Isnin, 2 Januari 2012

First Blood


Chee..wah..! First blood la kononnya. Rasanya lebih baik dipanggil first lebam. Tapi lebam yang hampir pecah untuk berdarah. Yargh! Sebenarnya terdapat lagi beberapa lebam di bahagian badan aku ini. Juga terdapat beberapa luka di jari-jari ini. Dari mana lebam-lebam ini datang? Yargh! Dari peluru cat yang ditembak oleh musuh-musuh palsu aku ketika bertempur sakan dalam permainan paintball yang pertama kali aku main baru-baru ini.

Aku main tiga game dan juga terbang RM35 selepas itu. Perlawanan pertama, team aku menang. Kami main mod serang dan bertahan (attack and defend). Pasukan aku akan cuba menawan sebuah pondok yang dijadikan tempat bertahan pasukan musuh. Corak permainannya agak lambat dan kurang agresif. Tetapi memerlukan strategi yang lebih teliti dan kemahiran menembak jarak jauh.

Game kedua, kami main CQB (Close Quarter Battle) atau tempur jarak dekat. Padangnya sedikit kecil dari padang pada perenggan di atas. Yang ini memang aku suka! Kerana apa? Ia lebih agresif! Memerlukan lebih stamina dan kepantasan untuk menang! Juga lebih daya tahan sakit kerana aksi tembak-menembaknya lebih dekat! ADOI!! Dan aku terkena eye-shot dua kali di sini! Pergh!! Nasib baik pakai topeng. Kalau tidak, jadi Kasim Selamatlah aku. Kat sini juga salah seorang rakan aku terkena ass-shot! Hahaha!! Aku yang tembak. Hahaha!!!

Pengalaman pertama bermain paintball ini memang mengujakan! Memang best! Cuma yang sakitnya, pelurunya mahal! Adus! Baik main cakplong.

Jumaat, 30 Disember 2011

ARGHH GILAA!!!


ARGHHH! Memang gila! Dia bukannya makhluk bumi! Mana mungkin makhluk bumi boleh lakukan ini pada usia yang dikira masih belum cukup umur,USIA 14 TAHUN deh?! Aku tak percaya. Siapakah makhluk yang aku ceritakan ini? Dia ialah Starlyte!

Starlyte? Starlight? atau Starlite? Ah pedulikan, Starlyte adalah nama glamournya dalam dunia Trance. Nama penuh Syasya Farzana Abdul Mu'en, berusia 14 tahun, tinggal di Kuala Lumpur Malaysia. Walaupun berusia 14 tahun, tetapi bakat mengadun muzik trancenya bagi aku sudah mencapai tahap profesional!! Aku tidak bercakap kosong kerana dua albumnya Starlyte-Astral Halo dan Starlyte - Echoes Of Tomorrow sudah aku sambar!! Yarghh!! Di antara album trance 4 bintang bagi aku kedua-dua album itu.


Satu lagi yang menarik ialah teknik trancenya. Memang lain dari yang lain, lebih progresif dan susun atur yang jauh berbeza berbanding susun atur lagu trance yang standard. Contohnya lagu trance yang standard dimulakan upbeat,emo-break, downbeat. Tetapi bagi Starlyte, dia lebih menggunakan stail disko, tempoh upbeatnya tidak lama. Tetapi tidak juga seprogresif disko! Ia tetap dream trance! Masih lagi berkrim. (Aku tak suka disko!). Satu lagi yang best ialah tempoh gorengannya lebih lama dari trance biasa. Puas rasanya!

Arghh!! Aku pon taktau nak cakap apa lagi kat dia. Hang ni makhluk apa sebenaqnya ni? Alat yang hang guna buat trance tu pun aku masih terkial-kial lagi nak guna.

Inilah makhluk yang disebut-sebut itu! Ini adalah gambaq potret dirinya sendiri. Jangan tanya aku mana gambaq betoi dia. Sebab aku pun tak pernah jumpa dia dan tengok dia secara berdepan.


