Selasa, 7 Julai 2009
Pemimpin Idaman
Agama Islam di utuskan kepada manusia sebagai satu cara dan panduan untuk hidup dalam suasana aman dan harmoni serta sentiasa bernafas dalam keredhaannya. Agama Islam menyediakan panduan hidup kepada manusia dalam semua sudut kehidupan, baik duniawi mahupun ukhrawi, baik lahiriah mahupun batiniah. Yang difahami oleh sesetengah golongan manusia ialah agama Islam sekadar terhad kepada ritual-ritual ibadah semata-mata seperti solat, puasa, menunaikan zakat dan mengerjakan haji.
Jika disebut agama Islam satu CARA HIDUP, ia merangkumi makan, tidur, berjalan, duduk, berkumuh, bergaul, berkahwin dan pelbagai lagi aktiviti seharian kita. Islam telah memberi panduan yang jelas bagi umat manusia untuk menjalani kehidupan sehari-hari. Bila disebut cara CARA HIDUP lagi, Islam juga telah menyediakan cara-cara untuk menguruskan hal-hal ekonomi, hal-hal pentadbiran, hubungan antara masyarakat, politik, hal-hal keselamatan dan hal-hal kebajikan.
Dalam Ekonomi Islam, riba diharamkan, zakat dikenakan bagi yang berkemampuan. Dasar ekonomi Islam amat mementingkan kebajikan dan keikhlasan dan juga amat memusuhi dasar ekonomi yang menindas. Dalam masa yang sama, dasar ekonomi Islam tidak menghalang umatnya mengejar kekayaan duniawi selagi jalan yang diambil tidak bercanggah denagn syarak (melalui jalan yang haram atau zalim). Sebagai contoh, dasar ekonomi yang diperkenalkan oleh Khalifah Umar Abdul Aziz berjaya menghapuskan kemiskinan di kawasan pemerintahannya hanya dalam masa beberapa bulan sahaja (kalau tak silap tiga bulan) selepas dia memegang tampuk kuasa. Diriwayatkan sehingga wang baitul mal sudah tidak tahu lagi kepada siapa untuk diberi.
Di dalam hal kepimpinan dan pentadbiran, seseorang pentadbir dan pemimpin yang betul-betul menjiwai Islam akan semestinya memiliki iman yang teguh, akhlak yang terpuji, dan penuh amanah. Ini kerana dia benar-benar beriman kepada perkara-perkara ghaib seperti pembalasan atas apa yang dikerjakan semasa hidup di dunia. Dia benar-benar beriman kepada konsep dosa dan pahala. Pemimpin dan pentadbir yang begini sahajalah yang dapat mengatasi segala dugaan dan cabaran sepanjang kerjaya dan hidupnya. TERUTAMANYA gejala najis rasuah (telah dilunakkan dengan istilah politik wang). Pemimpin yang beginilah boleh diletakkan harapan untuk membaiki sistem pentadbiran negara yang sudah bercelaru, kerajaan yang dijana dengan sistem-sistem yang menindas rakyat, sistem keadilan yang mudah dijual-beli dan menjadikan dasar pilih bulu sebagai teras perjalanan, juga pasukan keselamatan yang sudah lari dari matlamat asal penubuhannya.
Pemimpin yang benar-benar mencontohi Rasulullah SAW tidak akan mudah untuk dijual beli, dicaturkan dan dibonekakan oleh musuh. Pemimpin yang bertuhankan Allah SWT juga tidak akan membiarkan kezaliman dan penyelewengan berlaku di dalam bidang kuasanya. pemimpin begini akan dapat memahami bagaimana kerajaan Islam pimpinan Rasulullah SAW berjaya ditubuhkan dengan penduduk-penduduknya tidak semuanya beragama Islam. Dia juga akan mengerti jiwa besar Salahuddin Al Ayyubi yang cukup lembut hati mengirim doktornya bagi merawat penyakit Richard The Lionheart (kalau tak silap penyakit kusta). Dalam masa yang sama bertindak tegas dan garang membunuh Reynold yang telah menyerang rombongan jemaah haji dan menghina Rasulullah SAW.
Pemimpin dan pentadbir beriman ini juga seterusnya akan mencontohi sikap amanah Sayidina Omar Al-Khattab yang menggunakan dua lampu berasingan didalam pejabatnya. Sayidina Omar akan menggunakan lampu kerajaan jika melakukan tugas-tugas sebagai ketua kerajaan. Satu lagi lampu adalah miliknya yang digunakan bagi melakukan tugas-tugas peribadi yang tidak bersangkut paut dengan urusan kerajaan. Dia takut akan dipersoalkan di akhirat kelak kerana menyalahgunakan harta milik rakyat untuk urusan peribadi.
Pemimpin yang amanah ini akan menitiskan air mata apabila mendengar kisah Sayidina Omar yang tidak dapat melelapkan matanya jika terdengar berita yang seseorang telah jatuh dari kudanya akibat permukaan jalan yang tidak elok di mana isu itu dibawah kuasanya. Pemimpin itu akan menangis kerana tidak berupaya untuk mengikuti sikap ultra-perihatin Sayidina Omar tentang kebajikan rakyatnya.
Sesungguhnya, hanya pemimpin yang ikhlas, tidak SOMBONG dan bertakwa sahaja yang dapat mengemudi bahtera negara dengan lurus, betul, dan berhikmah. Jika pemimpin-pemimpin begini yang memenuhi setiap jawatan dalam pentadbiran sesebuah kerajaan, Insya Allah, kerajaan itu akan diberkati dan dirahmati. Islam tiba untuk membawa rahmat kepada seluruh makhluk dan alam ciptaan Allah ini.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Sebuah artikel yang punyai inspirasi, Sdra Torpedo. Terima kasih. Ingatan buat saya jua.
BalasPadam