Sabtu, 31 Oktober 2009

Tiada tajuk




Gunung Jerai



Bangun tidur lepas subuh dalam pukul 10.30 pagi. (Huh! Dalam dah tahu tidur lepas subuh tu tak elok, buat jugak!) Sesudah puas melayari bahtera mimpi, terus saja layan internet (kawan punya, dah buat macam harta sendiri pulak.) Buka harakahdaily, pastu muat turun gameplay World At War misi Black Cats kat youtube (ni misi kegemaran aku selain eviction). Format HD wo~r, lama jugak la nak muat turun. Sambil tu baca berita-berita terkini dari media kerajaan mahupun pakatan, dan juga media-media atas pagar. Tak ketinggalan juga isu-isu antarabangsa dari yang pro-barat mahupun pro-Islam.

Hmm... sambil-sambil tu, aku juga memantau dunia penulisan dalam negara jika ada karya-karya terbaru yang berupaya menarik perhatian aku. ADA!! Pendekar Lang Surya terbitan PTS. Melihat pada rekaan watak dan warnanya saja sudah mengujakan aku. Tetapi adakah isinya sebaik kulitnya? Jadi aku perlulah membelinya untuk mengetahuinya. Dalam masa yang sama juga aku sibuk bermain mesej dengan Luqmanul Hakim yang sedang dalam perjalanan dari rumahnya di Manjung menuju ke Sungai Petani . Dia merungut kerana bas baru yang dinaikinya berhenti di banyak tempat sedangkan syarikat bas mengatakan bas itu terus ke Sungai Petani. jadi lambat lagilah ketibaannya di S.P dari yang dijadualkan. Aku hantar mesej kat dia ' Ha..ha..ha! Hav a nice trip!'.

Tak lama kemudian aku terus mencapai motor Honda bulatku dan terus ke Sungai Petani. Oleh kerana lambat lagi ketibaan Luqmanul Hakim nih, aku meronda-ronda bandar Sungai Petani. Aku singgah di sebuah gerai bihun sup dan cendol bersebelahan dengan Petronas. Tanya saja kedai bihun sup atau cendol kat Petronas pada warga S.P, pastinya mereka tahu di manakah ia. Bihun supnya memang terkenal. Aku memesan bihun sup istimewa punya, berpasangan dengan air limau ais. FUH!! Memang sedap tak terkata pabila dijamah pada pukul 12 tengah hari nih. Inilah sarapanku merangkap makan tengah hari sekali.

Ini lah bihun sup dan limau ais yang aku santap itu.



Apabila perut kenyang, hati pun senang. Selepas itu aku membonceng Honda bulatku menuju ke pasaraya Giant. Sekadar melihat-lihat dan menghabiskan masa menunggu Luqmanul Hakim tiba. Setelah menjejakkan kaki ke Giant, aku ke kedai mynews.com melihat-lihat jika ada apa-apa yang patut aku beli. Yaa...! Memang ada! Mula-mulanya aku mencari jurnal Perajurit, jawapannya tak ada. Terus saja aku mengambil majalah Gempak isu 1 Nov dan majalah Libur. Aku suka majalah ni bukan apa, oleh kerana tahap imaginasi aku yang agak tinggi, dengan membaca majalah pelancongan dan percutian begini boleh membuatkan aku melancong secara bayangan maya! Dengan duduk di ruang tamu di rumah sewa aku, aku berupaya melancong ke mana sahaja di dunia ini dengan majalah itu dengan kelebihan khayalan aku yang tinggi ini. (Merapu sungguh!)

Tiba-tiba saja aku terpandang dua buah komik keluaran KOMIK-M, Kad Raya dari Syurga dan KOMIK-M Raya. Apa lagi, terus saja aku menyambar kedua-duanya sekali tanpa memikirkan berapakah fulus yang berada dalam kocekku. Walaupun ini adalah edisi raya aidilfitri yang sudah lepas, tapi takpa, kita guna untuk raya haji pulak. Tiba-tiba bebola mata hitamku tertangkap kepada senaskhah novel terjemahan John Grisham; The King Of Torts juga dari PTS. Harganya dekat-dekat RM 30. Macam mana ni? Nak sambar ke tak? Setelah difikir berulangkali aku rasa hari lainlah aku sambar, memandangkan keadaan fulusku yang tak kukuh. Lama jugak lah aku dok pi mai- pi mai tang tu kat kedai tu dok pikir nak ambik ke tak.




Lepas tu aku terus masuk ke Giant meronda-ronda melihat barang. Tiba-tiba aku ternampak DVD Avalon arahan Mamoru Oshii (Ghost In The Shell, Innocence, The Sky Crawlers). Apa lagi, terus saja aku sambar. Aku dah ada filem ni dulu, tapi disk dia dah rosak. Ni merupakan salah satu filem kegemaran aku sepanjang zaman. Tiba-tiba Luqmanul Hakim menghantar mesej memberitahu bahawa dia sudah turun berdekatan dengan Giant di mana tempat aku berada sekarang. Kemudian aku pergi mengambil dia dan terus pulang ke rumah sewa kami.



Tamat

Ahad, 11 Oktober 2009

The Hurt Locker




Mula-mula sekali aku tahu mengenail filem ini setelah melihat promo di Yahoo Movies. Filem ini telah memenangi anugerah filem terbaik di Venice Film Festival. Los Angeles Times melabelkan filem ini sebagai ‘ A full-tilt action picture’, The New York Times pula mengatakan ‘ferociously suspenseful’. Manakala Times pula mengatakan filem ini sebagai ‘A near-perfect movie’.

Ringkasnya, filem ini mengisahkan mengenai James, seorang anggota unit pemusnah bom yang ditugaskan untuk menggantikan seorang tentera pemusnah bom yang telah mampus dalam sebuah kompeni tentera penjajah US. Filem ini berkisarkan bagaimana James yang tidak beberapa baik hubungannya dengan anggota kumpulannya yang baru, menghadapi serangan-serangan bom oleh pejuang-pejuang Iraq.

Setelah selesai menonton filem ini. Apa yang aku dapat simpulkan di sini ialah, filem ini tidak lebih dari propaganda Amerika (Memang filem-filem Amerika kebanyakkannya propaganda) dan satu fitnah ke atas pejuang-pejuang Iraq. Filem ini juga akan menyumbang kepada peratusan penyakit Islamophobia di kalangan mereka yang jahil mengenai agama Islam.


Mengapakah aku kata filem ini adalah satu fitnah ke atas pejuang Iraq, bukankah sememangnya pejuang-pejuang Iraq meletupkan IED di jalan-jalan di Iraq? Memang benar pejuang-pejuang Iraq memang aktif dan pakar dalam membuat bom dan menyerang sasaran-sasaran mereka. Tetapi filem ini telah memberi gambaran yang salah terhadap kaedah operasi pejuang Iraq. Di dalam filem ini, para pejuang telah digambarkan sebagai ganas dan zalim. Mereka menyerang tanpa sasaran yang jelas, mereka menculik orang awam dan memaksa mereka menjadi pengebom berani mati.

Pejuang-pejuang Iraq juga digambarkan seperti tidak tetap pendirian. Adegan ini dapat dilihat bila James dengan berani (kononnya) menahan sebuah teksi yang sarat dengan bom yang dipandu oleh pejuang hanya dengan mengacukan pistol, dan pemandu itu berhenti. Setelah berpandangan sesama sendiri, akhirnya lelaki itu mengalah. Logiknya, jika seorang pejuang itu sudah bertekad untuk mati bersama letupan yang akan dihasilkannya, kenapa dia tidak langgar saja askar Amerika (James) yang berada dihadapannya ketika James muncul tiba-tiba. Kenapa dia berhenti?

Pejuang Iraq juga digambarkan sebagai terburu-buru dan bodoh. Ini dapat dilihat sewaktu Sanborn dan James berbalas tembakan dengan penembak hendap Iraq. Ada seorang pejuang Iraq menyusup ke bahagian belakang kumpulan James, pergerakannya disedari oleh seorang rakan mereka yang berkawal di bahagian belakang. Tetapi pejuang Iraq itu terlebih dahulu mengacukan senapangnya ke arah mereka. Tetapi mengapa dia tidak menembak sasarannya dahulu? Malah rakan James siap bertanyakan kepada James sama ada dia perlu menembak sasarannya atau tidak. James membiarkannya buat keputusan sendiri. Lalu rakannya melepaskan tembakan ke arah pejuang itu dan matilah dia. Persoalannya, kenapa pejuang Iraq itu tidak melepaskan tembakan dahulu, padahal dia mendapat peluang terlebih dahulu, apa yang dia tunggu? (Kalau anda menonton aksi itu, anda akan faham apa yang aku bebelkan di sini).

Filem ini juga menyuntik virus Islamophobia secara halus kepada para penonton walaupun tiada dialog yang bersangkut-paut dengan Islamophobia. Tetapi ia digambarkan secara visual. Pertama sekali, ketika seorang ahli unit pemusnah bom cuba mematikan sejenis bom yang dipasang oleh pejuang Iraq. Tiba-tiba waktu itu berkumandang suara azan tanda masuk waktu solat (sama ada zohor atau asar). Kenapa perlu dimasukkan laungan azan ketika dia berusaha mematikan bom itu? Jawapannya ialah, supaya ditanam di dalam fikiran penonton secara tidak sedar dengan satu formula, bom + azan. Ada bom ada azan, azan hanya dalam agama Islam. Jadi bom = islam, islam = bom. Bom itu membunuh, jadi bunuh = Islam, Islam = bunuh. Ini bermaksud Islam itu membunuh.

Dua, ketika James menggeledah sebuah bangunan kosong yang disyaki markas pejuang Iraq, tetapi para pejuang Iraq sudah lari. James terjumpa sekujur mayat seorang kanak-kanak yang telah disumbat bom di dalam perutnya dan kemudian djahit kembali. Terdapat juga sehelai sejadah yang tergantung di dinding di bilik itu dan darah memercik sana-sini. Apakah yang cuba digambarkan oleh mereka di dalam paparan visual ini?

Sejadah umunya digunakan oleh umat Islam sebagai lapik untuk bersolat (ada juga yang membuatnya sebagai tikar untuk tidur). Dan masyarakat umum tahu bahawa orang yang bersolat orang yang sedang menuruti perintah agama Islam. Apabila ditunjukkan sejadah di dalam sebuah bilik dengan darah yang memercik sana-sini berserta mayat kanak-kanak lelaki itu tadi, ia telah memberi persepsi negatif kepada peranan sejadah yang suci itu. Formulanya darah + mayat kanak-kanak yang disumbat bom = ganas. Bila dimasukkan sejadah dalam paparan visual itu jadilah sejadah + darah + mayat kanak-kanak yang disumbat bom = ganas. Jadi sejadah = ganas. Dari sini kita akan dapat empat jawapan dari formula di atas. Sejadah dikaitkan dengan Islam, jadi formula itu akan bertukar menjadi Islam = ganas. Jawapan kedua ialah, pejuang Iraq yang digambarkan ganas itu dan telah meninggalkan bangunan tersebut adalah orang yang bersolat kerana terdapat sejadah. Jadi, orang Islam yang bersolat itu adalah ganas.

Ketiga, masyarakat yang jahil akan memahami bahawa bersolat itu membawa kepada sikap ganas dan keempat masyarakat yang jahil juga tahu bahawa orang Islam yang bersolat itu sedang mengerjakan suruhan agama, jadi suruhan agama itu dianggap mereka sebagai ganas kerana melahirkan manusia-manusia kejam seperti pejuang-pejuang Iraq. Jadi orang Islam yang sekular atau mengabaikan dan tidak mengamalkan agama Islam itu dianggap sebagai muslim yang baik dan tidak ganas. Mesej ini juga yang cuba di nasihatkan oleh Hani (Mark Strong) kepada salah seorang ahli al-qaeda yang ditangkap Biro perisikan Jordan dengan harapan dia akan berpaling tadah dan membantunya dalam memberkas orang penting pertubuhan tersebut di dalam filem Body Of Lies (Ridley Scott, 2008). "Be a good muslim" kata Hani. Mesej yang sama juga cuba disampaikan di dalam filem The Siege (Edward Zwick, 1998). Di dalam filem tersebut, seorang Lubnan Islam yang menjadi ejen FBI yang telah mengikut cara hidup dan budaya masyarakat bukan Islam digambarkan sebagai positif. Ketiga-tiga filem ini mencucuk mesej yang sama ke dalam pemikiran masyarakat yang jahil agama Islam, seorang Muslim yang meninggalkan ajaran agama dan berpegang kepada nilai-nilai yang tidak Islamik adalah baik dan sahabat. Manakala mereka yang menurut perintah agama Islam pula adalah sejahat-jahat manusia di muka bumi, (khususnya muslim yang bersolat).

Bagi kita yang memahami akan ajaran Islam yang sebenarnya agak mudah untuk menepis dakyah-dakyah yang sebegini. Tetapi kena ingat, kaedah hasutan secara halus begini sangatlah berkesan bagi mereka yang tidak tahu langsung apa itu Islam. Jika tidak, kenapa pihak berkuasa China akan menangkap sesiapa saja masyarakat Islam di daerah Uighur yang bersolat atau mempelajari agama Islam. Mereka menganggap bahawa masyarakat Islam yang taat ini boleh mengancam mereka.

Sebenarnya ada banyak lagi propaganda-propaganda visual yang terdapat di dalam filem ini, tetapi aku rasa sudah cukup apa yang telah aku huraikan di sini.

Kesimpulannya, musuh-musuh Islam kini sangat berjaya dalam menyebarkan propaganda-propaganda menerusi media massa dan filem khususnya, bagi memastikan kegemilangan Islam itu tidak akan bangun kembali. Jika dilihat di sini, medium perfileman kini bukanlah sebagai medan untuk hiburan semata-mata. Ia sebenarnya adalah medan perang psikologi dan ideologi. Apakah peranan umat Islam dalam menghadapi medan peperangan yang tersembunyi dari mata kasar ini? Apa? Sifu dan Tongga? Bohsia? Rempit? Cicakman? Gol dan Gincu? Kami? Hahaha….!! Jauh panggang dari api.

Pemerintahan Idaman (1)



Seorang pemimpin kerajaan yang benar-benar bertakwa dan memahami Islam akan melahirkan sebuah kerajaan dan pentadbiran yang amat mementingkan kebajikan rakyat tanpa menolak pembangunan material selagi ia tidak bercanggah dengan Islam. Apakah yang diinginkan lagi oleh rakyat sesebuah negara itu selain kebajikan hidupnya yang terbela. Cukup makan-minumnya, tempat tinggal yang selesa, mudah mencari rezeki, beribadat dalam keadaan aman dan tenteram, keselamatan hidup yang terjamin, serta bebas untuk mengeluarkan pendapat masing-masing (selagi pendapat yang di suarakan itu tidak berniat jahat).

Kerajaan yang dirahmati ini seboleh-bolehnya akan mengelakkan diri dari melaburkan wang rakyat keatas perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah kepada rakyatnya sendiri. Fikirkanlah wahai para pemimpin, adakah wang rakyat yang kamu kutip dari pelbagai jenis cukai itu telah kamu laburkannya dengan penuh amanah. Bila dikatakan mendatangkan faedah kepada rakyat itu adalah, setiap lapisan rakyat yang berada di bawah tanggungjawab kerajaan mendapat akan manfaatnya tanpa ada diskriminasi. Jika seorang rakyat yang layak itu dinafikan haknya untuk menikmati manfaat dari projek yang dijalankan, itu adalah kezaliman.

Kezaliman bukan seperti yang disangka oleh sesetengah pihak. Kadangkala mereka sendiri tidak faham apakah maksud sebenar kezaliman itu. Di dalam Islam, zalim didefinisikan sebagai ‘meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya’. Sebagai contoh, membuang sampah ke dalam parit. Adakah tempat sampah itu di dalam parit? Semestinya tidak, tempat sampah di dalam tong sampah. Jika seseorang itu telah membuang sampah ke dalam parit bermaksud dia telah berlaku zalim kepada keharmonian dan kebersihan alam sekitar. Jika membuang sampah ke dalam parit sudah dikatakan zalim, bagaimana pula undang-undang yang menahan manusia tanpa diberi peluang untuk membuktikan kesalahan dan bicara. Adakah ia tidak zalim. Riwayat Tarmizi pernah meriwayatkan “…kesilapan pemerintah di dalam memberi kemaafan adalah lebih baik daripada kesilapannya dalam memberikan hukuman.” Ini bermaksud, hakim yang tersilap melepaskan seorang pesalah adalah lebih baik daripada tersilap menjatuhkan hukuman. Jika dia tersilap menjatuhkan hukuman kepada orang yang tidak bersalah, dia telah menganiayai dan menzalimi seorang manusia. (Ada lagikah hakim yang sebegitu itu sekarang? Si bilis tertangkap, sang jerung terlepas.)

Mari kita renungkan sebuah kisah teladan Sayidina Umar Al Khattab yang saya pasti ramai di antara kita pernah mendengar kisah ini dalam pelbagai versi. Satu hari Khalifah Umar Al Khattab bersiar-siar di pasar meninjau kehidupan rakyatnya. Kemudian beliau singgah di sebuah kedai senjata milik seorang Yahudi, dalam asyik melihat-lihat barangan yang dijual, dia terpandang sebuah perisai perang miliknya. Lantas dia bertanyakan kepada si penjual itu di manakah dia mendapat perisai itu, adakah dia mengutipnya di medan perang? Tetapi si Yahudi itu menafikan dakwaan Sayidina Umar. Sayidina Umar tetap yakin bahawa perisai itu adalah miliknya yang tercicir di medan perang.

Akhirnya kes ini di bawa ke mahkamah untuk dibicarakan. Setelah kedua-dua pihak berhujah, hakim mendapati Sayidina Umar tidak ada bukti yang kukuh kerana dia hanya mengecam perisai itu sahaja tanpa ada bukti dan saksi yang sah. Hakim memutuskan bahawa perisai itu adalah milik Yahudi itu. Si Yahudi berasa amat kagum dan takjub dengan apa yang dilaluinya ini. Bagaimana seorang ketua negara akur kepada keputusan mahkamah tanpa berasa hina dan tidak menggunakan kedudukannya sebagai khalifah untuk mengambil perisai itu kembali. Dia juga kagum dengan hakim yang tegas dan tidak ada diskriminasi dalam memutuskan keputusan walaupun yang akan kalah itu adalah khalifahnya sendiri. Ini membawa sinar hidayah kepada si Yahudi dan akhirnya dia memeluk Islam.

Nah, di sini sudah menunjukkan betapa pentingnya sebuah perbicaraan yang adil itu di dalam Islam. Ia memberi ruang untuk mengelakkan seseorang itu dari teraniaya.

Kerajaan idaman juga berupaya untuk memberi pendidikan yang secukupnya kepada rakyatnya. Pendidikan yang diberi mestilah melahirkan seorang manusia yang beriman, beramal soleh dan berakhlak mulia. Sekali lagi diulangi, beriman, beramal soleh dan berakhlak mulia. Kerana ini adalah kunci kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Apa perlu seorang pelajar itu bijak di dalam akademik, cergas di dalam ko-kurikulum tetapi kosong dalam pengetahuan dan amalan kerohanian, juga buruk tingkah-laku atau akhlak. Seringkali pelajar-pelajar kita sama ada di peringkat rendah, menengah, mahupun peringkat tinggi dimomokkan dengan kepentingan pelajaran akademik dan ko-kurikulum sehinggakan telah terukir di pemikiran mereka bahawa kecemerlangan akademik dan ko-kurikulum sahaja yang akan menjamin kehidupan yang baik, dan dilihatnya kepentingan aspek kerohanian tidak menjamin apa-apa. Ini akan melahirkan manusia-manusia yang hanya akan bernafas di atas dasar keuntungan kebendaan semata-mata (materialistik) tanpa mengambil kira tanggungjawab sosial mereka. Terdapat juga ramai diantara pelajar-pelajar kita yang belajar membaca Al-Quran dan Fardhu Ain selepas selesainya sesi persekolahan tetapi tidak menghayati dan mengamalkannya dan masih juga mereka terjebak di dalam gejala-gejala yang tidak elok seperti membuang masa dengan melepak, minum arak, merokok, zina dan sebagainya. Mengapa ia terjadi?

Ini disebabkan apabila pembelajaran agama ini hanya dianggap sebagai sebahagian dari adat turun temurun. Bukan berpunca dari kesedaran diri mengenai pentingnya peranan agama Islam dalam membentuk syakhsiah diri dan sebagai pendinding diri dari terjerumus ke lembah kejahatan dan kemaksiatan. Mereka tidak memahami sepenuhnya akan konsep dosa dan pahala, syurga dan neraka. Pembelajaran agama hanya dipelajari sekadar menunaikan tuntutan adat ini adalah salah faham yang agak meruncing dalam masyarakat tradisional Melayu Islam amnya. Tidak semuanya begitu tetapi majoritinya begitu.

Bagi yang mempelajari asas-asas agama Islam pun boleh jadi begitu, bagaimana pula mereka yang tidak mempelajarinya pula. Tentu lebih teruk. Hanya Islam pada nama tetapi tidak pada perbuatan. Ini juga bukan kesalahan mereka seratus-peratus. Mungkin penekanan aspek agama ini tidak ditekankan oleh ibu-bapa mereka kerana mereka juga jahil akan kepentingan pengisian kerohanian. Ibu-bapa mereka juga jadi begitu kerana disebabkan oleh atuk dan nenek mereka yang begitu. Jadi, di manakah puncanya?

Puncanya adalah kerana sistem pendidikan yang memperlekehkan kepentingan pengisian agama Islam. Mereka yang mendalami bidang ini dianggap usang,tidak elit, ketinggalan zaman dan pelbagai lagi tanggapan-tanggapan negatif yang lain. Yang senantiasa yang ditekankan ialah sains, Bahasa Inggeris, ekonomi, dan saban hari penekanan ini diulang-ulang di media massa. Tidak dinafikan bahawa semua yang disebutkan itu tadi sememangnya penting tetapi pengabaian pendidikan kerohanian Islam ke dalam diri pelajar akan menghasilkan para profesionalis yang tidak beretika dan gagal untuk menahan diri dari terlibat dalam gejala najis rasuah, penyelewengan, pecah amanah, dan salah guna kuasa walau dalam apa sahaja kerjaya yang mereka ceburi atas merit kecemerlangan akademik dan ko-kurikulum semata-mata. Cuba bayangkan apabila mereka ini yang akhirnya akan menjadi pemimpin kita.