Jumaat, 8 April 2011

The Man From Nowhere



Ah, bagaimana aku mahu memulakan ulasan mengenai sebuah filem yang indah ini... Hmmm.. Jika anda suka Won Bin yang kacak ini, ini memang filem untuk anda (Jangan tipulah kalau awek-awek tak suka, makcik aku yang dah beranak lima pun suka Won Bin). Jika anda suka kanak-kanak perempuan Asia Timur yang comel serta bijak, juga pandai buat muka seposen, ini filem untuk anda juga. Jika anda peminat sinemotografi filem yang cantik, ini sememangnya filem untuk anda. Seterusnya jika anda suka aksi lasak yang ganas, realistik, darah yang membuak-buak, sadis, kejam, tak ada perikemanusiaan, filem ini berada di landasan yang betul untuk anda.

Won Bin yang kacak + Budak pompuan comel + Liam Neeson (Taken)= The Man From Nowhere

Ya, aku memang tidak boleh nak lari dari membandingkan filem ini dengan Taken lakonan Liam Neeson kerana ideanya hampir sama tapi tak serupa. Tetapi yang pasti, The Man From Nowhere merupakan sebuah filem aksi Korea yang sangat beremosi. Rasanya ideanya lebih hampir kepada Man On Fire lakonan Denzel Washington. Aku cakap begini kerana aku menonton Man On Fire dan Taken lebih dahulu dari The Man From Nowhere, cuba kalau terbalik. Walaupun ideanya memang aku nampak dicedok dari kedua-dua filem orang putih itu, TETAPI (aku besarkan lagi perkataan tu) TETAPI ia sangat berbaloi ditonton bagi 4 golongan yang aku senaraikan di atas tadi serta mereka yang sudah menonton Man On Fire dan Taken. Kerana apa? Filem ini mengisar idea yang dicedok itu menjadi satu hasil karya visual yang cantik serta diberi nafas Asia yang senang menyentuh jiwa kita.

Aku sangat tersentuh hati tatkala So-Mi (kanak-kanak perempuan comel itu) berkata kepada Won Bin setelah Won Bin tidak mengaku dia sebagai ayahnya dalam satu insiden (sebenarnya mereka jiran, tetapi So-Mi ini tidak ada bapa dan ibunya seorang penagih dengan kehidupan yang porak peranda. Jadi Won Bin menjadi tempatnya untuk menumpang sedikit sinar kasih-sayang) Dia berkata begini,

"Tuan, awak mesti malu dengan saya. Sebab itu awak berpura-pura tidak mengenali saya. Tidak mengapa, rakan sekolah saya juga merasakan begitu. Guru-guru pun begitu. Walaubagaimanapun, saya tidak akan membenci awak. Jika saya membenci awak, tiada seorang pun di dunia ini yang saya suka.

Jika saya teruskan memikir hal ini, ia sangat menyakitkan, jadi saya tidak akan membenci awak."

Bayangkan dia cakap begini dengan air mata mengalir dan suara yang sebak, dengan muka kiut seposen. Tersentuh wo~r!

Yang bagusnya The Man From Nowhere ini ialah, ia menjelaskan pembinaan ikatan perasaan diantara Tae-Sik Cha (Won Bin) dengan So-Mi Jeong (Sae Ron Kim) yang membuatkan kita ikut sama terheret dalam permainan emosi kedua-dua watak pada permulaan cerita. Jadi ini akan menjadi salah satu asbab yang akan membuatkan kita lebih menghayati akan debaran yang akan datang satu persatu selepas So-Mi diculik oleh satu sindiket penjenayah yang kejam teramat.

Walaupun anda sudah menonton Taken dan Man On Fire, tetapi pengalaman The Man From Nowhere ini lain, tak reti bagaimana aku mahu terangkan, CANTIK!! Itu saja yang aku boleh ucapkan. Selain itu, aksi-aksi didalamnya memang ganas! Tak sesuai untuk budak-budak. Ia tidak ada adegan tembak kereta penculik dengan bazooka seperti dalam Man On Fire atau tembak ketua penjenayah dengan bazooka seperti dalam filem Kick Ass, tetapi ia ada aksi tikam-menikam yang cukup ganas dan sadis yang membuatkan darah membuak-buak keluar!! Tetapi jangan anda bayangkan darah memancut-mancut keluar seperti dalam filem The Machine Girl dan Tokyo Gore Police, tu mengarut!! Darah dah keluar bergelen-gelen boleh hidup lagi? Bapak mengarut!

Ia tidak seperti itu, tetapi ia lebih realistik, siap ada adegan tikam dada dalam gerak perlahan lagi pada pertarungan akhir antara Won Bin dengan seorang gangster Vietnam (pelakon Thailand) yang bekerja dengan gengster Korea tu.
Ingat babak seorang askar Jerman yang menikam dada seorang askar Amerika secara perlahan-lahan dalam Saving Private Ryan? Kapak kepala pun ada! Satu perkara lagi yang aku terperasan, gerak tempur yang digunakan oleh Won Bin didalam filem ini tidak ada rupa kung fu atau apa saja aksi seni beladiri yang berasal dari Asia timur seperti Karate dan sebagainya. Ia lebih kepada buah silat! Gengster Siam tu pula menggunakan kerambit pada pertarungan akhirnya dengan Won Bin. Ya, aku nampak ada sedikit pengaruh Nusantara didalam filem ini.

Sebenarnya filem ini sudah ditayangkan pada bulan Ogos tahun lepas, tetapi tidak ditayangkan di Malaysia. Di rantau ini, hanya Negara Singapura saja yang ditayangkan. Ke'best'an filem ini telah membuatkan aku menontonnya sebanyak tiga kali, dan filem ini memang tidak sesuai untuk golongan bawah umur! Keseluruhannya aku beri 8/10 bintang untuk The Man From Nowhere.

2 ulasan: