Memaparkan catatan dengan label Paparan kreatif. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Paparan kreatif. Papar semua catatan

Sabtu, 6 April 2013

RUROUNI KENSHIN



Rurouni Kenshin jika diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu bermaksud Kenshin Si Pengembara. Kewujudan Rurouni Kenshin adalah berasal dari manga hasil ilham kreatif dari mangaka Nobuhiro Watsuki. Kemudiannya ia telah diterjemahkan ke dalam berbagai bentuk francais seperti anime, ova, dan permainan video pelbagai pelantar. Dan yang paling menggemparkan, semestinya dalam bentuk filem aksi-sebenar yang diterbitkan sekitar bulan Ogos 2012, tahun lepas. Sebagai peminat sejati Samurai X (nama lain bagi Rurouni Kenshin) akhirnya saya telah melunaskan dendam saya setelah sekian lama menderita menunggunya.

Baik, saya akan menceritakan dari dua sudut pandang, iaitu sudut pandang sebagai seorang peminat siri manga dan animenya dan dari sudut pandai sebagai seorang peminat filem.

Sebagai seorang peminat setia siri asalnya, saya berasa sedikit kecewa dengan filem ini. Saya sudah menjangkakan kekecewaan ini akan dialami juga walaupun dengan hanya menonton trailernya sahaja sebelum ini. Ternyata telahan saya benar.

Seperti yang telah dijangkakan. Sewaktu saya menonton trailer itu saya sudah berasa pelik. Selain Kenshin Himura, trailer itu telah mendedahkan watak Kaoru Kamiya, Yahiko Myojin, Sanosuke Sagara, Jine Udo, mamat spek (lupa nama), Hajime Saito dan satu watak yang saya jangkakan itu adalah Aoshi Shinomori. Dari ini sahaja saya sudah agak jalan cerita filem Rurouni Kenshin ini pastinya telah diubahsuai dengan agak radikal dan tanpa belas kasihan. Kerana apa? Kerana jarak Kenshin untuk bertemu dan berkonflik  dengan setiap watak-watak di atas ini memakan berepisod-episod siri manga dan juga anime, berjam-jam woh!. Terutamanya pertemuan di antara Kenshin dan Hajime Saito untuk kali kedua selepas Perang Boshin. Kerana jarak untuk Kenshin bertemu dengan Hajime Saito itu agak jauh dengan episod Kenshin bertemu dengan Jine Udo. Jadi, saya tidak boleh membayangkan bagaimana pihak produksi filem ini mahu menyumbat semua watak dalam satu filem yang memakan masa lebih kurang dua jam ini (ingat Spiderman 3?). Jika dibandingkan dengan siri anime, perjalanan untuk Kenshin bertemu mereka ini memakan jumlah jam yang berjam-jam, macam siri drama. Argh tidak..!!

Lalu selepas menontonnya, ya (TT TT) wuwuwu~ Ia sangatlah berbeza dengan jalan cerita asalnya! Semuanya telah diubah. Episod-episod siri asalnya pun telah dicampur-campur dan dicincang-cincang teruk. APA PASAL JINE UDO YANG JADI BATTOUSAI PALSU TU?! (TT TT) Padahal Jine punya kisah jauh dan tidak ada kena mengena dengan episod battosai palsu tersebut di dalam manga dan anime. Walaupun Jine Udo itu sangat jahat, tetapi dia masih tetap berintegriti dan tidak akan menggunakan nama orang lain atas kejahatannya! Dia jujur dengan kejahatannya. Ia sangat berbeza di dalam filem. Kemudian, kenapa Kenshin jumpa Yahiko ketika Yahiko sudah bersama Kaoru?! (TT TT) , paling tak tahan pertemuan Kenshin dan Sanosuke Sagara, JUMPA DI DALAM PENJARA?!!!! What da fur?!!! Jauh berbeza dengan pertemuan asal mereka. Pertemuan asal Kenshin dan Sanosuke sangat cool!!! Tidak seperti dalam filem!! Mereka bertemu di kedai makan kemudian ada sekumpulan kaki minum buat kacau dalam kedai makan tu. Lepas itu Sanosuke jadi hero di situ dan mula membuatkan Kenshin agak tertarik dengan Sanosuke. Bukan dalam penjara! (TT TT). Banyak lagi perkara-perkara asal yang dicincang di dalam filem ini. Satu lagi, kenapa yang melindungi tokan opium itu bukan Aoshi dan Oniwabanshu?!! Tiba-tiba diwujudkan pula watak yang tidak ada dalam siri asal. Sepatutnya Aoshi Shinomori!!! (TT TT) Kenshin akan berjumpa dengan Aoshi dahulu sebelum Hajime Saito. Nampak macam Hajime Saito langkah bendul pula. Argh! Memang hancus!

Mari kita lihat dari sudut perwatakan pula. Dari segi ‘design’ kostum dan persolekan, saya agak berpuas hati. Mungkin tidak sama sebiji-sebiji  seperti dalam manga dan anime, tetapi ia masih bejaya menonjolkan watak apa yang pelakon-pelakon ini wakilkan. Tiada masalah tentang itu. Namun dari segi perwatakan itu sedikit bercampur-campur. Ada okay dan ada yang tidak. Kenshin Himura nampak sangat mandom (gloomy)  ketika dia sudah bersara dari menjadi Battosai dan bertemu Kaoru. Sedangkan perwatakan asalnya dalam manganime, beliau seorang yang sangat sangat ceria dan bersikap ‘happy-go-lucky’. Beliau hanya mandom ketika menjadi Battousai. Agak tidak kena di situ dan perkara ini sepatutnya tidak terjadi kerana beliau adalah tonggak dan ikon utama yang akan dinilai oleh peminat asal Rurouni Kenshin. Kaoru Kamiya juga sama. Beliau merupakan seorang yang sangat kecoh, mulut murai serta sangat aktif dan ‘energetik’. Namun di dalam filem ini, Kaoru adalah kontra kepada itu semua. Dia agak ‘innocent’ dan juga ‘gloomy’ di dalam filem ini. Namun, watak Hajime Saito aku berpuas hati, agak sama dengan watak dalam siri asal. Yahiko pun boleh tahan.  Sanosuke agak bercampur-campur. Memang betul perwatakan dia agak kasar serta kecoh, tetapi dia bukanlah tidak berotak. Malah dia sangat idealis! Itu yang membuatkan Kenshin tertarik dengannya pada konflik pertama beliau dengan Sanosuke. Saya jauh lebih suka pertemuan asal Sanosuke dengan Kenshin di dalam manganime dari yang di dalam filem.

Uh~ Sebagai peminat siri asal Rurouni Kenshin, filem ini agak kurang menjadi. Saya tahu mungkin agak sukar untuk menterjemahkan bulat-bulat siri asalnya ke dalam bentuk filem. Saya sebenarnya tidak kisah jika pihak produksi ingin mengubah suai sedikit jalan ceritanya, TETAPI UBAHSUAIAN INI SANGAT-SANGAT MELAMPAU!! DICINCANG HABIS-HABISAN!! SAMPAI LUMAT!! (TT TT) Adoi~


Rehat sekejap~ ………………………………………..


Baik, sekarang saya akan ulas dari sudut sebagai seorang peminat filem samurai. Apa yang saya boleh katakan ialah WOWW!!!!! FUYOHHH!!!!! AWESOME!!!! Saya memang puas hati!!! Saya dah tak ingat saya ulang tonton filem ini berapa kali! Segala-galanya menakjubkan!

Saya sangat suka ‘blending’ filem ini. Props, kesan khas, kualiti lakonan, sinimatografi. Dan yang paling mengujakan adalah adegan pertarungan yang ditampilkan. Penuh dengan pancungan-pancungan pantas yang tepat ke sasaran! Serta teknik-teknik bertahan dan serang yang memerlukan kemahiran pergerakan yang luar biasa! Bagi saya, adegan pertarungan di dalam Rurouni Kenshin sama hebat seperti dalam siri asal manganimenya. Memang ia tidak ikut secara bulat-bulat seperti dalam manganime, tapi saya sangat puas hati tentang ini! Tiada ragu bak kata Amy Mastura dan Aqasha. Malah Kenshin diberi nilai tambah lagi di dalam filem ini iaitu dia juga ditampilkan sangat mahir dalam tempur kosong tanpa pedang. Di dalam siri asal, Kenshin tidak ditunjukkan mahir dalam judo. Saya suka ini!

Runut muziknya juga hebat. Ia sangat bertepatan dengan setiap maksud yang layar visual filem ini tampilkan. ‘Opening’ filem ini pun dah sejuk (kool)! Babak Jine cuba menafsir pedang Kenshin yang tertinggal itu juga sangat mengujakan dengan permainan muzik synthesizer yang ringkas, tapi berat! Pergh! Hans Zimmer bukanlah kepastian bagi satu runut muzik yang berkualiti. (Saya sebenarnya kurang gemar muzik runut Transformers yang Zimmer buat).

Props dan setting filem ini juga sangat berkualiti dan bagus! Serius atmosfera filem ini memang sangat kena dengan siri asalnya. Paling aku agak terkejut, dapur dojo Kaoru sejibik sama dengan yang ada dalam anime! Susun atur dan peralatannya juga sama! Wao!

Kebiasaannya filem-filem Jepun berentak perlahan, ‘slow pace’ kata orang. Terutamanya filem yang bercorak purbawara, lagilah ‘slow pace’ (boleh rujuk Twilight Samurai, Zatoichi, When The Last Sword is Drawn dan lain-lain). Namun, Kenshin menongkah itu semua! Rentaknya tidak perlahan, tidak pula terlalu pantas, sedang-sedang kata orang, dan sangat sesuai untuk peminat Transformers (Apa kena mengena Kenshin dengan Transformers?). Saya sebenarnya tidak kisah sangat filem ‘slow pace’ ni. Namun selalunya untuk strategi komersil, ia sesuatu yang kurang laris untuk dijual di pasaran, melainkan filem itu dijual pada masyarakat pencinta seni. Penilaiannya akan jadi lain. 13 Assasins adalah contoh sebuah filem Samurai yang ‘fast pace’ serta lari dari adunan filem samurai tradisional Jepun seperti Lone Wolf and Cub, tetapi masih mengekalkan identiti dan roh sebuah filem Samurai yang tradisi (Aku suka 13 Assasins!!).

Dari perwatakan setiap watak yang ada di dalam Rurouni Kenshin ini, sebagai peminat filem Samurai, aku tiada masalah langsung!! Diulangi tiada masalah langsung! Malah aku semacam best pula melayan Rurouni Kenshin dalam satu suasana yang baru dan 'gloomy'. Takeru Sato nampaknya sangat-sangat menghayati perwatakan Kenshin Himura. Sebelum ini aku agak ragu-ragu apabila diberitakan bahawa Takeru Sato akan memegang watak Kenshin. Aku kurang yakin dengannya. Biarlah orang lain asalkan jangan dia. Namun selepas menonton filem ini, aku berpuas hati dengan penghayatannya sebagai Kenshin Himura. Tiada Ragu kata Amy Mastura. Kaoru pun cun! Aku macam jatuh cinta laks kat dia! Ahaks :P (sebenarnya aku suka Misao Makimachi dalam siri manganime).

"Jadi, hang suka atau tidak filem ini?!" tanya anda kepada saya. Saya pun dah pening kepala! Semacam ada ‘split personaliti’ pula. Jawapan saya, saya suka dan tak suka filem ini! Kalau saya suka kenapa saya membebel panjang lebar tentang betapa negatifnya filem ini? Kalau saya tak suka pula kenapa saya ulang tonton filem ini berkali-kali? Argh! Pening-pening!!

Diberitakan bahawa untuk sambungan filem ini, pihak produksi akan mula ikut jalan cerita asal (mungkin dah kena ‘sound’ gila-gila kot dengan peminat fanatik). Aku tak kisah kalau nak rombak jalan ceritanya, aku faham bahawa medium filem tidak sama dengan medium anime, tidak sama dengan medium manga. Tapi, janganlah rombak tahap melampau-lampau sangat.


Kesimpulannya, Rurouni Kenshin adalah sebuah filem samurai berpaksi manga yang anda tidak boleh lepaskan. Malah saya tidak akan maafkan anda jika anda tidak beli DVDnya. Beli yang ORI weyh!!!


Rabu, 13 Mac 2013

Unstoppable





.
FUUUU….!!!! Filem ini memang betul-betul membuatkan jantung anda berdegup kencang! Tidak syak lagi, inilah filem Tony Scott yang terbaik pernah aku tonton.Sebenarnya filem ini terbitan 2010. Kenapa pulak saya lewat tonton. Oh tidak, saya tidak lewat tonton, tapi saya cuma lewat buat ulasan.  Ah~ kalau betul pun saya lewat tonton dan lewat buat ulasan siapa kisah? Inikan blog saya.. Haha..

Seperti biasa, Tony Scott mengupah Denzel Washington untuk memacu filem ini. Suka betul dia dengan Denzel ya. Ah, saya tak kisah pun, lagipun Denzel Washington punya lakonan memang gred A punya. Bagi sajalah filem jenis apa pun, dia bawa selamba saja. Aku tak tahulah KRU mampu ke tak nak ambil pelakon-pelakon Hollywood gred A ni berlakon. Apa yang aku tengok Vikingdom punya pelakon tu semuanya gred B. John Foo tu pun baru-baru jer nak naik dalam industri. Dominic Purcell pun kurang famous di Hollywood tu. 

Beza pelakon gred A dan gred B Hollywood ini ialah, pelakon gred A selalunya memang memilih lakonan sebagai minat yang mendalam. Jadi bila kita lihat lakonan mereka dah macam betul-betul dah, cara gelak, cara marah, cara jahat dia. Kebanyakkannya pelakon-pelakon gred A Hollywood ini juga mempunyai latar belakang pelakon teater atau yang berkaitan dengan seni persembahan. Kualiti lakonan pelakon gred A juga sentiasa konsisten. Mereka akan all-out walau apa genre filem yang mereka lakonkan. Mereka juga sangat memilih dalam berlakon. Dan mereka juga selalu dicari pengarah yang juga gred A.  Kebiasaannya filem-filem pelakon gred A ni ‘think louder than action’ dan selalunya filem-filem mereka mencapai taraf kotak-pejabat (box office).

Tetapi, berlainan pula  dengan pelakon Gred B. Mereka ini selalunya jenis berlakon untuk cari makan. Kalau perasan, kebanyakkan filem-filem pelakon gred B ni dia ‘straight-to-video’ punya filem. Yalah, kebanyakkan filem gred B ini dihasilkan oleh pengarah-pengarah yang bercita-cita besar tapi tiada bajet. Selalunya kualiti lakonan pelakon gred B ini tak seimbang, adakala bagus, adakala ‘noob’ habis. Cara ketawa pun macam beritahu kita ‘ah, kau bayar aku ciput. Pasal pulak aku nak all-out’. Selain itu, filem-filem pelakon gred B ni juga selalunya jenis yang ‘action louder than think’. Tak payah banyak fikir, layan saja. Habis tengok kita akan lupa filem tersebut dan tak kisah pun untuk men’delete’nya selepas menonton. Berlainan dengan filem gred A. Usai menonton siap ada perbincangan khas lagi kita dengan member-member yang sudah tonton sama ada Lenoardo De Caprio masih berada dalam mimpi atau tidak di penghujung ‘Inception’.

Lagi satu, pelakon gred-B ni jenis rembat saja movie apa yang boleh.  Dan semestinya bayaran untuk mereka lebih rendah dari pelakon gred A. Takkan John Foo nak minta bayaran kat Yusri sama macam Ridley Scott bayar Sam Worthington, ye tak? Maunya KRU makan meggi berbulan-bulan, ke tahun?
Tetapi anda jangan pandah rendah kepada pelakon-pelakon gred B nih. Mereka ada peminat-peminat yang tersendiri. Kerana bukanlah semua filem-filem gred B ni tidak berkualiti walaupun majoritinya begitu. Sebagai contoh, sila layan ‘The Prodigy’. Anda nilai sendiri. Filem ini sangatlah gred B-nya sampai ada orang Amerika sendiri tak pernah dengar pasal filem ini. Saya yang berada di ceruk kampung kat Kedah pulak dah tonton. Bajet murah, tapi hasilnya.. F’uuu..! Sometime quality is not about budget. Pergh~ speaking pulak saya. 

Sebenarnya ada satu lagi gred bagi jenis pelakon ni, gred AB. Dah macam jenis darah pulak. Gred AB ni adalah pelakon-pelakon yang dua-dua jenis filem dia kedaghah kata oghang Kedah. Dia boleh tukar-tukar macam sesumpah. Filem gred B dia layan untuk cari makan, dalam masa yang sama pengarah gred A juga mencarinya untuk menjadi pelakon pembantu, kerana pelakon gred A tidak semestinya boleh menjadi pelakon pembantu yang baik. Mungkin juga kerana pengarah dan penerbit filem gred A minat dengan karisma mereka. Contoh terbaik Christoper Walken.

 Pelakon gred AB ini hidup dua alam. Mereka fleksibel dan kebiasaannya pelakon gred AB ini lakonannya sehebat gred A kadangkala kurang, tetapi tidak seteruk gred B. Jarang-jarang setaraf Oscar namun ada tapi tidak pernah menang. Dan lakonan mereka juga agak konsisten. Nama-nama yang terkenal untuk gred AB ni ialah Van Damme, Michael Jai White.

Waah… aku sudah melalut jauh ni! Jauh betul. Jauh lima perenggan. Baik kita u-turn balik. Unstoppable mengisahkan sebuah keretapi kargo yang telah hilang kawalan akibat kecuaian manusia. Dengan muatan 1000,000 tan kargo dipenuhi dengan bahan-bahan radioaktif, serta kelajuan yang mencecah 70 batu sejam, ia memang sebuah peluru berpandu! Dan yang paling merbahaya apabila kelajuan yang tidak boleh diperlahankan itu akan mengakibatkan  keretapi kargo tersebut akan terkeluar dari landasan di sebuah selekoh di Stanton, di mana kawasan itu dipenuhi dengan kilang-kilang kimia. Bayangkan apa akan terjadi jika itu berlaku?

Setelah berbagai usaha dijalankan untuk menghentikan keretapi tidak berpemandu itu namun, ia masih gagal. Lalu tanpa diminta,  dua orang pekerja syarikat keretapi berkaitan menawarkan diri untuk membantu. Frank (Denzel) seorang pemandu veteran yang mempunyai krisis dengan syarikatnya, manakala Will (Chris Pine) seorang pelatih baru yang menghadapi  krisis rumahtangga akibat salah faham yang kelakar. Dengan pengalaman dan sikap yang jauh berbeza di antara satu sama lain, mencapai persefahaman dalam definisi bekerjasama itu agak sukar pada pertemuan pertama mereka. Tetapi bila ia membabitkan soal pengorbanan untuk orang tersayang, mereka mula mencapai kata sepakat. Berdasarkan pengalaman bertahun-tahun membawa keretapi kargo, Frank berusaha untuk menghentikan keretapi itu.
 
Namun, ‘theory is practical in a perfect world’. Menghentikan keretapi itu sangat mudah bila ahli fizik bercerita, tetapi dunia yang tidak sempurna menceritakan sebaliknya. Lalu usaha untuk menghentikan kereta api ini bukan sahaja menjadi medan tuding-menuding antara satu sama lain, ia juga menjadi medan pertembungan idea-idea ortodoks dan bukan ortodoks untuk menghentikan keretapi itu di antara, Frank, Will, Connie (bhg pentadbiran syarikat),dan Oscar Galdvin (ceo.....kot...).
 
Selain itu, muzik runut yang dihasilkan oleh Harry Gregson William juga sangat-sangat sesuai dengan babak-babak aksi yang dipamerkan. Harry Gregson? Siapa dia? Tanya anda pada saya. Bagi kaki gamers, Harry terkenal dengan menghasilkan lagu tema game perisikan-ketenteraan Hideo Kojima, iaitu Metal Gear Solid. Sebenarnya nama beliau adalah sebaris dengan komposer-komposer muzik filem yang terkenal seperti Hans Zimmer dan James Newton Howard. Beliau juga orang yang menghasilkan muzik runut untuk filem X-Men Origin, The Chronicle Of Narnia.


Dengan aksi-aksi yang disulami muzik runut yang hebat, maka debaran demi debaran mula menendang-nendang dada anda tatkala menelusuri rentapan adrenalin kembara-aksi ‘Unstoppable’. Secara seriusnya saya kata, inilah filem kembara-aksi yang bertemakan kelajuan-yang-tidak-dapat-dihentikan terbaik selepas filem ‘Speed’, ya! Keanu Reeves dan Sandra Bullock.

Yaargh~!! Akhir kata! Silalah berhati-hati dan cermat melakukan tugas-tugas anda, kerana kadangkala kecuaian yang kecil boleh mengakibatkan kesan begatif yang besar.

Unstoppable
1000,000, tan! 100,000 nyawa! 100 minit!

Ahad, 9 Disember 2012

ABRAHAM LINCOLN VAMPIRE HUNTER






Yaarghh!! Nampaknya sudah agak lama aku menjauhkan diri dari blogku yang tercinta ini. Echeehh… Mehnah hidup kebelakangan ini agak mengganasi aku tanpa belas kasihan dan seterusnya ia menumpulkan sekejap kepala otakku dalam menzahirkan susunan-susunan abjad bermakna didalam blog ini, Waaarghh!! Ya Allah tolonglah hamba-MU yang lemah ini.

Vampire atau Pontianak, atau Vampiro boleh dikatakan wujud dalam legenda hampir setiap bangsa di muka bumi ini. Cuma namanya sahaja yang berbeza, namun metod mereka lebih kurang sama, iaitu menghisap darah. Subjek Vampire atau pontianak ini telah diterjemahkan dalam pelbagai jenis bentuk bagi menzahirkan kewujudannya. Ada versi mitos setempat, cerita-cerita orang tua, ada versi penglipurlara di kedai kopi, ada versi novel, ada versi teater, dan yang paling popular semestinyalah versi filem. Itu belum kira lagi genrenya, ada versi serius, ada versi lawak (10 Juta Pulus), ada versi seram, ada versi aksi, ada versi klasik, ada versi moden, dan berbagai-bagai lagi. Namun, dalam banyak-banyak medium, aku tidak pernah lagilah dengar subjek Vampire diterjemahkan dalam bentuk drama radio.

Hollywood nampaknya masih belum kering lagi idea untuk memanipulasi subjek Vampire di layar lebar. Kali ini gandingan Timur Bekmambetov (pengarah bombastik dari Russia) dan Tim Burton (Pengarah yang suka mengarah filem pelik-pelik dan dark) telah berjaya mengadun sebuah filem vampire yang diangkat dari novel Seth Grahame Smith dengan tajuk yang sama, Abraham Lincoln Vampire Hunter.

Ia mengisahkan apakah peranan pontianak di dalam pergolakan Civil War di Amerika ketika mana Abraham Lincoln memimpin pasukan Union menentang Confederate bagi menghapuskan perhambaan. Apa yang aku boleh cakap mengenai filem ini ialah setelah selesai menontonnya ialah, WOW! Bombastik! Awal sebelum aku menonton filem ini, aku sedikit skeptikal dan sinis terhadapnya lantaran dah terlalu banyak menonton filem-filem berkenaan Vampire ni. Namun setelah menghabisinya, secara automatik aku meletakkan Abraham Lincoln Vampire Hunter di kedudukan nombor satu bagi kategori filem-filem pontianak yang best. Secara seriusnya, aku rasa ia lagi best dan jauh meninggalkan Underworld. Abraham Lincoln Vampire Hunter berada di kelasnya yang tersendiri.

Walaupun adegan aksinya tidak segah trilogy Blade dan berlogy-logy Underworld, tetapi ia ada kekuatannya yang tersendiri yang tidak ada pada cerita-cerita pontianak yang lain. Ia mengaitkan pembabitan pontianak dalam peperangan Civil War serta bagaimana Abraham dengan bijaknya memperdaya golongan pontianak ini yang telah menyokong dan memberi bantuan kepada Confederate. Filem yang diangkat dari novel Seth Grahame-Smith sangat kreatif dalam memanipulasi sejarah untuk dijadikan satu fiksyen yang sangat pelik.

Dari satu segi, lakonan Benjamin Walker sebagai Abraham Lincoln juga agak meyakinkan. Saya suka wataknya ketika dia sudah berusia, tampak karismatiknya sebagai Abraham Lincoln. Entah menonton filem ini membuatkan semangat patriotik saya tiba-tiba menaik.

Walaupun terdapat beberapa kekurangan pada filem ini, namun pada hemat saya ia masih boleh dimaafkan.  

Isnin, 5 November 2012

Lock Out





Anda seorang banduan yang telah menjadi kambing hitam atas satu konspirasi. Anda telah ditangkap ketika melarikan diri dengan satu beg bimbit yang menyimpan satu rahsia besar. Anda telah dianggap sebagai seorang pengkhianat negara merangkap penjenayah kelas pertama. Oleh kerana negara anda tiada hukuman mati, anda telah dihantar ke satu kompleks penjara di mana hanya banduan-banduan amat berbahaya sahaja ditempatkan. Kompleks penjara itu tiada seinci ruang untuk perkataan ‘tidak mustahil’ yang bernama ‘melarikan diri’ menyelit masuk dalam definisi berjaya-bebas-dari-penjara. Ia bersifat begitu kerana binaannya tidak menjejak bumi. Nun jauh di lapisan stratosfera sana.

Namun, prosedur penghantaran anda ke sana yang sepatutnya berjalan lancar sedikit tidak lancar kerana satu aral yang bernama ‘banduan-telah-menguasai-penjara’ telah berlaku. Untuk menambah lagi perisa ke dalam masakan plot, maka seorang anak gadis Presiden Amerika telah terperangkap di sana. “Apa? Apahal lak anak Presiden Amerika buat kat situ?” kata anda kepada saya. Jangan tanya saya, tanya Luc Besson. Apa yang anda pasti, ayat ini sangat bertepatan dengan situasinya: “ She was at the wrong place, at the wrong time.” 
Lalu, anda yang sudah bersiap-siap hendak bercuti di sana, tiba-tiba saja status banduan anda yang hina-dina terpaksa ditukar menjadi wira negara buat sementara waktu untuk menyelamatkan anak Presiden Amerika tersebut. Mungkin anda bertanya, “Kenapa tak hantar askar komando saja?”. Lalu mereka menjawab, “Kerana perkara ini masih belum terdedah kepada umum..dan..blablabla.." dan diberilah 1001 alasan untuk menyuruh anda tetap menjadi watak utama Lockout. Tetapi jika tidak ditanya begitu pun, mungkin anda sendiri akan menawarkan diri untuk menjadi hero kerana anak Presiden Amerika itu adalah seorang gadis. Hurmm… kenapa asal anak Presiden saja, mesti pompuan? Air Force One begitu,

Maka dengan segala macam peralatan yang canggih, anda terus menjadi Rambo di angkasa lepas!

Yang Suka

Aku suka konsep filem ini. Walaupun futuristik, tetapi tidak terlalu melebih-lebih. Masih ada adunan teknologi masa kini dengan masa akan datang. Aku suka konsep kompleks penjara yang canggih di angkasa lepas sana namun pengawal dan wardennya tidak berbaju sut ketat macam Star Trek dan masih bersenjata shotgun, bukan pistol laser Star Wars.

Dialog

Suka dialognya yang sangat komedi dalam serius dan dalam masa yang sama menyengat. Tak faham? Ini contohnya , “ You have any idea what my father would do to you?” tanya anak presiden itu setelah berasa sangat jengkel dengan perangai Guy Pearce yang gila-gila tu. Lalu dia menjawab, “Ah! Not raises taxes again!” Aku ketawa hampir terbahak-bahak dengan dialog ini.

Aksi

Aksinya sederhana, cantik tersusun. Ada masa kita boleh menarik nafas untuk berehat. Ada masa yang aksinya mula membuatkan anda teruja. Senang cakap, aksinya lebih mirip filem Con Air dan The Rock dan campur sikit Fortress Re-Entry. Lockout kurang bermain dengan aksi yang bombastik gila-gila seperti Die Hard atau Star Wars, tetapi dia banyak bermain dengan aksi-aksi yang mendebarkan. Perlu ingat, debar bukan bermaksud aksi. Aksi boleh menjadi debar, tetapi debar tidak semestinya aksi. Sila tonton Phonebooth atau How To Rob A Bank untuk mendapatkan gambaran dengan lebih jelas.

Tapi yang sebenarnya yang paling aksi adalah mulut celupar Guy Pearce.

Yang tak suka

Hurm… aku tak nampak lagi apa yang aku tak suka mengenai filem ini. Mungkin soundtracknya yang sedikit kurang memberangsangkan.

Kesimpulannya, Lockout merupakan satu filem debar-aksi-pra futuristik yang sangat sesuai untuk peminat-peminat filem aksi seperti saya. Akhir kata, Guy Pearce watak Snow itu memang untuk kau. Tak ada orang lain boleh pegang.

Rabu, 8 Ogos 2012

The Legend Of Korra


THE LEGEND OF KORRA

Beberapa tahun lepas, Avatar – The Last Airbender telah menggemparkan dunia animasi global dengan satu saga yang sangat bombastik dan juga luar imaginasi! Ia mempunyai 61 episod yang terbahagi kepada tiga bahagian, Book 1 (Water), Book 2 (Earth) dan Book 3 (Fire). Avatar mengisahkan sebuah dunia fantasi di mana dunia ini terbahagi kepada empat benua. Benua Air, Benua tanah, benua Angin, dan benua Api.

Di dalam dunia ini terdapat manusia-manusia yang boleh menguasai unsur Tanah, Api, Air dan Angin. Ia bergantung kepada puak mana dia dilahirkan atau keturunannya. Mereka ini dipanggil Bender atau dalam bahasa kita pelentur. Di dalam saga The Last Airbender, ia mengisahkan berkenaan Negara Api yang telah menjajah negara-negara lain. Di dalam kempennya itu, Negara Angin telah dimusnahkan seratus-peratus, dan hanya Ang seorang sahaja yang terselamat dalam serangan Negara Api itu.

Pada masa ini, Negara Api dipimpin oleh Lord Ozai yang sangat gila kuasa! Ang pula telah ditakdirkan menjadi nemesis kepada Ozai kerana dia seorang Avatar. Avatar ini kononnya merupakan penyelamat yang hanya ada satu sahaja dalam satu zaman. Seorang Avatar boleh menguasai keempat-empat jenis unsur tersebut. Ang telah bertemu dengan Katara seorang gadis pelentur air, Sokka abang Katara yang sengal, dan Toph seorang gadis buta dari pelentur tanah. Mereka bersama-sama Ang mengembara ke serata tempat dalam misi menghentikan kekejaman Negara Api dan juga Lord Ozai. Di belakangnya, Zukko yang merupakan anak kepada Lord Ozai sentiasa memburu Ang demi membuktikan kebolehannya kepada ayahnya yang sering memandang rendah terhadap dirinya berbanding  Azula, adik perempuannya yang kejam.

Pengembaraan mereka berakhir dalam empat episod terakhir yang lebih dikenali dikalangan peminat sebagai episod ‘The Sozins Comet’. The Sozins Comet menceritakan bagaimana kedatangan komet Sozin yang akan melalui ruang angkasa bumi buat beberapa ketika. Fenomena ini diambil peluang oleh Lord Ozai untuk menjalankan kempen memusnahkan Negara Tanah secara total! Ini kerana kedatangan  komet Sozin akan memberi ahli-ahli  Fire Bender lebih kuasa dalam menghasil dan melentur api.



Mereka telah melancarkan serangan dari beberapa buah kapal udara dan menyerang Negara Tanah di bawah dengan gabungan kuasa api yang sangat dahsyat!! Serangan ke atas Negara Tanah itu diketuai sendiri oleh Lord Ozai. Besarnya serangan api itu menyebabkan Toph yang buta itu juga dapat merasai kedahsyatannya.

Namun Ang, Toph dan Sokka telah menghentikan serangan tersebut di pertengahan jalan. Ang akhirnya bertempur hebat dengan Lord Ozai di situ juga. Walaupun Ang boleh menguasai keempat-empat unsur alam tersebut, namun Lord Ozai juga pada ketika itu sangat kuat kerana dia menyerap kuasa dari Komet Sozin yang sedang melintasi ruang udara bumi pada ketika itu. Ozai cuba menghabiskan Ang secepat yang mungkin sebelum Komet Sozin itu berlalu. Akhirnya, seperti biasa, hero mesti menang.


Avatar-The Last Airbender bagi aku bukanlah satu animasi yang sesuai untuk kanak-kanak walaupun ia ditayangkan di Nickelodeon (Nickelodeon pun banyak propaganda jugak). Ia sebuah animasi yang sangat idealistik, berat dan ada juga unsur-unsur yang berkaitan dengan agama. Hurm.. satu bentuk pendakyahan halus terhadap-hadap minda kanak-kanak dari Nickelodeon. Ah, siapa yang mengawal mereka kan?

Namun begitu, banyak juga nilai-nilai positif di sebalik nilai-nilai negatif yang ada dalam siri ini. Salah satu yang aku suka siri Avatar ini ialah, pengarah dan penerbitnya banyak memasukkan unsur-unsur Asia di dalamnya. Dari segi rekabentuk kostum pakaian, budaya, gerak tempur, nama-nama dan juga muzik sangat jelas ke Asia’annya walaupun ia dunia fantasi. Yang paling besar pengaruhnya ialah dari budaya Cina, kungfu semestinya sudah ada. Ini nampak jelas pada perwatakan orang-orang dari Negara Api. Cuba anda bayangkan pergerakan kung-fu yang digabungkan dengan teknik Fire Bending, sangat cantik aksi tempurnya.

Selain itu, ada budaya dan seni Arab. Kita dapat lihatnya pada episod ke-10 dalam book 2. Dalam episod ini senibina bangunan perpustakaan gergasi yang dimasuki Ang sangat jelas unsur senibina Asia tengahnya. Manakala Negara Air Utara dan Selatan pula berperwatakan Eskimo. Namun bagi sesiapa yang teliti, anda akan dapat nampak beberapa unsur Melayu dalam siri ini. Di antaranya nama Raja Negara Tanah adalah Bumi. Kedua terdapat satu koloni Negara Api berpakaian seperti orang peribumi Sarawak. Dan beberapa gerak tari tempur Earth Bender seakan-akan gerak silat.

Okay, habis sudah mukadimahnya. Sekarang baru aku nak bercerita sedikit tentang Avatar-Legend Of Korra. Baru sahaja selesai menghabiskan 12 episod dari Book 1 (Air). Saganya bermula pada zaman Tenzin, iaitu anak Ang dan Katara. Zaman ini menyaksikan dunia sudah aman damai selepas huru-hara besar yang dicetuskan oleh Lord Ozai lama dahulu. Tiada lagi penjajahan berlaku, pentadbiran kerajaan kini bukan lagi bercorak monarki, tetapi Republik. Para bender boleh beramah mesra sesama mereka. Tiada lagi permusuhan.

The Legend Of Korra mengisahkan perjalanan Korra, seorang gadis remaja yang datang dari Southern Water Tribe. Dia satu kampung dengan Katara. Sejak kecil Korra sudah menguasai tiga unsur, iaitu Air, Api, dan Tanah. Namun untuk melengkapkan dirinya menjadi seorang Avatar, dia perlu menguasai unsur angin yang dia masih belum kuasai. Tenzin telah dipilih untuk melatihnya teknik angin kerana Tenzin seorang pelentur angin. Lalu Korra pun berhijrah ke Republic City untuk berguru dengan Tenzin. Gambaran Republik City adalah apabila Negara China dengan budaya dan senibinanya digabungkan dengan Amerika Syarikat, maka anda akan dapat satu Bandar Washington versi Asia Timur. Sangat pelik dan sangat menarik.


Namun sikap Korra yang sambil lewa sangat memeningkan kepala Tenzin. Ditambah lagi dengan penyertaan Korra dalam kumpulan Fire Ferrets untuk bertanding dalam Kejohanan Pelentur Pro (Pro Bending Tournament. Melalui Fire Ferrets, Korra telah menemui Marko, seorang pemuda pelentur api. Mako mempunyai seorang adik lelaki yang sentiasa ceria. Namanya Bolin, seorang pelentur tanah. Korra juga berkenalan dengan seorang gadis kaya, Asami Sato. Asami ini adalah teman wanita kepada Mako.
Hurm.. jadi apa yang menariknya? Tiada krisis besar pun yang berlaku? Kata anda kepada saya.

Anda silap! Kali ini mereka menghadapi satu krisis besar yang berlaku di Republik City. Satu krisis yang tidak dicegah awal, ia akan menjadi barah kanser ke seluruh dunia. Para pelentur (bender) ini juga tidak menyangkakan yang ancaman kali ini bukan datang dari kalangan mereka seperti Lord Ozai dahulu. Ia datang dari orang biasa yang tidak mempunyai keupayaan bending langsung. Pencetus huru-hara ini dipanggil Equalist. Perjuangan Equalist adalah menghapuskan semua keupayaan bending yang ada. Bagi mereka, element-bending adalah satu bahaya yang boleh membawa kepada peperangan dan penindasan.  

Matlamat Equalist adalah semua manusia sama. Tiada keupayaan element-bending. Ia diketuai oleh Amon, seseorang yang telah ditindas oleh fire-bender. Tetapi yang menakutkan bagi para bender tentang Amon ini ialah, dia boleh menghilangkan keupayaan bending seseorang bender secara kekal. Seperti yang Ang lakukan kepada Lord Ozai.

Selesai menghabiskan Book 1, apa yang aku boleh katakan ialah, WOW! FOUR THUMBS UP!! Tak puas aku tonton sekali. Siri Avatar terbaru ini lebih matang, lebih halus animasinya, lebih idealistik! Namun yang paling penting, AKSI PERTARUNGAN YANG LEBIH BOMBASTIK!!

Seawal episod 1 lagi Korra telah menyajikan gerak tempur yang cukup mengagumkan dihadapan kumpulan The White Lotus. Pertarungannya dengan Mei Bayfong, iaitu anak Toph juga sangat spektakular ketika Korra baru tiba ke Republik City. Lin Bayfong merupakan seorang Metalbender (pelentur besi. Teknik metalbending ini diasaskan oleh ibunya, Toph). Selain itu pertarungan kejuaraan Pro Bending juga dibuat dengan teliti dan kemas!  Ia ada undang-undangnya sendiri. Satu kumpulan memerlukan seorang pelentur api, pelentur air, dan pelentur tanah. Lalu mereka akan bertarung  dengan kumpulan lawan dengan mengasak mereka ke penjuru gelanggang. Permainannya sedikit nak sama dengan ragbi.

Namun, yang paling menggemparkan ialah kumpulan Equalist itu sendiri. Bagaimana mereka yang tidak mempunyai keupayaan melentur mengatasi bahaya serangan para element-bender. Allah menciptakan akal, setiap jalan pasti ada penyelesaiannya. Oleh kerana tiada keupayaan bending, mereka telah mencipta satu sut yang kalis kepada api. Mereka juga mencipta sejenis sarung tangan yang pelumpuh untuk melumpuhkan para bender. Di samping itu, mereka juga mengasah diri mereka dengan kemahiran tempur yang dinamakan Chi Blockers Technique bagi mengatasi serangan element-bender.

Selain aksi tempur yang mengagumkan, Legend Of Korra juga menyajikan anda dengan runut bunyi yang hebat. Paduan unsur-unsur muzik Asia dengan sedikit pengaruh muzik barat menjadikan setiap babak dalam Legend Of Korra itu sangat ekspresif. Apatah lagi runut muzik ketika aksi pertempuran, ia benar-benar menjadikan Legend Of Korra ini bukan lagi sebuah animasi yang boleh dianggap budak tadika (sebenarnya The Last Airbender pun dah bukan untuk budak tadika). Aku berkata begini kerana majoriti akan cuba membandingkannya dengan anime-anime dari Jepun.  Selain itu, mimik muka setiap watak-wataknya sangat kena dengan gelagat dan perwatakan mereka. Ya!! Memang sangat ekspresif! Maaf cakap, aku rasa wataknya nampak lebih hidup dari sebahagian besar anime dari Jepun.

Untuk pengetahuan semua yang belum tahu, yang sudah tahu buat-buat tak tahu saja lah ya. Siri animasi Avatar ini dihasilkan oleh studio dari Korea, bukan Jepun ya. Bagi sesiapa yang gila animasi macam aku pasti akan nampak perbezaan diantara blending animasi Korea dan Jepun.

Satu hal lagi yang buat aku menggemari siri Avatar ini ialah, bagaimana dia mempamerkan kerjasama di antara rakan-rakan dalam mencari penyelesaian masalah. Ia mengajar kita walau sebagus mana kita ini, kita tetap memerlukan di antara satu sama lain. Janganlah kita mengaggap diri kita sudah kuat, atau kaya, atau berpengaruh besar, atau berpangkat, atau ke semuanya sekali, atau….. atau apa lagi??! kata anda kepada saya. Maaf. Anda jangan harap anda boleh mengharungi kehidupan ini secara berseorangan. Rasulullah SAW sendiri mempunyai teman dalam perjuangan baginda.

Kesimpulannya, Legend Of Korra telah melepasi harapan tinggi yang telah aku letakkan ketika aku mengetahui projek animasi ini akan dilaksanakan. Malah sesetengah sisi, ia sangat jauh melepasi harapan aku, dan tidak terfikir. Serius cakap, baik anda layan siri Avatar ini dari anda layan Merong Mahawangsa KRU!!

OH YA! Aku terlupa satu perkara, aku terjumpa lagi sedikit unsur Melayu dalam siri Legend Of Korra ini. Pertama ialah nama anjing polar Korra adalah Naga. Kedua Korra menggunakan teknik cindai yang hampir sama dengan teknik Silat Gayung ketika berlawan dengan seorang pengawal keselamatan Equalist.  

Huih..! panjang  juga ulasan aku kali ini.  All right! Bagi mengakhiri coretan-karutan kali ini, mari kita layan trailer The Legend Korra. Yeah! ....(Ehem..Aku rasa Korra ni comellah..)




Ahad, 3 Jun 2012

Serbuan Maut A.K.A The Raid



Yaarggghh!! Setelah sekian lama aku menunggu kehadirannya, akhirnya Serbuan Maut telah berjaya menendang mukaku bertubi-tubi sampai lebam sana-sini. Selesai sahaja menontonnya, tiada apa yang boleh aku katakan lagi, “WOOOOOWWWW!!!!” Itu sahaja. Debarannya, aksi silatnya, sinemotografinya semuanya terbaik bagi aku, dan telah membuatkan aku menontonnya dua kali untuk satu malam tu, dan besok ulang tonton lagi!! MAN!! It is an AWESOME MOVIE !! WAARRGGHH!!!

Tajuk
Filem ini mempunyai beberapa tajuk, untuk pasaran Indonesia, ia diberi tajuk Sebuan Maut, manakala untuk tayangan perdana di Midnight Madness, ia diberi nama The Raid sebelum ditambah The Raid: Redemption untuk pasaran dunia. Redemption diberi bagi membezakannya dari beberapa buah filem lain yang menggunakan tajuk yang sama.

Ceritanya
Kisah bermula apabila satu pasukan khusus polisi Indonesia seperti pasukan SWAT menjalankan misi untuk menangkap Tama, seorang penjenayah Star di tengah-tengah kotaraya Jakarta. Menangkapnya tidak mudah kerana tempat bersemayamnya merupakan di tingkat 15 di sebuah bangunan apartment 30 tingkat.
Tama mengawal seratus peratus bangunan itu. Untuk memasukinya hanya ada satu pintu masuk seperti pintu gerbang yang dikawal oleh orang-orangnya. Apartment ini juga merupakan tempat tinggal bagi orang-orang Tama, disamping itu juga ia tempat bermaustatinnya segala penjenayah-penjenayah lain yang menyewa rumah disitu. Ia juga merupakan pusat Tama menjalankan aktiviti perniagaan haramnya dan terdapat juga kilang dan makmal memproses dadah di apartment tersebut. Perghh!! Anda boleh bayangkan betapa sampahnya tempat itu. Teringat kata Jaka ketika mereka hampir tiba ke lokasi Tama ketika menaiki van SWAT,  “AYUH! Kita bersihkan sampah kota ini!”.

Bukan itu sahaja, bangunan ini juga dilengkapi dengan cctv yang dihubungkan terus ke rumah Tama. Di samping itu, setiap tingkat dilengkapi dengan alat interkom yang juga dihubungkan terus ke tempat Tama untuk memudahkan anak-anak buahnya memaklumkan apa-apa maklumat kepada Tama.  Senang cakap, bangunan ini seperti sebuah kubu perang di mana setiap sudut orang-orang Tama pasti ada. Gila AH!
  
Setelah berjaya menembus masuk ke apartment itu secara senyap dan penuh strategi, mereka terus memulakan operasi mencari dan menangkap Tama. Jaka kata “Tugas kita sederhana. Kita masuk, tangkap dan seret dia keluar!”. Serbuan itu dilakukan pada awal subuh, ketika para penghuni apartment masih ramai yang dibuai mimpi.

TETAPI! Malang memang tidak pernah ada bau, apabila mereka berada di tingkat enam, serbuan senyap mereka terbongkar oleh seorang kanak-kanak yang bertindak sebagai tonto (anda tahu tonto?) dan terus memaklumkan kepada Tama akan kehadiran pasukan pasukan SWAT itu melalui interkom.

Berita itu tidak langsung membuat Tama gentar, dia sendiri mempunyai berlori-lori tenteranya di apartment itu untuk melindunginya, di setiap tingkat bangunan. Cukup dengan satu pengumuman melalui alat pembesar suara di setiap tingkat apartmentnya, itu sahaja telah membangkitkan nafsu membunuh setiap manusia didalam apartment itu. Bagi Jaka dan pasukannya yang sudah ter’kantoi’, pengumuman itu cukup-cukup meremangkan bulu roma mereka.

                “Selamat pagi teman-teman. Mungkin anda sudah mendengar kalau kita kedatangan tamu tak diundang. Bukan saya yang mengundang dan tentunya mereka tidak kita terima di sini. Demi kepentingan kita semua, anda bisa memberikan bantuan anda dalam mengusir kutu-kutu ini. Dan anda, akan mendapatkan imbal tinggal tanpa biaya.

                Anda bisa menemui tamu tak diundang ini di lantai enam. Selamat bekerja, dan jangan lupa bersenang-senang.”

Apa lagi, operasi yang pada asalnya berjalan lancar terus bertukar menjadi satu  huru-hara yang menggila!! Kini Jaka, Rama (Iko Uwais) dan rakan-rakan sepasukannya yang lain terpaksa menukar misi, dari memburu Tama kini mereka memburu nyawa mereka sendiri pula! Mereka terpaksa keluar dari apartment itu, dan langkah keluar itu juga adalah satu neraka bagi mereka.

Watak



TAMA
Filem ini tidak menumpu kepada satu-satu watak sahaja. Setiap watak memainkan peranan masing-masing untuk menghidupkan cerita. Tama dilakonkan oleh Ray Sahetapi, beliau memang sesuai untuk memegang posisi Tama itu. Tama merupakan seorang penjenayah besar yang tenang, tidak terburu-buru, bijak menilai situasi, dan dalam masa yang sama dia boleh membunuh mangsanya dengan menembak sambil makan mee.

JAKA
Jaka dilakonkan oleh Joe Taslim. Perghh!! Secara seriusnya atau orang putih panggil seriously , watak Jaka ini telah membuatkan aku tiba-tiba sahaja menjadi peminat Joe Taslim secara automatik! Walaupun aku rasa ini pertama kali aku lihat Joe Taslim berlakon, atau tak salah aku kata aku kenal dia sebab filem ini, tetapi lakonan mantapnya telah membuatkan aku tiba-tiba tersangkut dengan lakonannya dan membuatkan aku mula tertunggu-tunggu akan filemnya yang akan datang.

Jaka merupakan ketua pasukan SWAT yang menyerbu apartment Tama. Dia merupakan seorang ketua yang sangat tegas serta sangat bertanggungjawab terhadap anak-anak buahnya. Dia tidak akan meninggalkan apartment itu selagi anak-anak buahnya yang selamat tidak ada bersamanya.  Tetapi amat malang sebelum dia berjaya menemukan anak-anak buahnya yang terpisah di tingkat lain, dia telah bertemu dengan Mad Dog. Orang kanan Tama yang sangat gila, sesuai dengan namanya.

Kadangkala, aku terasa lakonan mantap Joe Taslim ini sedikit menggelamkan watak bintang filem ini, iaitu Iko Uwais.

RAMA
Rama, watak yang dimain oleh Iko Uwais, yarghh!! Inilah watak bintang yang menguatkan filem ini. Lakonan Iko memang sangat bagus walaupun ini barulah filem kedua lakonannya, tetapi kualiti lakonannya kadangkala mengatasi pelakon-pelakon yang sudah lama dalam bidang ini. Bravo! Walaupun wataknya sedikit tenggelam dengan watak Jaka yang kelihatannya lebih menonjol, tetapi aksi silatnya berjaya mengekalkan kesedaran penonton akan kewujudannya didalam filem ini.

Aksi tangkasnya bermain pisau serta penggunaan unsur-unsur sekeliling untuk dijadikan senjata membuatkan kita berkata, “Ini MEMANG sebuah filem aksi mempertahankan diri yang sebenar!”

ANDI
Andi, orang kuat Tama selain Mad Dog. Dia juga merupakan kepala perancang setiap operasi perniagaan  haram Tama. Andi dilakonkan oleh Doni Alamsyah. Beliau juga ada muncul dalam filem Gareth Evans yang terdahulu, Merantau. Di dalam Merantau dia memainkan watak sebagai abang kepada Yuda. Manakala dalam Serbuan Maut, ia masih lagi memainkan watak abang kepada Iko Uwais. Andi telah lama meninggalkan keluarganya, pada babak Rama mahu meninggalkan rumahnya, dia berkata kepada ayahnya, “Aku akan bawanya pulang.”

Doni Alamsyah yang anda lihat peramah dan santai di dalam Merantau berubah 100% dalam filem ini. Dalam filem ini, dia akan membunuh manusia macam makan nasi, tak ada perasaan. Tidak ku sangka, rupa-rupanya dia juga dapat memainkan aksi pertarungan dengan hebat. Anda akan dapat menemui Doni Alamsyah lagi dalam sebuah filem Indonesia ynag terbaru, 5 Menara. Sebuah filem yang diadaptasi dari novel terlaris A.Fuadi.

MAD DOG

WOrghh..!!! Mad Dog, tiada nama lain yang lebih sesuai untuk Yayan Ruhian dalam Serbuan Maut melainkan Mad Dog. Wataknya, INCREDIBLE!! BOMBASTIC!! PLASTIC!! Aku tidak tahu bagaimana mahu mengulas wataknya. Anda perlu saksikan sendiri baru anda tahu!  Mad Dog juga adalah orang kanan Tama. Dia memang gila! Kemahiran seni silatnya memang MARVELLOUS!! Anda juga dapat menemui Yayan Ruhian dalam Merantau, dimana Iko Uwais bertarung dengannya     didalam lif. Arghh!! Aku tak tau macamana nak cerita dah watak dia. Memang gila dia ni!

Muzik
Ini satu lagi unsur maut untuk filem Serbuan Maut. Muziknya betul-betul masuk dengan babak-babak dan adegan pertarungan didalam filem ini. Adunan muziknya dibuat oleh Mike Shinoda dan Joseph Trapanese. Anda kenal Mike Shinoda? Alaa.. yang  kumpulan Linkin Park tu. Apa yang boleh aku kata tentang muziknya, memang membunuh!!  Memang terbaik ah muziknya!!

Sinemotografi
Memang cun, seperti yang Matt Flannery buat dalam Merantau. Permainan kamera juga sangat baik!! Ia berjaya membuatkan kita benar-benar merasai setiap debaran yang berdetik didalam Serbuan Maut. Lagi satu, tona warna yang agak gelap dan pudar itu sangat sesuai dengan konsep aksi yang dibawa Serbuan Maut. Teringat tona warna dalam sebuah filem Perancis L’Assault.

Babak-babak pilihan

Arghh!! Sebenarnya hampir keseluruhan babak filem ini adalah babak pilihan bagi aku. Cuma aku pilih yang paling-paling melekat dekat ingatan aku.

1.Peti ais meletup. Babak ini Rama dan rakan sepasukannya memasukkan sebuah tong gas ke dalam peti ais kosong sebelum mengheretnya ke pintu bilik. Disebalik pintu bilik itu penuh dengan manusia-manusia sampah yang mahu membunuh mereka yang cuba memasuki bilik itu. Sebaik sahaja peti ais tu tiba di pintu bilik, Rama mencabut pin sebuah bom tangan dan dicampak masuk ke dalam peti ais itu sebelum bahagian peti ais yang terbuka itu dihadapkan ke pintu dan…… KABOOOMMM!!!!

2. Aksi pertarungan  Rama dengan kumpulan khas Tama yang berparang. Kumpulan ini semacam pasukan khusus bagi Tama. Ada satu babak yang sangatlah mendebarkan membabitkan Rama dengan kumpulan ini disaat Rama dengan seorang rakannya yang cedera parah sedang bersembunyi disebalik sebuah dinding kayu. Ketua kumpulan ini mengagak-agak jika ada orang yang bersembunyi di sebalik dinding kayu itu, lantas  ditikam-tikam dinding itu. PEGRGHH!! Memang seram sejuk menonton adegan itu!! Parang itu mencucuk-cucuk sehingga ia menghiris pipi Rama! Aduss…!

3. Aksi Rama yang sudah tiada jalan keluar terpaksa merempuh tingkap untuk terjun ke bawah dengan menjadikan ketua kumpulan Parang itu sebagai perisai. BEDEBUKK!! Sebaik sahaja jatuh ke sebuah tangga besi, Rama kembali merempuh masuk ke sebuah rumah melalui tingkap bersebelahan apabila dia ditembak oleh orang-orang Tama yang mengepung di luar apartment.

4. Aksi Jaka bertarung dengan Mad Dog. Didalam babak ini, Mad Dog akan mengajar anda bagaimana caranya untuk berlawan dengan mereka yang lebih besar dan tinggi dari anda. Babak ini membuatkan aku berkata, “HAH??!!! Jaka mati ke??!!”






5. Aksi Andi membunuh dua orang manusia didalam lif dengan pisau. Sangat pantas, cepat dan sadis. Lepas tu dia boleh buat muka selamba tunggu pintu lif buka.

6. Yarrgh!! Yang keenam Ini adalah kemuncak segala aksi-aksi pertarungan di dalam Serbuan Maut. Di antara pertarungan di dalam filem yang gred A++ bagi aku. Pertarungan dua lawan satu! Antara Rama berpadu dengan Andi menentang Mad Dog seorang! WARGGHHH!!!!! GILAA!!!! Memang mantap!! Adegan pertarungan akhir ini telah memaksa Rama, Andi dan Mad Dog mengeluarkan segala macam teknik silat yang ganas-ganas!!

Pertarungan akhir mereka ini diadakan didalam sebuah bilik kosong yang berupa seperti tempat seksaaan Tama untuk mangsa-mangsanya. Tona warna yang pudar ditambah lagi dengan track Putting A Mad Dog Down dari Mike Shinoda membuatkan pertarungan akhir ini memang epik!! Tambah-tambah lagi adegan terakhir ketika Andi dan Rama berjaya membunuh Mad Dog, Perghh!!! MEMANG EPIKK!!

7. Yang ketujuh adalah babak ketika Rama dan Andi berpisah ketika Andi menemankan Rama ke pintu keluar apartment, dengan paparan visual yang tiba-tiba gerak perlahan, dan track Razors Out nyanyian Chino Moreno pun masuk. Huh.. memang stailo babak ini. Ia menunjukkan bagaimana kedua-dua pihak dalam keadaan yang sangat letih dengan konflik yang berlaku hari itu, dan Razors Out memang terbaik. Nama pun Razors Out, memang ganas!


Huh.. letih dah aku menulis… tapi filem ini memang layak untuk aku ulas panjang-panjang.
Keseluruhannya, Serbuan Maut atau The Raid atau The Raid Redemption ini merupakan sebuah filem aksi, atau aksi mempertahankan diri yang terbaik pernah aku saksikan! Filem ini juga membuatkan kita akan berkata, “Hah? Macam tu pun boleh bunuh orang?”. Ya, filem ini akan menunjukkan adegan-adegan membunuh yang tidak terfikir oleh akal kita, kerana apa? Kerana mereka memang benar-benar MEMPERTAHANKAN DIRI!! Kerana didalam keadaan darurat, benda yang asalnya bukan senjata boleh menjadi senjata yang bahaya. Bayangkan lampu kalimantang yang putih tu pun boleh bunuh orang. Huh.. gila.... Jangan dibanding dengan Jiwa Taiko, filem ini adalah langit, Jiwa Taiko tu bumi!!! Okay, Kita akhiri artikel ini dengan Razors Out.