Selasa, 14 Disember 2010

Inception



Christoper Nolan sekali lagi membuatkan para peminatnya melopong mulut dan urat-urat otak berselirat dengan filem terbarunya, Inception. Inception mengisahkan bagaimana Cobb (Leonardo Di Caprio) menjalankan tugasnya sebagai perisik korporat (mungkin juga seorang pencuri idea) dengan menjejak subjek yang dicarinya dengan menggunakan minda bawah sedar seseorang mangsa.

Inception mula membahang pada saat Cobb mula menerima tawaran Saito (Ken Watanabe) untuk menanam idea kepada seteru perniagaannya Fischer (Cillian Murphy, beliau memegang watak Scare Crow dalam Batman versi Christoper Nolan). Idea yang jika berjaya ditanam didalam minda bawah sedar James, ia bakal menghasilkan kesan yang besar kepada empayar korporat yang bakal diwarisi dari ayahnya itu.

Walaubagaimanapun, kita merancang tetapi Allah jua yang menentukannya. Plan rapi yang disusun oleh Cobb dan ahli kumpulannya tidak berjalan seperti yang dirancangkan kerana subjek-subjek bayangan didalam minda bawah sedar Fischer tidak seperti yang mereka jangkakan. Subjek-subjek bayangan didalam mindanya telah dilatih untuk mempertahankan dimensi bawah sedar itu dari diceroboh. Maka bermulalah segala aksi-aksi yang tidak terjangkakan didalam peperangan minda untuk menanam idea didalam minda Fisher sambil berhadapan dengan subjek-subjek bayangan Ficsher yang bertungkus-lumus mempertahankan dimensi minda tuan mereka.

Menonton Inception membuatkan mulutku tidak henti-henti menyebut ‘Pergh! Wow! Gila ke hapa Christoper Nolan boleh buat filem camni’ dan berbagai lagi. Inception telah memberi nafas baru dalam filem genre debar dan aksi. Jalan ceritanya memang di luar kotak, kita tidak pernah terfikirkan. Dari segi sinemotografi dan kesan bunyinya memang terbaik. Manakala kesan khasnya bersih, tidak nampak sedikit pun cacat cela (setakat yang aku nampak la..).

Pemilihan pelakon-pelakonnya juga sangat sesuai dengan watak. Aku suka dengan lakonan Leonardo Di Caprio didalam filem ini. Sebenarnya aku bukanlah minat sangat Leonardo ni, tetapi aku mula menggemari lakonannya disaat menonton filem Blood Diamond, sebuah filem mengenai perebutan wilayah permata di negara Sierra Leone. Blood Diamond benar-benar menonjolkan kematangan lakonan Leonardo. Cuma didalam filem Body Of Lies, yang aku tidak suka itu bukan lakonannya, tetapi keseluruhan produksi filem tersebut.


Lagi satu, banyak visual-visual didalam Inception sangat cantik, seolah-olah gambar seni yang bergerak. Kiranya jika anda mahu membikin klip video trance versi fanmade, bolehlah anda mengambil gambar-gambar visual didalam Inception.



Kesimpulannya, aku memberi empat bintang kepada filem ini. Lengkap dengan segala-gala yang diperlukan oleh sebuah filem debar aksi fantasi unik yang terbaik. Pastikan anda tidak terlelap barang sesaat ketika menonton filem ini kerana sesaat yang anda lelap itu boleh membuatkan anda tidak faham keseluruhan cerita. Setiap babak ada sangkut-paut diantara satu sama lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan