Selasa, 27 Mac 2012

Aksi sebenar - Rurouni Kenshin







Aku tidak dapat menggambarkan perasaan teruja aku apabila mengetahui siri manganime kegemaran aku nombor SATU ini akan diterbit dalam bentuk aksi-sebenar. Ada dua perasaan yang bermain di hati ini, suka pun ada, gusar juga bermain di benak. Suka kerana mahu melihat bagaimana adegan-adegan aksi pertarungan Kenshin Himura yang hanya boleh digambarkan di dalam manga itu direalisasikan. Gusar jika filem aksi sebenar ini akan menghancurkan keaslian siri asal manganime tersebut.

Rurouni Kenshin atau juga dikenali dengan Samurai X di barat merupakan sebuah manga hasil kegeniusan Nobuhiro Watsuki. Manga ini mencapai statusnya yang tersendiri di Jepun dan merupakan salah sebuah manga yang juga boleh dikategorikan sebagai sastera visual klasik. Ia diterbitkan pada tahun 2 September 1994 hingga 4 November 1999. Manga ini lengkap dengan ciri-ciri sebagai sebuah siri manga yang sangat berkualiti. Ia mempunyai rekabentuk karekter yang sangat sesuai dengan perwatakan dan sikap.Hal ini akan meninggalkan kesan yang mendalam kepada pembaca yang membuatkan para pembaca sukar untuk melupai satu-satu watak dalam manga ini walaupun anda sudah lama meninggalkan siri ini. Sebagai contoh, aku yang sudah tamat membaca siri manga ini bertahun-tahun dulu masih lagi mengingati watak serta perwatakannya di dalam siri ini hanya dengan menyebut namanya saja.

Siri ini juga mempunyai jalan penceritaan yang sangat kuat serta diselitkan falsafahnya yang tersendiri bagi setiap watak itu menghadapi permasalahan yang di alami. Skripnya sangat bagus, dan skrip Rurouni Kenshin ini sememangnya boleh dijadikan satu filem yang bagus.

Di samping itu juga, Nobuhiro Watsuki pandai mengolah montaj visual dalam manganya untuk menggambarkan setiap babak yang ingin dihasilkan menjadi sangat dramatik sekaligus menguatkan tautan jalan cerita dengan sastera visualnya. Ini memang kemahiran seni yang sangat aku kagumi. Tidak banyak mangaka yang boleh mencapai status ini.


Setelah mencapai popoulariti yang di luar jangkaan, siri ini mula diterbitkan dalam bentuk anime oleh Studio Gallop (episod 1-66) dan Studio Deen (episod seterusnya) dan ia diarahkan oleh Kazuhiro Furuhashi. Bagi aku, Studio Gallop dan Studio Deen tidak gagal dalam mengolah siri manga Rurouni Kenshin ke dalam bentuk animasi. Wataknya tampak hidup dengan seiyuunya yang pandai menghayati watak masing-masing. Anime Rurouni Kenshin juga telah dialihbahasakan ke dalam bahasa Inggeris dan diberi nama lain untuk pasaran barat, Samurai X. Mengagumkan, alih bahasa orang putihnya sangat berkualiti. Selalunya aku suka melayan anime menggunakan bahasa aslinya iaitu Jepun, tetapi Samurai X ini terkecuali. Aku suka melayan versi bahasa Inggerisnya lagi dari bahasa Jepun.

Selain itu, siri animenya juga dikuatkan lagi dengan muzik runutnya yang hebat. Memang mereka tidak buat loleh-loleh. Kelas A punya muzik runut. Di samping itu, lagu-lagu pembukaan dan pengakhiran animenya sangat-sangat meninggalkan kesan ke dalam ingatan, di adun pula dengan animasi montajnya yang sangat menarik.

Namun di pertengahan jalan, animenya terus melencong dari siri asal manganya, ia hanya selaras dengan siri asal sehingga selepas saga Kyoto di mana si mumia Shishio adalah antagonis
utamanya. Kemudian Studio Deen terus mereka jalan cerita baru untuk episod yang seterusnya. Namun bagi saga Jinchuu yang diterajui oleh adik ipar Kenshin iaitu Enishi Yukishiro dihasilkan dalam bentuk OVA (Original Video Animation) oleh studio lain. Jadi jika anda lihat animasinya sangat-sangat berbeza dari animasi Studio Deen. Studio ini juga yang menghasilkan OVA khas untuk saga Kenshin ketika menjadi algojo Battohsai di bawah pemerintahan kerajaan Meiji yang diberi nama, Samurai X - Trust and Betrayal.

Bagi siri OVA ini, ada yang sesetengah peminat yang benci, dan ada sesetengahnya suka. Aku suka bagi siri Trust and Betrayal tetapi kurang gemar OVA Jinchuu iaitu Samurai X : Reflection, kerana jalan cerita yang diubahsuai dengan teruk dan lari dari cerita asal dalam manga. Lain dengan OVA Trust and Betrayal, walaupun rekabentuk watak sudah lari jauh dari yang asal, tetapi jalan ceritanya sejibik seperti dalam manga serta digarap dengan sangat baik.

Hmm.. adakah filem aksi-sebenar Rurouni Kenshin ini dapat memuaskan hati bagi para peminat-peminat tegar Rurouni Kenshin seperti aku ini? Melihat dari trailer yang ditampilkan di bawah ini, aku masih lagi tiada komen. Melihat kepada rekabentuk wataknya, nampak macam okay.

Walaubagaimanapun, aku tetap menanti-nantikan filem ini menyembelih di pawagam! Pertimbangan antara suka dan gusar perlu dilunaskan dengan menonton filem ini. Watak-watak yang aku dapat kenal pasti di dalam filem ini ialah Kenshin Himura (itu semestinya), Kaoru Kamiya seorang gadis yang cekal, si keras kepala Yahiko Myojin, si kaki gaduh Sanosuke Sagara, Megumi Takani yang mahir dalam perubatan, Udo Jin-e yang mahu melunaskan nafsunya untuk membunuh Kenshin sejak dari perang saudara Jepun sebelum kemenangan Meiji. Namun aku kurang pasti jika seseorang yang memakai seragam polis yang sedang
bertempur dengan Kenshin itu adalah si serigala Mibu, Hajime Saitou, tetapi melihat pada cara dia memegang pedang pada minit ke 1:09, itu adalah teknik Gatotsu! Dan aku juga seperti ternampak kelibat Aoshi Shinomori yang terkenal dengan teknik Kodachinya pada minit 0:44, tetapi kalau betul itu Aoshi, apahal rambutnya warna putih?

Arrghhh..!!! Kita layan dulu trailernya sebelum tayangan rasminya pada bulan Ogos nanti. Tu pun baru tayang kat Amerika. Aku tak taulah bila masuk Malaysia. Adoi!! Tak sabaq tunggu dah ni!









Tiada ulasan:

Catat Ulasan