Isnin, 28 Disember 2009

Budak Takraw




Memang mengagumkan! Memang mengujakan! Itulah perasaan aku apabila menatap helaian-helaian Budak Takraw. Lukisannya sungguh cantik, penceritaannya hidup, dialog dia selamba lawak. Anshari berjaya mereka cipta dunia persekolahan dengan baik. Bagi aku, Budak Takraw boleh dikategorikan sebagai diantara komik Malaysia yang terbaik. Memang penuh dengan unsur-unsur tempatan dan dalam masa yang sama unsur-unsur itu juga boleh difahami dengan mudah oleh bangsa lain dengan penyampaian visualnya yang tersendiri itu.

Walaubagaimanapun, masih terdapat beberapa kecacatan lukisan yang perlu diperbaiki oleh Anshari. Kecacatan-kecacatan tersebut mungkin tidak dikesan oleh mereka yang minat membaca sahaja, tetapi tidak bagi aku yang memang meneliti setiap lukisan-lukisan yang terdapat di dalam panel-panel setiap komik-komik mahupun karya-karya seni pandang yang lain yang aku hayati. Tapi tak mengapa, aku masih boleh memaafkan kecacatan-kecacatan tersebut memandangkan ini baru isu pertama, dan juga kecacatan-kecacatan itu masih tidak menjejaskan penghayatan aku terhadap komik tersebut. Cuma diharapkan, tingkatkankah lagi mutu lukisan Budak Takraw dalam isu-osu yang akan datang.

Dalam bab ketelitian ini, aku memang tabik habis dekat mangaka-mangaka (pelukis komik) Jepun. Mereka tidak berkompromi walaupun sedikit kecacatan yang ada dalam lukisan mereka. Contoh-contoh yang boleh diberikan seperti Eyesheild 21, Naruto, Bakuman. Cuba lihat lukisan-lukisan dalam komik ini, begitu tepat dan sukar sekali mencari kecacatan lukisan dalam konteks dunia yang mereka persembahkan dalam komik mereka itu. Itu sebab karya-karya mereka begitu digemari seantero dunia oleh pelbagai bangsa selain dari plot, dan dialog yang bagus. Kita pun sebenarnya ada pelukis-pelukis yang berbakat sebegitu seperti Ben dan Juice, ha tak lupa Fakhroul Anour. Tapi tak ramai. (Maksudku tak ramai yang menampilkan diri sehingga aku boleh mengenali mereka).

Apa-apa hal pun, Budak Takraw memang betul-betul menarik perhatian aku. Ia membuatkan aku tiba-tiba saja teringin nak merasa kembali zaman persekolahan dulu. Betul! Aku tak tipu! Memang aku rasa macam tu. Tiba-tiba saja aku teringat akan kenangan-kenangan sewaktu di zaman sekolah. Macam-macam ada, ada pahit, ada manis, ada masam, ada masin, tapi yang paling banyak merapu-rapu la. Oleh yang demikian membuatkan tiba-tiba sahaja aku terfikir, aku teruja membaca Budak Takraw kerana dunia persekolahannyakah atau unsur sukan sepak takraw yang dibawanya? Aku pun sudah terkeliru. Keliru engkau keliru, memilih warna hidupmu… Hah Sudah! Pi nyanyi lagu Now See Heart pulak.

Baik, berbalik kepada soal tadi. Aku memang tak kisah pun apakah yang menyebabkan aku tertarik dengan Budak Takraw ni. Tapi yang pasti, Budak Takraw telah berjaya menawan hatiku. Chee..wah! Aku amat menanti-nantikan isu yang seterusnya. Tak sabar sungguh nak tunggu. Cepat la keluar weh!!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan