"PHUH!!!" Aku agak mencungap menonton filem anime ini. Apa yang aku boleh katakan mengenai filem anime ini ialah, MENAKJUBKAN!! MENDEBARKAN!! AMBIL NAFAS!! (maksudnya breathtaking), dan aku bagi empat bintang!!
Summer Wars merupakan sebuah filem anime yang sangat menarik, lain dari yang lain. Ia mengisahkan Kenji Koiso seorang pelajar sekolah yang genius matematik telah menemani senior perempuannya Natsuki, pulang ke kampung seniornya di Nagano bagi menyambut ulang tahun nenek Natsuki. Kenji telah diperdaya oleh Natsuki supaya berlakon sebagai teman lelakinya untuk diperkenalkan kepada neneknya. Pada masa yang sama saudara mara Natsuki juga sudah berkumpul bagi persiapan majlis ulang tahun itu. Keluarga Natsuki adalah merupakan keturunan pahlawan Jepun zaman silam, mereka dipanggil keluarga Jinnouchi.
Pada ketika ini Kenji telah dituduh oleh pihak berkuasa Jepun kerana telah menyebabkan kerosakan besar pada server OZ yang menjadi nadi jaringan ICT di Jepun pada ketika itu. Kenji mula berasa pelik sedangkan dia tidak melakukan hal tersebut dan dia mula menyelidiki apakah sebenarnya yang telah berlaku. Rupa-rupanya satu perkara besar yang tak terjangka oleh Kenji bakal berlaku dan ia lebih besar dari kerosakan OZ sendiri, malah mengancam keselamatan dunia! Jadi bagaimanakah Kenji bersama-sama ahli keluarga Jinnouchi yang mempunyai pelbagai ragam itu menyelesaikan masalah itu dengan kelengkapan yang terhad (maklumlah, tinggal di kampung), dalam masa yang singkat sebelum rumah mereka sendiri bakal musnah!
Apa yang menarik perhatian aku adalah bagaimana gandingan pengarah Mamoru Hosoda dan penulis Satoko Okudera berjaya menyulam unsur-unsur kebudayaan tradisional Jepun di dalam sebuah filem debar-tekno (Techno-Thriller) yang berkonsep moden. Mereka juga telah memberi makna baru unsur kekeluargaan di dalam filem. Ya! Ikatan kekeluargaan yang kukuh sangat diperlukan untuk menyelamatkan dunia! (dalam filem ni lah).
Filem anime ini juga mempamerkan unsur adab-adab menghormati orang tua, dan sebenarnya pencetus kepada usaha menyelamatkan itu adalah berpunca dari satu surat dari nenek mereka yang telah meninggal secara tiba-tiba sebelum sempat menyambut majlis ulang tahunnya. Di samping itu, siapa sangka hanya dengan permainan kad tradisional Jepun ia boleh menyelamatkan dunia. (Juga dalam filem inilah). Ditambah lagi dengan pereka bentuk karektor terkenal kegemaran aku, Yoshiyuki Sadamoto (Evangelion, .Hack), latar belakang yang cantik dan dihidupkan lagi dengan animasinya yang sangat berkualiti, "FUH!" Tak puas menontonnya sekali!
Untuk memberi gambaran kasar mengenai filem anime ini, anda cuba bayangkan apakah hasil dari formula yang aku beri ni, Die Hard 4.0+Digimon The Movie (Yang pertama punya, tahun 2000). Digimon The Movie tu juga di arahkan oleh pengarah Summer Wars, Mamoru Hosoda.
Bagi peminat-peminat anime sekalian, SILA DAPATKAN SEGERA SUMMER WARS!!! TAK RUGI WO!! (Cheh, promosi percuma pulak)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan