Rabu, 14 Julai 2010

Iris



Apa khabar semua? Nampaknya sudah agak lama aku menyepikan diri dari dunia perblogan. Sebenarnya aku sangat teruja apabila keputusan peperiksaan yang aku terima bagi semester yang baru lepas ini sangat-sangat mengembirakan hati aku. Sepanjang cuti sem yang baru lepas ini aku tak senang duduk mengenangkan bagaimanakah keputusan peperiksaan yang bakal akan aku terima. Maklumlah, semester terakhir pengajian, debarannya lain macam. Hari-hari aku terasa sangat merimaskan selagi tidak menerima keputusannya. Terutamanya salah satu mata pelajaran yang di mana aku terpaksa menjawab dalam keadaan seperti berada di kutub utara (sila baca entri Penyaman Udara).
Akhirnya Alhamdulillah. Syukur kepada Allah SWT, Dengan Rahmat Yang Maha Esa, aku berjaya untuk lulus semua mata pelajaran dengan hpng yang baik (baik bagi pendapat aku la). Terima Kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada kedua-dua ibu bapa aku yang telah banyak berjasa dan menolong aku dari aku lahir ke dunia ini sehinggalah sekarang. Berbanyak Terima Kasih juga diucapkan kepada para pensyarahku yang telah bertungkus-lumus untuk memastikan aku memahami apa yang diajar oleh mereka walaupun pada hakikatnya pada masa itu satu habuk pun aku tak faham! Terima kasih kerana banyak memberi pendapat dan dorongan bagi aku untuk meneruskan pengajian. Terima kasih juga diucapkan kepada rakan-rakanku yang sanggup bersusah-payah dan tidak berkira dengan aku (sehinggakan sanggup bersama-sama memetik cempedak dan pisang tanduk di kawasan perpustakaan pada tengah-tengah malam buta dan memetik buah kelapa yang berdekatan dengan pondok pengawal secara sembunyi-sembunyi pada pukul tiga pagi, sebelum ditangkap pengawal). Terutamanya Luqman, Naqib, Muhammad, dan Syahmi. Kenangan suka dan duka kita, tidak akan aku lupakan.



Eh,eh. Tajuknya lain, isinya lain. Sebenarnya di atas itu adalah mukadimah saja. Sekarang baru aku mahu mengulas mengenai drama Korea yang nampak macam best nih dan memang best pun. Tidak ada perkataan yang sesuai untuk aku labelkan kepada drama ini, melainkan empat ibu jari naik dan 4 bintang. Iris mengisahkan Hyun Jun (Lee Byung-Hyun) dan Sa Woo (Jung Joon-ho), dua rakan baik seperti adik beradik kandung menyertai National Security Service (NSS). Sebuah pertubuhan rahsia kerajaan Korea Selatan yang bertanggungjawab menjaga hal-ehwal keselamatan segala aktiviti-aktiviti yang melibatkan nuklear di negara itu disamping bertindak sebagai agensi perisik negara.

Kim Hyun Jun dan Sa Woo menyertai NSS kerana meminati Seung Hee (Kim Tae-hee), seorang agen wanita NSS merangkap ketua mereka juga. Pergolakan bermula apabila Hyun Jun ditugaskan untuk melaksanakan satu misi sulit secara berseorangan untuk membunuh seorang ahli politik Korea Utara yang akan mengadakan satu majlis di Hungary. Misinya berjaya, tetapi dia telah tercedera ketika melaksanakan tugas. Hyun Jun meminta bantuan dari pihak NSS bagi melepaskan diri dari buruan perisik-perisik Korea Utara yang diketuai oleh Park Cheol-young (Kim Seung-woo) , yang dilabelkan oleh pihak NSS sebagai perisik Korea Utara terbaik di antara terbaik. Hyun Jun tergamam apabila Baek-San iaitu ketua NSS yang telah menyerahkan tugas itu kepadanya sendiri tidak mahu menghantar bantuan kerana alasan risikonya terlalu besar.

Hyun Jun bertambah sakit hati lagi apabila rakan baiknya yang telah dianggap seperti adik kandung sendiri iaitu Sa Woo mahu membunuhnya atas arahan Baek-San. Di situ bermulalah satu kisah konspirasi yang melibatkan lima buah negara (Korea Selatan, Korea Utara, Hungary, Jepun, China) di mana ia penuh dengan pergolakan emosi serta sarat dengan aksi-aksi yang mendebarkan. Sememangnya drama ini sebuah drama yang dibuat dengan bersungguh-sungguh dan penuh komitmen, Drama ini memang mengajar kita berfikir dengan pantas dalam situasi tegang seperti trilogy Bourne dan filem Shooter. bukan seperti Lima Jingga ataupun Kami ya tuan-tuan dan puan-puan.



Iris boleh dikatakan seperti gabungan beberapa filem aksi Korea dan Hollywood yang digabungkan dengan perencah drama tangkap leleh Korea tetapi ia disirikan, bukannya dipawagamkan. Aku nampak dengan agak jelas beberapa plot dari filem aksi Korea Shiri, Typhoon dan Seoul. Juga trilogy Bourne serta Shooter. Tetapi yang aku pasti, situasi yang Hyun Jun alami adalah lebih menggetarkan jiwa dan menekan berbanding apa yang Bourne alami. Sangatlah tertekan apabila diri dibuang setelah habis madu, kekasih pula meletup depan mata, diburu pula oleh Korea Utara, Korea Selatan, Jepun, dan sebuah organisasi rahsia (ala-ala illuminati). Dan dia menghadapi semuanya secara berseorangan tanpa sebarang sokongan dari belakang.

Yang Negatif

Aku nak tulis ni pun masih sakit hati lagi. Bukannya cerita dia, tapi syarikat penerbit dvd ini. Di sini aku nak ambil kesempatan untuk mengirim salam bom nuklear kepada syarikat yang menerbitkan dvd ini. Aku rasa macam nak bakar saja syarikat ini. Ada pulak tengah sedap-sedap layan, sarikata dia jadi merepek. Ini terjadi kepada episod lebih kurang 11,12 sampai habis. Sebelum tu ok saja, tiada masalah. Lepas tu dia jadi merepek, sarikatanya seperti seorang yang berbangsa Cina mengalihkan bahasa Korea ke dalam Bahasa Inggeris melalui terjemahan bulat-bulat melalui kamus tanpa mengambil kira tatabahasa Korea mahupun Inggeris. ##### sungguh!
Ia tidak terhenti setakat itu, aku diuji lagi dengan dua episod terakhir siri itu. Episod-episod ini mempunyai kualiti gambar dan bunyi yang tiba-tiba saja merosot TERUK!! Kemudian aku diuji lagi, Episod-episod tu pula dipotong-potong supaya cepat habis!! Aku ingat kualiti gambar itu teruk setelah episod itu ditukar ke format lain untuk senang dipotong melalui perisian suntingan video, Windows Movie Maker barangkali. Sakitnya hati aku!! WArgghhhwawareryhtrghsjrela##@!!
Tu pasallah banyak pengguna hanya memuat turun saja filem-filem dan drama dari internet. Terutamanya yang fansub. Kualiti gambar, audio, dan sarikatanya jauh lebih berkualiti dari versi yang halal (berlesen). Bila orang muat turun dari internet, bising-bising sebab mereka rugi. Tapi apa yang sendiri buat, tersangatlah teruk kualitinya!! Tetapi tidak semua. Banyak juga yang cantik. Nasiblah tu.
Yang Suka

Aku suka watak Kim Seon-hwa (Kim So-yeon). Dia merupakan salah seorang dari perisik Korea Utara yang ditugaskan untuk memburu Hyun Jun setelah Hyun Jun membunuh ahli politik Korea Utara. Perwatakannya pelakonnya sangat sesuai dengan watak yang di bawanya. Mungkin ramai yang lebih meminati Kim Tae-hee, kerana cun kata mereka. Tapi aku lebih suka Kim So-yeon.



Apa yang pasti, Iris merupakan sebuah drama yang agresif, pro-aktif, cekal, tabah, berfikiran pantas, kreatif dan dalam masa yang sama sangat beremosi. Encik Eyman, kalau Encik Eyman belum menonton siri ini, saya mencadangkan Iris untuk Encik Eyman. Manalah tahu Encik Eyman, kot-kot Encik Eyman dapat ilham untuk novel-novel Encik Eyman yang seterusnya. Saya pasti Encik Eyman akan menggemari drama ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan