Mula-mula sekali aku tahu mengenail filem ini setelah melihat promo di Yahoo Movies. Filem ini telah memenangi anugerah filem terbaik di Venice Film Festival. Los Angeles Times melabelkan filem ini sebagai ‘ A full-tilt action picture’, The New York Times pula mengatakan ‘ferociously suspenseful’. Manakala Times pula mengatakan filem ini sebagai ‘A near-perfect movie’.
Ringkasnya, filem ini mengisahkan mengenai James, seorang anggota unit pemusnah bom yang ditugaskan untuk menggantikan seorang tentera pemusnah bom yang telah mampus dalam sebuah kompeni tentera penjajah US. Filem ini berkisarkan bagaimana James yang tidak beberapa baik hubungannya dengan anggota kumpulannya yang baru, menghadapi serangan-serangan bom oleh pejuang-pejuang Iraq.
Setelah selesai menonton filem ini. Apa yang aku dapat simpulkan di sini ialah, filem ini tidak lebih dari propaganda Amerika (Memang filem-filem Amerika kebanyakkannya propaganda) dan satu fitnah ke atas pejuang-pejuang Iraq. Filem ini juga akan menyumbang kepada peratusan penyakit Islamophobia di kalangan mereka yang jahil mengenai agama Islam.
Mengapakah aku kata filem ini adalah satu fitnah ke atas pejuang Iraq, bukankah sememangnya pejuang-pejuang Iraq meletupkan IED di jalan-jalan di Iraq? Memang benar pejuang-pejuang Iraq memang aktif dan pakar dalam membuat bom dan menyerang sasaran-sasaran mereka. Tetapi filem ini telah memberi gambaran yang salah terhadap kaedah operasi pejuang Iraq. Di dalam filem ini, para pejuang telah digambarkan sebagai ganas dan zalim. Mereka menyerang tanpa sasaran yang jelas, mereka menculik orang awam dan memaksa mereka menjadi pengebom berani mati.
Pejuang-pejuang Iraq juga digambarkan seperti tidak tetap pendirian. Adegan ini dapat dilihat bila James dengan berani (kononnya) menahan sebuah teksi yang sarat dengan bom yang dipandu oleh pejuang hanya dengan mengacukan pistol, dan pemandu itu berhenti. Setelah berpandangan sesama sendiri, akhirnya lelaki itu mengalah. Logiknya, jika seorang pejuang itu sudah bertekad untuk mati bersama letupan yang akan dihasilkannya, kenapa dia tidak langgar saja askar Amerika (James) yang berada dihadapannya ketika James muncul tiba-tiba. Kenapa dia berhenti?
Pejuang Iraq juga digambarkan sebagai terburu-buru dan bodoh. Ini dapat dilihat sewaktu Sanborn dan James berbalas tembakan dengan penembak hendap Iraq. Ada seorang pejuang Iraq menyusup ke bahagian belakang kumpulan James, pergerakannya disedari oleh seorang rakan mereka yang berkawal di bahagian belakang. Tetapi pejuang Iraq itu terlebih dahulu mengacukan senapangnya ke arah mereka. Tetapi mengapa dia tidak menembak sasarannya dahulu? Malah rakan James siap bertanyakan kepada James sama ada dia perlu menembak sasarannya atau tidak. James membiarkannya buat keputusan sendiri. Lalu rakannya melepaskan tembakan ke arah pejuang itu dan matilah dia. Persoalannya, kenapa pejuang Iraq itu tidak melepaskan tembakan dahulu, padahal dia mendapat peluang terlebih dahulu, apa yang dia tunggu? (Kalau anda menonton aksi itu, anda akan faham apa yang aku bebelkan di sini).
Filem ini juga menyuntik virus Islamophobia secara halus kepada para penonton walaupun tiada dialog yang bersangkut-paut dengan Islamophobia. Tetapi ia digambarkan secara visual. Pertama sekali, ketika seorang ahli unit pemusnah bom cuba mematikan sejenis bom yang dipasang oleh pejuang Iraq. Tiba-tiba waktu itu berkumandang suara azan tanda masuk waktu solat (sama ada zohor atau asar). Kenapa perlu dimasukkan laungan azan ketika dia berusaha mematikan bom itu? Jawapannya ialah, supaya ditanam di dalam fikiran penonton secara tidak sedar dengan satu formula, bom + azan. Ada bom ada azan, azan hanya dalam agama Islam. Jadi bom = islam, islam = bom. Bom itu membunuh, jadi bunuh = Islam, Islam = bunuh. Ini bermaksud Islam itu membunuh.
Dua, ketika James menggeledah sebuah bangunan kosong yang disyaki markas pejuang Iraq, tetapi para pejuang Iraq sudah lari. James terjumpa sekujur mayat seorang kanak-kanak yang telah disumbat bom di dalam perutnya dan kemudian djahit kembali. Terdapat juga sehelai sejadah yang tergantung di dinding di bilik itu dan darah memercik sana-sini. Apakah yang cuba digambarkan oleh mereka di dalam paparan visual ini?
Sejadah umunya digunakan oleh umat Islam sebagai lapik untuk bersolat (ada juga yang membuatnya sebagai tikar untuk tidur). Dan masyarakat umum tahu bahawa orang yang bersolat orang yang sedang menuruti perintah agama Islam. Apabila ditunjukkan sejadah di dalam sebuah bilik dengan darah yang memercik sana-sini berserta mayat kanak-kanak lelaki itu tadi, ia telah memberi persepsi negatif kepada peranan sejadah yang suci itu. Formulanya darah + mayat kanak-kanak yang disumbat bom = ganas. Bila dimasukkan sejadah dalam paparan visual itu jadilah sejadah + darah + mayat kanak-kanak yang disumbat bom = ganas. Jadi sejadah = ganas. Dari sini kita akan dapat empat jawapan dari formula di atas. Sejadah dikaitkan dengan Islam, jadi formula itu akan bertukar menjadi Islam = ganas. Jawapan kedua ialah, pejuang Iraq yang digambarkan ganas itu dan telah meninggalkan bangunan tersebut adalah orang yang bersolat kerana terdapat sejadah. Jadi, orang Islam yang bersolat itu adalah ganas.
Ketiga, masyarakat yang jahil akan memahami bahawa bersolat itu membawa kepada sikap ganas dan keempat masyarakat yang jahil juga tahu bahawa orang Islam yang bersolat itu sedang mengerjakan suruhan agama, jadi suruhan agama itu dianggap mereka sebagai ganas kerana melahirkan manusia-manusia kejam seperti pejuang-pejuang Iraq. Jadi orang Islam yang sekular atau mengabaikan dan tidak mengamalkan agama Islam itu dianggap sebagai muslim yang baik dan tidak ganas. Mesej ini juga yang cuba di nasihatkan oleh Hani (Mark Strong) kepada salah seorang ahli al-qaeda yang ditangkap Biro perisikan Jordan dengan harapan dia akan berpaling tadah dan membantunya dalam memberkas orang penting pertubuhan tersebut di dalam filem Body Of Lies (Ridley Scott, 2008). "Be a good muslim" kata Hani. Mesej yang sama juga cuba disampaikan di dalam filem The Siege (Edward Zwick, 1998). Di dalam filem tersebut, seorang Lubnan Islam yang menjadi ejen FBI yang telah mengikut cara hidup dan budaya masyarakat bukan Islam digambarkan sebagai positif. Ketiga-tiga filem ini mencucuk mesej yang sama ke dalam pemikiran masyarakat yang jahil agama Islam, seorang Muslim yang meninggalkan ajaran agama dan berpegang kepada nilai-nilai yang tidak Islamik adalah baik dan sahabat. Manakala mereka yang menurut perintah agama Islam pula adalah sejahat-jahat manusia di muka bumi, (khususnya muslim yang bersolat).
Bagi kita yang memahami akan ajaran Islam yang sebenarnya agak mudah untuk menepis dakyah-dakyah yang sebegini. Tetapi kena ingat, kaedah hasutan secara halus begini sangatlah berkesan bagi mereka yang tidak tahu langsung apa itu Islam. Jika tidak, kenapa pihak berkuasa China akan menangkap sesiapa saja masyarakat Islam di daerah Uighur yang bersolat atau mempelajari agama Islam. Mereka menganggap bahawa masyarakat Islam yang taat ini boleh mengancam mereka.
Sebenarnya ada banyak lagi propaganda-propaganda visual yang terdapat di dalam filem ini, tetapi aku rasa sudah cukup apa yang telah aku huraikan di sini.
Kesimpulannya, musuh-musuh Islam kini sangat berjaya dalam menyebarkan propaganda-propaganda menerusi media massa dan filem khususnya, bagi memastikan kegemilangan Islam itu tidak akan bangun kembali. Jika dilihat di sini, medium perfileman kini bukanlah sebagai medan untuk hiburan semata-mata. Ia sebenarnya adalah medan perang psikologi dan ideologi. Apakah peranan umat Islam dalam menghadapi medan peperangan yang tersembunyi dari mata kasar ini? Apa? Sifu dan Tongga? Bohsia? Rempit? Cicakman? Gol dan Gincu? Kami? Hahaha….!! Jauh panggang dari api.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan