Ahad, 12 Ogos 2012
Takdir
Takdir. Apakah itu takdir? Novel Hilal Asyraf? Oh, bukan Takdir yang itu. Walaupun Takdir itu sangat menakjubkan, tetapi takdir yang hendak aku ceritakan ini adalah dari sudut pemahaman aku sebagai manusia jahil terhadap apa itu Takdir. Hmm.. sudah lama rasanya label Cetusan Neuron aku ini kontang dari sebarang entri. Baik, saya akan menyuburkannya kembali dengan entri Takdir ini.
Sebenarnya saya teringin sangat mahu mengulas Takdir Hilal Asyraf itu, tetapi masih belum kecukupan masa untuk itu lantaran mehnah hidup yang seringkali melintang di hadapan yang sekaligus membantutkan kekreatifan aku dalam mencoretkan sewarkah cetusan tentangnya. Begitu juga dengan Duyung Pulau Kenchana, maaf ya saudara Masdaliafadzlie. Warkah Duyung akan dihampar tidak lama lagi. Walauapapun, Cempaka Suri tetap di hati.. Echeeeh.. Tetapi, mahkotanya seperti dicabar pula oleh Dahlia Desa. Oh, mana satu pilihanku ini?
Takdir menurut pemahaman aku adalah satu kewujudan ketentuan nasib yang telah dirangka rapi oleh Allah S.W.T untuk kita. Untuk apa pula takdir itu diwujudkan? Ia diwujudkan untuk menjadikan dunia ini lebih bewarna-warni. Jangan disalah faham pula maksud warna-warni itu di sini. Yang dimaksudkan Takdir itu menjadikan dunia bewarna-warni ialah, ia membolehkan kita mendapat pahala dari ketentuan Takdir yang telah ditakdirkan oleh Allah terhadap kita. Contoh, Takdir telah menjadikan Abdul Rahman Bin Auf seorang manusia yang kaya, maka dia dapat berbuat banyak pahala dengan berbuat kebajikan kepada manusia-manusia yang telah ditakdirkan miskin. Manusia miskin juga dapat pahala dengan takdirnya apabila dia bersifat sabar dan redha dengan kemiskinannya.
Jadi Takdir diwujudkan oleh Allah untuk kebaikkan manusia juga. Jadi hendaklah kita redha dengan Takdir yang telah ditetapkan oleh Allah itu walaupun kita tidak menyukainya. Jika dibincangkan tentang Takdir, ia akan mesti bersangkutan dengan soal Qada' dan Qadar. Eh, Takdir tu Qada' dan Qadar la kan?
Pengalaman telah banyak mendedahkan aku tentang betapa berkuasanya kuasa Takdir ini. Sebagai contoh, semasa bersekolah rendah dahulu aku ada seorang kenalan yang muda setahun dari aku. Memang aku tidak rapat dengan beliau dan beliau juga tidak rapat dengan aku. Sekadar bertegur sapa gitu-gitu sahaja. Walaupun bersekolah menengah di sekolah yang sama, masih juga buat-buat tak gheti (cakap Kedah sikit no).
Namun siapa sangka apabila aku mula menjejakkan kaki ke alam pekerjaan, aku tinggal di rumah sewa sekali dengan beliau di satu negeri yang jauh dari kampung kami. Dan tiba-tiba sahaja jadi kamceng semacam. Malahan aku siap menolong beliau dalam urusan mencari jodoh lagi, dan berjaya pulak tu??!
Sewaktu di sekolah rendah dulu juga aku mempunyai dua-tiga orang sahabat yang rapat. Sangat rapat sehingga aku sudah biasa tidur di rumah mereka dan mereka tidur di rumah aku. Namun, semakin diriku beranjak dewasa, semakin renggang pula hubungan dengan mereka itu sehingga satu tahap menjadi agak janggal untuk bersembang dengan mereka.
Takdir juga telah melahirkan aku dalam sebuah keluarga yang serba kekurangan dan juga menghadiahkan aku seorang ayah yang sangat garang. Kanak-kanak mana yang tidak terngiur melihat rakan-rakan yang berada mempunyai peralatan-peralatan permainan yang canggih-canggih dan mahal. Kehidupan yang serba kekurangan ini juga membuatkan masakan sedap-sedap yang kami makan itu sangat boleh dihitung dengan jari sahaja dalam setahun.
Tetapi ada sebab Allah S.W.T telah memberi aku Takdir yang sebegitu. Sinaran hikmahnya terbias ke mata aku apabila baligh mula dicapai umur. Ayah yang garang itu telah berjaya menyebabkan aku mengkhatam Al-Quran dengan bertajwid sewaktu aku darjah tiga. Pada masa itu, aku tidak rasa apa-apa pun. Namun difikir-fikir balik, itu satu perkara yang luar biasa bagi aku. Kehidupan serba kekurangan ini juga menyebabkan semua makanan yang masuk ke dalam perut aku aku adalah dari sumber yang bersih dan sihat kerana ibuku sendiri yang memasaknya. Ibu dan bapa aku cukup pantang aku makan makanan ringan dan air gas. Cuma dah besar-besar ni baru nak rasa. Takdir serba kekurangan ini juga menyebabkan idea kreatif aku menjadi lebih berkembang. Seingat aku, sewaktu umur aku darjah dua aku sudah memaku dan menggergaji.
Selain itu Takdir juga telah banyak menemukan aku dengan manusia-manusia yang pada ketika dahulu aku tidak bermimpi langsung untuk berjumpa dan bersembang dengan mereka.
Anda lihat! Kuasa Takdir itu sangat besar!! Ia sangat besar! Jika anda merancang hendak balik ke kampung pada Aidilfiri kali ini dengan membeli tiket bas pada tarikh 16/8/2012 ini, anda tidak akan dapat balik jika Takdir menyuruh anda beraya di kampus anda.
Takdir juga menjadikan kita hensem atau cun. Takdir juga menjadikan kita tak hensem atau tak cun. Takdir menjadikan kita kuat, takdir menjadikan kita lemah. Takdir menjadikan kita pemimpin, Takdir juga menjadikan kita hamba. Kuasa Takdir itu besar! Jangan anda tahu anda itu tak hensem (aku la tu), tapi anda cuba berlagak hensem. Hodoh jadinya. Anda tak hensem, buat cara tak hensem. Jangan buat perangai yang menambah lagi ketidak-henseman anda itu. Sebagai contoh anda tak hensem, anda jangan pergi mencuri, melepak tak tentu hala, mengorat tak tentu hala, malas bekerja, hodoh kelaku! (perangai bahasa Kedah) Perangai-perangai ini akan menjadikan ketidak-henseman anda itu menjadi lebih buruk.
Anda tak hensem, anda hiaskan ketidak-henseman anda itu dengan akhlak yang baik, sifat-sifat mahmudah. Banyakkan amal ibadat. Sesungguhnya orang yang tak hensem yang ikhlas dan redha dengan Takdirnya itu lebih hensem di sisi Allah S.W.T berbanding lelaki hensem yang playboy.
Bebalik ke tajuk utama, Takdir juga berupaya untuk menjadikan seorang manusia yang paling jahat dalam dunia itu menjadi seorang hamba Allah yang paling dicintai-NYA. Takdir juga berupaya merubah seorang yang muslim yang warak menjadi alpa, ingat kisah Tsa'labah?
Anda lihat! Kuasa Takdir itu sangat besar! Ia sangat besar!! Jadi kenapa kita tidak gunakan kuasa Takdir yang besar ini untuk kebaikkan diri kita? Untuk kebaikkan keluarga kita? Untuk kebaikkan sahabat-sahabat kita. Adakah kita boleh memanipulasi kuasa Takdir? YA! Kita boleh! Bagaimana?
Sebagai contoh, anda membeli rumah dari satu pemaju. Sewaktu anda melihat-lihat rumah yang hendak disiapkan itu, anda ada idea untuk mengubahsuai sedikit rumah tersebut. Anda tidak ada kuasa untuk merubah rumah itu, tetapi anda ada kuasa untuk mengusulkan permohonan kepada pemaju. Pemaju mempunyai kuasa untuk mengubahsuai rumah itu.
Sama juga dengan merubah Takdir, kita tidak berkuasa merubah Takdir, tetapi kita berupaya untuk berdoa! Berdoa itukan senjata kita? Jadi bermohonlah kepada Allah agar dikurniakan Takdir yang terbaik untuk diri kita, untuk ibu bapa kita, untuk sahabat-sahabat kita, dan seluruh umat Islam sedunia. sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan