Selasa, 21 Jun 2011

Midnight FM


Anda merupakan seorang juruceloteh radio yang terkenal di radio anda, dan anda juga sangat terkenal di kalangan pendengar anda. Anda juga merupakan seorang bekas pembaca berita berpangkat selebriti sebelum anda menceburi dunia radio, dan anda juga terkenal kerana sering mencampur-adukkan idea anda sendiri ketika membaca berita yang bersifat fakta.

Walaubagaimanapun, masa merubah segalanya. Masa telah membawa anda ke penghujung karier anda sebagai seorang jurungomel radio yang terkenal atas sebab-sebab yang tertentu. Masa telah membawa anda ke satu malam, malam di mana anda akan mengacara slot khas anda sebagai juruhebah radio yang terkenal, untuk kali terakhir. Rancangan anda bakal didengari ribuan peminat, dari yang muda hingga ke tua. Didengari oleh pelbagai jenis manusia, dari yang cemburukan keselebritian anda, sehingga yang meminati anda sehingga ke taraf stalker (peminat yang gila-gila sukakan anda, macam nak mampus! Taksub!).

Anda telah bersedia dari segi emosi untuk menjayakan slot kesayangan anda yang ini. Bersedia untuk menahan ombak sedih yang sedang menghempas kalbu. Namun, rasa syahdu anda itu sedikit terganggu dengan kehadiran seorang peminat fanatik anda yang melawat anda di studio pada malam itu. Walaubagaimanapun, anda masih lagi mampu berhipokrit kepadanya dengan mempamerkan senyuman tawar ke arahnya. Anda masih mampu menahan sabar dengan karenahnya yang tersenyum-senyum kambing ke arah anda di sebalik dinding kaca studio. Anda masih lagi dapat menahan perasaan sedih anda itu sambil mengacara rancangan anda sambil diiringi muzik-muzik klasik .

TETAPI, anda tidak menyangka pada malam ini, ombak sedih anda yang menghempas lembut pantai kalbu anda itu bertukar menjadi TSUNAMI yang membuatkan hormon adrenalin anda terus membadai secara tiba-tiba!! Degupan anda menjadi begitu kencang!!

Anda telah menerima panggilan dari seorang stalker yang sangat meminati anda. Tetapi dia bukan sebarangan stalker, dia menjadikan anda sebagai idolanya untuk melakukan jenayah pembunuhan. Sikap idealistik anda di samping wajah anda yang cun serta suara yang seksi, telah menginspirasikannya untuk melakukan pembunuhan atas nama wira yang menghukum kejahatan.

Pada malam ini dia telah menelefon anda di konti radio. Dia mengarah anda mengikut segala arahan-arahannya yang pelik, contohnya "Sila mainkan lagu pertama yang anda mainkan ketika anda mula-mula mengacara rancangan ini", adakah anda ingat lagu pertama yang anda mainkan setelah bertahun menjadi jurungomel radio? Jika arahan-arahan ini tidak diikuti, maka anak anda serta adik perempuan anda yang telah menjadi tebusan akan dibunuh tanpa belas kasihan!

Anda mula gelabah, dan akhirnya anda tidak sangka anda terpaksa meminta tolong juga dari lelaki stalker yang menjengkelkan anda sejak dari mula slot terakhir anda itu.

Jadi apa kesudahannya? Wor... mana boleh dibocorkan maklumat ini. Tak saspen la! Anda kenalah tonton Midnight FM atau dalam bahasa Koreanya Simya-ui FM.

Rasanya inilah salah satu filem Korea berkonsep debar-bunuh-bunuh yang terbaik pernah aku tonton. Filem ini memang mempunyai citarasa yang tersendiri walaupun aku ada rasa sikit perencah Untraceable lakonan Diane Lane dan sedikit dari Panic Room, tetapi orang Korea ni memang pandai merombak filem Hollywood menjadi lebih baik dalam versi mereka, seperti The Man From Nowhere.

Midnight FM nampaknya lebih berat dari Untraceable bagi aku. Berat dengan alasan falsafah yang digunakan untuk menghalalkan segala tindakan si psikotik Han Dong-Su lakonan Yoo Ji-Tai, dan strategi psikologi yang digunakan oleh Ko Sun-Young (lakonan cemerlang Soon-Ae) untuk menangani situasi di mana dia sendiri dalam keadaan sangat tertekan selepas adiknya telah disembelih oleh Han Dong-Su dan ditunjuk oleh psikotik Han melalui panggilan-video menerusi telefon bimbit (alamak, terspoil la plak!).



Satu lagi yang aku suka dalam filem ini ialah, permainan sinemotografinya yang aku kira agak cemerlang dalam menimbulkan perasaan debar di dalam diri. Terutamanya babak cari dan sembunyi (hide n seek) di antara Ko Eun-soo (anak Ko Sun-Young) dan psikotik Han di
dalam rumah itu. Adegan ini mengingatkan aku akan babak cari dan sembunyi di antara Tom Crusie dan Dakota Fanning dengan makhluk asing durjana dalam War of The Worlds. Memang mendebarkan!

Filem ini telah diterbitkan pada 14 Oktober tahun lepas, dan ia tidak ditayangkan di Malaysia. Hanya di Korea Selatan dan Singapura sahaja (macam kes the Man From Nowhere). Kenapa tak masuk Malaysia hah? Padahal sebelah-menyebelah saja dengan Singapura tu.

Apa-apa pun, filem ini memang sebuah filem yang dibuat dengan serius, jadi hasilnya, anda memang tidak akan dapat berganjak dari skrin pc anda (jika anda download secara haram dan terus menontonnya di pc, ehem..) sebaik sahaja butang play media player anda ditekan. Mungkin beberapa minit pertama, anda akan berkata "Hafizudin, pause sekejap. Aku nak pi ambik cucoq bawang kat bawah tak habis pagi tadi, sambil layan muvi sambil makan cucoq bawang, baru best!" atau "Asiyah, tolong mak masak nasi kejap..!!" dan anda sebagai anak yang solehah menjawab "Baik mak..!!", dengan segera anda turun memasak nasik di atas dapur gas, kerana periuk nasi elektrik anda sudah dirosakkan oleh anak kakak anda yang nakal..

TETAPI, sebaik sahaja Han membuka pintu rumah Ko Sun-Young dan melangkah masuk ke dalam, anda akan berkata "Ah takde-takde!!!" tatkala adik anda minta di pause sekejap Midnight FM kerana hendak pergi ke tandas atau mak anda akan memanggil anda, "Asiyah, ni apa bau hangit nih?? Ya Allah dah hitam nasi ni!!".

Pada ketika ini anda akan merasakan cucoq bawang yang anda telan itu sudah tidak mempunyai rasa., atau nasi yang anda masak sebentar tadi sudah terlebih masak, dan yang sebenarnya anda memang sudah tetapkan alarm handphone anda untuk jangka masa masak nasi itu, tetapi anda sudah hanyut dalam adrenalin bersama dengan Ko Sun-Young sehingga anda mematikan alarm telefon bimbit anda ketika ia mengingatkan anda tentang nasi itu, seperti anda mematikan alarm handphone anda yang mengejutkan anda untuk bangun solat subuh sambil berkata, "Oh, awal lagi ni".

Eh, aku dah melalut nih... Yang pasti Midnight FM memang tidak mengecewakan! Setakat ini saja untuk kali ini. Salam!!

6 ulasan:

  1. hahaha..knp ada watak addin dgn k.asiyah skali? kisah bnr ke?

    BalasPadam
  2. Hahaha...!! Cerita ini hanyalah rekaan semata-mata. Tiada kena-mengena dengan mereka yang hidup, atau yang sudah mati. Melainkan hanya nama sahaja yang 'kebetulan' sama.

    BalasPadam
  3. waa..rugi giler tertengok ending cite ni dulu

    BalasPadam
  4. Eh.. Tak rugi, yang adik dia kena sembelih tu baru tengah-tengah cerita. Ada lagi orang yang dia bunuh.

    BalasPadam
  5. kina, akk baru nak tanya soalan same.

    mula2 bc hafizuddin, ingatkn btul2 time hafizuddin dtg sane, tp bila t'selit nama sndr, haha, sah2 la imaginasi ahmad je

    sabor je la

    BalasPadam
  6. Hahaha.. Memang imaginasi pun. Cerita itu hanyalah sebagai simbolik untuk memberitahu betapa bestnya cerita ini. Tiada kena mengena dengan mereka yang mempunyai nama kebetulan sama. Haha..!!

    BalasPadam