Khamis, 17 Mei 2012

Detik Debar




Yaarghh!!! Detik Debar, sebuah novel ‘andai kata’. Andai kata Presiden Amerika masuk Islam secara senyap-senyap tanpa diketahui oleh orang-orang di sekelilingnya,  apa akan terjadi kepada dirinya dan dunia ini? Ya, gambaran ini telah dilakarkan oleh Eyman Hykal dalam sambungan novelnya yang terdahulu, Meniti Maut! Usai membacanya, barulah anda memahami apa yang ditestimonikan oleh Abang RAM.

Masih mengekalkan Fariz Zafar sebagai watak utama iaitu seorang ejen perisik dari Biro Risikan Negara (BISIK). Setelah berjaya menghalang agenda pemusnah ekonomi  Zionis (Economic Hitman) dalam Meniti Maut,  dia kembali beraksi dalam konflik terbaru yang dihadapi oleh Malaysia, iaitu komplot pembunuhan John Martinez oleh The Group. The Group adalah sebuah kumpulan pelobi ZIonis yang sangat berpengaruh di Amerika Syarikat. Ya, Presiden Amerika itu hendak dibunuh kerana mula menunjukkan minatnya dalam sistem kewangan Islam yang tidak berasaskan riba untuk menyelamatkan  ekonomi negaranya yang semakin merudum. Dan ini sangat-sangat tidak disenangi oleh The Group.

Ironinya, dalam masa yang sama ada satu lagi komplot untuk membunuh John Martinez dari pihak militan Arab. Dan pentas konfliknya adalah di bumi Malaysia ini, di mana John Martinez datang untuk menghadiri World Islamic Economy Forum yang dilangsungkan di Putrajaya International Convention Centre. Satu pihak hendak membunuh Presiden Amerika kerana Presiden itu mula condong kepada Islam, manakala satu pihak lagi hendak membunuh Presiden Amerika itu kerana banyak kekejaman yang telah dilakukan oleh mereka ke atas umat Islam. Dua pihak yang berbeza, misi yang sama, satu sasaran.

Detik Debar bergerak di atas tiga jalur, jalur pertama kisah dari pihak Presiden Amerika. Jalur kedua kisah dari pihak BISIK, dan jalur ketiga adalah dari pihak Lasykar Jihad. Diantara tiga jalur ini ada satu lagi benang yang terkait antara mereka, iaitu Jennifer Miles, seorang journalis World Live Line yang keras kepala.

Sewaktu membaca babak Fariz menjalani latihan di Selatan Thai, aku semacam dah tahu itu hanya latihan. Tekaanku tepat! Pada masa ini aku teringat satu latihan yang dijalani oleh James Clayton (Collin Farell) dalam filem debar-risik ‘The Recruit (2003)’. Aku suka twist  yang ada didalam filem ini. Tidak terfikir dek akal.

Cuma satu saja yang aku terasa sedikit kurang dalam Detik Debar ini, iaitu rekabentuk kulitnya yang bagi aku sangatlah kurang menarik. Kalau aku ni pensyarah seni visual, aku letak D. Aku jauh lebih suka rekabentuk kulit Meniti Maut lagi. Tolonglah, mana boleh sebuah novel yang berkualiti ini mempunyai rekabentuk yang sangat teruk! Tidak menggambarkan konsep novel itu langsung!

Kesimpulannya, Detik Debar WAJIB disambar oleh mereka yang dahagakan novel-novel berkonsep debar dan aksi berbahasa Melayu! Apa pula selepas Detik Debar? GERAK GEMPAR ku hitung harinya!

(Nothing... is... what it seems.)
                                                Walter Burke, (The Recruit)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan