Isnin, 20 Disember 2010

Fasa Vakum

Apa itu fasa vakum? Fasa vakum adalah satu fasa di mana anda tidak melakukan apa-apa atau mempunyai sesuatu tanggungan atau kerja yang dipertanggungjawabkan di dalam satu tempoh. Anda berada pada mod neutral, bukan pada mod sibuk,atau mod stand by.

Diantara fasa vakum yang agak panjang yang bakal dialami oleh warga Malaysia yang standard ialah jangkamasa selepas SPM, satu tempoh dimana anda sudah tidak ada apa hendak dibuat, status pelajar sekolah sudah dilucutkan. Neutral, tiada apa-apa jawatan dan tanggungjawab (tidak termasuk tanggungjawab kepada agama dan ibubapa). Pada fasa inilah anda mengambil masa untuk merancang perjalanan hidup anda yang seterusnya sama ada menyambung pelajaran ke peringkat tinggi atau terus menceburi alam pekerjaan. Individu-individu pada fasa vakum ini tidak terikat kepada sistem hidup standard yang diluar sana. Tiada sistem hidup sebagai seorang pelajar, tidak juga sistem hidup orang-orang yang bekerja. Fasa vakum ini akan memberikan ruang dan masa untuk individu-individu ini memilih cara hidup yang tersendiri, tiada keterpaksaan. Sama ada memilih sistem hidup seorang abid yang mengisi masa senggang pada fasa vakum ini dengan aktiviti ibadah, ataupun memilih sistem hidup sebagai seorang samseng jalanan yang menyusahkan orang ramai. Tempoh fasa vakum lepas SPM ini selalunya selama empat bulan.

Jika anda memilih untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi, ini bermakna anda bakal menempuhi satu lagi fasa vakum, iaitu ruang masa disaat anda sudah disahkan sebagai graduan dengan masa disaat mulanya alam kerjaya anda. Tidak ada bezanya fasa vakum pasca-U ini dengan fasa vakum pasca SPM. Cuma fasa vakum pasca-U ni mungkin menjadikan anda berasa sangat malas untuk bergerak, dengan alasan, sekaranglah masa untuk bermalas-malasan sebelum sibuk di alam kerjaya nanti atau inilah masa untuk bermalas-malasan selepas berhempas-pulas dengan pelbagai tugasan-tugasan ketika di U dahulu.

Ya! Fasa vakum pasca-U ini benar-benar menjadikan aku seorang yang kurang produktif. Begitu memberatkan badan. Rutin harian lebih kurang sama saja. Bangun tidoq, makan, tolong sidai pakaian, layan movie, main PS2, makan, tidoq, angkat pakaian kat ampaian, main PS2, makan malam, pergi CyberCafe main CoD, balik tidoq (Hei, aku tak tinggal solatlah). Ingin juga menyertai aktiviti yang boleh mengeluarkan peluh seperti bermain tenis atau badminton tetapi malang, boleh dikatakan semua rakan-rakan yang boleh diajak untuk aktiviti-aktiviti sebegitu sebelum ini sudah tiada lagi disini. Semuanya sudah bekerja di luar Kedah dan kebanyakkan rakan-rakan sepermainan dan bual bicara ini sudah bertukar status hidup mereka, berkahwin. Tinggalah aku yang bujang ni sorang-sorang di Alor Setar. Bila mengimbas kembali saat-saat kenangan bersama rakan-rakan sepermainan dan sesekolah dulu, benar-benar sedih. Sedih kerana ia tidak akan berulang semula. Tinggalah ia menjadi sisa-sisa dan cebisan-cebisan emas didalam peti ingatanku.

Satu lagi aktiviti tambahan jika bila fasa vakum anda selari dengan cuti panjang sekolah iaitu kenduri kahwin (yang ini aku suka). Apa yang membuatkan aku suka sangat menghadiri kenduri kahwin ni? Bukan pasal makan sangat pun, sebenarnya aku ni jenis manusia yang akan automatik gembira jika melihat orang lain gembira dan bahagia. Jadi dengan menghadiri kenduri kahwin ni, aku dapat melihat kebahagiaan sang pengantin itu, jadi secara automatik ia dapat menggembirakan hati aku yang kadang-kadang dilanda ribut badai. Selain orang kahwin, kanak-kanak juga boleh menghiburkan hati aku. Dengan hanya duduk dan melihat mereka bermain dengan riang sambil makan ais krim benar-benar boleh menghilangkan tekanan aku. Satu lagi aktiviti yang boleh menghilangkan stress, aku suka makan ais krim atau apa-apa makanan ringan yang manis di ruang tamu sambil membuka pintu rumah seluasnya melihat pepohon hijau, ditemani pula lagu-lagu instrumental dan ambient, pergh! Memang mahsyuk! Keduanya, dengan menghadiri kenduri kahwin aku akan dapat bersosial dengan cara yang sihat. Pada saat inilah aku dapat bertemu dengan kenalan-kenalan yang sudah lama tidak jumpa, dan juga kenalan-kenalan yang dah jemu berjumpa sebab selalu sangat berjumpa.

Aku pernah mambaca satu artikel di sebuah akhbar tidak lama dulu, analisis yang dilakukan oleh beberapa orang pengkaji menunjukkan bahawa cuti yang terlalu lama atau tempoh rehat yang lama boleh menyebabkan daya fikir dan daya analisis kita menurun. Kalau tidak silap, cuti lama yang dikatakan itu lebih kurang seminggu lebih sahaja. Difikir-fikir balik, ada benarnya juga. Ketika fasa vakum ini aku lebih suka mencari aktiviti yang melibatkan proses penerimaan sahaja, seperti bermain game dan layan filem atau drama. Kurang melakukan aktiviti yang lebih bersifat mengkaji atau memberi (output) seperti menulis. Jumlah pos blog pada fasa vakum ini lebih kurang dari jumlah blog yang dipos ketika sibuk dengan tugasan-tugasan di U dulu. Mengapa ha? Lagi banyak masa kosong, lagi kurang produktif rasanya berbanding ketika sibuk.

Kerja sementara? Bukan aku tidak mahu mencari kerja sementara. Sudah dicari. “Kami hanya mahu wanita sahaja, jawatan kosong wanita 18-25 tahun, perempuan sahaja yang kami cari” Itulah diantara komen-komen yang diterima aku hampir setiap kali memohon kerja kosong di Alor Setar ni. Aarghh!! Apa, muka aku ni muka perompak ke? Aduss… Bengang-bengang balik rumah layan PS2 la jawabnya.

Walaubagaimana hampeh fasa vakum aku ni, hanya ada satu aktiviti yang membuatkan fasa vakum yang aku jalani ini sedikit bermakna, aku mempunyai banyak masa untuk menuntut ilmu dari ulama-ulama nusantara yang giat membangunkan ummah di Kedah Darul Aman ini. Sewaktu menghadiri satu majlis ilmu bersama Syeikh Nuruddin Al Banjari Al Makki, beliau ada memaklumkan bahawa beliau mahu membuka pondoknya di Bukit Pinang, daerah Pokok Sena Kedah. Tidaklah jauh sangat dengan Alor Setar ni. Kalau projek itu berjaya, Insya Allah maka bertambah barakahlah bumi Kedah ini dengan kelahiran ulama-ulama yang bakal dididik oleh Syeikh Nuruddin ini. Kadang-kadang aku terfikir, adakah aku akan berkesempatan menghadiri majlis-majlis ilmu ini apabila mula menjejakkan kaki ke alam kerja? Minta-minta janganlah kerja menghalang aku dari berdampingan dengan para ulama ini.

Alhamdulillah..! Akhirnya aku berjaya melepasi ujian terakhir untuk lesen memandu kereta dengan JPJ. Pada mulanya gementar juga melihat kemasaman wajah penguji JPJ yang lebih masam dari mangga muda tu. Hahaha… Akhirnya… Huh.. Sampai sekarang aku macam tak percaya yang aku dah lulus. Betulkah aku sudah lulus? Mimpikah aku? Adakah minda aku sedang digodam oleh Leonardo De Caprio (tonton Inception).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan