Ahad, 5 September 2010

Apa isunya?




Entri ini sebenarnya sudah lama ditaip, tetapi aku masih berfikir-fikir mahu menerbitkannya atau tidak. Setelah difikir agak mendalam, aku mengambil keputusan untuk menerbitkannya atas alasan-alasan yang aku tidak mahu beritahu. Maaf jika bahasanya sedikit kasar.

___________________________________________________________________________________

Orang bukan Islam tidak boleh masuk ke dalam masjid? Kerana mencemar kesucian Islam? Tidak menutup aurat? Berhadas besar? Apa yang hangpa merepek ni? Habis tu Sayidina Omar Al Khattab masuk Islam di depan Rasulullah di mana? Habis tu Kristian Najran yang mahu menemui Baginda Rasulullah untuk berhujah dengan baginda berkenaan kenabian di mana? Seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Ishak (Lihat buku Religious Minority From Shariahs Perspective oleh Dr Yusuf Al Qardhawi).

Ohohoho..! Habis tu mereka semua yang bukan Islam tu bukan berhadas besar ke? Habis tu setiap kali upacara akad nikah di masjid yang disertai oleh beberapa wanita muslim yang tidak menutup aurat di dalam masjid tu apa cerita? Hukum menutup aurat tu wajib ke atas siapa sebenarnya? Habis tu hasil keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-90 yang bersidang pada tahun 1 Mac 2010 hangpa mahu tendang ke mana?

Berkenaan tidak membenarkan orang bukan Islam tidak boleh masuk ke masjid dan ruang solat atas alasan mahu menjaga kesucian agama Islam tu atas hujah apa sebenarnya? Islam yang diturunkan oleh Allah SWT ke atas umat manusia ini sudah lengkap. Faham tak maksud lengkap tu? Lengkap dengan semua aspek (tak payah kot aku nak huraikan di sini kerana kita semua sudah sedia maklum) termasuklah aspek-aspek yang menjaga kesucian agama Islam itu sendiri. Maksudnya Islam itu juga dilengkapi dengan aspek-aspek keselamatan (security) untuk menjaga kesuciannya dari ternoda, dan sistem keselamatan itu akan terjana dengan automatik jika kita ikut saja segala perintah Allah melalui Al Quran dan Al Hadis dengan ikhlas. Segala-galanya yang dibenarkan dan dilarang oleh Islam itu adalah sudah cukup untuk menjaga kesucian Islam dari dinodai tanpa perlu dirombak oleh manusia.

Jadi jika kita melanggar sesuatu yang telah dilarang oleh Islam itu atau mengharamkan sesuatu yang telah halal dalam Islam, maksudnya secara automatik juga kita telah mematikan sistem keselamatan yang menjaga kesucian agama Islam dan membuatkan Islam nampak BURUK! Walhalnya Islam tidak mengajar apa yang kita lakukan itu. Kita yang BURUK itu! Dua dosa kita dapat, dosa melanggar larangan agama dan dosa memberi tanggapan yang buruk ke atas agama Islam.
Jika Islam membenarkan masjid boleh dimasuki oleh orang bukan Islam, ini bermakna masuknya seorang yang bukan Islam itu ke dalam masjid itu tidak langsung mencemarkan kesucian Islam. Jadi siapa yang mengada-ngada mengatakan orang bukan Islam yang masuk ke dalam masjid dengan niat yang baik itu sebagai mencemar kesucian Islam itu sebenarnya telah mengharamkan sesuatu yang telah dihalalkan oleh Islam.

Setiap sesuatu yang dibenarkan dan diharamkan oleh agama Islam itu ada hikmah disebaliknya. Begitu juga dengan kebenaran ke atas orang bukan Islam yang mahu masuk ke dalam masjid, tentu ada hikmahnya. Terutama dalam aspek dakwah, ini akan memberi mereka peluang melihat bagaimana umat Islam beribadat dan membuka hati mereka untuk mengenali Islam dengan lebih dekat.

Jadi? Apa ISUNYA? Amat malang ada pula individu yang terus marah dan menjatuhkan hukum atas nasihat sebelah pihak tanpa mendengar pendapat sebelah pihak lagi. Perlukah aku membuka kembali kisah mengenai keadilan hakim di dalam kes Sayidina Umar Al Khattab dan perisainya itu? Tepuk dada, tanyalah Iman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan