Ahad, 30 Ogos 2009

Takziah




Pada satu petang yang cerah. Aku bersama-sama dengan rakan serumahku yang luas pengetahuannya, bersesuaian dengan namanya Luqmanul Hakim, membonceng motosikal Honda lampu bulat bapaku mengunjungi gerai pisang goreng berdekatan dengan rumah sewa kami sejurus selepas menunaikan fardhu Jumaat. Oleh kerana kurniaan rezeki yang lebih dari yang Maha Kaya kepadaku kebelakangan ini, aku membelanja rakanku dengan memesan RM2 pisang goreng, RM1 ubi keledek goreng, dan segelas seorang jus tebu ais. (Perlu difahami, RM2 pisang goreng di tempat aku bukanlah sama piawaiannya dengan RM2 pisang goreng yang dijual di bandar-bandar besar, kerana kami tinggal di kampung dan di sebuah negeri yang murah harga makanannya.)





Di kala menunggu pesanan tiba, aku menyambar senaskhah surat khabar tabloid tempatan yang telah disediakan oleh pemilik gerai. Menatap muka depannya terus membuatkan aku terkejut besar. Bagaikan sebutir nuklear yang meletup di Hiroshima. Bagaikan tidak percaya. Berita seterusnya di muka surat 13. Terus saja aku membaca berita selanjutnya di muka surat 13. Setelah membaca berita itu sampai habis. Memang benarlah mataku tidak buta. Vokalis Asri Ibrahim dari kumpulan nasyid yang tidak asing lagi bagi kita iaitu Rabbani, telah pergi tidak kembali lagi akibat serangan jantung.

Takziah diucapkan kepada ahli keluarganya. Secara peribadi, kehilangannya memang betul-betul aku rasai. Alunan-alunan suaranya dalam seni nasyid telah menemani aku sejak dari aku sekolah rendah sehingga yang terkini. Dari beliau bersama-sama dengan Munif Ahmad (Hijjaz) dalam kumpulan Nadamurni sehingga beliau bersama-sama rakan yang lain menubuhkan kumpulan Rabbani. Alunan nasyidnya tidak pernah menjemukan aku. Sentiasa segar dan malar hijau. Nyaring suaranya melagukan lagu Munajat benar-benar meremangkan romaku, kemerduan suaranya menyanyikan lagu Bila Nur Melimpah Di Hati begitu mendamaikan hati, kemanisan suaranya mendendangkan lagu Iqrar begitu menusuk jiwa. AH! Banyak lagi lagu-lagunya yang menggamit kenangan kedalam diriku.

Pesanan sudah tiba. Asap masih menari-nari terbang dari ubi dan pisang goreng yang baru lepas diangkat dari kuali. Beberapa ketul ais telah pun cair dan bercampur dengan jus tebu. Berita ini telah membuatkan seleraku pada petang itu menjadi tawar, tetapi aku gagahi juga mencicip rezeki petang itu supaya tidak terasa rugi wang yang dilaburkan pada zaman ini di mana nilai manusia diukur dengan wang.

Aku agak terkilan apabila mengetahui bahawa diriku merupakan antara yang terlewat mengetahui berita ini di kalangan keluargaku. Maklumlah, rumah sewaku tiada TV, radio, mahupun capaian internet. Surat khabar pun sekali-sekala saja dibarterkan dengan syiling bergantung kepada kedudukan kewangan, (Huh! Ni berjimat atau kedekut).

Sampai sekarang aku masih tak percaya bahawa dia sudah meninggal. Pemergiannya benar-benar meninggalkan kesan kepadaku.

Al Fatihah untuk beliau. Semoga beliau ditempatkan di kalangan mereka-mereka yang beriman dan beramal soleh.
(Aku sudah lama menulis entri ini, cuma sekarang baru berkesempatan untuk pos)

1 ulasan:

  1. Sdra Torpedo,
    Pernah sekali membaca Yassin yang dipimpin oleh Allaharham Ustaz Asri dalam sebuah majlis. Saya suka sangat kerana sebutannya jelas. Kerana bacaannya penuh tartil, maka semua hadirin pun turut membaca mengikut pimpinannya. Tidak saling berebut-rebut untuk dahului mendahului. Seingat saya, itulah satu-satunya majlis membaca Yassin yang saya masih ingat dan rindui hingga kini.

    BalasPadam