Rabu, 7 April 2010

PARLIMEN HARUS KUTUK KEGANASAN ISRAEL



Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 7 April: Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mencadangkan Parlimen yang sedang bersidang ketika ini mengeluarkan satu resolusi khas mengutuk keganasan Yahudi Israel yang sehingga kini terus melakukan kekejaman ke atas rakyat Gaza.
Mapim turut mencadangkan agar Parlimen membentuk satu kaukus khas iaitu kaukus Malaysia untuk Palestin bagi membolehkan isu keganasan terhadap Gaza dapat dibincangkan dengan lebih serius di kalangan ahli Parlimen.

Setiausaha agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar) dalam satu sidang media bersama Ahli Parlimen Pakatan Rakyat di lobi Parlimen hari ini berkata, Parlimen harus memberikan perhatian yang serius terhadap isu ini kerana ia seolah-olah tidak ada penyelesaian.

"Mapim mencadangkan Parlimen agar membuat satu usul khas berhubung isu ini seperti yang pernah dilakukan pada 2009.

"Parlimen harus mengutuk dan mengecam Israel yang terus mengganas di Gaza dan sekarang sedang membuat new settlement di Jurusalem dan kita lihat dunia tidak dapat berbuat apa-apa,” katanya.

Mapim hari ini juga hadir ke parlimen bagi menyerahkan surat kepada Speaker Dewan Rakyat, Ketua Pembangkang, dan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional bagi mendapatkan sokongan mereka terhadap memorandum Mapim yang akan dihantar kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan rombongan misi flotilla tersebut.

"Mapim mahu semua ahli Parlimen menandatangani surat perakuan menyokong bantahan terhadap Israel dan saya sendiri akan menyerahkan surat tersebut kepada Speaker, Ketua Pembangkang dan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan," katanya.

Tegas Azmi juga, ahli Parlimen bertanggungjawab untuk menghentikan sebarang kerjasama dengan syarikat-syarikat yang sedang menjalankan strategi untuk menguasai dunia melalui syarikat konsultansi dan perdagangan.

"Kita mahu ahli Parliemn sedar bahawa perbuatan Israel dan semua konconya melalui syarikat yang sedang menjalankan strategi untuk menguasai dunia seperti syarikat konsultansi, perdagangan mesti kita hentikan perjanjian dengan mereka," katanya.

Beliau turut mengumumkan bahawa Mapim yang terdiri daripada 24 organisasi gabungan negeri dan kebangsaan akan menyokong satu misi rombongan kapal-kapal (flotilla) yang akan belayar dari beberapa pelabuhan Eropah bermula 3 Mei depan dan dijangka tiba di Pelabuhan Gaza akhir bulan tersebut. Justeru, Mapim meminta sekurtang-kurangnya dua Ahli Parlimen Malaysia untuk menyertai misi tersebut.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat akan berbincang dan menentukan dua ahli Parlimen yang akan menyertai misi tersebut.

"Kami dari Majlis Tertinggi Pakatan Rakyat akan membincangkan siapa yang akan menyertai misi tersebut," katanya.

Beliau sekali lagi mendesak kerajaan agar menghentikan perjanjian dengan Apco Worldwide dan memohon maaf kepada Palestin di atas kerjasama itu.

"Kita nak tegaskan sekali lagi bahawa kita minta kerajaan batalkan perjanjian dengan Apco dan mohon maaf kepada OIC dan rakyat Palestin dan yang pasti bajet hari ini harus ditolak kerana jelas ada peruntukan untuk membayar yuran kepada Apco yang ada kaitan dengan Israel sedangkan mereka sdang menindas umat Islam di Palestin," tegasnya.
Turut bersama dalam sidang media tersebut ialah Dr Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor), Salahudin Ayub (PAS-Kubang Kerian), Dr Mohd Hatta Ramli (PAS-Kuala Krai), Dr Hayati Othman (PAS-Pendang), Datuk Kamaruddin Jaffar (PAS-Tumpat), Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Machang) dan Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara).


harakahdaily.net

Tiada ulasan:

Catat Ulasan