Ahad, 11 Oktober 2009

Pemerintahan Idaman (1)



Seorang pemimpin kerajaan yang benar-benar bertakwa dan memahami Islam akan melahirkan sebuah kerajaan dan pentadbiran yang amat mementingkan kebajikan rakyat tanpa menolak pembangunan material selagi ia tidak bercanggah dengan Islam. Apakah yang diinginkan lagi oleh rakyat sesebuah negara itu selain kebajikan hidupnya yang terbela. Cukup makan-minumnya, tempat tinggal yang selesa, mudah mencari rezeki, beribadat dalam keadaan aman dan tenteram, keselamatan hidup yang terjamin, serta bebas untuk mengeluarkan pendapat masing-masing (selagi pendapat yang di suarakan itu tidak berniat jahat).

Kerajaan yang dirahmati ini seboleh-bolehnya akan mengelakkan diri dari melaburkan wang rakyat keatas perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah kepada rakyatnya sendiri. Fikirkanlah wahai para pemimpin, adakah wang rakyat yang kamu kutip dari pelbagai jenis cukai itu telah kamu laburkannya dengan penuh amanah. Bila dikatakan mendatangkan faedah kepada rakyat itu adalah, setiap lapisan rakyat yang berada di bawah tanggungjawab kerajaan mendapat akan manfaatnya tanpa ada diskriminasi. Jika seorang rakyat yang layak itu dinafikan haknya untuk menikmati manfaat dari projek yang dijalankan, itu adalah kezaliman.

Kezaliman bukan seperti yang disangka oleh sesetengah pihak. Kadangkala mereka sendiri tidak faham apakah maksud sebenar kezaliman itu. Di dalam Islam, zalim didefinisikan sebagai ‘meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya’. Sebagai contoh, membuang sampah ke dalam parit. Adakah tempat sampah itu di dalam parit? Semestinya tidak, tempat sampah di dalam tong sampah. Jika seseorang itu telah membuang sampah ke dalam parit bermaksud dia telah berlaku zalim kepada keharmonian dan kebersihan alam sekitar. Jika membuang sampah ke dalam parit sudah dikatakan zalim, bagaimana pula undang-undang yang menahan manusia tanpa diberi peluang untuk membuktikan kesalahan dan bicara. Adakah ia tidak zalim. Riwayat Tarmizi pernah meriwayatkan “…kesilapan pemerintah di dalam memberi kemaafan adalah lebih baik daripada kesilapannya dalam memberikan hukuman.” Ini bermaksud, hakim yang tersilap melepaskan seorang pesalah adalah lebih baik daripada tersilap menjatuhkan hukuman. Jika dia tersilap menjatuhkan hukuman kepada orang yang tidak bersalah, dia telah menganiayai dan menzalimi seorang manusia. (Ada lagikah hakim yang sebegitu itu sekarang? Si bilis tertangkap, sang jerung terlepas.)

Mari kita renungkan sebuah kisah teladan Sayidina Umar Al Khattab yang saya pasti ramai di antara kita pernah mendengar kisah ini dalam pelbagai versi. Satu hari Khalifah Umar Al Khattab bersiar-siar di pasar meninjau kehidupan rakyatnya. Kemudian beliau singgah di sebuah kedai senjata milik seorang Yahudi, dalam asyik melihat-lihat barangan yang dijual, dia terpandang sebuah perisai perang miliknya. Lantas dia bertanyakan kepada si penjual itu di manakah dia mendapat perisai itu, adakah dia mengutipnya di medan perang? Tetapi si Yahudi itu menafikan dakwaan Sayidina Umar. Sayidina Umar tetap yakin bahawa perisai itu adalah miliknya yang tercicir di medan perang.

Akhirnya kes ini di bawa ke mahkamah untuk dibicarakan. Setelah kedua-dua pihak berhujah, hakim mendapati Sayidina Umar tidak ada bukti yang kukuh kerana dia hanya mengecam perisai itu sahaja tanpa ada bukti dan saksi yang sah. Hakim memutuskan bahawa perisai itu adalah milik Yahudi itu. Si Yahudi berasa amat kagum dan takjub dengan apa yang dilaluinya ini. Bagaimana seorang ketua negara akur kepada keputusan mahkamah tanpa berasa hina dan tidak menggunakan kedudukannya sebagai khalifah untuk mengambil perisai itu kembali. Dia juga kagum dengan hakim yang tegas dan tidak ada diskriminasi dalam memutuskan keputusan walaupun yang akan kalah itu adalah khalifahnya sendiri. Ini membawa sinar hidayah kepada si Yahudi dan akhirnya dia memeluk Islam.

Nah, di sini sudah menunjukkan betapa pentingnya sebuah perbicaraan yang adil itu di dalam Islam. Ia memberi ruang untuk mengelakkan seseorang itu dari teraniaya.

Kerajaan idaman juga berupaya untuk memberi pendidikan yang secukupnya kepada rakyatnya. Pendidikan yang diberi mestilah melahirkan seorang manusia yang beriman, beramal soleh dan berakhlak mulia. Sekali lagi diulangi, beriman, beramal soleh dan berakhlak mulia. Kerana ini adalah kunci kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Apa perlu seorang pelajar itu bijak di dalam akademik, cergas di dalam ko-kurikulum tetapi kosong dalam pengetahuan dan amalan kerohanian, juga buruk tingkah-laku atau akhlak. Seringkali pelajar-pelajar kita sama ada di peringkat rendah, menengah, mahupun peringkat tinggi dimomokkan dengan kepentingan pelajaran akademik dan ko-kurikulum sehinggakan telah terukir di pemikiran mereka bahawa kecemerlangan akademik dan ko-kurikulum sahaja yang akan menjamin kehidupan yang baik, dan dilihatnya kepentingan aspek kerohanian tidak menjamin apa-apa. Ini akan melahirkan manusia-manusia yang hanya akan bernafas di atas dasar keuntungan kebendaan semata-mata (materialistik) tanpa mengambil kira tanggungjawab sosial mereka. Terdapat juga ramai diantara pelajar-pelajar kita yang belajar membaca Al-Quran dan Fardhu Ain selepas selesainya sesi persekolahan tetapi tidak menghayati dan mengamalkannya dan masih juga mereka terjebak di dalam gejala-gejala yang tidak elok seperti membuang masa dengan melepak, minum arak, merokok, zina dan sebagainya. Mengapa ia terjadi?

Ini disebabkan apabila pembelajaran agama ini hanya dianggap sebagai sebahagian dari adat turun temurun. Bukan berpunca dari kesedaran diri mengenai pentingnya peranan agama Islam dalam membentuk syakhsiah diri dan sebagai pendinding diri dari terjerumus ke lembah kejahatan dan kemaksiatan. Mereka tidak memahami sepenuhnya akan konsep dosa dan pahala, syurga dan neraka. Pembelajaran agama hanya dipelajari sekadar menunaikan tuntutan adat ini adalah salah faham yang agak meruncing dalam masyarakat tradisional Melayu Islam amnya. Tidak semuanya begitu tetapi majoritinya begitu.

Bagi yang mempelajari asas-asas agama Islam pun boleh jadi begitu, bagaimana pula mereka yang tidak mempelajarinya pula. Tentu lebih teruk. Hanya Islam pada nama tetapi tidak pada perbuatan. Ini juga bukan kesalahan mereka seratus-peratus. Mungkin penekanan aspek agama ini tidak ditekankan oleh ibu-bapa mereka kerana mereka juga jahil akan kepentingan pengisian kerohanian. Ibu-bapa mereka juga jadi begitu kerana disebabkan oleh atuk dan nenek mereka yang begitu. Jadi, di manakah puncanya?

Puncanya adalah kerana sistem pendidikan yang memperlekehkan kepentingan pengisian agama Islam. Mereka yang mendalami bidang ini dianggap usang,tidak elit, ketinggalan zaman dan pelbagai lagi tanggapan-tanggapan negatif yang lain. Yang senantiasa yang ditekankan ialah sains, Bahasa Inggeris, ekonomi, dan saban hari penekanan ini diulang-ulang di media massa. Tidak dinafikan bahawa semua yang disebutkan itu tadi sememangnya penting tetapi pengabaian pendidikan kerohanian Islam ke dalam diri pelajar akan menghasilkan para profesionalis yang tidak beretika dan gagal untuk menahan diri dari terlibat dalam gejala najis rasuah, penyelewengan, pecah amanah, dan salah guna kuasa walau dalam apa sahaja kerjaya yang mereka ceburi atas merit kecemerlangan akademik dan ko-kurikulum semata-mata. Cuba bayangkan apabila mereka ini yang akhirnya akan menjadi pemimpin kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan