Selasa, 20 Disember 2011

Time And Tide





Pernah anda tonton filem ini? Ataupun Sekurang-kurangnya mendengar tajuk filem ini. Tidak? Tak mengapa saya tak marah pun. Filem ini merupakan filem terbitan sebelas tahun lepas, ia diterbitkan pada tahun 2000. "Mak aih, filem lama pun nak buat review ka?" kata anda kepada saya. Haha... saya tak kisah, asal filem tu best walaupun filem zaman P. Ramlee, tetap saya akan buat ulasan.

Time and Tide diarahkan oleh seorang lelaki berbangsa Cina yang sangat terkenal dengan penghasilan filem-filem kung fu, iaitu Tsui Hark. Jika anda suka layan cerita-cerita kung fu Jet Li yang lama-lama seperti Once Upon A Time In China, Swordsman, Dragon Inn, maka dialah penerbit dan pengarahnya. Rekod filmografi Tsui Hark menunjukkan dia banyak menghasilkan filem-filem kung fu lebih dari filem-filem aksi moden, dan Time and Tide merupakan salah satu dari filem aksi modennya.

Time and Tide merupakan salah satu ahli tetap dalam senarai filem paling best sepanjang zaman untuk diri saya. Saya pun sudah tidak ingat sudah berapa kali saya ulang-tonton filem ini sejak dari tahun 2000. zaman VCD tengah hot. Time and Tide tidak ada watak utama, semua watak saling berkait antara satu-sama lain dan sama penting, sama ada watak protagonis atau antagonis.

Kisahnya bermula dengan Tyler, seorang pemuda 21 tahun yang hidupnya tiada pedoman berangan-angan mahu hidup bahagia di Amerika Selatan. Bermacam-macam kerja yang dilakukannya sehingga dia terjebak dengan satu syarikat pengawal peribadi haram. Pada ketika ini dia bertemu dengan Jack (Wu Bai) di sebuah kedai. Di kedai ini Tyler sedang mencuba beberapa model pistol replika untuk digunakan ketika bekerja nanti,
manakala Jack pula mahu membeli sebuah kotak muzik untuk dihadiahkan pada hari lahir isterinya, An Hui yang merupakan anak seorang jutawan. Isterinya juga sedang sarat mengandung pada ketika ini.

Pertemuan kedua mereka pula adalah di sebuah majlis sambutan hari jadi kepada bapa mentua Jack. Pada majlis ini, syarikat haram Tyler ditugaskan untuk mengawal keselamatan di sepanjang majlis itu berlangsung. Di sinilah ikatan diantara Tyler dan Jack mula terjalin. Jack pula menghadapi krisis dengan bapa mentuanya yang tidak berkenan dengan kerjayanya, seorang pemotong daging. Jatuh standardlah kononnya.
Tyler yang hidupnya masih terumbang-ambing juga menghadapi masalah cintanya yang tersendiri. Hidupnya bertambah serabai pula apabila dia dan rakan-rakan syarikatnya terpaksa bersembunyi dari pihak berkuasa kerana terbongkarnya aktiviti syarikat tanpa berdaftar mereka itu.

Ia terbongkar apabila satu insiden yang telah membabitkan tiga pihak. Syarikatnya ditugaskan untuk mengawal seorang VIP yang berpengaruh, dan Tyler juga bergabung dengan pengawal-pengawal peribadi individu tersebut. Tetapi seseorang telah berjaya menembak mati VIP itu, lalu berlakulah adegan kejar-mengejar antara mereka.


Setelah Tyler bertembung dengan si pembunuh itu, Tyler rasa dia sangat mengenali lelaki itu walaupun dia telah mengubah wajahnya. Dia adalah Jack! Apahal si Jack seorang suami yang baik yang Tyler kenali itu boleh terlibat dalam insiden ini? Maka bermulalah detik-detik debar seterusnya.



Filem ini mengandungi tiga aksi besar yang penting. Adegan kejar mengejar setelah VIP itu mati ditembak, Aksi kejar-cari-sembunyi-bunuh di sebuah kawasan apartment, dan yang ketiga aksi tembak-menembak yang mendebarkan di sebuah stesen kereta api. Di samping itu terdapat juga beberapa aksi-aksi sampingan lain yang memberi nilai tambah kepada filem ini.

Semua aksi tembak-menembak didalam tiga babak penting ini sungguh mendebarkan! Penuh taktikal! Penuh dengan muslihat-muslihat licik! Bagi aku, inilah antara babak tembak-menembak yang paling best sehingga kini bagi aku. Adegan perhitungan akhir antara Tyler, Jack, kumpulan Angels, dan pasukan SWAT Hong Kong di sebuah stesen kereta api itu memang cukup-memberi tekanan. Pada waktu inilah An Hui mahu melahirkan anak, ditengah ketegangan pertempuran antara pihak-pihak yang berkepentingan.

Lagi satu yang menarik berkenaan filem ini ialah, teknik suntingan sinemotografinya yang kreatif. Kadang-kadang satu babak itu dibuat secara kiasan visual tidak terlalu menekan bentuk, tetapi kita sudah faham maksudnya. Sebagai contoh, ketika VIP itu ditembak, ia tidak menunjukkan si Jack menarik picu dan si mangsa itu ditembusi peluru seperti adegan tembak yang biasa. Ia mendengarkan kita satu bunyi klik menandakan tembakan telah dilakukan, tetapi paparan visual memaparkan gambar VIP yang dipegunkan sementara sebelum diselitkan babak jari jack dilepaskan dari picu. Kemudian kamera hanya memfokuskan pengawal disebelahnya yang tiba-tiba tersembur darah VIP tersebut. Ia tidak menunjukkan babak Jack menembak dan ia tidak menunjukkan si mangsa ditembak mati. Tetapi kita tahu Jack sudah menembak VIP itu dan VIP itu telah mati.

Filem ini walaubagaimanapun agak kurang popular dan kurang dikenali oleh para peminat filem walaupun ia mendapat kritikan positif Festival Filem Hong Kong dan para pengkritik dari Barat, kenapa? Aku pun tak tahu. Tetapi ia ada kelompok tersendiri yang meminatinya.

Jadi kepada siapa saya akan cadangkan filem ini? Filem ini untuk:

1. Para peminat CounterStrike dan Call Of Duty: Modern Warfare yang bermain sambil bibir tak henti-henti memaki hamun orang.

2. Kepada peminat-peminat filem aksi.

3. Peminat-peminat senjata api.

4. Peminat filem serius dan debar.

5. Peminat Encik Eyman Hykal dan Ramlee Awang Murshid.

6. Peminat Tsui Hark

7. Peminat Nicholas Tse

Golongan yang tidak disaran tonton:

1. Kaum wanita. (Aku yakin pompuan memang tak suka filem ni. Sebab jiwang dia ciput sangat)

2. Bencikan keganasan. Mahukan keamanan. (Filem ini tidak menjanjikan keamanan,peluru adalah nadi filem ini).

3. Kanak-kanak (Depa memang takkan faham cerita ini berkenaan apa, depa akan tanya sapa jahat, sapa baik. Tu saja)

4. Bayi.

Walauapapun, Time and Tide merupakan filem aksi empat bintang terbaik buat masa ini bagi aku. Dan aku masih tertunggu-tunggu jika ada lagi filem berkonsep begini dari Tsui Hark.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan