Isnin, 20 Disember 2010

Satu hari, Tiga Majlis, Tiga Emosi




Yarghh! Dua hari lepas telah membina satu cebisan peristiwa yang sesuai untuk disusun di rak peti ingatan aku pada peringkat emas, paling diingati. Satu kenangan yang tidak akan luput ditelan esok, Insya Allah.


Apakah peristiwa itu? Satu hari yang diisi dengan tiga buah majlis perkahwinan yang berstatus wajib untuk aku hadiri. Tiga buah majlis perkahwinan yang menghadirkan limpah perasaan yang berbeza antara satu sama lain. Kita pergi ke majlis yang pertama:

Majlis perkahwinan yang pertama aku hadiri pada awal pagi ialah majlis perkahwinan seorang sahabat yang telah kukenali sejak dari darjah satu sehingga sekarang. Beliau seorang lelaki dan aku amat rapat dengannya, malah hubungan diantara keluarga kami juga rapat. Segala macam suka duka sudah ditempuhi bersama. Rasanya tak payahlah aku senaraikan suka dan duka itu kerana ia akan memakan mukasurat yang berkajang-kajang.

Pada mula perkenalan sewaktu darjah satu dahulu, kami berada tahap yang sama, tetapi sekarang jauh beza tahapnya dengan aku. Seorang yang berpendidikan tinggi, sudah berkerjaya lagi. Mempunyai kereta baru yang masih mempunyai bau kedai yang dibeli dengan duit sendiri, dan kerjayanya juga bukanlah calang-calang kerana beliau seorang pakar programmer komputer. Berbanding aku, seorang graduan segar yang tidak mempunyai sesen fulus pun di dalam poket serta seorang penanam anggur yang berjaya. Huh! Beli motor terpakai pun kena hutang kat mak.

Beliau sebaya dengan aku. Aku sangat-sangat gembira di atas perkahwinannya, Huh! Siapa tidak gembira sahabat karib kahwin. Dalam masa yang sama juga ada perasaan kelakar sedang menggeletek hatiku, kerana apa? Membandingkan saat nakal dahulu bersama-sama beliau dengan keadaan beliau sekarang, macam tidak percaya! Cepat sungguh masa berlalu. Ada juga perasaan sedih bermain di hati mengenangkan yang pola perhubungan kami sudah tentu tidak seperti dahulu lantaran dia sudah mempunyai tanggungjawab baru. Selesai sahaja melahap dua pinggan hidangan kenduri yang sangat sedap itu, aku bersama-sama dengan keluargaku yang tercinta terus berangkat menuju ke destinasi seterusnya.


Majlis yang kedua ini juga adalah majlis perkahwinan seorang rakan sekolah, sekali dengan sahabat yang diatas tadi. Muda setahun dari aku. Seorang perempuan. Majlis inilah yang rasanya paling ganas menyentuh emosi aku. Adakah kerana dia sahabat karibku seperti yang diatas? Oh tidak, malah aku tidak pernah sembang sepatah perkataan pun dengannya sehingga sekarang. Dia adalah seorang insan yang aku admire sejak pandang pertama di sekolah rendah sehinggalah SEKARANG. Seorang wanita yang lengkap dengan pakej wanita idaman. Seorang yang sangat cantik, berakhlak mulia, anak kepada seorang ahli perniagaan berjaya yang kaya-raya, kegemaran guru-guru di sekolah akibat budi pekerti yang baik, pintar, berketurunan mulia, dan mempunyai nama yang sedap. Panggil nama panjang pun sedap, panggil nama pendek pun sedap.

Sebelum menghadiri majlis perkahwinannya, aku masih berfikir-fikir adakah aku perlu menjejakkan kaki ke majlisnya jika kehadiran aku itu bakal menghiris hatiku yang sudah berdarah tatkala dimaklumkan berita perkahwinannya beberapa minggu sebelum itu. Tetapi apakan daya, aku tidak berupaya untuk menolak dari menghadiri majlisnya kerana beliau dengan ibuku memang rapat. Ibu serta bapaku merupakan gurunya di sekolah dahulu, juga guru kepada kakaknya, guru kepada adik-adiknya juga. Nanti aku tidak pergi apa pula alasan aku nak beri kepada ibuku? Alasan tidak mahu pergi kerana aku kecewa insan yang aku admire kahwin? Huh! Malu aku pulak nanti. Tidak ada alasan untuk aku menolak kerana aku terpaksa juga pergi ke kenduri sahabat karib aku yang awal tadi sebelum menghadiri majlisnya pula.

Maka akhirnya, terpaksalah juga aku menggagahkan kaki aku menghadiri majlisnya dengan perasaan yang sedikit sakit, pedih dan cemburu (sedikit ke?). Apatah lagi bersalam dengan suaminya pula. Huh..! (dan aku beramah mesra la dengan suaminya dengan hati yang pedih).Tetapi melihat dia bersama suaminya, aku terpaksa akur dan mengakui, mereka memang sekufu. Suaminya kacak dan bergaya, nampak seperti budak baik yang beragama dan kaya, sesuai sangatlah dengan dia.. Memang aku tidak setanding dengan dialah.. Jika difikir-fikir balik, memang aku tidak secocok langsung dengannya. Memang tidak sekufu dari semua sudut... Biarlah.. itu jodohnya.. Jodoh yang baik adalah untuk manusia yang baik (ayat sedapkkan hati).

Walaubagaimana banyak madah yang aku cipta untuk cuba sedapkan hati, aku tetap manusia biasa juga. Aku tetap menghirup laicikang yang dihidang di dalam majlis itu dengan perasaan yang terluka. Melihat laicikang didalam mangkuk itu seolah-olah melihat air mata aku sendiri. Luka yang terluka itu terus terluka apabila melihat dia tersenyum manis melayan tetamu-tetamu yang datang bersama-sama suaminya yang tercinta.. Huh! Kontra betul perasaan yang aku alami pada majlis ini dengan majlis perkahwinan kawan karib aku yang di atas tadi. Nak tulis pos ni pun masih rasa sedih. Sedih-sedih, memang sedih, tetapi laicikang kat situ aku bedal bermangkuk jugak la.. Free food is always delicious.

Okay kita lupakan majlis yang pedih-sedih ini. Kita ke majlis perkahwinan yang ketiga pula. Majlis ini merupakan majlis perkahwinan anak kepada sahabat ayah serta ibuku. Cuma ombak emosi pada kenduri ini tidak sehebat badai emosi seperti dua majlis perkahwinan diatas. Cuba anda bayangkan, anda menghadiri majlis kahwin seseorang di mana tuan rumah itu anda sangat kenal dan selalu berjumpa dan tiba-tiba pada hari majlis itu anda berjumpa senior anda di U dahulu yang anda kurang gemar dan beliau merupakan anak kepada tuan rumah. Memang terkejut dan rasa pelik. Rasa macam tidak percaya, Inceptionkah ini? aku beberapa kali memandang ke arahnya supaya tidak tersilap pandang, tetapi aku rasa penglihatan aku masih baik dan aku yakin dengan apa yang aku lihat. Tidak sangka seniorku di U ini merupakan anak kepada kenalan ayah aku. Kelakar dan perasaan pelik bercampur aduk ketika menghadapi situasi ini. Walaubagaimanapun, pergolakan emosi akibat dari majlis perkahwinan insan yang aku admire itu cepat meredakan keterkejutan aku pada majlis yang ketiga ini.

Kesimpulannya, kita sememangnya tidak dapat mengawal peristiwa-peristiwa sebegini dari berlaku ke atas diri kita. Semuanya takdir yang telah ditetapkan ke atas kita oleh Allah S.W.T. Cuma yang kita mampu hanyalah berdoa ke hadrat Illahi supaya menetapkan takdir yang terbaik untuk kita dan jauhkan dari takdir yang buruk. Ya, semestinya ada hikmah perkara-perkara ini berlaku. Kita tidak tahu peristiwa-peristiwa buruk yang menimpa ke atas kita itu mungkin adalah takdir terbaik untuk kita dari Allah S.W.T. Dan adakah kita yakin peristiwa yang kita sangkakan baik yang menimpa ke atas kita itu adalah takdir yang terbaik dari Allah S.W.T?

Fasa Vakum

Apa itu fasa vakum? Fasa vakum adalah satu fasa di mana anda tidak melakukan apa-apa atau mempunyai sesuatu tanggungan atau kerja yang dipertanggungjawabkan di dalam satu tempoh. Anda berada pada mod neutral, bukan pada mod sibuk,atau mod stand by.

Diantara fasa vakum yang agak panjang yang bakal dialami oleh warga Malaysia yang standard ialah jangkamasa selepas SPM, satu tempoh dimana anda sudah tidak ada apa hendak dibuat, status pelajar sekolah sudah dilucutkan. Neutral, tiada apa-apa jawatan dan tanggungjawab (tidak termasuk tanggungjawab kepada agama dan ibubapa). Pada fasa inilah anda mengambil masa untuk merancang perjalanan hidup anda yang seterusnya sama ada menyambung pelajaran ke peringkat tinggi atau terus menceburi alam pekerjaan. Individu-individu pada fasa vakum ini tidak terikat kepada sistem hidup standard yang diluar sana. Tiada sistem hidup sebagai seorang pelajar, tidak juga sistem hidup orang-orang yang bekerja. Fasa vakum ini akan memberikan ruang dan masa untuk individu-individu ini memilih cara hidup yang tersendiri, tiada keterpaksaan. Sama ada memilih sistem hidup seorang abid yang mengisi masa senggang pada fasa vakum ini dengan aktiviti ibadah, ataupun memilih sistem hidup sebagai seorang samseng jalanan yang menyusahkan orang ramai. Tempoh fasa vakum lepas SPM ini selalunya selama empat bulan.

Jika anda memilih untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi, ini bermakna anda bakal menempuhi satu lagi fasa vakum, iaitu ruang masa disaat anda sudah disahkan sebagai graduan dengan masa disaat mulanya alam kerjaya anda. Tidak ada bezanya fasa vakum pasca-U ini dengan fasa vakum pasca SPM. Cuma fasa vakum pasca-U ni mungkin menjadikan anda berasa sangat malas untuk bergerak, dengan alasan, sekaranglah masa untuk bermalas-malasan sebelum sibuk di alam kerjaya nanti atau inilah masa untuk bermalas-malasan selepas berhempas-pulas dengan pelbagai tugasan-tugasan ketika di U dahulu.

Ya! Fasa vakum pasca-U ini benar-benar menjadikan aku seorang yang kurang produktif. Begitu memberatkan badan. Rutin harian lebih kurang sama saja. Bangun tidoq, makan, tolong sidai pakaian, layan movie, main PS2, makan, tidoq, angkat pakaian kat ampaian, main PS2, makan malam, pergi CyberCafe main CoD, balik tidoq (Hei, aku tak tinggal solatlah). Ingin juga menyertai aktiviti yang boleh mengeluarkan peluh seperti bermain tenis atau badminton tetapi malang, boleh dikatakan semua rakan-rakan yang boleh diajak untuk aktiviti-aktiviti sebegitu sebelum ini sudah tiada lagi disini. Semuanya sudah bekerja di luar Kedah dan kebanyakkan rakan-rakan sepermainan dan bual bicara ini sudah bertukar status hidup mereka, berkahwin. Tinggalah aku yang bujang ni sorang-sorang di Alor Setar. Bila mengimbas kembali saat-saat kenangan bersama rakan-rakan sepermainan dan sesekolah dulu, benar-benar sedih. Sedih kerana ia tidak akan berulang semula. Tinggalah ia menjadi sisa-sisa dan cebisan-cebisan emas didalam peti ingatanku.

Satu lagi aktiviti tambahan jika bila fasa vakum anda selari dengan cuti panjang sekolah iaitu kenduri kahwin (yang ini aku suka). Apa yang membuatkan aku suka sangat menghadiri kenduri kahwin ni? Bukan pasal makan sangat pun, sebenarnya aku ni jenis manusia yang akan automatik gembira jika melihat orang lain gembira dan bahagia. Jadi dengan menghadiri kenduri kahwin ni, aku dapat melihat kebahagiaan sang pengantin itu, jadi secara automatik ia dapat menggembirakan hati aku yang kadang-kadang dilanda ribut badai. Selain orang kahwin, kanak-kanak juga boleh menghiburkan hati aku. Dengan hanya duduk dan melihat mereka bermain dengan riang sambil makan ais krim benar-benar boleh menghilangkan tekanan aku. Satu lagi aktiviti yang boleh menghilangkan stress, aku suka makan ais krim atau apa-apa makanan ringan yang manis di ruang tamu sambil membuka pintu rumah seluasnya melihat pepohon hijau, ditemani pula lagu-lagu instrumental dan ambient, pergh! Memang mahsyuk! Keduanya, dengan menghadiri kenduri kahwin aku akan dapat bersosial dengan cara yang sihat. Pada saat inilah aku dapat bertemu dengan kenalan-kenalan yang sudah lama tidak jumpa, dan juga kenalan-kenalan yang dah jemu berjumpa sebab selalu sangat berjumpa.

Aku pernah mambaca satu artikel di sebuah akhbar tidak lama dulu, analisis yang dilakukan oleh beberapa orang pengkaji menunjukkan bahawa cuti yang terlalu lama atau tempoh rehat yang lama boleh menyebabkan daya fikir dan daya analisis kita menurun. Kalau tidak silap, cuti lama yang dikatakan itu lebih kurang seminggu lebih sahaja. Difikir-fikir balik, ada benarnya juga. Ketika fasa vakum ini aku lebih suka mencari aktiviti yang melibatkan proses penerimaan sahaja, seperti bermain game dan layan filem atau drama. Kurang melakukan aktiviti yang lebih bersifat mengkaji atau memberi (output) seperti menulis. Jumlah pos blog pada fasa vakum ini lebih kurang dari jumlah blog yang dipos ketika sibuk dengan tugasan-tugasan di U dulu. Mengapa ha? Lagi banyak masa kosong, lagi kurang produktif rasanya berbanding ketika sibuk.

Kerja sementara? Bukan aku tidak mahu mencari kerja sementara. Sudah dicari. “Kami hanya mahu wanita sahaja, jawatan kosong wanita 18-25 tahun, perempuan sahaja yang kami cari” Itulah diantara komen-komen yang diterima aku hampir setiap kali memohon kerja kosong di Alor Setar ni. Aarghh!! Apa, muka aku ni muka perompak ke? Aduss… Bengang-bengang balik rumah layan PS2 la jawabnya.

Walaubagaimana hampeh fasa vakum aku ni, hanya ada satu aktiviti yang membuatkan fasa vakum yang aku jalani ini sedikit bermakna, aku mempunyai banyak masa untuk menuntut ilmu dari ulama-ulama nusantara yang giat membangunkan ummah di Kedah Darul Aman ini. Sewaktu menghadiri satu majlis ilmu bersama Syeikh Nuruddin Al Banjari Al Makki, beliau ada memaklumkan bahawa beliau mahu membuka pondoknya di Bukit Pinang, daerah Pokok Sena Kedah. Tidaklah jauh sangat dengan Alor Setar ni. Kalau projek itu berjaya, Insya Allah maka bertambah barakahlah bumi Kedah ini dengan kelahiran ulama-ulama yang bakal dididik oleh Syeikh Nuruddin ini. Kadang-kadang aku terfikir, adakah aku akan berkesempatan menghadiri majlis-majlis ilmu ini apabila mula menjejakkan kaki ke alam kerja? Minta-minta janganlah kerja menghalang aku dari berdampingan dengan para ulama ini.

Alhamdulillah..! Akhirnya aku berjaya melepasi ujian terakhir untuk lesen memandu kereta dengan JPJ. Pada mulanya gementar juga melihat kemasaman wajah penguji JPJ yang lebih masam dari mangga muda tu. Hahaha… Akhirnya… Huh.. Sampai sekarang aku macam tak percaya yang aku dah lulus. Betulkah aku sudah lulus? Mimpikah aku? Adakah minda aku sedang digodam oleh Leonardo De Caprio (tonton Inception).

Selasa, 14 Disember 2010

Inception



Christoper Nolan sekali lagi membuatkan para peminatnya melopong mulut dan urat-urat otak berselirat dengan filem terbarunya, Inception. Inception mengisahkan bagaimana Cobb (Leonardo Di Caprio) menjalankan tugasnya sebagai perisik korporat (mungkin juga seorang pencuri idea) dengan menjejak subjek yang dicarinya dengan menggunakan minda bawah sedar seseorang mangsa.

Inception mula membahang pada saat Cobb mula menerima tawaran Saito (Ken Watanabe) untuk menanam idea kepada seteru perniagaannya Fischer (Cillian Murphy, beliau memegang watak Scare Crow dalam Batman versi Christoper Nolan). Idea yang jika berjaya ditanam didalam minda bawah sedar James, ia bakal menghasilkan kesan yang besar kepada empayar korporat yang bakal diwarisi dari ayahnya itu.

Walaubagaimanapun, kita merancang tetapi Allah jua yang menentukannya. Plan rapi yang disusun oleh Cobb dan ahli kumpulannya tidak berjalan seperti yang dirancangkan kerana subjek-subjek bayangan didalam minda bawah sedar Fischer tidak seperti yang mereka jangkakan. Subjek-subjek bayangan didalam mindanya telah dilatih untuk mempertahankan dimensi bawah sedar itu dari diceroboh. Maka bermulalah segala aksi-aksi yang tidak terjangkakan didalam peperangan minda untuk menanam idea didalam minda Fisher sambil berhadapan dengan subjek-subjek bayangan Ficsher yang bertungkus-lumus mempertahankan dimensi minda tuan mereka.

Menonton Inception membuatkan mulutku tidak henti-henti menyebut ‘Pergh! Wow! Gila ke hapa Christoper Nolan boleh buat filem camni’ dan berbagai lagi. Inception telah memberi nafas baru dalam filem genre debar dan aksi. Jalan ceritanya memang di luar kotak, kita tidak pernah terfikirkan. Dari segi sinemotografi dan kesan bunyinya memang terbaik. Manakala kesan khasnya bersih, tidak nampak sedikit pun cacat cela (setakat yang aku nampak la..).

Pemilihan pelakon-pelakonnya juga sangat sesuai dengan watak. Aku suka dengan lakonan Leonardo Di Caprio didalam filem ini. Sebenarnya aku bukanlah minat sangat Leonardo ni, tetapi aku mula menggemari lakonannya disaat menonton filem Blood Diamond, sebuah filem mengenai perebutan wilayah permata di negara Sierra Leone. Blood Diamond benar-benar menonjolkan kematangan lakonan Leonardo. Cuma didalam filem Body Of Lies, yang aku tidak suka itu bukan lakonannya, tetapi keseluruhan produksi filem tersebut.


Lagi satu, banyak visual-visual didalam Inception sangat cantik, seolah-olah gambar seni yang bergerak. Kiranya jika anda mahu membikin klip video trance versi fanmade, bolehlah anda mengambil gambar-gambar visual didalam Inception.



Kesimpulannya, aku memberi empat bintang kepada filem ini. Lengkap dengan segala-gala yang diperlukan oleh sebuah filem debar aksi fantasi unik yang terbaik. Pastikan anda tidak terlelap barang sesaat ketika menonton filem ini kerana sesaat yang anda lelap itu boleh membuatkan anda tidak faham keseluruhan cerita. Setiap babak ada sangkut-paut diantara satu sama lain.

Undisputed 3





Anda suka menumbuk orang? Anda suka menendang orang? Anda suka darah? Ini memang filem untuk anda. Undisputed 3 sememangnya sebuah filem yang benar-benar menjadikan aku bersemangat waja untuk memilik badan yang sasa dan mempertajamkan kemahiran silat aku (Selepas beberapa minit selesai menonton, perasaan malas mula menyerang diri).

Undisputed 3 merupakan kesinambungan kepada Undisputed 2 yang diterajui oleh Scott Adkin dan Michael Jai White. Di dalam Undisputed 2 Scott Adkin memainkan watak antagonis yang bernama Yuri Boyka, seorang banduan Russia. Boyka merupakan jaguh di dalam pertandingan tempur-bebas haram yang diadakan di sebuah penjara di Russia. Kejaguhan Boyka menyebabkan Gaga, seorang mafia Russia sering mengalami kerugian di atas wang yang dipertaruhkan ke atas orang-orang yang dipertandingkan untuk menundukkan Boyka. Gaga juga mempunyai pengaruh ke atas pegawai-pegawai atasan penjara. Akhirnya dengan taktik yang jahat dan licik, seorang jaguh tinju Amerika (Michael Jai White) yang sedang dalam rangka lawatan ke Russia telah disumbat ke dalam penjara di mana Boyka berada.



Sebenarnya ini semua adalah rancangan Gaga untuk memaksa Michael yang nampaknya seperti boleh menundukkan Boyka untuk bertarung dengan Boyka. Ganjarannya, dia akan dibebaskan dari penjara jika berjaya menundukkan Boyka. Dipendekkan cerita, selepas satu demi satu perisitiwa yang dialami oleh Michael, dia berjaya mengalahkan Boyka.

Didalam Undisputed 3, watak Boyka pula merupakan protagonist. Dia kini dihantar oleh penjara Russia ke penjara Georgia untuk menyertai satu pertandingan tempur-bebas antara penjara-penjara seluruh dunia (Boleh pulak?). Di sini Boyka mula berkenalan dengan seorang wakil penjara Amerika yang bernama (ntah apa nama, lupa plak), seorang bekas tentera. Di dalam pertandingan ini juga Boyka yang sudah sedia tinggi, bakal bertarung dengan wakil Colombia yang beberapa inci lebih tinggi darinya. Tetapi pertandingan ini mempunyai satu hukuman yang sadis bagi mereka yang kalah, mati!
Seperti biasa dalam cerita-cerita gasak sebegini, taktik-taktik kotor mesti ada punya. Itu sudah menjadi asam garam bagi Boyka. Tetapi adakah ia berjaya dari menghalang Boyka merangkul juara? Oh tidak, dengan semangat yang kental walaupun mengalami kecederaan yang serius di kakinya ketika dipatahkan oleh Michael Jai White dulu, Boyka berjaya mewariskan kesakitan patah kakinya itu kepada wakil Colombia dan seterusnya merangkul juara.

Yang Best

Keseluruhannya, adegan-adegan gasak di dalam Undisputed 3 lebih menarik dan menakjubkan berbanding Undisputed 2. Dipenuhi dengan aksi-aksi tempur kosong yang pantas! Serta licik! Boleh dikatakan hampir setiap pertarungan di dalam Undisputed 3 sangat menarik perhatian dan ganas! Selain dari gerak-tempur Scott Adkin yang ringan macam kapas dalam masa yang sama juga berbisa, aku suka aksi wakil Brazil yang dilakonkan oleh Lateef Crowder, memang mengancam! Tatkala Lateef bertemu dengan Scott, mereka telah mempersembahkan satu aksi pertarungan yang sangat menguja dan mengkagumkan! Aku ulang dua tiga kali babak itu. Aku mula mengenali Lateef Crowder di dalam sebuah filem Thai, Tom Yum Goong. Ingat babaknya ketika bertarung dengan Tony Jaa di dalam sebuah kuil?


Tetapi dari segi dialog percakapan, aku lebih suka Undisputed 2. Kerana banyak unsur-unsur lawak. Mereka tidak buat lawak sebenarnya, malah serius lagi, tetapi dialog serta mimik muka sewaktu Michael Jai White dan Scott bergaduh memang lawak. Macam budak-budak sekolah bergaduh. Hahaha…!! Tetapi di dalam Undisputed 3 watak Boyka menjadi lebih matang berbanding dulu.

Satu lagi perkara yang best adalah, teknik sinematografinya. Memang cantik! Suntingannya juga cukup kena dengan aksi yang dipamerkan. Ia menjadikan aksi-aksi tempur di dalam Undisputed 3 nampak dramatik dan realistik. Aku berharap selepas ini akan ada lagi sambungan kepada siri Undisputed ini, masih belum puas rasanya menyaksikan aksi sepak-terajang Scott yang ringan dan padu itu. Dicadangkan bagi yang masih belum menonton, tontonlah Undisputed 2 dahulu sebelum 3, baru anda nampak kesinambungannya itu. Undisputed 2 juga masih berbaloi untuk ditonton walaupun ia sudah lama diterbitkan.

Jumaat, 12 November 2010

Apa tu?


Hasil ketika bosan-bosan, lama dulu/

Rabu, 10 November 2010

Ace Combat


Jika di tanya aku game pertempuran udara apakah yang paling best, secara automatik aku akan katakan siri-siri Ace Combat. Bermula dengan tiga siri yang diterbitkan untuk pelantar Ps One iaitu Air Combat (1995), Air Combat 2 (1997), dan Ace Combat 3: Electrosphere. Manakala Air Combat (1995) dibina hanya untuk pelantar arked. Juga tiga siri diterbitkan untuk PS2 iaitu Ace Combat 4: Shatterred Skies (2001), Ace Combat 5: The Unsung War (2004), dan Ace Combat Zero: The Belkan War (2006). Bermula dari Ace Combat 6: Fires Of Liberation (2007), siri-siri Ace Combat mula melambaikan tangan kepada pelantar Sony dan menjejakkan kakinya ke atas konsol Microsoft, X-Box 360. Di samping itu juga, siri Ace Combat juga dengan tamaknya menyerang konsol-konsol kecil seperti Ace Combat Advance (2005) untuk Game Boy Advance (GBA), Ace Combat X: Skies of Deception (2006) dan Ace Combat: Joint Assault (2010) untuk pelantar PSP, dan Ace Combat Xi: Skies of Incursion (2009) untuk I-Phone (pun dia balun jugak), Bermula dari Ace Combat 2, ia mula menampilkan sebuah benua fiksyen yang dipanggil Usea sebagai latar tempat untuk konflik yang berlaku di dalam dunia Ace Combat 2 dan siri-siri yang seterusnya.

Penglibatan


Aku mula terlibat didalam peperangan udara ketika dipanggil bertugas di dalam Ace Combat 3: Electrosphere. Plotnya berkisar tentangan peperangan yang berlaku diantara syarikat-syarikat korporat yang tercetus pada 1 Januari and 21 July 2040. Pada ketika ini aku dipertanggungjawabkan untuk memacu jet pejuang prototaip yang dipanggil X-49 Night Raven.


Ace Combat 5: The Unsung War



Selepas selesai konflik tersebut, aku berehat sementara menikmati keamanan yang telah dicapai, (tak boleh blah, sebenarnya dok tengah tunggu konsol Ps 2 memasuki inventori aku). Setelah puas berehat, aku mula dipanggil bertugas sebagai ahli didalam Osean Air Force Squadron yang berpengkalan di Sand Island yang terletak di atas sempadan laut yang memisahkan Osea dan Yuktobania di dalam Ace Combat 5: The Unsung War. Callsign yang diberi kepada aku ialah Blaze. Bersama-sama dengan rakan-rakan satu skuadron yang dipanggil Wardog Squadron, kami bertungkus-lumus mempertahankan ruang udara Osea dari serangan-serangan Yuktobania.

Setelah kami berjaya mencapai titik keseimbangan di dalam perang ini, masa telah mentakdirkan bahawa Osea mula dapat mengasak kembali Yuktobania. TETAPI tidak kusangka, cerah disangka hingga ke petang, rupa-rupanya hujan batu turun di tengah hari. Rupa-rupanya kejayaan demi kejayaan yang telah dicapai Skuadron Wardog dalam setiap misi mereka telah menerbitkan perasaan curiga komander-komander atasan Osea sendiri. Mereka sebenarnya amat mencurigai Captain Jack Bartlett kerana Captain Bartlett pernah dihantar di dalam peperangan Belka (Ace Combat Zero: Belkan War) dan pernah menjalin hubungan dengan seorang perisik wanita berpangkat mejar di dalam tentera Yuktobania, Nastasya Vasilievna Obertas.

Jadi kami telah dijatuhkan hukuman atas dakwaan menyerang orang awam ketika peperangan. Dan ini telah menimbulkan lagi beberapa konflik baru, konflik di dalam konflik (Bukan cornflake ya). Akhirnya kami terpaksa meninggalkan pengkalan Sand Island kerana berpendapat agak sukar untuk mendapatkan pengadilan yang adil dan sewajarnya di Osea. Sebagai jawapannya, aku dan rakan-rakan skuadronku telah dicop sebagai pengkhianat.

Konflik diantara Osea dan Yuktobania bertambah serabai apabila pertubuhan rahsia Belka yang dipanggil Greyman mula mengambil peluang diatas konflik sedia ada bagi membalas dendam ke atas kekalahan mereka lima belas tahun dahulu. Ya! Mereka inilah yang telah menyerang skuadron kami ketika terbang pulang dari misi memberi bantuan tembakan kepada tentera darat Osea! Mereka ini yang pada mulanya kami sangkakan adalah pasukan sahabat telah menyerang secara tiba-tiba.

Greyman memainkan catur mereka dengan menyamar sebagai tentera Osea mahupun Yuktobania dan menyerang antara satu sama lain. Di samping mahu membalas dendam, mereka juga mahu peperangan di antara Osea dan Yuktobania yang hampir kepada penamat terus berlarutan lantaran Belka juga merupakan salah sebuah negara yang membekal dan menjual senjata kepada kedua-dua belah pihak.Kami mula memunculkan diri kembali di arena peperangan udara setelah skuadron kami dan sebuah unit marin berjaya menyelamatkan presiden Osea iaitu Vincent Harling dari tangan Greyman yang diculik pada awal peperangan berlaku. Kami kini dipanggil Skuadron Razgriz.

Diringkaskan cerita, konflik diantara Yuktobania dan Osea ini tiada apa sangat pun, cuma Greyman yang menghangatkan ia sejak dari mula. Akhirnya Presiden Osea dan Presiden Yuktobania yang juga telah berjaya diselamatkan dari tangan Greyman oleh Captain Bartlett membuat pengumuman bersama. Akhirnya mereka menubuhkan gabungan ketenteraan bersama untuk memburu ahli-ahli Greyman yang telah menimbulkan huru-hara, (Macam plot The Sum Of All Fears saja?). Mereka juga mesti diburu kerana telah berjaya membina senjata pemusnah besar-besaran iaitu sebuah misil MIRV yang dipanggil sebagai V2 yang boleh dilancarkan ke mana-mana bandar sama ada di wilayah Osea mahupun Yuktobania.

Akhirnya misi berjaya, lalu kami jangkakan peperangan sudah tamat. Rupa-rupanya tidak! mereka masih tidak berputus asa. Belka akhirnya mengambil langkah terdesak yang terakhir bagi melunaskan dendam kesumat mereka dengan mengubah posisi stesen angkasa lepas SOLG keluar dari orbitnya. Mereka mengarahkan stesen SOLG itu supaya jatuh ke bumi menghempas ke tengah-tengah wilayah Osea yang dipanggil Oured. Jadi misiku yang terakhir adalah memusnahkan SOLG itu sebelum ia menghempas bumi. Syukur, kami berjaya memusnahkannya dan menyelamatkan orang ramai dari menjadi mangsa.




Ace Combat Zero: Belkan War


Ia berlaku kira-kira lima belas tahun dahulu sebelum peperangan dengan dengan Yuktobania tercetus. Negara Belka tidak bersetuju atas pemisahan Republik Ustio dari wilayahnya, lantas satu serangan dilancarkan ke atas republik tersebut. Bersama-sama dengan Osea, Sapin, dan Yuktobania. Mereka membentuk satu pakatan (A
llied) untuk menangkis serangan Belka ke atas Republik Ustio. Tetapi kekuatan tentera Ustio tidak dapat menandingi kehebatan aset-aset ketenteraan Belka. Lantas sebagai harapan terakhir, Republik Ustio mengupah pilot-pilot upahan untuk berkhidmat di dalam tentera udara mereka. Pada ketika inilah khidmat aku diperlukan, sebelum aku dikenali sebagai Blaze di Osea lima belas tahun yang akan datang, aku dikenali sebagai Chiper di Ustio.

Akhirnya dengan bantuan tentera-tentera dan pilot-pilot upahan, Pihak Allied berjaya menghalau Belka dari bumi Ustio. Tetapi aku mula berasa musykil apakah tujuan Allied ini ditubuhkan tatkala tentera-tentera Allied mula menceroboh wilayah Belka, menakluk sebahagian darinya dan seterusnya memusnahkan industri-industri mereka. Pixy, iaitu orang sayap aku (wingman) mula mempersoalkan kesahan pencerobohan ini, lebih-lebih lagi selepas satu misi yang kami jalani bersama-sama dalam tentera Pakatan mengebom sasaran-sasaran awam tanpa diskriminasi. Sebagai langkah terakhir dan penuh terdesak akibat dari pencerobohan Allied, Belka telah meletupkan beberapa bom nuklear di dalam wilayah mereka sendiri bagi menghentikan penjarahan oleh tentera Allied. Didalam keributan dan kekeliruan ledakan bom-bom nuklear ini, Pixy telah mengkhianati aku! Dia tembak jet pejuang aku! Apa pasal lu labu?!

Adakah ledakan nuklear-nuklear itu berjaya menghentikan pencerobohan tentera-tentera Allied? Oh tidak… Tidak lama kemudian kerajaan rasmi Belka telah lumpuh dan digantikan dengan kerajaan sementara. Kerajaan ini telah mengerahkan semua tentera-tenteranya melakukan gencatan senjata. Akhirnya perjanjian gencatan senjata telah dimeterai oleh Belka dan Pakatan. Perjanjian ini juga menyaksikan bahawa Belka terpaksa mengurangkan kekuatan ketenteraan mereka, dan kawasan-kawasan yang kaya dengan hasil sumber telah ditakluk oleh Pakatan. Pada waktu pemimpin-pemimpin Allied ini bertelingkah mengenai kawasan-kawasan yang baru mereka peroleh, satu pakatan sulit telah dirancang diantara pilot-pilot dan tentera-tentera yang tidak bersetuju dan tidak menyokong perjanjian ini (Pulak dah!). Mereka ini gabungan dari pilot-pilot dan tentera-tentera dari kelima-lima negara kuasa besar tersebut. Pertubuhan mereka dipanggil A World With No Boundaries (AWWNB). Mereka bercadang mahu memadamkan garis-garis sempadan di antara negara-negara dan menubuhkan satu dunia yang bersatu (Ehem.. One world government..? United Nation? Zionist?.. Dajjal?).

Lalu akaun bank aku pun kembali bernafas dan kocek seluarku mula membuncit apabila tawaran baru diterimaku bagi memburu dan memusnah AWWNB. Aku masih ingat di saat detik-detik debar dan cemas ketika pertempuran sengit yang berlaku di Avalon Dam. Sangat sengit! Kedua-dua belah pihak memiliki pilot-pilot terhandal masing-masing yang sedang mempertaruhkan nyawa bagi ideologi masing-masing (We are the aces! Even in our side, or opposition side). Masing-masing ada strategi masing-masing. Kami dikerahkan ke Avalon Dam bagi menyekat rancangan AWWNB yang mahu melancarkan senjata super V2 yang tersimpan di kompleks Avalon Dam yang memang kompleks.

Mereka dapat menghidu tindakan kami dan awal-awal lagi AWWNB telah menghantar skuadron-skuadron elit untuk memintas kami yang dalam penerbangan sebelum kami sempat menyerang Avalon Dam. Nampaknya mereka bukan main-main! Kami dipintas oleh 8 F-15S/MTDs, 8 Su-47s, 4 F-16XLs,dan 4 YF-23As. Aku berasa sangat teruja tatkala berdepan dengan pilot-pilot berpangkat Aces pihak musuh pada ketika ini, dalam masa yang sama jantungku berdebar-debar bermain muslihat dengan mereka. Selesai menghabisi mereka, kami terus ke Avalon Dam melalui laluan Canyon bagi mengelakkan dari serangan SAM (Surface To Air Missile) pihak musuh.

Rupa-rupanya apa yang aku hadapi ketika dipintas sebentar tadi, adalah lebih mudah dari pertempuran terakhir di Avalon Dam. Pertempuran di Avalon Dam telah benar-benar memberi aku pengertian apa itu makna ACE COMBAT. Walaupun diiktiraf sebagai pesawat pejuang generasi keempat yang mempunyai keupayaan maneuver yang paling baik, tidak semestinya SU-37 Terminator ku boleh bertahan dalam pertempuran dengan aces-aces AWWNB di kompleks Avalon Dam yang kompleks itu. Kemahiranku mengendalikan pesawat pejuang benar-benar teruji di sini. Ya! Di sini juga lah aku bertemu kembali dengan Pixy yang telah mengkhianatiku tidak lama dahulu. Dia kini seorang pilot pejuang AWWNB. Kami bertarung sengit! Pertempuran kami tidak layak dipanggil sebagai tahap anjing bergaduh lagi (Dogfight). Ia layak dipanggil dragonfight (Pergh..!). Nampaknya Chiper sangat teruja untuk menguji senjata terbarunya kepada ku, iaitu sebuah senjata laser ADFX-02 Morgan's.

Pengakhirannya? Mestilah hero menang (Hempgff..hempgff..). Akhirnya aku kembali berehat dari medan pertempuran udara yang penuh dengan kepantasan dan gerak muslihat. Aku kini bekerja sebagai penjual anggur di sebuah bandar di Malaysia (Ini tambahan).

Walau apa pun, pertempuran di Avalon Dam merupakan satu sejarah yang tidak akan aku lupakan. Avalon Dam telah mengajar aku satu perkara, walaubagaimana bagus sekalipun jentera perang itu dihasilkan, ia adalah tidak berguna jika yang memacu dan menggunanya adalah seekor beruk. Kenalilah pesawat anda dengan sebenar-benarnya.



AARRGHHHHHAARGHAGH…..!!!




Sebenarnya semua coretan-coretan di atas itu adalah mukadimah untuk entri kali ini! Sebenarnya ini yang aku mahu luahkan, peperangan telah kembali tercetus!! Aku berasa kecewa!! Kecewa kerana tidak dipanggil semula untuk kembali mengganas di angkasaraya!! Ya!! Mereka telah mengabaikan khidmat aku, kemahiran aku, kelicikan aku ketika pertempuran-pertempuran yang lepas!! Ini semua akibat jet-jet pejuangku sudah dipindahkan dari PS 2 ke pelantar X-BOX 360 sejak Ace Combat: Fires Of Liberation. Bagaimana aku mahu kembali beraksi?! Ya!! Angkasaraya kembali membadai dengan deruman enjin-enjin pesawat pejuang yang ganas bertempur di dalam Ace Combat: Assault Horizon!!



Mari kita sama-sama layan trailer Ace Combat: Assault Horizon ini. Aku suka track Liberation Of Gracemaria yang diadun semula dengan sedikit sentuhan alat muzik moden di dalam trailer ini. Berjaya membangkitkan adrenalin! Klik sini


Rabu, 27 Oktober 2010

Minum kopi





Ini adalah hasil conteng-conteng aku ketika menghilangkan bosan zaman sekolah dulu- dulu. Yang versi warna ini baru sahaja diwarnakan menggunakan Adobe Photoshop CS3, bukan pandai sangat pun, saja-saja cuba.