Rabu, 13 Januari 2010

Rejim Zionis balas dendam tindakan Erdogan di Forum Ekonomi Dunia




BAITULMAQDIS: Duta Turki ke Israel, Ahmet Celikkol, dihina oleh menteri Israel ketika rejim Zionis itu menyuarakan kemarahannya terhadap sebuah siri televisyen Ankara yang menunjukkan ejen Mossad sebagai penculik bayi.

Media negara Yahudi menyokong tindakan membuli duta Turki yang duduk di sofa rendah sedangkan Timbalan Menteri Luar Israel, Danny Ayalon duduk di kerusi tinggi bersama pegawai lain.

Selain itu, Ayalon tidak menemui Celikkol di kementeriannya mengikut protokol biasa sebaliknya di pejabatnya di Parlimen. Malah, menteri Israel itu membiarkan Celikkol menunggu di luar bilik untuk beberapa lama selain mengarahkan kakitangannya membawa keluar bendera Turki serta minuman yang sudah ada di meja.

"Apa yang penting ialah kita nampak beliau (Celikkol) duduk lebih rendah dan hanya ada satu bendera," kata Ayalon yang dipetik sebagai berkata kepada media tempatan.

Akhbar Israel menyiarkan berita bergambar di muka depan dengan Maariv memberi tajuk 'Duta kena buli' dengan foto di atasnya menunjukkan Celikkol dalam keadaan tidak selesa di depan Ayalon.
Oktober lalu, Israel menyuarakan bantahan atas satu lagi siri televisyen Turki menunjukkan tenteranya menembak mati kanak-kanak Palestin.

Kelmarin, Kementerian Luar membantah penyiaran siri televisyen baru berjudul Valley of the Wolves yang menyifatkan 'Israel dan orang Yahudi sebagai penculik bayi dan penjenayah perang.' Reaksi penerbit rancangan itu, Pana, menaikkan lagi kemarahan Israel.

"Mengapa pentadbiran Israel yang tidak teragak-agak mengebom kanak-kanak yang berlindung dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) rasa gelisah dengan fakta dalam Valley of the Wolves?"

Maariv menganggap tindakan kerajaan itu sebagai sepatutnya sudah lama dilakukan.
"Tindakan membuli oleh Timbalan Menteri Luar langkah betul tetapi tidak pada masa tepat. Kita patut melakukannya beberapa bulan lalu."

Turki dianggap sekutu utama Israel sejak 1998 apabila kedua-dua negara itu menandatangani perjanjian kerjasama tentera.

Hubungan kemudian tegang selepas Turki menyuarakan kemarahan atas serangan Israel di Gaza disaksikan di Forum Ekonomi Dunia apabila Presiden Recep Erdogan keluar daripada perbahasan dan memberitahu Presiden Israel, Shimon Peres di sebelahnya 'kamu memang mahir membunuh orang'.

Turki kemudian mengecualikan Israel daripada latihan tentera bersama dengan menegaskan hubungan akan terus terjejas kecuali Tel Aviv menamatkan tragedi kemanusiaan di Gaza. – AFP

13 Januari 2010

___________________________________________________________________

Hmm... Nampaknya Israel memang cukup bengang dengan tindakan Erdogan tempoh hari, dan aku cukup suka tindakan Erdogan itu. Erdogan berjaya memalukan Israel di pentas dunia begitu saja. Sepanjang penelitian aku mengenai perjalanan politik Erdogan dan Abdullah Gul semenjak Parti Refah diharamkan oleh mahkamah Turki tidak lama dulu, aku dapati mereka ini cukup pandai bermain politik halus dalam cuba mengatasi corak politik, masyarakat dan pentadbiran Turki yang sangat sekular itu, dan tak keterlaluan aku cakap lebih sekular dari negara Barat itu.

Kumpulan Erdogan juga pernah dituduh oleh pihak pembangkang dan tentera sebagai Neo-Osmanism. Maksudnya mereka mahu mengembalikan pemerintahan Turki sekarang ini ke era Othmaniah. Dakwaan ini diakui sendiri oleh salah seorang dari kumpulan Erdogan ini yang juga memegang salah satu jawatan dalam pentadbiran (lupa nama dia, nanti aku check lain). Dia tidak menafikan dakwaan itu, malah berbangga lagi.

Aku juga dapati, Turki era Erdogan ini lebih banyak bertelingkah dengan Israel berbanding era sebelum Erdogan yang berpegang kuat kepada fahaman sekular versi si zionis Kamal Attarturk. Mungkin setengah dari kita mahu mendakwa kumpulan Erdogan ini sering mengambil jalan kasar dalam berhubung dengan Israel adalah satu sandiwara saja bagi menarik perhatian dan sokongan dari negara-negara Islam dan golongan Anti-Israel. Benarkah begitu? Apakah buktinya? Dan apa faedahnya jika dia berbuat begitu?


Bagi aku, kalau sekadar nak tarik sokongan, lebih baik kumpulan Erdogan ini mengambil keputusan untuk memihak kepada sekular dan kurangkan pertelingkahan dengan Israel. Yang itu lebih menjamin keutuhan politik mereka. Tetapi mengapa mereka menempuh jalan yang penuh kemelut ini semata-mata untuk menarik sokongan dari mereka-mereka yang anti-Israel, terutamanya umat Islam diseluruh dunia. Mereka juga banyak menjalankan proses-proses Islamisasi dalam pentadbiran negara secara berperingkat dan halus sekali. Jadi kenapa harus meragui niat mereka itu. Jadi apa faedah mereka perlukan sokongan-sokongan umat Islam yang lain? Ya, mereka meemerlukan sokongan kita untuk mengembalikan era Othmaniah.

Latar belakang Erdogan dan Abdullah Gul juga datang dari golongan gerakan Islam dan semestinya mereka mempunyai kefahaman Islam yang jelas. Mahkamah Turki juga pernah menolak keputusan Parlimen Turki bagi mencalonkan Abdullah Gul sebagai Presiden Turki hanya disebabkan isterinya memakai tudung. Alasan itu membuktikan bahawa Abdullah Gul merupakan seorang yang Islamis dan mengamalkan nilai-nilai Islamis yang bertentangan dengan nilai-nilai sekular yang diamalkan oleh Turki. Reccep Tayyip Erdogan sendiri juga pernah dipenjara semata-mata disebabkan tindakannya membaca sebuah sajak Islam.

Ada juga sesetengah dari kita yang mengecam parti AK khususnya kepada mereka berdua kerana dasar yang parti AK yang tidak jauh bezanya dari parti-parti sekular Turki yang lain, malah Erdogan sendiri pernah mengunjungi Israel seperti yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Turki yang sebelum ini. Mereka didakwa, sebagai pemimpin yang ada kefahaman Islam yang jelas sepatutunya ada kelainan pemerintahan yang mereka bawakan dalam membezakan pemerintahan corak sekular dan Islam. Ia juga tidak dapat melakukan amar maaruf nahi mungkar seperti yang diajarkan oleh Islam. Secara kasarnya Turki era Erdogan tidak menjalankan pentadbiran seperti yang dimahukan oleh golongan Islamis. Itulah diantara hujah-hujah yang oleh mereka yang tidak memahami permainan politik Erdogan dan rakan-rakannya.

Tahukah mereka bahawa fahaman sekularisme sudah menjadi sebati dalam kehidupan rakyat Turki sejak kejatuhan Empayar Othmaniah sehingga sekarang. Tahukah mereka bahawa Perlembagaan Turki telah memperuntukkan ideologi sekularisme zionis Kamal Attaturk tidak boleh diganggu-gugat? Tahukah mereka bahawa Mahkamah, Tentera, dan Universiti diberi kuasa untuk mematahkan mana-mana percubaan untuk mengancam ideologi sekularisme. Malah pihak yang paling kuat fahaman sekularnya adalah pihak tentera sendiri. tahukah mereka muslimah yang mahu memakai tudung di Turki berdepan berbagai tekanan? Fahaman sekularisme itu sudah menjadi satu benteng atau empangan yang sangat besar dan kukuh sekali. Ia sudah menjadi budaya mereka berpuluh tahun. Adakah mereka ini mahu sebaik saja kumpulan Erdogan ini memegang tampuk kuasa terus saja melakukan perubahan drastik?! Jika itu tindakan yang diambil oleh Erdogan dan konco-konconya, awal-awal lagi mereka mungkin akan ditembak oleh tentera atau mungkin Mossad, atau disumbat terus dalam penjara.

Adakah mereka tahu bahawa berbanding era pentadbiran puak Kemelis (Penyokong Kamal Attaturk) yang penuh dengan penyelewengan dan ketirisan, pentadbiran AK adalah sangat bersih dan cekap, malah ketika Parti AK mengambil alih pentadbiran Turki, kedudukan kewangan dan mata wangnya begitu buruk, dan Parti AK dapat menstabilkannya dalam masa yang singkat. Pokoknya tutup segala lubang-lubang penyelewengan dan kebocoran-kebocoran yang sangat merugikan negara itu. Wanita-wanita mereka juga majoritinya bertudung. Kenapa aku asyik menyebut tentang tudung?

Di Turki, bertudung dianggap sesuatu yang sangat mengancam keselamatan negara berbanding soal-soal penyelewengan dan runtuh akhlak. Terutamanya pihak tentera sendiri, mereka cukup tidak suka dan gerun melihat anak-anak dan isteri-isteri para pegawai dan pentadbir mereka bertudung. Jadi bila dilihat majoritinya kaum-kaum wanita dari parti AK itu bertudung, secara tak langsung menunjukkan mereka itu mempunyai kefahaman Islam yang jelas dan teguh pendirian mereka. Siapa pula yang mendidik mereka begitu? Tentunya suami mereka. Perlukah kita terus menghukum Erdogan dan rakan-rakannya sebagai bermain sandiwara saja untuk menarik perhatian?

Kita lihat kembali adakah tindakannya melakukan kunjungan-kunjungan ke Israel itu dapat menahan dirinya dari berkata 'Kamu memang mahir membunuh orang' kepada Simon Perez (Presiden Israel) yang berada di sebelahnya sebelum memblahkan dirinya dari pentas Forum Ekonomi Dunia. Adakah lawatannya ke Israel dapat menahan dirinya dari mengambil keputusan untuk menendang Israel keluar dari latihan ketenteraan bersama dan menegaskan hubungan diantara kedua negara akan terus terjejas sekiranya Israel tidak menghentikan serangan ke atas Gaza. Kesimpulannya berita di atas menunjukkan lanjutan amarah yang telah terhimpun sekian lama oleh Israel akibat tindakan Erdogan dan rakan-rakannya sejak mereka dapat mengambil alih Turki.

Jadi bagi mereka yang masih tidak faham-faham lagi corak politik Turki, dan sering mempersalahkan golongan Erdogan ini, cubalah memahami dengan hati yang terbuka dan kajilah politik mereka dari pelbagai sumber dan pendapat. Bukan senang untuk mencabut akar sekularisme yang telah menjalar hampir ke segenap sendi dan urat penting negara Turki ini, sehinggakan Turki dipilih sebagai salah satu tempat untuk pertemuan penting dan paling rahsia anggota-anggota Bildeberg Group yang menguasai ekonomi dunia sekarang ini.

Jadi bagaimana bagi Erdogan dan rakan-rakannya mahu merobohkan benteng sekularisme yang telah menyekat arus kebangkitan Islam sejak sekian lama ini? Adakah mereka perlu saja menceroboh kawasan benteng sekularisme yang dikawal ketat itu dengan membawa kapak, jentolak, dan seribu satu macam lagi peralatan untuk memecahkan benteng itu? Jika itu tindakan mereka, memang mereka akan tertiarap dan mati di situ-serta merta akibat muntahan peluru-peluru dari pengawal-pengawal benteng yang lengkap bersenjata (Pihak tentera Turki). Adalah lebih mudah bagi mereka menyusup masuk dan menguasai pentadbiran beneteng itu dan memusnahkannya secara berperingkat dari dalam. Mereka boleh menukar polisi pengurusan benteng itu mengikut corak mereka, atau membuat cadangan supaya benteng itu dirobohkan dengan alasan-alasan seperti sudah tua atau perlu dibuat benteng yang baru, atau terpulanglah kepada kebijaksanaan mereka bagaimana untuk merobohkan benteng Sekularisme itu, dan bila arahan itu dikuatkuasa, orang bawahan tidak boleh mempersoalkannya.

Tetapi arahan itu juga tidak akan berjalan jika majoriti orang bawahan tidak bersetuju dengan tindakan orang atasan. Apa yang perlu dilakukan oleh Erdogan dan rakan-rakannya adalah memberi kefahaman dan didikan yang jelas sebab dan musabab kenapa benteng itu mahu dirobohkan. Beritahu mereka bahawa benteng itu telah menahan air sungai (Islam) dan mengakibatkan tumbuh-tumbuhan dan tanam-tanaman telah layu (runtuh akhlak, rasuah, dll). Apabila kesedaran itu timbul dengan sendirinya, mungkin Erdogan dan rakan-rakannya sendiri tak perlu mengotorkan tangan untuk merobohkan benteng yang besar lagi kukuh itu. Para pengawal-pengawal benteng itu sendiri yang akan memusnahkan benteng itu sambil menyumpah seranah pentadbir-pentadbir yang terdahulu yang telah menipu mereka menyatakan disebalik benteng itu ada Yakjuj Makjuj, tetapi rupa-rupanya air sungai yang menyegarkan kehidupan.

Bagi Parti AK yang ingin menerapkan dan melaksanakan unsur-unsur Islam ke dalam negara Turki seolah-olah seperti menarik sehelai rambut yang dibelah tujuh dari tepung. Perlu satu ketelitian yang sangat teliti. Perlu berperingkat-peringkat. Yang pertama sekali adalah menimbulkan kesedaran Islam itu sendiri dalam diri masyarakat Turki dan inilah yang sedang dijalankan oleh mereka secara terancang dan seni tanpa menimbulkan ancaman dari puak Kemelis. Sehinggkan ada di kalangan mereka sendiri tersokong idea mereka tanpa disedari. Ini disebabkan setiap agenda yang dibawa oleh Erdogan tidak akan diberi nama Islam, tetapi nilai-nilai itu tetap Islam.

Kesimpulannya hubungan Turki era Erdogan dan Abdullah Gul adalah, sambil berjabat tangan dengan Israel, sambil memukul kepala mereka dengan kayu baseball.
(Dah lama tulis entri ini, sekarang baru sempat nak pos)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan