Khamis, 12 Januari 2012

Gurren Lagann







JANGAN CEPAT MENGALAH!! JANGAN MUDAH PUTUS ASA!!! Itu lah diantara kesan positif yang terkesan kepada diriku selepas menghabiskan 27 episod Gurren Lagann. Pergh!! Inilah diantara anime yang paling padat dengan aksi-maksi tempur yang penuh dengan semangat membara yang meluap-luap!!

Gurren Lagann bukanlah sebuah anime mecha yang standard. Ia lain daripada yang lain! Tolonglah jangan samakan Gurren Lagann dengan anime Gundam , Macross, Linebarrel atau Code Geas. Anime bergenre mecha ini mempunyai aksi tempur mecha gergasi yang lebih mirip kepada anime mecha era 70an dan 80an seperti Voltron atau Saber Rider And The Star Sheriff (Kedua-duanya anime kesukaan aku waktu kecik-kecik dulu selain Robotech). Walaupun begitu, aksinya lebih lancar dan segar, dan yang paling utama, LEBIH SEMANGAT PERJUANGAN! Dalam ertikata yang lain, Gurren Lagann mengambil semua unsur-unsur pop anime mecha era Voltron itu dan di olah semula dengan teknik animasi yang terkini dan diberi jalan cerita yang lebih emosi. Hasilnya, lahirlah satu anime aksi mecha yang yang sangat menyengat dan bombastik!

Ringkasnya, Gurren Lagan mengisahkan tentang seorang remaja lelaki yang naif serta lemah yang bernama Simon. Simon adalah sebahagian dari masyarakat yang tinggal dibawah tanah. Dirinya serta masyarakat bawah tanahnya tidak pernah menaiki ke permukaan bumi dan melihat langit. Mereka telah dibelenggu dengan pelbagai peraturan dan mitos yang melarang mereka naik ke permukaan sejak dari zaman nenek moyang lagi. Simon mempunyai seorang abang angkat yang bernama Kamina. Kamina merupakan seorang lelaki yang mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi, berjiwa kental, tidak mudah mengalah, dan seorang lelaki yang tidak menelan bulat-bulat satu kisah yang tidak dipastikan kebenarannya. Semangat ingin tahu yang tinggi Kamina ini telah menjadi daya penolak kepada sifat lesu Simon untuk meneroka ke atas bumi.

Akhirnya, dengan berbekalkan sebuah mecha yang hanya berbentuk kepala, Simon dan Kamina berjaya menembusi ke permukaan bumi! Mecha ini ditemui oleh Simon ketika menjadi penggali ketika dibawah tanah. Mecha inilah dinamakan Gurren Lagann oleh Kamina.

Tetapi, kehadiran pertama mereka ke permukaan bumi setelah dihalau oleh masyarakat bawah tanahnya yang masih mahu mengekalkan cara hidup kuno itu disambut dengan satu mecha yang dikendalikan sejenis mahkluk yang bukan manusia. Mecha yang dipandu mereka ini dinamakan Gunmen. Makhluk-makhluk ini telah diarahkan oleh satu kuasa supaya menekan atau menghapuskan mana-mana manusia yang mahu naik ke permukaan bumi.

Tetapi, Simon dan Kamina tidak mahu menyerah kepada nasib begitu sahaja. Mereka yakin bahawa mereka ada hak untuk hidup di permukaan bumi ini. Lalu, dengan semangat yang kental dan membara, mereka menghadapi satu demi satu pertempuran yang penuh dengan aksi –aksi yang menggegarkan skrin anda sehingga nak pecah!!




Walaubagaimanapun!

Anime ini memang TIDAK SESUAI untuk kanak-kanak atau mereka yang belum dapat berfikir dengan waras. Walaupun sekali imbas, anime ini nampak santai, dan mempunyai rekabentuk watak,anime, mesin serta mecha yang tidaklah terlalu teliti dan kurang cantik bagi peminat Gundam, Macross, atau Code Geass. Tetapi percayalah, idea yang dibawa oleh anime Gurren Lagann ini lebih berat dari Gundam 00 mahupun Macross Frontier. Ia lebih dekat kepada anime Neon Genesis Evangelion, sebuah anime yang memang terbaik dari segi aksi-maksinya, tetapi sangatlah terpesong akidahnya. Cuma Gurren Lagann tidaklah mencapai tahap terpesong akidah yang melampau seperti Evangelion itu. Aksi-maksi bombastik serta gejolak emosi yang membadai hubungan antara watak-wataknya sedikit menggelamkan idea Darwinism yang dibawanya. Tidak terlalu major seperti Evangelion. Perkara ini juga tidak menghairankan kerana Gurren Lagann dihasilkan studio yang sama menghasilkan anime Evangelion, studio Gainax.

Jika ditolak unsur-unsur masonik yang ada dalam Gurren Lagann ini (anime-anime Gainax memang selalunya ada unsur masonik), memang banyak nilai-nilai positif yang boleh kita dapat. Kesimpulannya, sila tonton atas risiko sendiri.

Diantara dialog yang aku tidak boleh lupa dari Gurren Lagann ialah kata-kata sewaktu Kamina cuba meniup keyakinan kedalam diri Simon yang sentiasa dalam keadaan cepat lemah semangat ketika menghadapi serangan-serangan musuh.

“Jangan yakini dirimu. Yakinlah kepada Kamina yang yakin akan Simon!”

Dan satu lagi ketika Kamina sudah luka parah dan sudah hampir mati ketika mereka bertempur hebat dengan salah seorang jeneral Lord Genome iaitu Lord Thylmilph serta anak buah General Adiane iaitu Viral.

“Dengar baik-baik Simon,yakinlah akan dirimu. Bukan kepada Simon yang aku yakini, bukan juga kepada Kamina yang engkau yakini.Tetapi percayalah kepada Simon yang meyakini dirimu!”

Kata-kata kedua ini diucapkan oleh Kamina kepada Simon kerana dia tahu Simon sangat bergantung kepada dirinya. Jadi dia cuba menyedarkan Simon bahawa Simon perlu tabah untuk menjalani hidup selepas kematiannya nanti.

Akhir kata. Gurenn Lagann menjanjikan aksi tempur mecha yang terbaik serta unik bagi para penonton. Ia cemerlang dalam kelasnya yang tersendiri!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan