Jumaat, 4 Mac 2011

Krisis Libya






Negara Libya merupakan salah sebuah negara Afrika yang berpengaruh di rantau itu. Ia juga merupakan di antara negara pengeluar minyak yang terbesar di dunia. Seperti yang kita sudah sedia maklum, negara itu kini terjebak dalam satu krisis yang sangat besar. Ia bermula apabila rakyat Libya yang anti kepada kepimpinan Muammar Gaddafi mengambil peluang diatas sentimen anti-kerajaan yang berpunca dari Tunisia yang telah merebak ke negara-negara Arab yang lain untuk menjatuhkan Gaddafi.

Berlainan dengan Mesir dan Tunisia, krisis Libya nampaknya lebih serius dari yang berlaku di kedua-dua negara Arab terbabit. Ketegasan dan kedegilan Muammar Gaddafi telah menyebabkan korban yang agak ramai dikalangan rakyatnya. Ia menjadi lebih serius apabila pasukan keselamatan, tentera khususnya telah berpecah kepada dua pihak. Pihak yang menyokong Gaddafi dan juga pihak yang menyokong kumpulan anti-Gaddafi. Pihak keselamatan yang menyokong kumpulan anti-Gaddafi telah memberi senjata dan melatih kumpulan ini mengenai ilmu perang untuk menghadapi serangan kententeraan oleh Gaddafi dan pasukan-pasukan yang menyokongnya. Jadi pertentangan diantara kedua-dua belah pihak ini bukan lagi setakat perang mulut, poster, dan idea, tetapi pertentangan ini telah masuk ke fasa peperangan bersenjata atau lebih ringkas dipanggil, perang saudara.

Ia bertambah meruncing dengan tindakan Amerika mula menggerakkan aset-aset perangnya ke rantau itu bagi menghalang Gaddafi dari menggunakan serangan ketenteraan ke atas rakyatnya sendiri terutamanya serangan berat seperti penggunaan pesawat perang. Amerika juga telah mengeluarkan kenyataan yang menyokong perjuangan kumpulan anti-Gaddafi.


Kecelaruan Gaddafi



Pada awalnya Gaddafi menyalahkan Al-Qaeda yang telah mencetuskan rusuhan anti-kerajaan itu tetapi tiada sebarang bukti yang dikemukakan, sekadar cakap-cakap mulut. Itu juga yang dikatakan oleh anaknya. Gaddafi mula meminta bantuan negara luar untuk membantunya menyelesaikan masalah rusuhan itu yang dikatakannya dicetuskan oleh Al-Qaeda. Kemudian apabila dia mula menggunakan tindakan kekerasan berupa ketenteraan yang telah membunuh rakyatnya sendiri, beliau mula menerima banyak kecaman dari seluruh dunia dan termasuk dari para diplomatnya sendiri. Pada ketika ini Amerika dan negara-negara Barat yang lain mula membekukan asetnya di luar negara dan mula mengenakan sekatan ke atas Libya. Negara-negara Barat juga mula mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang berupa sokongan ke atas kumpulan penentang Gaddafi. Pada ketika ini pula, Gaddafi mula menggambarkan rusuhan anti-kerajaan itu didalangi kuasa Barat dan mengatakan kumpulan anti-kerajaan ini pengkhianat besar negara. Sudah tiada lagi mengatakan itu hal Al-Qaeda.

Sebenarnya apa yang difikirkan oleh Gaddafi ini? Dia seorang pemimpin yang kurang digemari oleh negara-negara Barat dan juga kurang disukai oleh kelompok-kelompok pro-Islam. Melihat kepada satu kenyataan yang dikeluarkannya ketika ditemuramah oleh satu media asing beberapa hari selepas rusuhan berlaku, beliau mendakwa tiada apa-apa rusuhan yang berlaku, rakyat masih sayangkannya. Dan kenyataan the people loves me ini ditekan dan diulang-ulang beberapa kali sebelum dia mengatakan ini semua adalah angkara Al-Qaeda. Apa yang kita nampak disini? Apa yang kita dapat nampak ialah Gaddafi sebenarnya tidak dapat menerima hakikat sebenar yang ia memang tidak disukai rakyatnya ataupun teori kedua, dia mahu mempertahankan kuasanya sahaja dan tidak dapat menerima sebarang kejatuhan. Dia ingat kuasa itu miliknya saja, tidak boleh diberi kepada orang lain. Lalu dia nekad untuk mempertahankan kuasanya dengan sanggup membunuh rakyatnya sendiri. Dia lupa bahawa kuasa yang ada itu hanyalah dipinjamkan oleh Allah S.W.T dan ia boleh dicabut bila-bila masa sahaja. Mudah saja jika dia memahami perkara ini.

Melihat kenyataanya yang sering berubah-ubah, ini menunjukkan beliau tidak memahami langsung punca terjadinya rusuhan itu atau sememangnya beliau tidak mahu memahaminya kerana walaupun siapa yang mencetuskan rusuhan itu, ia telah menyebabkan kedudukannya bergoncang. Beliau tidak kisah siapa yang mencetuskan rusuhan itu, sebab itu beliau dengan semberono mencari kambing hitam. Yang penting bukan kambing hitam atau kuning itu, tetapi mempertahankan kedudukannya yang mahu dipegang kalau boleh sehingga kiamat.Dakwaan-dakwaan tidak berasas Gaddafi ini juga menampakkan dirinya seperti seorang yang sangat bodoh dan juga seorang yang sudah mabuk kuasa. Seorang yang tidak mampu memahami kehendak rakyat.


Campur tangan si Helang durjana





Amerika memerhatikan krisis Libya ini adalah sesuatu yang boleh diambil peluang baginya untuk campur tangan ke dalam hal-ehwal politik Libya. Amerika menggunakan alasan hak-hak kemanusiaan dan mempertahankan kumpulan anti Gaddafi untuk masuk ke kancah krisis Libya ini. Ada beberapa sebab yang boleh kita andai mengenai campur tangan Amerika di Libya ini.

Sebab yang pertama. Amerika mahu menguasai minyak. Ini adalah alasan umum yang sering kita dengar sejak Amerika mengumumkan keberangkatan aset-aset perangnya ke Libya. Jadi bagaimana dia mahu menguasai minyak Libya? Adakah dengan melancarkan serangan konvensional besar-besaran ke atas Gaddafi? Rasanya tidak. Mereka akan menguasai minyak Libya dengan menaikkan agen-agen mereka dikalangan kumpulan penentang Gaddafi. Mereka hanya memberi sokongan moral dan sokongan logistik yang difikirkan berpatutan dan tidak terlalu menarik perhatian antarabangsa kepada pasukan penentang. Mereka akan menolong seboleh-bolehnya bagi memenangkan pasukan anti-Gaddafi dan dengan ini akan senang bagi mereka menaikkan agen-agen mereka yang terdiri dari rakyat Libya sendiri untuk menjadi pemimpin Libya selepas kejatuhan Gaddafi. Jadi ini akan mengurangkan syak-wasangka rakyat Libya terhadap pemimpin baru mereka. Taktik lapuk ini juga telah dipraktikkan sebelum ini dan ternyata ia agak berkesan.

Sebab yang kedua. Amerika mengambil peluang diatas keganasan Gaddafi yang menyerang rakyatnya sendiri untuk masuk campur hal-ehwal dalaman Libya adalah bertujuan menyekat kebangkitan Islam yang dipelopori oleh pelbagai gerakan pro-Islam di Libya sebelum mereka mengambil alih pemerintahan Gaddafi. Jadi lebih baik mereka menyusupkan agen-agen mereka untuk meraih sokongan dari rakyat Libya anti-Gaddafi di peringkat awal sebelum kumpulan-kumpulan anti-Gaddafi pro-Islam meraih sokongan kebanyakkan rakyat Libya. Sesuatu yang menakutkan mereka jika yang menaiki kerusi pemimpin Libya ini adalah orang-orang seperti Khaled Misyal atau Syeikh Yusof Al-Qardhawi. Jadi sebenarnya Amerika dan sekutunya tidak pernah ikhlas dalam apa jua tindakan yang diambil mereka.



Sisi penentang



Mari kita lihat pula dari sudut pandang kumpulan anti-Gaddafi. Kebangkitan rakyat ini tidak pernah dilabel oleh mereka sebagai kebangkitan Islam atau Kristian atau kebangkitan perkauman. Tetapi mereka mendakwa ia adalah kebangkitan untuk menentang penyelewengan dan segala macam bentuk penindasan yang diberi nama undang-undang oleh Gaddafi. Dakwaan-dakwaan pasukan penentang ini menyebabkan dakwaan merapu Gaddafi tentang penyebab rusuhan ini seperti Al-Qaeda tergantung diawang-awangan dan tidak berasas. Melihat tindakan kekerasan yang dilancarkan oleh Gaddafi ini, telah membuktikan lagi dakwaan mereka tentang kezaliman Gaddafi.

Mengenai campur tangan Amerika, mereka juga sedar akan niat sebenar Amerika itu. Rata-rata ahli kumpulan penentang Gaddafi menolak campur tangan Amerika. Mereka tahu kedatangan Amerika selalunya membawa musibah dan ada niat tertentu. Sebenarnya campur tangan Amerika akan memburukkan lagi keadaan di Libya. Sudah tentu campurtangan Amerika ini diambil kesempatan seluas-luasnya untuk meraih kembali sokongan rakyat kepadanya. Gaddafi menggunakan isu campur tangan Amerika ini untuk memburuk-burukkan rakyat yang menentangnya dan terus melabelkan mereka sebagai pengkhianat besar negara kerana bersekongkol dengan Amerika. Maka apa yang akan terjadi? Perang saudara yang sudah tersetus sudah tentu bertambah parah. Tentu pasukan penentang Gaddafi mahu tidak mahu, terpaksa menerima bantuan asing bagi memperkukuhkan kedudukan mereka, dan sudah tentu bantuan itu bersyarat! Malah campur tangan Amerika ini boleh menggagalkan usaha menjatuhkan Gaddafi, kerana apa? Kerana pasti ada antara anggota kumpulan anti-Gaddafi ini akan kembali menyokong Gaddafi kerana mereka terpaksa memilih antara Gaddafi dan Amerika, sudah tentu mereka memilih Gaddafi dari Amerika yang mempunyai banyak rekod buruk di negara-negara Arab. Jadi ke mana hala tuju krisis ini?

Buat masa ini jalan yang terbaik bagi menangani krisis ini ialah, Muammar Gaddafi perlu turun dari takhta kepimpinan untuk mengelakan Libya dari menjadi lebih teruk. Jika beliau turun, rakyat berpuas hati, korban perang pun terhenti, Amerika dan sekutu sudah tiada alasan untuk masuk campur dalam hal ehwal Libya.

Bersambung….. (Bergantung kepada perkembangan krisis Libya, Insya Allah)



Tiada ulasan:

Catat Ulasan