Gambar di atas adalah gambar sejenis alat di mana anda akan menjadi cacing kerawit kepanasan ketika mendengar syarahan oleh pensyarah anda yang cun ataupun kacak itu jika ianya rosak. Alat ini juga menjadi alat penyejuk air minum yang panas akibat disimpan didalam kereta terlalu lama oleh pensyarah anda. Alat ini juga akan memberikan kesejukkan yang sangat selesa kepada anda setelah anda mengharungi perjalanan yang jauh dan panas bertongkatkan kaki menuju ke bilik kuliah yang jauh. Suis alat ini juga yang pertama akan menjadi sasaran jari anda sebaik saja anda menjejakkan kaki ke bilik kuliah pada bila-bila masa hatta pada waktu malam yang hujan lebat. Senang cakap, tanpa alat ini, anda tidak akan dapat bernafas di dalam bilik kuliah. Begitulah besarnya peranan alat ini kepada anda dan ada sangat sayang akannya. Nama alat ini adalah alat penyaman udara atau nama glamournya air con. Jangan diterbalikkan nama air con ini kerana ia akan terus berubah menjadi maksud yang ganas. Ingat Nicolas Cage?
Alat penyaman udara yang dipaparkan dalam rajah di atas adalah jenis alat penyaman udara siling. Ia boleh ditemui dalam pelbagai jenama barangan elektrik seperti Panasonic, National, Carrier dan lain-lain. Ia selalunya dipasang di dalam ruang yang besar dan panjang. Jangan di tanya aku berapakah kuasa elektrik yang diperlukan untuk menjana alat ini ataupun harga seunit benda alah ini kerana sesungguhnya aku tidak tahu. Apa yang aku nak cerita sebenarnya di sini? Percayakah anda disamping kebaikkan-kebaikkan yang ada pada alat ini ia juga ada keburukkan? Percayakah anda bahawa alat penyaman udara berperanan untuk menggagalkan mata pelajaran yang anda ambil ketika peperiksaan? Selain sikap anda yang ulangkaji saat-saat terakhir (last minute).
Inilah cabaran yang terpaksa aku hadapi sebentar tadi. Akibat tidak perasan akan tempat dudukku di dalam dewan peperiksaan betul-betul berada di bawah alat yang sangat menyelesakan ini, aku telah merana hampir sepanjang waktu menjawab soalan peperiksaan. Tanganku terketar-ketar, badanku menggigil, sejuk takdak dah!! Keselesaan yang terlebih menyelesakan itu juga telah menyebabkan otakku hampir-hampir gagal berfikir dengan waras, neuron-neuron otakku hampir beku, dan banyak nota-nota penting yang telah dihafal kelam begitu saja di mana saat sebelum menjejakkan kaki ke dewan peperiksaan, selamba saja aku ingat! Semakin berganjak masa, semakin kebas tanganku untuk menulis. Aku bagaikan cacing kesejukkan.
Yang peliknya, aku lihat manusia-manusia yang berada di sekelilingku macam takdak apa-apa, tak sejukkah mereka? Adakah aku yang kurang lemak, atau mereka terlebih lemak? Mulanya mahu meminta pengawas yang ada tutup saja penyaman udara yang berada atas kepalaku ini, tetapi memikirkan akan rakan-rakan lain yang mungkin akan berasa panas atau kurang selesa, aku batalkan saja niatku itu. Akhirnya apa yang ada dalam fikiranku ketika itu adalah cepat-cepat habiskan menjawab dan terus blah! Memang tak tahan, sejuk kaw-kaw punya. Entah volume berapa mereka tetapkan. Akhirnya akibat sudah tidak tertahan akan kesejukkan yang melampau, aku terus saja melangkah keluar sebaik saja habis menjawab soalan peperiksaan tanpa semak semula jawapan yang ditulis. Walaubagaimanapun, aku masih dapat menjawab semua soalan, cuma tak pastilah huraiannya tepat ataupun tidak lantaran otakku yang mereng akibat kesejukkan.
Apakah pengajaran yang aku dapat? Pastikan tempat yang dipilih di dalam dewan peperiksaan bukan berada berdekatan dengan alat penyaman udara. Di sini juga aku meminta kalian mendoakan supaya aku lulus semua mata pelajaran yang aku ambil pada semester akhir ini. Amin.
dude.. pendingin hawa laaa - alat yang mendinginkan hawa..
BalasPadamAku dah tukar menjadi nama yang lebih cuns, penyaman udara. Terima kasih kerana menegur.
BalasPadam