Cuba layan lagu Emrys album Echoes Of Tomorrow. Memang lemak berkrim!!






Pastu cuba layan ni pulak!! Terbang woh!!


Selasa, 20 Disember 2011

Time And Tide





Pernah anda tonton filem ini? Ataupun Sekurang-kurangnya mendengar tajuk filem ini. Tidak? Tak mengapa saya tak marah pun. Filem ini merupakan filem terbitan sebelas tahun lepas, ia diterbitkan pada tahun 2000. "Mak aih, filem lama pun nak buat review ka?" kata anda kepada saya. Haha... saya tak kisah, asal filem tu best walaupun filem zaman P. Ramlee, tetap saya akan buat ulasan.

Time and Tide diarahkan oleh seorang lelaki berbangsa Cina yang sangat terkenal dengan penghasilan filem-filem kung fu, iaitu Tsui Hark. Jika anda suka layan cerita-cerita kung fu Jet Li yang lama-lama seperti Once Upon A Time In China, Swordsman, Dragon Inn, maka dialah penerbit dan pengarahnya. Rekod filmografi Tsui Hark menunjukkan dia banyak menghasilkan filem-filem kung fu lebih dari filem-filem aksi moden, dan Time and Tide merupakan salah satu dari filem aksi modennya.

Time and Tide merupakan salah satu ahli tetap dalam senarai filem paling best sepanjang zaman untuk diri saya. Saya pun sudah tidak ingat sudah berapa kali saya ulang-tonton filem ini sejak dari tahun 2000. zaman VCD tengah hot. Time and Tide tidak ada watak utama, semua watak saling berkait antara satu-sama lain dan sama penting, sama ada watak protagonis atau antagonis.

Kisahnya bermula dengan Tyler, seorang pemuda 21 tahun yang hidupnya tiada pedoman berangan-angan mahu hidup bahagia di Amerika Selatan. Bermacam-macam kerja yang dilakukannya sehingga dia terjebak dengan satu syarikat pengawal peribadi haram. Pada ketika ini dia bertemu dengan Jack (Wu Bai) di sebuah kedai. Di kedai ini Tyler sedang mencuba beberapa model pistol replika untuk digunakan ketika bekerja nanti,
manakala Jack pula mahu membeli sebuah kotak muzik untuk dihadiahkan pada hari lahir isterinya, An Hui yang merupakan anak seorang jutawan. Isterinya juga sedang sarat mengandung pada ketika ini.

Pertemuan kedua mereka pula adalah di sebuah majlis sambutan hari jadi kepada bapa mentua Jack. Pada majlis ini, syarikat haram Tyler ditugaskan untuk mengawal keselamatan di sepanjang majlis itu berlangsung. Di sinilah ikatan diantara Tyler dan Jack mula terjalin. Jack pula menghadapi krisis dengan bapa mentuanya yang tidak berkenan dengan kerjayanya, seorang pemotong daging. Jatuh standardlah kononnya.
Tyler yang hidupnya masih terumbang-ambing juga menghadapi masalah cintanya yang tersendiri. Hidupnya bertambah serabai pula apabila dia dan rakan-rakan syarikatnya terpaksa bersembunyi dari pihak berkuasa kerana terbongkarnya aktiviti syarikat tanpa berdaftar mereka itu.

Ia terbongkar apabila satu insiden yang telah membabitkan tiga pihak. Syarikatnya ditugaskan untuk mengawal seorang VIP yang berpengaruh, dan Tyler juga bergabung dengan pengawal-pengawal peribadi individu tersebut. Tetapi seseorang telah berjaya menembak mati VIP itu, lalu berlakulah adegan kejar-mengejar antara mereka.


Setelah Tyler bertembung dengan si pembunuh itu, Tyler rasa dia sangat mengenali lelaki itu walaupun dia telah mengubah wajahnya. Dia adalah Jack! Apahal si Jack seorang suami yang baik yang Tyler kenali itu boleh terlibat dalam insiden ini? Maka bermulalah detik-detik debar seterusnya.



Filem ini mengandungi tiga aksi besar yang penting. Adegan kejar mengejar setelah VIP itu mati ditembak, Aksi kejar-cari-sembunyi-bunuh di sebuah kawasan apartment, dan yang ketiga aksi tembak-menembak yang mendebarkan di sebuah stesen kereta api. Di samping itu terdapat juga beberapa aksi-aksi sampingan lain yang memberi nilai tambah kepada filem ini.

Semua aksi tembak-menembak didalam tiga babak penting ini sungguh mendebarkan! Penuh taktikal! Penuh dengan muslihat-muslihat licik! Bagi aku, inilah antara babak tembak-menembak yang paling best sehingga kini bagi aku. Adegan perhitungan akhir antara Tyler, Jack, kumpulan Angels, dan pasukan SWAT Hong Kong di sebuah stesen kereta api itu memang cukup-memberi tekanan. Pada waktu inilah An Hui mahu melahirkan anak, ditengah ketegangan pertempuran antara pihak-pihak yang berkepentingan.

Lagi satu yang menarik berkenaan filem ini ialah, teknik suntingan sinemotografinya yang kreatif. Kadang-kadang satu babak itu dibuat secara kiasan visual tidak terlalu menekan bentuk, tetapi kita sudah faham maksudnya. Sebagai contoh, ketika VIP itu ditembak, ia tidak menunjukkan si Jack menarik picu dan si mangsa itu ditembusi peluru seperti adegan tembak yang biasa. Ia mendengarkan kita satu bunyi klik menandakan tembakan telah dilakukan, tetapi paparan visual memaparkan gambar VIP yang dipegunkan sementara sebelum diselitkan babak jari jack dilepaskan dari picu. Kemudian kamera hanya memfokuskan pengawal disebelahnya yang tiba-tiba tersembur darah VIP tersebut. Ia tidak menunjukkan babak Jack menembak dan ia tidak menunjukkan si mangsa ditembak mati. Tetapi kita tahu Jack sudah menembak VIP itu dan VIP itu telah mati.

Filem ini walaubagaimanapun agak kurang popular dan kurang dikenali oleh para peminat filem walaupun ia mendapat kritikan positif Festival Filem Hong Kong dan para pengkritik dari Barat, kenapa? Aku pun tak tahu. Tetapi ia ada kelompok tersendiri yang meminatinya.

Jadi kepada siapa saya akan cadangkan filem ini? Filem ini untuk:

1. Para peminat CounterStrike dan Call Of Duty: Modern Warfare yang bermain sambil bibir tak henti-henti memaki hamun orang.

2. Kepada peminat-peminat filem aksi.

3. Peminat-peminat senjata api.

4. Peminat filem serius dan debar.

5. Peminat Encik Eyman Hykal dan Ramlee Awang Murshid.

6. Peminat Tsui Hark

7. Peminat Nicholas Tse

Golongan yang tidak disaran tonton:

1. Kaum wanita. (Aku yakin pompuan memang tak suka filem ni. Sebab jiwang dia ciput sangat)

2. Bencikan keganasan. Mahukan keamanan. (Filem ini tidak menjanjikan keamanan,peluru adalah nadi filem ini).

3. Kanak-kanak (Depa memang takkan faham cerita ini berkenaan apa, depa akan tanya sapa jahat, sapa baik. Tu saja)

4. Bayi.

Walauapapun, Time and Tide merupakan filem aksi empat bintang terbaik buat masa ini bagi aku. Dan aku masih tertunggu-tunggu jika ada lagi filem berkonsep begini dari Tsui Hark.

Isnin, 12 Disember 2011

Detik Debar Sudah Ku Sambar!!





Yaargh!! Pada pukul 2.30 tengah hari tadi(rasanya). Aku telah menyambar secara tanpa sedar sebuah novel yang sudah sekian lama ku tunggu-tunggu untuknya menyerang pasaran selepas ia membuat kemunculan pertama yang cukup bombasstik tetapi kurang promosi, Meniti Maut 2 A.K.A Detik Debar!! Pada mulanya aku saja berjalan-jalan membuang masa di kompleks membeli-belah yang cukup hot pada masa ini, Kompleks PKNS. Kemudian hati tergerak untuk menjengah SACC Mall yang terletak bersebelahan dengannya. Lantas aku terus ke destinasi pertama yang selalu
menjadi sasaran pertama aku ketika menjejakan kaki dimana-mana kompleks beli-belah, kedai buku.

Sebaik sahaja aku masuk ke dalam mula membelek-belek buku yang ada, pada mulanya aku cari koleksi komik Twin X yang telah diterbutkan oleh PTS dan sebuah isu baru Twin X, tetapi hampa. Kemudian aku mula membelek-belek kawasan novel-novel Melayu, argh..!! Cerita jiwang saja semua. Tiba-tiba di sebalik novel-novel jiwang aku ternampak satu tajuk yang sangat aku biasa lihat, Detik Debar? Lantas aku teringat blog Encik Eyman, apabila aku ternampak perkataan Eyman Hykal dibawahnya, secara tiba-tiba satu perkara ajaib telah berlaku!! Aku mendapati diri ini telah berada di kaunter pembayaran dengan dua helai wang merah telah ku serah dengan ringannya kepada si juruwang! Bilakah perkara ini berlaku? Magik-magik!

pada ketika aku menaip entri ini, aku masih belum membuka bungkusan plastiknya lagi. Aku mahu menunggu satu masa yang sesuai untuk aku merasai Detik Debarnya!

Isnin, 28 November 2011

Pakistan arah AS kosongkan pangkalan udara



2011/11/28

ISLAMABAD: Kerajaan Pakistan mendesak Amerika Syarikat mengosongkan pangkalan udara di negaranya dalam masa 15 hari kerana mengesyaki Agensi Perisikan Pusat (CIA) menggunakan ia untuk mengendalikan pesawat kawalan jauh.

Desakan itu dibuat kelmarin selepas helikopter dan jet pejuang Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menyerang dua pos pemeriksaan tentera Pakistan di sepanjang sempadan Afghanistan, menyebabkan 28 anggota tentera maut.
Islamabad menggariskan tuntutan itu dalam kenyataan yang dihantar kepada wartawan berikutan mesyuarat jawatankuasa pertahanan tergempar yang dipengerusikan Perdana Menteri, Yousuf Raza Gilani.
Pangkalan Udara Shamsi terletak di wilayah Baluchistan. Amerika disyaki menggunakan kemudahan itu pada masa lalu untuk melancarkan pesawat bersenjata kawalan jauh dan pesawat pemantau untuk mengenakan tekanan ke atas pergerakan Taliban dan al-Qaeda di wilayah terpencil Pakistan.

Kejadian kelmarin terus menjadikan hubungan Amerika dan Pakistan yang sudah pun tegang, semakin buruk. Pakistan membalas dengan menutup laluan bekalan utama NATO ke Afghanistan, yang digunakan untuk menghantar material tidak membahayakan pakatan itu.

Serangan itu adalah kejadian tunggal paling buruk seumpamanya sejak Pakistan seolah-olah terpaksa berpakat dengan Washington berikutan tragedi 11 September 2001.

Hubungan antara kedua-dua negara, sekutu dalam kempen memerangi keganasan, tegang berikutan pembunuhan pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden oleh pasukan khas Amerika dalam satu serbuan di Abbottabad Mei lalu, yang disifatkan Pakistan mencabul kedaulatannya.
“Ini adalah serangan ke atas kedaulatan Pakistan. Kami tidak akan membenarkan sebarang bentuk serangan ke atas kedaulatan Pakistan,” kata Gilani.

Kementerian Luar berkata ia akan membawa perkara itu dalam nada paling tegas dengan NATO dan Amerika. –Agensi

Selasa, 8 November 2011

Bendera Israel berkibar di Malaysia?

Oleh Zaini Hassan


KAPAL Zim USA yang didaftarkan di Israel ini kali terakhir memasuki Pelabuhan Klang pada 20 Jun.

BENAR seperti kata negarawan ulung, Tun Dr. Mahathir Mohamad, kita mudah lupa. Ingat lagi semasa Gaza diserang bertalu-talu, seluruh rakyat Malaysia, terutamanya orang Islam bagai nak gila. Demonstrasi sana-sini. Minta diboikot itu dan ini, barangan yang dikeluarkan oleh Yahudi dan yang diasaskan dari Israel.

Lepas sebulan serangan ke atas Gaza tamat, pemikiran kita mula lembam, enam bulan selepas itu sedikit demi sedikit mula lupa dan selepas setahun terus lupa.

Kempen-kempen boikot dan amarah kita sudah hilang sehinggalah seminggu ini. Sejak minggu lalu kita bangkit semula. Solat hajat diadakan semula di sana-sini. Televisyen dan akhbar-akhbar penuh dengan berita dan komentari (termasuklah Cuit ini hari ini) mengenai kisah Israel, Yahudi dan kekejamannya. Jika Israel tahu mengenai sindrom mudah lupa kita, sudah pasti mereka akan ketawa terbahak-bahak. Tapi bangsa Yahudi ini bijak, mereka memang tahu tabiat kita, terutamanya umat Islam dan orang Melayu kita ini. Kita ini hanya akan melompat ikut musim. Itu pasal Israel suka menyerang ikut musim. Ada musim-musim tertentu mereka akan bertindak dan sekali gus dunia (terutamanya dunia Islam) akan melompat. Kemudian senyap.

Tujuan mereka ialah supaya semua orang ingat akan (kewujudan) negara Israel itu.

Dari segi dasar kerajaan, Malaysia memang konsisten. Kita adalah antara segelintir negara Islam dan di dunia yang tidak menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel. Langkah kerajaan itu amat kita sanjung. Kita berharap selagi ada negara Yahudi haram itu, kita tidak akan mengiktiraf kewujudannya sampai bila-bila.

Begitu juga hubungan dagangan dengan negara itu. Secara automatik hubungan itu tidak berlaku, kerana kita tiada hubungan diplomatik. Mengikut undang-undang antarabangsa, Israel tidak boleh juga menahan rakyat kita kerana kita tiada hubungan yang sah dengannya. Dalam kes yang berlaku ke atas kapal misi kemanusiaan ke Gaza itu, rakyat Malaysia ditahan di laut antarabangsa - bukan dalam kawasan perairannya, itu lagi salah.

Namun, walaupun kita tidak mempunyai hubungan itu, difahamkan ada juga barangan dari negara rejim Yahudi ini memasuki negara ini. Mungkin bukan terus, tapi dari negara ketiga.

Tapi benarkah kapal Israel dibenarkan memasuki ke pelabuhan kita dan melakukan perdagangan dengan negara ini secara terus?

Benarkah itu berlaku? Apakan kerajaan sedar ia berlaku?

Melalui maklumat seorang sahabat yang terlibat secara terus dalam bidang perkapalan, saya melakukan siasatan. Satu maklumat kepada saya kemudiannya mendedahkan senario bagaimana halusnya rejim itu menjalinkan hubungan dagang dengan kita.

Kita jangan cakap perkakasan yang canggih dan besar-besar yang dihantar untuk kegunaan kita di sini dari negara ketiga. Kita cuma bercakap mengenai soal buah epal dan buah oren yang dihantar oleh kapal mereka ke pelabuhan kita. Rakan yang mendedahkan maklumat itu geram kerana kapal kemanusiaan kita dihalau dan diserang, sebaliknya kapal Israel sewenang-wenangnya berlayar dan berdagang di negara ini! Bolehkah pula kapal MISC kita memasuki Pelabuhan Haifa di Israel? Jawapannya, tidak.

Begini bunyi maklumat itu (yang diterjemah dalam bahasa Melayu):

Zim Israel Navigation Company ialah syarikat perkapalan milik Israel. Statusnya lebih kurang macam MISC, syarikat perkapalan nasional kita.

Maklumat mengenai syarikat perkapalan Zim boleh dilayari melalui www.zim.co.il. Di bawah tajuk sejarah, ditulis: Bermula dengan permulaan bersejarah pada 1945 sebagai kapal pengangkut imigran (kaum pendatang) dari wilayah berperang Eropah ke negara harapan bernama Israel, ZIM kini menjadi salah sebuah syarikat perkapalan terbesar yang beroperasi di seluruh dunia. (From historic beginnings in 1945 as a carrier of immigrants from war-torn Europe to the nascent state of Israel, ZIM has become one of the world‘s largest shipping companies with operations throughout the world.)

Kelmarin (7 Jun kapalnya bernama Zim Genova) berlabuh di Pelabuhan Klang membawa kargo-kargo yang besar.

Secara puratanya kapal itu panjangnya kira-kira 253 meter, lebar 32 meter dan boleh membawa muatan sebanyak 4,000 Teu atau bersamaan 4,000 buah kontena 20 kaki. Ia berlayar keluar dari pelabuhan itu kira-kira pukul 7 pagi semalam (8 Jun).

Selain Zim Genova, kapal-kapal Zim lain yang berulang-alik ke Pelabuhan Klang ialah Zim USA (didaftarkan di Israel), Zim Kingston, Zim Monaco (pelabuhan terakhir: Pelabuhan Klang enam hari lalu), Zim Dalian dan Zim Lovorno (yang kesemuanya didaftarkan di beberapa buah negara lain).

Zim USA, misalnya kali terakhir memasuki Pelabuhan Klang ialah sekitar 20 Mei lalu, kira-kira tengah hari (Sila layari http://www.marinetraffic.com/ais/shipdetails.aspx?mmsi=428000109).

Di serombong asapnya (funnel) terpampang bendera Israel – tujuh bintang yang dengan megahkan berlabuh di pelabuhan kita!

Kebanyakan pegawai kapal-kapal itu terdiri daripada rakyat Israel.

Satu lagi e-mel yang diterima berbunyi:

Zim Israel Navigation Company atau Zim Lines juga mempunyai anak syarikat penuhnya iaitu Gold Star Line. Nama kapal-kapalnya ialah: New Asia Middle East Express, China Vietnam Express, East Mediteranean Express, Far East Africa Express dan Chittagong Malaysia Express.

Gold Star Line ini berpangkalan di Hong Kong. Di negara Islam seperti Pakistan, Bangladesh, Indonesia - Zim beroperasi di bawah nama Gold Star Line.

Menurut sumber itu, ada antara kargo dari kapal Zim dikatakan melalui proses pelabelan semula (relabelling) di Singapura sebelum memasuki Malaysia. Difahamkan antara kargo yang dibawa masuk ke Malaysia ialah buah oren dan epal di bawah nama HIFA.

E-mel itu menulis lagi: Sekiranya kita tiada hubungan dua hala dengan Israel, mengapa dibenarkan kapal-kapal mereka memasuki perairan kita? Mengapa berdagang dengan mereka? Apa yang berlaku ini?

Saya tidak boleh jawab soalan itu. Saya hanya boleh tulis dan sampaikan. Jika betul, kita minta -- Kementerian Pengangkutan, Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) serta pengendali pelabuhan yang diswastakan iaitu Pelabuhan Barat (West Port) dan Pelabuhan Utara (North Port) - sila jawab, jika salah sila jelaskan.

______________________________________________________________________________

Apa nak hairan. Peninju Israel pun baru-baru ni dapat masuk Malaysia. Siapa kata negara Malaysia ni anti Israel, kita sayang Israel kan? kan? Eh.. siapa yang nak bawa masuk pasukan kriket Israel dulu? Apa, APCO Worldwide? Apa benda tu? sejenis ayam hutan ke?