Ahad, 3 Jun 2012

Serbuan Maut A.K.A The Raid



Yaarggghh!! Setelah sekian lama aku menunggu kehadirannya, akhirnya Serbuan Maut telah berjaya menendang mukaku bertubi-tubi sampai lebam sana-sini. Selesai sahaja menontonnya, tiada apa yang boleh aku katakan lagi, “WOOOOOWWWW!!!!” Itu sahaja. Debarannya, aksi silatnya, sinemotografinya semuanya terbaik bagi aku, dan telah membuatkan aku menontonnya dua kali untuk satu malam tu, dan besok ulang tonton lagi!! MAN!! It is an AWESOME MOVIE !! WAARRGGHH!!!

Tajuk
Filem ini mempunyai beberapa tajuk, untuk pasaran Indonesia, ia diberi tajuk Sebuan Maut, manakala untuk tayangan perdana di Midnight Madness, ia diberi nama The Raid sebelum ditambah The Raid: Redemption untuk pasaran dunia. Redemption diberi bagi membezakannya dari beberapa buah filem lain yang menggunakan tajuk yang sama.

Ceritanya
Kisah bermula apabila satu pasukan khusus polisi Indonesia seperti pasukan SWAT menjalankan misi untuk menangkap Tama, seorang penjenayah Star di tengah-tengah kotaraya Jakarta. Menangkapnya tidak mudah kerana tempat bersemayamnya merupakan di tingkat 15 di sebuah bangunan apartment 30 tingkat.
Tama mengawal seratus peratus bangunan itu. Untuk memasukinya hanya ada satu pintu masuk seperti pintu gerbang yang dikawal oleh orang-orangnya. Apartment ini juga merupakan tempat tinggal bagi orang-orang Tama, disamping itu juga ia tempat bermaustatinnya segala penjenayah-penjenayah lain yang menyewa rumah disitu. Ia juga merupakan pusat Tama menjalankan aktiviti perniagaan haramnya dan terdapat juga kilang dan makmal memproses dadah di apartment tersebut. Perghh!! Anda boleh bayangkan betapa sampahnya tempat itu. Teringat kata Jaka ketika mereka hampir tiba ke lokasi Tama ketika menaiki van SWAT,  “AYUH! Kita bersihkan sampah kota ini!”.

Bukan itu sahaja, bangunan ini juga dilengkapi dengan cctv yang dihubungkan terus ke rumah Tama. Di samping itu, setiap tingkat dilengkapi dengan alat interkom yang juga dihubungkan terus ke tempat Tama untuk memudahkan anak-anak buahnya memaklumkan apa-apa maklumat kepada Tama.  Senang cakap, bangunan ini seperti sebuah kubu perang di mana setiap sudut orang-orang Tama pasti ada. Gila AH!
  
Setelah berjaya menembus masuk ke apartment itu secara senyap dan penuh strategi, mereka terus memulakan operasi mencari dan menangkap Tama. Jaka kata “Tugas kita sederhana. Kita masuk, tangkap dan seret dia keluar!”. Serbuan itu dilakukan pada awal subuh, ketika para penghuni apartment masih ramai yang dibuai mimpi.

TETAPI! Malang memang tidak pernah ada bau, apabila mereka berada di tingkat enam, serbuan senyap mereka terbongkar oleh seorang kanak-kanak yang bertindak sebagai tonto (anda tahu tonto?) dan terus memaklumkan kepada Tama akan kehadiran pasukan pasukan SWAT itu melalui interkom.

Berita itu tidak langsung membuat Tama gentar, dia sendiri mempunyai berlori-lori tenteranya di apartment itu untuk melindunginya, di setiap tingkat bangunan. Cukup dengan satu pengumuman melalui alat pembesar suara di setiap tingkat apartmentnya, itu sahaja telah membangkitkan nafsu membunuh setiap manusia didalam apartment itu. Bagi Jaka dan pasukannya yang sudah ter’kantoi’, pengumuman itu cukup-cukup meremangkan bulu roma mereka.

                “Selamat pagi teman-teman. Mungkin anda sudah mendengar kalau kita kedatangan tamu tak diundang. Bukan saya yang mengundang dan tentunya mereka tidak kita terima di sini. Demi kepentingan kita semua, anda bisa memberikan bantuan anda dalam mengusir kutu-kutu ini. Dan anda, akan mendapatkan imbal tinggal tanpa biaya.

                Anda bisa menemui tamu tak diundang ini di lantai enam. Selamat bekerja, dan jangan lupa bersenang-senang.”

Apa lagi, operasi yang pada asalnya berjalan lancar terus bertukar menjadi satu  huru-hara yang menggila!! Kini Jaka, Rama (Iko Uwais) dan rakan-rakan sepasukannya yang lain terpaksa menukar misi, dari memburu Tama kini mereka memburu nyawa mereka sendiri pula! Mereka terpaksa keluar dari apartment itu, dan langkah keluar itu juga adalah satu neraka bagi mereka.

Watak



TAMA
Filem ini tidak menumpu kepada satu-satu watak sahaja. Setiap watak memainkan peranan masing-masing untuk menghidupkan cerita. Tama dilakonkan oleh Ray Sahetapi, beliau memang sesuai untuk memegang posisi Tama itu. Tama merupakan seorang penjenayah besar yang tenang, tidak terburu-buru, bijak menilai situasi, dan dalam masa yang sama dia boleh membunuh mangsanya dengan menembak sambil makan mee.

JAKA
Jaka dilakonkan oleh Joe Taslim. Perghh!! Secara seriusnya atau orang putih panggil seriously , watak Jaka ini telah membuatkan aku tiba-tiba sahaja menjadi peminat Joe Taslim secara automatik! Walaupun aku rasa ini pertama kali aku lihat Joe Taslim berlakon, atau tak salah aku kata aku kenal dia sebab filem ini, tetapi lakonan mantapnya telah membuatkan aku tiba-tiba tersangkut dengan lakonannya dan membuatkan aku mula tertunggu-tunggu akan filemnya yang akan datang.

Jaka merupakan ketua pasukan SWAT yang menyerbu apartment Tama. Dia merupakan seorang ketua yang sangat tegas serta sangat bertanggungjawab terhadap anak-anak buahnya. Dia tidak akan meninggalkan apartment itu selagi anak-anak buahnya yang selamat tidak ada bersamanya.  Tetapi amat malang sebelum dia berjaya menemukan anak-anak buahnya yang terpisah di tingkat lain, dia telah bertemu dengan Mad Dog. Orang kanan Tama yang sangat gila, sesuai dengan namanya.

Kadangkala, aku terasa lakonan mantap Joe Taslim ini sedikit menggelamkan watak bintang filem ini, iaitu Iko Uwais.

RAMA
Rama, watak yang dimain oleh Iko Uwais, yarghh!! Inilah watak bintang yang menguatkan filem ini. Lakonan Iko memang sangat bagus walaupun ini barulah filem kedua lakonannya, tetapi kualiti lakonannya kadangkala mengatasi pelakon-pelakon yang sudah lama dalam bidang ini. Bravo! Walaupun wataknya sedikit tenggelam dengan watak Jaka yang kelihatannya lebih menonjol, tetapi aksi silatnya berjaya mengekalkan kesedaran penonton akan kewujudannya didalam filem ini.

Aksi tangkasnya bermain pisau serta penggunaan unsur-unsur sekeliling untuk dijadikan senjata membuatkan kita berkata, “Ini MEMANG sebuah filem aksi mempertahankan diri yang sebenar!”

ANDI
Andi, orang kuat Tama selain Mad Dog. Dia juga merupakan kepala perancang setiap operasi perniagaan  haram Tama. Andi dilakonkan oleh Doni Alamsyah. Beliau juga ada muncul dalam filem Gareth Evans yang terdahulu, Merantau. Di dalam Merantau dia memainkan watak sebagai abang kepada Yuda. Manakala dalam Serbuan Maut, ia masih lagi memainkan watak abang kepada Iko Uwais. Andi telah lama meninggalkan keluarganya, pada babak Rama mahu meninggalkan rumahnya, dia berkata kepada ayahnya, “Aku akan bawanya pulang.”

Doni Alamsyah yang anda lihat peramah dan santai di dalam Merantau berubah 100% dalam filem ini. Dalam filem ini, dia akan membunuh manusia macam makan nasi, tak ada perasaan. Tidak ku sangka, rupa-rupanya dia juga dapat memainkan aksi pertarungan dengan hebat. Anda akan dapat menemui Doni Alamsyah lagi dalam sebuah filem Indonesia ynag terbaru, 5 Menara. Sebuah filem yang diadaptasi dari novel terlaris A.Fuadi.

MAD DOG

WOrghh..!!! Mad Dog, tiada nama lain yang lebih sesuai untuk Yayan Ruhian dalam Serbuan Maut melainkan Mad Dog. Wataknya, INCREDIBLE!! BOMBASTIC!! PLASTIC!! Aku tidak tahu bagaimana mahu mengulas wataknya. Anda perlu saksikan sendiri baru anda tahu!  Mad Dog juga adalah orang kanan Tama. Dia memang gila! Kemahiran seni silatnya memang MARVELLOUS!! Anda juga dapat menemui Yayan Ruhian dalam Merantau, dimana Iko Uwais bertarung dengannya     didalam lif. Arghh!! Aku tak tau macamana nak cerita dah watak dia. Memang gila dia ni!

Muzik
Ini satu lagi unsur maut untuk filem Serbuan Maut. Muziknya betul-betul masuk dengan babak-babak dan adegan pertarungan didalam filem ini. Adunan muziknya dibuat oleh Mike Shinoda dan Joseph Trapanese. Anda kenal Mike Shinoda? Alaa.. yang  kumpulan Linkin Park tu. Apa yang boleh aku kata tentang muziknya, memang membunuh!!  Memang terbaik ah muziknya!!

Sinemotografi
Memang cun, seperti yang Matt Flannery buat dalam Merantau. Permainan kamera juga sangat baik!! Ia berjaya membuatkan kita benar-benar merasai setiap debaran yang berdetik didalam Serbuan Maut. Lagi satu, tona warna yang agak gelap dan pudar itu sangat sesuai dengan konsep aksi yang dibawa Serbuan Maut. Teringat tona warna dalam sebuah filem Perancis L’Assault.

Babak-babak pilihan

Arghh!! Sebenarnya hampir keseluruhan babak filem ini adalah babak pilihan bagi aku. Cuma aku pilih yang paling-paling melekat dekat ingatan aku.

1.Peti ais meletup. Babak ini Rama dan rakan sepasukannya memasukkan sebuah tong gas ke dalam peti ais kosong sebelum mengheretnya ke pintu bilik. Disebalik pintu bilik itu penuh dengan manusia-manusia sampah yang mahu membunuh mereka yang cuba memasuki bilik itu. Sebaik sahaja peti ais tu tiba di pintu bilik, Rama mencabut pin sebuah bom tangan dan dicampak masuk ke dalam peti ais itu sebelum bahagian peti ais yang terbuka itu dihadapkan ke pintu dan…… KABOOOMMM!!!!

2. Aksi pertarungan  Rama dengan kumpulan khas Tama yang berparang. Kumpulan ini semacam pasukan khusus bagi Tama. Ada satu babak yang sangatlah mendebarkan membabitkan Rama dengan kumpulan ini disaat Rama dengan seorang rakannya yang cedera parah sedang bersembunyi disebalik sebuah dinding kayu. Ketua kumpulan ini mengagak-agak jika ada orang yang bersembunyi di sebalik dinding kayu itu, lantas  ditikam-tikam dinding itu. PEGRGHH!! Memang seram sejuk menonton adegan itu!! Parang itu mencucuk-cucuk sehingga ia menghiris pipi Rama! Aduss…!

3. Aksi Rama yang sudah tiada jalan keluar terpaksa merempuh tingkap untuk terjun ke bawah dengan menjadikan ketua kumpulan Parang itu sebagai perisai. BEDEBUKK!! Sebaik sahaja jatuh ke sebuah tangga besi, Rama kembali merempuh masuk ke sebuah rumah melalui tingkap bersebelahan apabila dia ditembak oleh orang-orang Tama yang mengepung di luar apartment.

4. Aksi Jaka bertarung dengan Mad Dog. Didalam babak ini, Mad Dog akan mengajar anda bagaimana caranya untuk berlawan dengan mereka yang lebih besar dan tinggi dari anda. Babak ini membuatkan aku berkata, “HAH??!!! Jaka mati ke??!!”






5. Aksi Andi membunuh dua orang manusia didalam lif dengan pisau. Sangat pantas, cepat dan sadis. Lepas tu dia boleh buat muka selamba tunggu pintu lif buka.

6. Yarrgh!! Yang keenam Ini adalah kemuncak segala aksi-aksi pertarungan di dalam Serbuan Maut. Di antara pertarungan di dalam filem yang gred A++ bagi aku. Pertarungan dua lawan satu! Antara Rama berpadu dengan Andi menentang Mad Dog seorang! WARGGHHH!!!!! GILAA!!!! Memang mantap!! Adegan pertarungan akhir ini telah memaksa Rama, Andi dan Mad Dog mengeluarkan segala macam teknik silat yang ganas-ganas!!

Pertarungan akhir mereka ini diadakan didalam sebuah bilik kosong yang berupa seperti tempat seksaaan Tama untuk mangsa-mangsanya. Tona warna yang pudar ditambah lagi dengan track Putting A Mad Dog Down dari Mike Shinoda membuatkan pertarungan akhir ini memang epik!! Tambah-tambah lagi adegan terakhir ketika Andi dan Rama berjaya membunuh Mad Dog, Perghh!!! MEMANG EPIKK!!

7. Yang ketujuh adalah babak ketika Rama dan Andi berpisah ketika Andi menemankan Rama ke pintu keluar apartment, dengan paparan visual yang tiba-tiba gerak perlahan, dan track Razors Out nyanyian Chino Moreno pun masuk. Huh.. memang stailo babak ini. Ia menunjukkan bagaimana kedua-dua pihak dalam keadaan yang sangat letih dengan konflik yang berlaku hari itu, dan Razors Out memang terbaik. Nama pun Razors Out, memang ganas!


Huh.. letih dah aku menulis… tapi filem ini memang layak untuk aku ulas panjang-panjang.
Keseluruhannya, Serbuan Maut atau The Raid atau The Raid Redemption ini merupakan sebuah filem aksi, atau aksi mempertahankan diri yang terbaik pernah aku saksikan! Filem ini juga membuatkan kita akan berkata, “Hah? Macam tu pun boleh bunuh orang?”. Ya, filem ini akan menunjukkan adegan-adegan membunuh yang tidak terfikir oleh akal kita, kerana apa? Kerana mereka memang benar-benar MEMPERTAHANKAN DIRI!! Kerana didalam keadaan darurat, benda yang asalnya bukan senjata boleh menjadi senjata yang bahaya. Bayangkan lampu kalimantang yang putih tu pun boleh bunuh orang. Huh.. gila.... Jangan dibanding dengan Jiwa Taiko, filem ini adalah langit, Jiwa Taiko tu bumi!!! Okay, Kita akhiri artikel ini dengan Razors Out.

Rabu, 23 Mei 2012

Cinta Sufi



Kapten Leandro melibaskan pedang dengan kuat, benar-benar menepati batang leher Catalina.
         Tetapi di luar jangkaan, Catalina menunduk lalu melutut dan membenamkan keris Nanggroe ke perut Kapten Leandro.
         Lelaki portugis itu ternganga mulutnya. Pedang dalam genggaman serta-merta terlepas. Sejurus itu, dengan keberanian yang diusahakan, Catalina mencabut semula keris Nanggroe. Darah memercik, memancut. Catalina bangkit berdiri. Menusukkan  mata keris Nanggroe ke halkum Kapten Leandro pula.   
         "Itu untuk Saifuddin. Dan ini untuk suamiku... Aryas Do Lopo yang kau bunuh di medan peperangan. Muslihatmu waktu itu berhasil, sehingga ramai orang yang mempercaya Aryas Do Lopo mati dibunuh tentera Turki." Catalina memberi kesempatan  untuk Kapten Leandro bernafas udara terakhir di muka bumi ini.     
        Kenyataan  Catalina yang menyingkap rahsia kebenaran, sekali gus menelanjangkan pengkhiantannya, membuatkan Kapten Leandro terbeliak biji mata. Selanjar itu juga, Catalina menghentak hulu keris Nanggroe.
       Mata senjata itu menembusi halkum Kapten Leandro. Darah memancut lagi. Suara lelaki portugis itu kedengaran seperti bunyi haiwan sembelihan. Kapten Leandro mati dalam kemurkaan Tuhan.

______________________________________________________

Aku rasa, babak inilah yang paling elegan dalam Cinta Sufi.

Sabtu, 19 Mei 2012

Night Aves C


Aku baru sahaja buat blog baru. Sebenaqnya blog lama, cadangnya mahu jadikan sebuah blog khas untuk bereksperimentasi dengan penulisan novel, akhirnya tak jadi. Kini aku jadikannya sebuah blog di mana khusus untuk aku berkongsi daya kreativiti aku (tak kreatif mana pun sebenarnya, perasan lebih). Mulai hari ini, lukisan-lukisan dan foto-foto menarik yang aku tangkap akan didedahkan di blog itu. C tu maksudnya Creative. Sila klik gambar di sebelah kiri blog ini untuk link terus ke blog tersebut. Okay, calo!

Khamis, 17 Mei 2012

Detik Debar




Yaarghh!!! Detik Debar, sebuah novel ‘andai kata’. Andai kata Presiden Amerika masuk Islam secara senyap-senyap tanpa diketahui oleh orang-orang di sekelilingnya,  apa akan terjadi kepada dirinya dan dunia ini? Ya, gambaran ini telah dilakarkan oleh Eyman Hykal dalam sambungan novelnya yang terdahulu, Meniti Maut! Usai membacanya, barulah anda memahami apa yang ditestimonikan oleh Abang RAM.

Masih mengekalkan Fariz Zafar sebagai watak utama iaitu seorang ejen perisik dari Biro Risikan Negara (BISIK). Setelah berjaya menghalang agenda pemusnah ekonomi  Zionis (Economic Hitman) dalam Meniti Maut,  dia kembali beraksi dalam konflik terbaru yang dihadapi oleh Malaysia, iaitu komplot pembunuhan John Martinez oleh The Group. The Group adalah sebuah kumpulan pelobi ZIonis yang sangat berpengaruh di Amerika Syarikat. Ya, Presiden Amerika itu hendak dibunuh kerana mula menunjukkan minatnya dalam sistem kewangan Islam yang tidak berasaskan riba untuk menyelamatkan  ekonomi negaranya yang semakin merudum. Dan ini sangat-sangat tidak disenangi oleh The Group.

Ironinya, dalam masa yang sama ada satu lagi komplot untuk membunuh John Martinez dari pihak militan Arab. Dan pentas konfliknya adalah di bumi Malaysia ini, di mana John Martinez datang untuk menghadiri World Islamic Economy Forum yang dilangsungkan di Putrajaya International Convention Centre. Satu pihak hendak membunuh Presiden Amerika kerana Presiden itu mula condong kepada Islam, manakala satu pihak lagi hendak membunuh Presiden Amerika itu kerana banyak kekejaman yang telah dilakukan oleh mereka ke atas umat Islam. Dua pihak yang berbeza, misi yang sama, satu sasaran.

Detik Debar bergerak di atas tiga jalur, jalur pertama kisah dari pihak Presiden Amerika. Jalur kedua kisah dari pihak BISIK, dan jalur ketiga adalah dari pihak Lasykar Jihad. Diantara tiga jalur ini ada satu lagi benang yang terkait antara mereka, iaitu Jennifer Miles, seorang journalis World Live Line yang keras kepala.

Sewaktu membaca babak Fariz menjalani latihan di Selatan Thai, aku semacam dah tahu itu hanya latihan. Tekaanku tepat! Pada masa ini aku teringat satu latihan yang dijalani oleh James Clayton (Collin Farell) dalam filem debar-risik ‘The Recruit (2003)’. Aku suka twist  yang ada didalam filem ini. Tidak terfikir dek akal.

Cuma satu saja yang aku terasa sedikit kurang dalam Detik Debar ini, iaitu rekabentuk kulitnya yang bagi aku sangatlah kurang menarik. Kalau aku ni pensyarah seni visual, aku letak D. Aku jauh lebih suka rekabentuk kulit Meniti Maut lagi. Tolonglah, mana boleh sebuah novel yang berkualiti ini mempunyai rekabentuk yang sangat teruk! Tidak menggambarkan konsep novel itu langsung!

Kesimpulannya, Detik Debar WAJIB disambar oleh mereka yang dahagakan novel-novel berkonsep debar dan aksi berbahasa Melayu! Apa pula selepas Detik Debar? GERAK GEMPAR ku hitung harinya!

(Nothing... is... what it seems.)
                                                Walter Burke, (The Recruit)

Rabu, 16 Mei 2012

Video - Seorang kanak-kanak lelaki membaca Al-Quran untuk menahan rasa sakit

Video ini menayangkan seorang kanak-kanak lelaki cuba menahan rasa sakitdengan membaca Al-Quran ketika konflik di Syria. Video ini bertarikh 14 Mei 2012 dan dirakamkan di wilayah Rastan.



Rabu, 9 Mei 2012

Syria - Libya Kedua



Krisis Syria sehingga kini masih belum selesai sejak peristiwa kanak-kanak yang diseksa polis itu berlaku. Rupa-rupanya Syria tidak menggemari penyelesaian masalah yang lebih lembut seperti yang dilakukan Ben Ali, Ia lebih suka pendekatan keras Gaddafi dalam menangani revolusi di negaranya itu. Sebenarnya banyak unsur-unsur yang terlibat dalam menyalakan api revolusi di Syria selain faktor utamanya iaitu tempias revolusi di negara-negara jirannya yang dikenali dengan nama 'Arab Spring'.

Aku tidak mahu mengulas isu Syria dari segi sejarah sama ada bermula dari era Bandar Ebla yang bermula lebih kurang 3000 tahun sebelum kelahiran Nabi Isa A.S atau ketika kegemilangan bangsa Assyria atau juga pada waktu ia dikenali sebagai Sham pada ketika Baginda Rasulullah S.A.W. berdagang barang-barang Siti Khadijah, kerana itu akan memakan muka surat yang berjela-jela.

Aku mahu membicarakan perkara-perkara yang menyumbang kepada perang dalaman yang berlaku di Syria pada masa ini. Bashar Al-Assad dilahirkan dalam persekitaran yang penuh dengan politik cara parti Ba'ath. Parti Ba'ath yang lama kelamaan menjadi seolah-olah satu fahaman ini juga yang dianuti dan disertai oleh Saddam Hussein. Ideologi Ba'ath adalah bertunjangkan semangat KEBANGSAAN Arab, bukan berasaskan Syariat Islam. Sejarah telah menunjukkan sesiapa yang menganut fahaman Ba'ath ini selalunya akan bertindak kejam terhadap penentang mereka sekalipun yang ditentang itu adalah ahli keluarga sendiri (lebih kurang macam Nazisme).

Jadi Bashar membesar dalam fahaman 'kekejaman adalah perlu untuk mewujudkan perasaan gerun rakyat kepada pemerintah' seperti yang diamalkan oleh parti bapanya. Pengunaan state of fear menjadi salah satu kaedah utama yang digunakan Parti Ba'ath untuk mengawal rakyat berbanding kaedah memenangi hati rakyat (winning heart), salah satu kejayaan kaedah yang digunapakai oleh Rejim Assad ini adalah tragedi Hama pada Februari 1982 yang telah berjaya menutup mulut rakyatnya atas kekejamannya itu, sehingga tiada seorang yang berani bangun melawannya. Bayangkan tragedi Hama itu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 10,000 rakyat Syria manakala menurut Pertubuhan Hak Asasi Syria menjangka 20,000 yang terbunuh.

Jadi semakin Assad membesar, fahaman Ba'ath semakin sebati dengan pemikiran beliau. Ideologinya diburukkan lagi dengan anutan Syiah Nusairiyahnya (lebih sesuai dipanggil agama) , yang sememangnya memusuhi golongan Sunni. Persaudaraan Syiah itu juga membuatkan Iran dan Hizbullah dengan mengenepikan nilai-nilai kemanusiaan memberi sokongan penuh dan jitu kepada tindakan kejam rejim Syria ke atas rakyatnya. Pentadbiran Assad ke atas Syria sendiri telah menunjukkan diskriminasi yang sangat ketara ke atas Muslim Sunni yang mencakupi 84% dari rakyat Syria. Hampir 84% dari susun-atur kepimpinan Bashar Assad dijawat oleh kaum keluarga mereka yang terdiri dari tiga keluarga besar. Diantara orang penting di sebalik pembunuhan beramai-ramai Hama itu didalangi oleh Jeneral Rifaat Al-Assad, adik kepada presiden Assad. 6% lagi kepimpinan Syria dipegang oleh kaum Ajam dan 10% lagi golongan agama selain Islam dan Syiah. TIADA langsung wakil kepimpinan dari kelompok Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Terdapat juga segelintir masyarakat Islam yang menyokong Syria atas alasan Barat sangat takut akan ancaman Syria dan sedang mencucuk jarum ke atas negara-negara Islam supaya bertelagah sesama sendiri dan ini melemahkan mereka, jadi kita mesti menyokong kerajaan Syria dalam menekan dan membunuh rakyatnya supaya Amerika dan Barat gagal menjatuhkan negara yang konon Islam itu. Alasan itu kurang tepat untuk isu ini (Syria), kerana hal ini lebih menjurus kepada isu jatuh bangun sebuah kekuasaan yang berusia hampir puluhan tahun tanpa bertukar dan isu ideologi.

Diantara bukti menunjukkan betapa assobiyah dan gila kuasanya rejim Assad ini, sehinggakan beberapa pemimpin Fatah ditahan tentera Assad di kem pelarian Palestin yang bersempadan dengan Syria kerana mengecam kekerasan Bashar Assad ke atas rakyatnya sendiri. Mereka sebenarnya tidak ambil kisah langsung apa yang terjadi kepada Palestin, malah terdapat beberapa laporan tidak rasmi yang mengatakan tentera Syria menceroboh khemah pelarian Palestin untuk menjejaki mereka yang mengecam tindakan kerajaan Syria. Malah kini mereka pergi lebih jauh dengan cuba bermain api dengan Turki pula.
Selain itu, ketebalan ideologi Syiah-Baathisme Bashar Assad ini juga telah diindoktrinisasikan secara intensif ke atas semua pihak berkuasa bersenjata Syria, terutamanya pihak tentera. Pengindoktrinasasiannya secara total fahaman Syiah dan Baathisme itu telah melahirkan ketumbukan pihak berkuasa yang sangat tidak berakhlak dan kejam. Hasilnya, maka kita dapat lihat banyak peristiwa-peristiwa yang merobek dan merogol akidah Umat Islam Sunni Syria!

Terdapat mereka-mereka yang ditahan Tentera Syria telah dipaksa mengucap dua kalimah syahadah yang telah diubahsuai dengan mengatakan Tiada Tuhan Yang Di Sembah Melainkan Basyar Assad! Jika enggan mereka akan disiksa atau dibunuh. Kita sebagai Umat Islam, merupakan satu keluarga yang besar! Tidakkah naluri kemanusiaan kita tersentuh melihat saudara-saudara se-Islam kita yang dilayan seperti anjing kurap oleh pemerintah mereka sendiri dan dirogol Akidahnya seperti kain-kain buruk yang dipijak-pijak!

Keganasan tentera-tentera Syria juga telah mengorbankan 19 orang doktor dan 40 pesakit di sebuah  Hospital di wilayah Dogma. Terdapat juga wanita-wanita yang diculik setelah dirogol didepan keluarga-keluarga mereka. Rabitah Ulama Syria yang diasaskan oleh Dr. Ali As-Sobuni dan Rabitah Ulama Sedunia telah memfatwakan kepada rakyat Syria agar mempertahankan rumah mereka dari keganasan Tentera Syria hatta walaupun sebilah pisau dengan berdalilkan hadis berikut:


“Barangsiapa terbunuh mempertahankan hartanya, maka dia syahid ; barangsiapa terbunuh mempertahankan ahli keluarganya, maka dia syahid; atau mempertahankan agamanya, maka dia syahid”

dikeluarkan oleh Abu Daud dalam Sunannya (2/275) An Nasaie dan Tirmidzi dan disahihkan oleh Imam Al-Baniy dan Ahmad (1652 dan 1653) dari jalan Said Bin Zaid dan sanadnya Shahih.

Jangan diharap PBB ataupun negara-negara kuasa besar akan menyelesaikan masalah di Syria. China dan Russia awal-awal lagi sudah memveto sebarang campur tangan luar ke atas Syria. Itu tidak menghairankan kerana Komunis dan Baathisme adalah adik beradik. Dengan alasan veto juga Amerika memutuskan untuk tidak masuk campur tangan dalam krisis Syria. Sebenarnya Amerika sendiri kurang berminat untuk menceroboh Syria kerana Syria sebenarnya adik beradik Israel. PBB atau United Nation, ini juga tidak boleh diharap. Lihat apa yang berlaku ketika krisis Bosnia Herzegovina dahulu, dimana bantuan-bantuan kritikal lewat tiba (atau sengaja dilewatkan kerana yang diserang adalah orang Islam).


 Dan akhirnya, kita tetap menyokong Bashar Assad atas alasan ini adalah konspirasi Barat untuk menjatuhkan negara Islam Syria (kononnya) dengan menghantar memorandum sokongan kepada Kerajaan Syria di kedutaannya, DAN kita membutakan mata kita terhadap kekejaman Kerajaan Syria ke atas rakyatnya yang hanya menuntut hak, maruah dan Akidah Islamiyah mereka yang telah dicabul hanya kerana mereka bukan penganut Syiah dan Baath! Yang pada asalnya mereka hanya menuntut mayat KANAK-KANAK yang telah ditangkap pihak berkuasa Syria kerana menconteng ayat 'rakyat mahu jatuhkan kerajaan' di dinding sekolah mereka. Ya, kita pandang mengikut kacamata teori-konspirasi dulu dari sudut pandang ilmu Wahyu.