Selasa, 14 Disember 2010

Undisputed 3





Anda suka menumbuk orang? Anda suka menendang orang? Anda suka darah? Ini memang filem untuk anda. Undisputed 3 sememangnya sebuah filem yang benar-benar menjadikan aku bersemangat waja untuk memilik badan yang sasa dan mempertajamkan kemahiran silat aku (Selepas beberapa minit selesai menonton, perasaan malas mula menyerang diri).

Undisputed 3 merupakan kesinambungan kepada Undisputed 2 yang diterajui oleh Scott Adkin dan Michael Jai White. Di dalam Undisputed 2 Scott Adkin memainkan watak antagonis yang bernama Yuri Boyka, seorang banduan Russia. Boyka merupakan jaguh di dalam pertandingan tempur-bebas haram yang diadakan di sebuah penjara di Russia. Kejaguhan Boyka menyebabkan Gaga, seorang mafia Russia sering mengalami kerugian di atas wang yang dipertaruhkan ke atas orang-orang yang dipertandingkan untuk menundukkan Boyka. Gaga juga mempunyai pengaruh ke atas pegawai-pegawai atasan penjara. Akhirnya dengan taktik yang jahat dan licik, seorang jaguh tinju Amerika (Michael Jai White) yang sedang dalam rangka lawatan ke Russia telah disumbat ke dalam penjara di mana Boyka berada.



Sebenarnya ini semua adalah rancangan Gaga untuk memaksa Michael yang nampaknya seperti boleh menundukkan Boyka untuk bertarung dengan Boyka. Ganjarannya, dia akan dibebaskan dari penjara jika berjaya menundukkan Boyka. Dipendekkan cerita, selepas satu demi satu perisitiwa yang dialami oleh Michael, dia berjaya mengalahkan Boyka.

Didalam Undisputed 3, watak Boyka pula merupakan protagonist. Dia kini dihantar oleh penjara Russia ke penjara Georgia untuk menyertai satu pertandingan tempur-bebas antara penjara-penjara seluruh dunia (Boleh pulak?). Di sini Boyka mula berkenalan dengan seorang wakil penjara Amerika yang bernama (ntah apa nama, lupa plak), seorang bekas tentera. Di dalam pertandingan ini juga Boyka yang sudah sedia tinggi, bakal bertarung dengan wakil Colombia yang beberapa inci lebih tinggi darinya. Tetapi pertandingan ini mempunyai satu hukuman yang sadis bagi mereka yang kalah, mati!
Seperti biasa dalam cerita-cerita gasak sebegini, taktik-taktik kotor mesti ada punya. Itu sudah menjadi asam garam bagi Boyka. Tetapi adakah ia berjaya dari menghalang Boyka merangkul juara? Oh tidak, dengan semangat yang kental walaupun mengalami kecederaan yang serius di kakinya ketika dipatahkan oleh Michael Jai White dulu, Boyka berjaya mewariskan kesakitan patah kakinya itu kepada wakil Colombia dan seterusnya merangkul juara.

Yang Best

Keseluruhannya, adegan-adegan gasak di dalam Undisputed 3 lebih menarik dan menakjubkan berbanding Undisputed 2. Dipenuhi dengan aksi-aksi tempur kosong yang pantas! Serta licik! Boleh dikatakan hampir setiap pertarungan di dalam Undisputed 3 sangat menarik perhatian dan ganas! Selain dari gerak-tempur Scott Adkin yang ringan macam kapas dalam masa yang sama juga berbisa, aku suka aksi wakil Brazil yang dilakonkan oleh Lateef Crowder, memang mengancam! Tatkala Lateef bertemu dengan Scott, mereka telah mempersembahkan satu aksi pertarungan yang sangat menguja dan mengkagumkan! Aku ulang dua tiga kali babak itu. Aku mula mengenali Lateef Crowder di dalam sebuah filem Thai, Tom Yum Goong. Ingat babaknya ketika bertarung dengan Tony Jaa di dalam sebuah kuil?


Tetapi dari segi dialog percakapan, aku lebih suka Undisputed 2. Kerana banyak unsur-unsur lawak. Mereka tidak buat lawak sebenarnya, malah serius lagi, tetapi dialog serta mimik muka sewaktu Michael Jai White dan Scott bergaduh memang lawak. Macam budak-budak sekolah bergaduh. Hahaha…!! Tetapi di dalam Undisputed 3 watak Boyka menjadi lebih matang berbanding dulu.

Satu lagi perkara yang best adalah, teknik sinematografinya. Memang cantik! Suntingannya juga cukup kena dengan aksi yang dipamerkan. Ia menjadikan aksi-aksi tempur di dalam Undisputed 3 nampak dramatik dan realistik. Aku berharap selepas ini akan ada lagi sambungan kepada siri Undisputed ini, masih belum puas rasanya menyaksikan aksi sepak-terajang Scott yang ringan dan padu itu. Dicadangkan bagi yang masih belum menonton, tontonlah Undisputed 2 dahulu sebelum 3, baru anda nampak kesinambungannya itu. Undisputed 2 juga masih berbaloi untuk ditonton walaupun ia sudah lama diterbitkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan