di Malaysia. Jika pergi ke kelas atau kerja atau mana-manalah selain dari kawasan rumah, pakai tudung sikit punya cantik. Tapi bila di halaman rumah, tudung hapa ke mana tak tau! Tu lah masalahnya bila pemakaian tudung dijadikan sebagai fesyen, bukannya atas kesedaran agama. Tu tak kira lagi bab pemakaian tudung sempurna yang menutup sehingga ke dada. Ni kalau aku membebel lagi ni, mahunya bermuka-muka surat, kita teruskan kepada perkara yang seterusnya. Malas dah aku nak cerita bab ni, Ulama-ulama muktabar dah jelaskan bab ni dengan panjang lebar. Tepuk dada tanya Iman.

2. Simbol jari Mano Cornuto yang ditunjuk-tunjuk sewaktu konsert Hadi dan Aidil pada permulaan kisah. Tahukah mereka apakah makna simbol itu dan apa kegunaanya? Simbol itu digunakan sebagai pengenalan diri sebagai ahli Illuminati. Umumnya tahu Illuminati didirikan oleh para Satanist (Luciferian). Simbol itu bermaksud dua tanduk, maksudnya tanduk bapak syaitan, Azazel, tanduk Lucifer. Dan ia juga digunakan sebagai simbol dalam ritual occultisme untuk memuja Lucifer AKA Azazel. Seringkali kita dengar bahawa simbol itu dikatakan simbol Aku Cinta Padamu, maka kita dengan rela hati menggunakan simbol-simbol itu sewaktu mengambil gambar foto atau video. Ya! Illuminati telah berjaya mengkaburkan maksud sebenar simbol pemujaan iblis itu dengan pelbagai definisi palsu seperti, I Love You, Rock dan sebagainya untuk menjadikan ia sebagai satu budaya dalam masyarakat dunia. Dan kita orang Islam yang sudah ada petunjuk yang jelas mengenai tipu daya syaitan iaitu Al-Quran dan Al-Sunnah membuta tuli menurut saja budaya-budaya yang diperkenalkan para musuh Islam ini dengan hati terbuka.

Dan ingatlah hadis Rasulullah SAW: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, dia adalah daripada kalangan mereka.”- Hadis riwayat Ahmad. Dan aku fikir-fikirkan, dengan menunjuk simbol itu saja boleh menyebabkan kita tergolong ke dalam golongan Satanist.

Argghh! Cakap banyak tak guna, hangpa pi baca kat link-link yang aku sediakan ni. Tepuk dada, tanyalah Iman.

http://en.wikipedia.org/wiki/Sign_of_the_horns

http://gemagong.blogspot.com/2009/10/tabik-setan.html

Tak puas hati lagi, pi cari kat internet pasal simbol syaitan ni. Ada berlambak-lambak. Tu tak kira lagi maksud V yang kononnya peace tu.

3. Seluar pendek yang dipakai Hadi ketika di luar rumah. Ehem.. yang ini pulak bab aurat golongan lelaki. Nak kena terang jugak ke? Mengikut mazhab Syafie yang dianuti oleh sebahagian besar masyarakat Islam Malaysia, aurat lelaki ialah dari pusat hingga ke lutut. Mungkin ada khilaf di kalangan ulama dalam bab ni, tetapi alangkah afdhalnya jika watak Hadi memakai seluar panjang. Ya, dakwah melalui komik.

Aku tidak akan membebel perkara-perkara ini jika Aviasi Fantasi diterbitkan oleh Gempak Starz ataupun penerbitan-penerbitan lain. Tetapi ia diterbitkan oleh PTS yang terkenal dengan penerbitan-penerbitan yang berteraskan keperluan syariah. Perkara-perkara ini seharusnya tidak dilepas pandang.

Kepada Afiq dan Nazry, teruskan usaha anda, dan dalam masa yang sama tambahkanlah juga pengetahuan agama anda agar karya-karya anda yang seterusnya tidak tersasar dari landasan syariah. Saya pernah melihat profile seorang komikus di blognya. Di ruang buku kegemaran, dia menyatakan tidak pernah membaca buku selain sebuah novel Inggeris, selainnya komik semata-mata. Itu merupakan satu sikap yang tidak patut. Tidak semestinya anda seorang pengkarya seni, anda hanya mengambil tahu tentang minat anda sahaja dan apa-apa sahaja yang boleh menjadi nilai tambah kepada hasil seni anda. Anda juga harus belajar dan terus belajar mengenai ilmu-ilmu lain yang tidak semestinya dipelajari secara rasmi. Boleh saja melalui kuliah di masjid-masjid dan buku-buku ilmiah yang lain.

Ini semua penting bagi mengelakkan anda terjebak ke dalam perangkap-perangkap syaitan yang bersimpang siur sana-sini. Jangan jadi komikus yang dungu dan jahil, jadilah komikus yang berilmu, beriman dan beramal. Kerana kita akhirnya akan menghadap Allah Yang Esa di hari pembalasan kelak dan akan dipertanggungjawabkan atas apa saja yang kita lakukan sepanjang kita hidup di dunia, walaupun hanya sebesar zarah atau atom. Perbezaan sebesar zarah ini juga akan menentukan timbangan amal kita sama ada ke Syurga yang penuh kenikmatan tak terbayangkan atau ke Neraka yang penuh dengan seksaan yang terjangkau akal pemikiran. (Nasihat ini juga aku tujukan untuk diri sendiri).





Isnin, 28 Disember 2009

Budak Takraw




Memang mengagumkan! Memang mengujakan! Itulah perasaan aku apabila menatap helaian-helaian Budak Takraw. Lukisannya sungguh cantik, penceritaannya hidup, dialog dia selamba lawak. Anshari berjaya mereka cipta dunia persekolahan dengan baik. Bagi aku, Budak Takraw boleh dikategorikan sebagai diantara komik Malaysia yang terbaik. Memang penuh dengan unsur-unsur tempatan dan dalam masa yang sama unsur-unsur itu juga boleh difahami dengan mudah oleh bangsa lain dengan penyampaian visualnya yang tersendiri itu.

Walaubagaimanapun, masih terdapat beberapa kecacatan lukisan yang perlu diperbaiki oleh Anshari. Kecacatan-kecacatan tersebut mungkin tidak dikesan oleh mereka yang minat membaca sahaja, tetapi tidak bagi aku yang memang meneliti setiap lukisan-lukisan yang terdapat di dalam panel-panel setiap komik-komik mahupun karya-karya seni pandang yang lain yang aku hayati. Tapi tak mengapa, aku masih boleh memaafkan kecacatan-kecacatan tersebut memandangkan ini baru isu pertama, dan juga kecacatan-kecacatan itu masih tidak menjejaskan penghayatan aku terhadap komik tersebut. Cuma diharapkan, tingkatkankah lagi mutu lukisan Budak Takraw dalam isu-osu yang akan datang.

Dalam bab ketelitian ini, aku memang tabik habis dekat mangaka-mangaka (pelukis komik) Jepun. Mereka tidak berkompromi walaupun sedikit kecacatan yang ada dalam lukisan mereka. Contoh-contoh yang boleh diberikan seperti Eyesheild 21, Naruto, Bakuman. Cuba lihat lukisan-lukisan dalam komik ini, begitu tepat dan sukar sekali mencari kecacatan lukisan dalam konteks dunia yang mereka persembahkan dalam komik mereka itu. Itu sebab karya-karya mereka begitu digemari seantero dunia oleh pelbagai bangsa selain dari plot, dan dialog yang bagus. Kita pun sebenarnya ada pelukis-pelukis yang berbakat sebegitu seperti Ben dan Juice, ha tak lupa Fakhroul Anour. Tapi tak ramai. (Maksudku tak ramai yang menampilkan diri sehingga aku boleh mengenali mereka).

Apa-apa hal pun, Budak Takraw memang betul-betul menarik perhatian aku. Ia membuatkan aku tiba-tiba saja teringin nak merasa kembali zaman persekolahan dulu. Betul! Aku tak tipu! Memang aku rasa macam tu. Tiba-tiba saja aku teringat akan kenangan-kenangan sewaktu di zaman sekolah. Macam-macam ada, ada pahit, ada manis, ada masam, ada masin, tapi yang paling banyak merapu-rapu la. Oleh yang demikian membuatkan tiba-tiba sahaja aku terfikir, aku teruja membaca Budak Takraw kerana dunia persekolahannyakah atau unsur sukan sepak takraw yang dibawanya? Aku pun sudah terkeliru. Keliru engkau keliru, memilih warna hidupmu… Hah Sudah! Pi nyanyi lagu Now See Heart pulak.

Baik, berbalik kepada soal tadi. Aku memang tak kisah pun apakah yang menyebabkan aku tertarik dengan Budak Takraw ni. Tapi yang pasti, Budak Takraw telah berjaya menawan hatiku. Chee..wah! Aku amat menanti-nantikan isu yang seterusnya. Tak sabar sungguh nak tunggu. Cepat la keluar weh!!


Smash 20



Smash 20, sebuah karya seni pandang (visual) dari Foner, seorang mahasiswa universiti. Kalau tak silap aku UIA kot. Kalau silap tolong tegur. Ringkasnya ia mengisahkan mengenai Ehsan Fairuz, seorang pemain badminton yang telah kehilangan ingatan akibat satu peristiwa yang mungkin akan diberitahu dalam isu yang seterusnya. Bagi aku, Smash 20 memang menarik minatku sebagai pencinta karya seni pandang, khususnya bidang perkomikan ini walaupun bidang yang ku pelajari jauh menyimpang dari perkara-perkara yang bersangkut-paut dengan seni kreatif. Jalan cerita Smash 20 juga mudah difahami oleh semua peringkat.

Apabila menyelak helaian pertama, hatiku berbisik.. Wuiyoo! Dengan penuh keterujaan. Konsep lukisan Foner adalah berbentuk manga dan ini menambahkan lagi keterujaan aku sebagai peminat manga. Foner berjaya menghidupkan suasana dengan atur letak panel dan dialog yang sangat bersesuaian. Jadi aku dapat merasakan emosi watak-watak yang ada dalam Smash 20 dengan berkesan, sama ada sedih, marah, gembira mahupun detik-detik debar. Adik bongsu aku kata, macam baca anime. Membacanya membuatkan semangat melukis aku naik mendadak. Aku terus capai G-Pen yang aku beli lebih kurang lima bulan lepas kat Bukit Melawati dan menconteng-conteng kertas sesuka hatiku. Akhirnya aku sendiri pun tidak faham apa yang aku lukis itu.

Walaubagaimanapun, masih banyak kelemahan yang perlu dibaiki oleh Foner dan saya yakin, dia mampu untuk memberi lebih dari apa yang dia berikan dalam isu Smash 20 yang pertama ini. Dia tahu apa yang perlu dibaiki itu, tak perlulah saya sebutkannya disini.

Aku sebenarnya sangat berminat akan konsep pemasaran komik oleh anak syarikat PTS ini iaitu Komik-M. Mudah, Menguntungkan, Bebas. Apa yang mudah, menguntungkan dan bebas itu? Mudah kerana, Komik-M memberi kebebasan kepada sesiapa sahaja yang mempunyai bakat dan minat untuk menghasilkan karya komik dan menerbitkan karya komik mereka itu. Menguntungkan maksudnya, hasil pembayaran kepada si pengkarya adalah menggunakan sistem royalti dan hakcipta seratus peratus dipegang oleh pengkarya (Itu yang penting tu! Ingat kes Ujang?). Manakala bebas pula ialah, pengkarya bebas menghasilkan bentuk cerita yang diingininya. Pengkarya boleh menghasilkan komik berbentuk pertarungan, sukan, kehidupan, dan apa saja yang diingininya, selagi ia tidak melanggar garis panduan yang telah ditetapkan oleh PTS.

Aku yakin kaedah yang diguna pakai oleh Komik-M ini akan berjaya memarakkan lagi alam perkomikan Malaysia. Aku juga yakin, tak mustahil satu hari nanti alam perkomikkan Malaysia akan menjadi industri seperti di Jepun, USA, Hong Kong dan Korea. Cuma bezanya komik-komik kita lebih menitik beratkan nilai-nilai murni berbanding karya komik luar. Selain dari melihat dunia perkomikkan Malaysia bertaraf antarabangsa, aku sangatlah ingin melihat dunia animasi tempatan berkembang dengan animasi-animasi yang berkualiti dan bertaraf intelektual, bukannya sekadar hiburan semata-mata. Apa yang aku maksudkan itu? Aha! Itu aku akan kupas dalam kemasukkan (entri) yang akan datang.

Animeshion. (Santapan audio ketika menaip : ATB – Trilogy)