Yaarghh!!! Detik Debar, sebuah novel ‘andai kata’. Andai
kata Presiden Amerika masuk Islam secara senyap-senyap tanpa diketahui oleh
orang-orang di sekelilingnya, apa akan
terjadi kepada dirinya dan dunia ini? Ya, gambaran ini telah dilakarkan oleh
Eyman Hykal dalam sambungan novelnya yang terdahulu, Meniti Maut! Usai
membacanya, barulah anda memahami apa yang ditestimonikan oleh Abang RAM.
Masih mengekalkan Fariz Zafar sebagai watak utama iaitu
seorang ejen perisik dari Biro Risikan Negara (BISIK). Setelah berjaya
menghalang agenda pemusnah ekonomi
Zionis (Economic Hitman) dalam Meniti Maut, dia kembali beraksi dalam konflik terbaru
yang dihadapi oleh Malaysia, iaitu komplot pembunuhan John Martinez oleh The
Group. The Group adalah sebuah kumpulan pelobi ZIonis yang sangat berpengaruh
di Amerika Syarikat. Ya, Presiden Amerika itu hendak dibunuh kerana mula
menunjukkan minatnya dalam sistem kewangan Islam yang tidak berasaskan riba
untuk menyelamatkan ekonomi negaranya
yang semakin merudum. Dan ini sangat-sangat tidak disenangi oleh The Group.
Ironinya, dalam masa yang sama ada satu lagi komplot untuk
membunuh John Martinez dari pihak militan Arab. Dan pentas konfliknya adalah di
bumi Malaysia ini, di mana John Martinez datang untuk menghadiri World Islamic Economy Forum yang dilangsungkan
di Putrajaya International Convention
Centre. Satu pihak hendak membunuh Presiden Amerika kerana Presiden itu
mula condong kepada Islam, manakala satu pihak lagi hendak membunuh Presiden
Amerika itu kerana banyak kekejaman yang telah dilakukan oleh mereka ke atas
umat Islam. Dua pihak yang berbeza, misi yang sama, satu sasaran.
Detik Debar bergerak di atas tiga jalur, jalur pertama kisah
dari pihak Presiden Amerika. Jalur kedua kisah dari pihak BISIK, dan jalur
ketiga adalah dari pihak Lasykar Jihad. Diantara tiga jalur ini ada satu lagi
benang yang terkait antara mereka, iaitu Jennifer Miles, seorang journalis World
Live Line yang keras kepala.
Sewaktu membaca babak Fariz menjalani latihan di Selatan
Thai, aku semacam dah tahu itu hanya latihan. Tekaanku tepat! Pada masa ini aku
teringat satu latihan yang dijalani oleh James Clayton (Collin Farell) dalam
filem debar-risik ‘The Recruit (2003)’. Aku suka twist yang ada didalam filem
ini. Tidak terfikir dek akal.
Cuma satu saja yang aku terasa sedikit kurang dalam Detik
Debar ini, iaitu rekabentuk kulitnya yang bagi aku sangatlah kurang menarik.
Kalau aku ni pensyarah seni visual, aku letak D. Aku jauh lebih suka rekabentuk
kulit Meniti Maut lagi. Tolonglah, mana boleh sebuah novel yang berkualiti ini
mempunyai rekabentuk yang sangat teruk! Tidak menggambarkan konsep novel itu
langsung!
Kesimpulannya, Detik Debar WAJIB disambar oleh mereka yang
dahagakan novel-novel berkonsep debar dan aksi berbahasa Melayu! Apa pula
selepas Detik Debar? GERAK GEMPAR ku hitung harinya!
(Nothing... is... what it seems.)
Walter
Burke, (The Recruit)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan